Thursday, 16 April 2020

Gengster - Bab 8

SUNNY seperti seorang bapa yang penyayang sewaktu mendukung Mia keluar dari wad. Manakala Bija berjalan di sisi lelaki itu seperti seorang isteri yang setia. Sewaktu melintasi jalan ke tempat parkir, Sunny mendorong Bija seperti seorang suami penyayang. Mereka bertiga sudah seperti sebuah keluarga bahagia.

Dalam pada itu, Sunny tidak menyedari pergerakannya diintip oleh konco-konco Young yang selalu ingin menjatuhkannya setelah dia menjadi orang kanan Ayahanda Waris.

Young merupakan anak kepada Waris tetapi tidak pernah mendapat kepercayaan si ayah untuk menguruskan kumpulan kongsi gelap mereka. Ayahandanya lebih mempercayai orang luar berbanding anak lelakinya sendiri. Disebabkan itu, Sunny menjadi musuh nombor satu yang sentiasa ingin dia jatuhkan. Young nama komersil dan nama sebenarnya Muda Awira. Mereka berdua tidak pernah sekepala, malah sentiasa berseteru.

Young menerima WhatsApp daripada anak-anak buahnya. Ditekan skrin telefon pintar, terpamer imej-imej musuhnya bersama seorang perempuan dan kanak-kanak perempuan. Aksi prihatin Sunny bersama seorang perempuan dan anak kecil membuatkan Young terjongket kening dengan renungan penuh makna tersirat.

Gotcha!” Terlarik senyuman di tepi bibirnya. Mata galaknya tidak puas meneliti imej-imej yang diterima. Melihat Sunny terlalu prihatin dengan perempuan itu membuatkan Young ingin tahu siapakah wanita itu. Bukan calang-calang orang mendapat tempat di hati lelaki berdarah sejuk itu.

Terlalu sejuk dengan perempuan seperti tidak punya tut, tidak dipedulikan perempuan-perempuan bersepah di depan mata. Balik-balik melepak dengan dua orang teman rapatnya, Malik dengan Zamri. Asal bertemu, Young juga tidak habis-habis mempersendakan Sunny yang asyik berkepit dengan dua orang kuatnya sehinggakan dia dengan selamba menuduh mereka bertiga mempunyai hubungan songsang.

“Selepas ni kau akan tahu Sunny...” getus Young dengan gigi dikertap penuh dendam.

 

YOUNG KE kelab malam terkenal di ibu kota. Dia sedang bertarung dengan perasaan tidak puas hati dan marah yang membuak-buak kerana dimarahi ayahandanya dek tidak dapat mengutip wang perlindungan di kawasan yang sepatutnya.

Bukan dia sengaja. Kawasan yang dijaganya telah dirampas oleh kumpulan gengster 555. Young tewas kerana anak buahnya tidak ramai yang betul-betul handal bertarung. Setakat bergaduh pasar lambak ramailah. Tidak seperti orang bawahan Sunny yang rata-rata mempunyai ilmu mempertahankan diri yang hebat seperti silat, Muay Thai dan macam-macam lagi. Dua orang kuat Sunny iaitu Malik dan Zamri sememangnya handal bertarung. Apabila digabungkan ketiga-tiga mereka, semua kumpulan kongsi gelap yang lain tidak berani mencari pasal.

Disebabkan dia gagal, ayahanda telah mengarahkan Sunny dan orang-orangnya merampas kembali kawasan mereka. Tindakan ayahanda yang tidak sabar menunggu dia mencari jalan untuk merampas kembali kawasan mereka membuatkan Young berasa dia anak yang tidak berguna langsung. Dia berasa sangat terhina kerana ayahanda sendiri tidak mempercayainya.

Bertambah-tambah perasaan bencinya terhadap Sunny dan semakin menggunung dendamnya kepada lelaki itu. Hanya menunggu hari yang sesuai untuk pembalasan yang paling dahsyat. Perasaan sakit hati dan marah membuak-buak dalam hati Young. Dia terasa ingin mencari pasal dengan orang kala ini. Jika orang itu adalah Sunny lagi bagus kerana dia tak akan teragak-agak membunuh.

Pemilik kelab sendiri yang datang menyambutnya dengan penuh rasa hormat. Penghormatan yang diberi semata-mata kerana dia adalah anak kepada ketua kongsi gelap paling berkuasa di kota raya ini.

Huh! Young bertambah sebal kerana dia tidak memiliki nama gahnya sendiri. Semuanya menumpang nama ayahandanya. Tidak seperti Sunny, lelaki bedebah itu digeruni dan ditakuti dengan dayanya sendiri, langsung tidak menumpang nama ayahandanya. Sunny telah mencipta namanya sendiri, itu yang penting.

