“MAMA, daddy?” tanya Mia, terpisat-pisat selepas membuka matanya tetapi Daddy Sunny tiada. Wajahnya seperti ingin menangis.
Bija tergamam.
“Daddy work, Mia. Daddy work jauh...” pujuknya. Jika Mia menangis, puas hendak memujuk. Satu kerja pun tak boleh buat kalau Mia meragam. Dia pernah mengalaminya dahulu. Anaknya itu terlalu rindukan papanya sewaktu Imran mula tidak pulang ke rumah. Dada Bija sebak, kasihan anak kecilnya yang menginginkan belaian kasih seorang bapa.
“Tidur lagi sayang, awal lagi ni.” Bija membaringkan Mia kembali lalu ditepuk-tepuk perlahan. Ubun-ubun si kecil dicium dalam sendu. Perlahan mata si kecil tertutup kembali.
Bija bingkas bangun, ingin membersihkan diri dan menunaikan solat subuh. Selepas itu, dia akan mengemas rumah. Hampir seminggu dia bercuti rehat menjaga Mia. Ketidakhadirannya di hospital, dia tahu pasti menyusahkan teman-teman sekerjanya. Bija rasa bersalah tetapi dia tidak berdaya.
Dia juga tahu teman sekerjanya ramai yang tidak menyenangi dirinya kerana selalu bermasalah dan sering cuti. Bija juga tidak mahu begini. Dia juga tidak mahu melalui kehidupan menyedihkan seperti ini. Di rumah dan di tempat kerja semua menganggap dia sangat menyusahkan. Bekas suaminya juga. Bija hampir mengalirkan air matanya.
Pukul 10 pagi, dia mengejutkan Mia untuk dimandikan. Selepas itu, dia juga bersiap untuk keluar membeli barang dapur. Bija berjalan sambil mendukung Mia. Sewaktu sedang berjalan, dia ditahan oleh Mak Cik Zana dan Kak Su. Bija cuak dan bimbang kalau-kalau dia diserang.
“Ada apa, mak cik?” tanya Bija takut-takut. Mia dalam dukungan dipeluk erat. Kalau betul dia diserang, anaknya itu harus dilindungi dahulu.
“Mak cik minta maaf buat bukan-bukan dengan Bija. Mak cik minta maaf sangat-sangat.” Mak Cik Zana memohon maaf dengan seikhlas hatinya. Rasa bersalah membelit diri melihat janda muda itu memeluk erat anak kecilnya.
“Kak Su pun sama. Maafkan kami, Bija. Harap Bija boleh maafkan kami berdua.” Kak Su juga memohon maaf.
Bija terpinga-pinga sekejap. Dia ingat tadi dia bakal diserang, rupanya dua orang wanita itu ingin memohon maaf dengannya.
Mata Bija berkaca-kaca, sungguh hatinya sangat tergores apabila teringat kembali dia dihina, dimaki dan dicerca seteruk-teruknya oleh jiran tetangganya. Kalau diikutkan amarah, dia juga sangat berdendam tetapi hatinya lembut apabila ada yang memohon maaf dengannya. Dia bukan seorang yang keras hati, dia masih boleh memaafkan.
“Saya maafkan.” Bija senyum tawar, mengangguk kemudian berlalu perlahan melintasi wanita berdua itu. Mak Cik Zana dan Kak Su menghantar janda muda dengan anak kecilnya dengan pandangan rasa bersalah.
Bija membeli barang dapur di pasar raya berdekatan dengan rumahnya. Sedang dia berlegar-legar mencari barang-barang, Mia yang berada dalam troli menjerit inginkan gula-gula dan coklat. Terpaksa dilayan kerenah si anak dahulu. Namun, apabila dilayan semakin menjadi-jadi pula si Mia, meminta macam-macam.
“Mia, satu-satulah sayang... takkan semua sekali. Mama mana ada duit banyak nak beli semua ni.” Bija menahan geram apabila Mia ingin mengambil kesemua coklat dan gula-gula yang ada di depan matanya. Ingat dia tauke pasar raya ni ke?
Nampaknya si anak tidak peduli kata-katanya dan terus mencapai pelbagai coklat dan gula-gula yang berada berdekatan. Apabila dilarikan troli, Mia membentak-bentak mengamuk. Kesabaran Bija semakin menipis melayan kerenah Mia yang semakin hari semakin menguji kesabarannya.