Teringatkan wajah tampan Sunny yang menjadi kegilaan perempuan-perempuan juga membuatkan Young menjadi teramat jengkel. Dia terlalu iri hati dengan Sunny yang mempunyai segalanya. Tidak habis-habis membuat perbandingan dirinya dengan Sunny.

 

“NAK NI tak?” tanya Sunny kepada anak kecil itu. Paha ayam KFC diangkat. Si kecil mengangguk senyum suka dengan pilihannya. Dia meletakkan paha ayam itu ke dalam pinggan Mia. Sambil itu, disua kentang goreng ke mulut si kecil.

Sunny tersenyum senang melihat si comel makan dengan gembira. Bibirnya yang terlakar senyuman kembali mendatar ketika mata bertemu dengan mata Bija yang sedang merenungnya dengan penuh syak wasangka.

“Mamanya, kenapa tak makan lagi? Nak daddy suapkan juga ke?” Sunny sengaja menyakat Bija sebagai hukuman kerana merenungnya sehingga membuatkan denyut jantungnya beritma aneh.

Bija tergamam sekejap. Sunny tarik senyum ke tepi bibirnya. Sengaja tayang muka menyakat.

“Makanlah.” Sunny terus melayan kerenah Mia. Senang sekali melayan Mia yang sangat comel dan bijak. Mulut Mia yang comot dilap dengan penuh perhatian seorang bapa. Cuma melayan kerenah si mama saja yang memeningkan kepala. Sunny tergelak dalam hati, mama dan si anak dua-dua sama comel, selalu mencuit hatinya.

Bija pula semakin tidak faham dengan keprihatinan lelaki itu dengan mereka dua beranak. Ayam goreng KFC dijamah main-main saja, kemudian Bija membuka bekas kentang putar. Mia suka sangat makan kentang putar.

“Sayang, nak makan ni tak?” tanya Bija yang menyua sudu berisi kentang putar. Hatinya jadi cemburu pula melihat samseng itu terlalu manjakan anaknya. Bimbang kasih anak beralih arah pula jika dimanjakan berlebihan begitu. Nanti Mia sudah tidak ingat dengan dia pula.

“Nak!” Bukan Mia yang menjawab, tetapi budak lanjut usia yang menjawab. Sudu yang disua terus dingap. Mencerlung mata Bija memandang Sunny geram. Lelaki itu hanya tersengih sampai sepet mata geli hati dengannya.

Whipped potato tu untuk Mialah!” gerutu Bija.

“Kau sebut sayang tadi, kan? Akulah tu.”

Sejak bila pula lelaki samseng pandai buat lawak susah hendak gelak macam ini pun tak tahu. Buat Bija kelu semua bahasa yang ada dalam dunia!

“Siapa sayang awak? Saya panggil Mialah.” Bija dengan muka jengkel tidak setuju langsung dengan kenyataan lelaki samseng itu. Jauh ikan dari pemanggang!

“Lama-lama nanti sayanglah.” Sunny menyakat lagi. Suka hatinya melihat bibir comel itu muncung sedepa boleh buat penyangkut baju. Jimat!

Pergaduhan orang dewasa yang terlayar di hadapannya sangat menggelikan hati Mia. Dia tergelak-gelak.

“Mama Mia buat lawak sampai Mia ketawa kuat-kuat. Kan? Kan?” Sunny tidak habis-habis menyakat. Mia yang berada di sebelahnya digeletek supaya gelak kuat-kuat lagi.

“Cukuplah tu awak!” Bija naik angin. Lelaki samseng itu semakin melampau pula.

“Mia, sini dekat daddy!”

Mia dekatkan dirinya dengan daddy. Sunny berbisik di telinga Mia. Selepas itu...

“Okey, macam mana Mia?” Sunny bertanya si kecil dengan senyuman penuh makna.

“Mama... mama...” Mia memanggil mamanya dengan bersemangat.

Bija berkerut dahi dengan mereka berdua.

I’m sorry...” Mia mohon maaf dengan mata sengaja dikelip-kelip comel.

Kelip-kelip mata bulat comel Mia mencairkan hati Bija. Wajah samseng di sebelah Mia dipandang tunak, sengaja memberi amaran jangan mempergunakan anak comelnya sebagai senjata pertahanan.

“Mia sayang... cepat makan, nak balik rumah dah!” Bija sengaja menekan ‘Mia sayang’ supaya Sunny tahu dia maksudkan Mia bukan lelaki itu tadi. Sunny hanya melarik senyum ke tepi bibir. Wanita itu masih ingin balik ke rumahnya sendiri. Hmm...

“Jom Mia sayang, kita pergi basuh tangan.” Melihat Mia sudah selesai makan, Sunny mendukung Mia ke singki untuk membasuh tangan si comel. Dipercikkan air ke wajah Mia membuatkan si kecil tergelak-gelak.

Bija yang selesai makan juga turut ke singki untuk membasuh tangannya. Sampai sahaja di situ, Sunny yang baru berpusing, tanpa sengaja tersiku dahinya.

“Aduh!” Dia menggosok dahinya yang terasa sakit. Balik-balik dahi yang jadi mangsa.

“Kau yang cari pasal, bukan salah aku!” Sunny tergelak sinis.

“Tangan raksasa!” Bija mengomel tak habis lagi menggosok dahinya yang masih terasa sakit.

“Nak lagi?” Sunny sengaja mengacah mahu menepuk dahi Bija.

Bija membulat matanya dengan tapak tangan melekap sepenuhnya ke dahi. Bibir diketap, langkah berjaga-jaga. Rasanya dia patut ambil insurans dahi agaknya. Bija menggumam geram.

Sunny tergelak-gelak bersama Mia.

“Jom, jom... mama marah tu! Hahaha...”

Bunyi ketawa kedua-duanya membuatkan hati Bija sebal apabila anak tunggalnya itu menyokong orang lain dan bukan mamanya sendiri. Sunny bukan pengaruh baik untuk anaknya. Tetapi lelaki itu telah memberi sesuatu kepada Mia yang Mia tidak pernah dapat daripada papanya. Mata Bija mengekori Sunny dan Mia yang saling bergurau mesra. Anak kecil itu kelihatan sangat gembira.

Sesudah makan malam, Sunny berat hati mahu menghantar pulang kedua-dua beranak itu ke rumah mereka. Bimbang jika perempuan gila yang tinggal di flat itu mengapa-apakan kedua-dua beranak itu. Sudahlah si kecil belum sihat sepenuhnya lagi, nanti tak pasal-pasal sakit datang balik.

Yang si mama pula, Sunny bimbang jika kena rendam dalam lumpur sekali lagi atau mungkin lebih teruk daripada itu. Cukup-cukuplah dia melihat peristiwa lumpur tempoh hari. Nasib baik si bedebah itu perempuan, kalau lelaki sudah lama dia tibai sampai makan pun ikut tiub. Panas hatinya dengan perempuan gila itu mengalahkan perangai gengster pula.

“Kau serius nak balik rumah kau?” tanya Sunny, betul-betul mengharap Bija mengubah keputusannya.

“Ya,” tegas Bija.

Sunny menghela nafas panjang. Kereta diberhentikan di depan rumah wanita itu.

“Terima kasih,” ucap Bija. Kebetulan, telefon pintar lelaki itu berbunyi sewaktu dia melepaskan tali pinggang keselamatan.

Hmm... kenapa? Okey, kau kumpul budak-budak kita. Aku datang kejap lagi!”

Bija mendengar segala perbualan samseng itu. Dari perbualan itu, dia teramat pasti Sunny akan bergaduh selepas ini. Entah kenapa, hatinya kurang senang. Tidak mustahil lelaki samseng itu akan mengalami perkara yang sama, malah mungkin lebih teruk. Hati kecil Bija tidak ingin lelaki samseng itu mengalami kecederaan lagi biarpun sedikit.

“Aku dukung Mia!” kata Sunny selepas menamatkan perbualan. Dia keluar, kemudian menuju ke pintu belakang dan mendukung Mia. Anak itu sudah ketiduran.

Mereka bertiga berjalan menuju ke rumah Bija. Kehadiran Bija di kawasan perumahannya cepat benar mendapat perhatian jiran tetangga. Masing-masing sibuk keluar dari rumah mereka melihat janda muda balik dengan seorang lelaki asing.

“Dasar janda gatal!” Suara yang semakin Sunny kenal. Dia menggelengkan kepalanya. Perempuan seperti itu harus dicampak masuk ke dalam kolam penuh dengan buaya yang kelaparan. Biar kena gigit rakus sampai mampus!

Bija menunduk sepanjang perjalanan ke rumah. Sunny tarik nafas dalam-dalam cuba menyabarkan diri.

“Perempuan apa bawa lelaki balik ke rumah macam ni?” Suara lain menyampuk. Bija semakin menunduk.

“Perempuan tak tahu malulah. Hai... betullah kalau dah janda tu merenyam aje kerjanya. Jerat lelaki kaya senang hidup, kan!” Cercaan Midah semakin menjadi-jadi.

“Midah, cukup-cukuplah tu. Akak rasa kita ni tak patut buat Bija macam tu. Akak tak nampak mana silapnya budak tu.” Mak Cik Zana bersuara, rasa bersalah sangat-sangat dengan tindakannya petang semalam. Kelakuan tetangganya semakin melampau, lebih-lebih lagi si Midah. Sebagai orang yang berumur, apabila ditimbal balik, sepertinya ada banyak keraguan.

Dilihatnya Midah selalu mencari pasal dengan Bija. Kalau nak diikutkan, bukan Bija seorang sahaja janda yang tinggal di situ. Tidak silap, ada beberapa orang juga bergelar janda, tetapi kenapa Bija yang selalu menjadi mangsa mereka?

Si Khalil tu pun bukannya baik sangat. Semua perempuan mahu dicubanya. Budak-budak kilang selang beberapa pintu dari rumah mereka pun selalu mengadu Khalil menggatal dengan mereka.

“Akak tiba-tiba nak bela budak tu kenapa? Nak tunggu suami akak kena rampas dengan janda gatal tu baru nak sedar!” Midah sakit hati apabila ada yang membela janda muda yang sangat dibencinya itu.

“Tak payah tunggu janda muda tu, Khalil aku tengok menggatal aje dengan mana-mana perempuan yang ada dekat sini. Budak-budak kilang tu, janda yang kerja dekat Chow Kit tu, kamu tak pula marah gila macam ni. Korang semua tak pelik ke?” Mak Cik Zana memberi pendapat musykilnya tentang Midah yang keterlaluan sangat dengan Bija seperti ada sesuatu di sebaliknya.

Semua yang ada terdiam. Kemudian, berbisik-bisik.

“Ap... apa akak merepek ni?” Midah tergagap.

“Midah, akak dah malas nak layan kerenah kamu ni. Akak tak patut buat Bija macam tu. Ini semua pasal hasutan kamu. Aku bulat-bulat percaya pula tu. Astaghfirullah...” Mak Cik Zana beristighfar, sangat menyesali dengan perbuatannya selama ini. Selepas ini, dia akan pergi meminta maaf dengan janda muda itu.

Bija dan Sunny saling berpandangan. Tiba-tiba melihat jiran-jiran berkumpul mengelilingi Midah sepertinya mereka sedang berdebat tentang sesuatu. Bija melihat Mak Cik Zana sedang berkata sesuatu dengan Midah. Teringat insiden petang semalam.

“Kau masuk cepat. Tak pasal-pasal mereka semua tu berpakat nak ganyang kau beramai-ramai!” Sunny menyuruh Bija masuk ke dalam rumahnya. Mia dalam dukungan diserahkan kepada Bija dan dia dapat merasakan kehangatan jari-jemari halus wanita itu. Seperti ada arus elektrik mengalir ke jiwanya. Alahai...

“Kalau ada apa-apa panggil aku!” Sunny mengisyaratkan jarinya seperti telefon.

Bija hanya mengangguk. Dia pun cuak jika kata-kata lelaki itu benar. Tak pasal-pasal kena ganyang beramai-ramai, sangat menakutkan.

“Aku pergi dulu.”

“Awak!” panggil Bija menghentikan langkah lelaki itu daripada beredar.

“Kenapa?” soal Sunny pelik. Ada hal apa pula Bija memanggilnya? Adakah sekumpulan perempuan tadi mahu mula menyerang? Dia berkira-kira sama ada perlu atau tidak dia memukul sekumpulan itu nanti. Habis imejnya sebagai samseng calar.

“Hati-hati!” Bija berpesan ringkas.

Sunny terkesima seketika. Apabila tersedar, wanita itu sudah menutup pintu rumahnya. Dengan perasaan yang sarat dengan pelbagai rasa, dia beredar. Namun dia tidak terus pergi, malah dibawa keretanya berhenti tidak jauh dari situ.

Sunny keluar dari kereta dan perhati persekitaran rumah Bija dari kawasan berhampiran. Bimbang jika sekumpulan perempuan tadi melakukan perkara yang tidak elok ke atas ibu tunggal itu.

Beberapa ketika, kumpulan tadi mula beredar ke rumah masing-masing dan perempuan gila itu keseorangan sedang membentak-bentak tidak puas hati di luar rumahnya. Melihat perempuan gila itu sudah masuk ke dalam rumah, Sunny beredar setelah memastikan Bija dan Mia selamat.

 

SUNNY SAMPAI di tempat yang dimaksudkan. Malik dan Zamri sudah menunggunya. Mereka akan berbincang dengan kumpulan 555 tentang wilayah kekuasaan mereka. Sunny amat yakin, perbincangan mereka pasti akan berakhir dengan pergaduhan.

Kumpulan 555 atau senang panggil tiga kali lima, membuatkan Sunny rasa mahu tergelak dengan nama kumpulan itu. Teringat buku tiga lima yang pekedai selalu guna pada orang yang berhutang zaman Tok Kaduk dulu-dulu. Nama itu sesuai sangat dengan modus operandi mereka yang suka memeras dan memberi pinjaman dengan berbunga-bunga lebatnya sehingga peminjam tidak mampu membayar.

Apa gunanya slogan, ‘saya bukan ah long tapi cuma nak tolong, maa...’

Siva and The Gang datang dengan angkuh. Siva sebagai ketua duduk berdepan dengan meja yang Sunny duduki. Manakala anak-anak buah Sunny berdiri di belakang sudah bersiap sedia.

“Kenapa panggil?” tanya Siva dengan angkuh selayaknya sebagai ketua gengster. Gayanya seperti Sivaji pun ada dengan cermin mata gelapnya.

“Siva, Siva... kau tahu apa yang kau buat, buat apa tanya aku lagi?” Sunny larik senyum ke tepi bibir bersama renungan mata helang pembunuh.

Berubah wajah Siva tatkala melihat Sunny, ketua gengster paling berpengaruh di kota raya sedang merenungnya seperti ingin membunuhnya. Dia gentar. Dia ingat Young yang datang tetapi taiko ini pula yang datang. Dasar Young pengecut! Tak dapat nak handle diserahkan kepada Sunny yang bukan calang-calang orangnya.

“Kumpulan kau sudah lama pegang kawasan tu, kasi sama akulah kawan.” Walaupun begitu Siva tidak mahu mengalah. Reputasinya sebagai ketua gengster juga harus dijaga.

“Kau cari kawasan lain!” Sunny malas mahu bercakap banyak.

Ayo... mau cari gaduh ka?” Geng Siva sudah mengeluarkan parang dan senjata tajam yang lain. Tauke restoran Cina sudah menyorok di bawah meja cashier sambil menyumpah lucah dalam bahasa Cina loghat Hokkien. Pekerja restoran sudah melarikan diri ke belakang kedai. Para pelanggan sudah lama cabut sewaktu melihat sekumpulan lelaki berwajah ganas datang.

Sunny menggunakan isyarat bahasa mata dengan Malik dan Zamri supaya bersiap sedia dengan anak-anak buah mereka. Pergaduhan bakal berlaku. Seperti yang dijangka, meja di hadapan sudah terpelanting ditendang Siva.

Sunny tangkas bangun. Dia, Malik dan Zamri masing-masing berdiri dengan menggenggam penumbuk. Mereka bertiga hanya bertangan kosong, tiada sebarang senjata tajam. Manakala anak-anak buah mereka pula sudah mengeluarkan senjata masing-masing.

Siva mengerahkan kesemua anak buahnya menyerang. Pergaduhan tidak dapat dielakkan lagi. Sunny, Malik dan Zamri dahulu yang mara, tidak seperti Siva menyorok di belakang anak-anak buahnya. Sunny dengan gaya santai menghentak dan melibas seorang demi seorang. Target utamanya hanya Siva tetapi lelaki itu pandai berselindung di sebalik anak-anak buahnya.

Malik dan Zamri sebagai pengawal di sisi Sunny, kerjanya menghabiskan musuh-musuh mereka selepas Sunny menghentam. Anak-anak buah mereka tak banyak menggunakan tenaga. Setakat mengepung orang bawahan Siva supaya tidak terlepas lari. Siva Geng 555 bukan lawan mereka.

“Siva!” Sunny mencekak kolar leher Siva sehingga terangkat kakinya. Lelaki samseng India itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

“Apa macam?” tanya Sunny dan Siva tahu dia tiada pilihan lagi.

“Itu kawasan kau punya,” Siva mengalah.

“Bagus!” Sunny melepaskan tangan yang mencekak kolar leher lelaki India itu dan Siva tercampak ke belakang.

Di luar restoran, Young menyaksikan pergaduhan yang berlaku. Dengan mudah Sunny dengan 2 orang kuatnya telah menundukkan Geng 555 Siva. Gengnya terpaksa bermati-matian berlawan dan akhirnya geng dia kalah teruk. Anak buahnya juga ramai yang cedera tetapi anak buah Sunny tidak terjejas langsung.

Rasa iri hati terhadap Sunny semakin menggunung. Dia harus merancang dengan lebih teliti kerana kekuatan gengnya tidak setanding dengan geng Sunny.

No comments:

Post a Comment