“Mia!” Suara Bija hampir meledak!
“Hei, jangan marah Mia.”
Mia yang berada di dalam troli terus diangkat oleh seseorang. Bija terkejut besar melihat lelaki samseng yang mendukung Mia. Tiba-tiba sudah berada di depan mata!
“Awak buat apa dekat sini?” tanya Bija dengan muka tak habis terkejut lagi.
“Oh, aku nak tengok Mia dah baik ke belum,” ujar Sunny dengan suara mendatar sahaja. Apabila berpaling ke arah Mia bukan main lebar lagi lelaki itu tersenyum. Bija merenung jengkel. Bibir diherot, macam cemburu dengan anak sendiri.
“Mia nak apa sayang? Ambil semua yang Mia nak, okey? Tak apa, daddy boleh bayar!” Sunny menjeling Bija.
Bija herotkan bibir melihat jelingan itu. Tahulah dia banyak duit!
“Jangan nak ikutkan sangat Mia tu, nanti semua benda dia nak makan sekali gus,” bantah Bija. Tahu sangat anaknya itu nanti tak habis-habis meminta makanan yang tidak sihat itu selagi ada.
“Habis tu, nak ikutkan mamanya?” Sunny sengaja mengangkat keningnya rapat dengan wajah Bija. Serentak itu juga, Bija menjarakkan wajahnya jauh-jauh.
“Jangan nak mengarut, boleh?” Bija mencebik geram.
“Mamanya jangan jadi macam Mia, boleh? Kalau Mia buat muka macam tu comellah juga, kalau mama buat buruk...” Sunny membawa Mia pergi selepas mengutuk Bija kaw-kaw. Wanita itu mengekorinya sambil menolak troli dalam keadaan marah. Dia tersengih lagi. Hai, nama sahaja mak budak tapi perangai mengalahkan Mia. Comel!
Bija sambung mencari barangan yang diingini dengan perasaan sebal. Sesekali matanya mencari kelibat mereka berdua. Melihat lelaki itu mendukung Mia membuatkan naluri keibuannya bergetar sendu. Kasihan anaknya bermanja dengan orang lain bukan papanya sendiri.
Sewaktu hampir tiba di kaunter pembayaran, Sunny menyuruh Bija mengambil Mia dalam dukungannya dan troli terus ditolak ke kaunter.
Bija tidak dapat menahan lelaki itu daripada membayar kesemua barangan yang dibelinya. Dia termakan budi sekali lagi dengan lelaki itu. Walaupun dia tidak menyenanginya, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana wang yang dibawa tidak mencukupi untuk membayar segala barangan yang diambil oleh Mia tadi. Nafas ditarik dalam. Terasa sangat dirinya tidak berkemampuan dan serba kekurangan.
“Mama, gula. Nak gula-gula...” Mia tunjuk lolipop di kaunter pembayaran.
“Tak boleh. Dah banyak beli, Mia!” Bija menggeleng keras dengan bahasa mata memberi amaran kepada anaknya.
“Alah, satu aje kut!” Sunny mengambil sebatang lolipop lalu diberikan kepada Mia. Tersengih-sengih si kecil apabila mendapat apa yang diingini.
Bija cemberut, tidak suka lelaki itu selalu mengikut kehendak Mia. Tidak elok jika turutkan segala kehendak anak itu, nanti semakin mengada-ada dan susah dikawal.
“Jangan manjakan Mia macam ni, nanti tak boleh nak kawal,” ujar Bija tentang rasa tidak puas hati dengan sikap Sunny yang memanjakan anaknya.
“Kenapa pula?” soal Sunny.
“Awak bukan papa Mia.” Bija mengingatkan Sunny, sedarkan siapa lelaki itu kepada Mia. Bukan sesiapa!
“Betullah bukan papa Mia, tapi daddy Mia. Beza bukan!” Sunny sengih selepas itu. Tidak terkesan langsung!
“Awak tak faham. Awak tahu, pagi tadi bangun-bangun dia cari awak, cari daddy yang bukan daddy dia yang sebenarnya. Awak rasa apa yang saya rasa?” Bija meluahkan perasaannya. Lelaki itu banyak campur tangan dalam hidupnya sekarang. Tiba-tiba, hadir dalam hidupnya seperti jatuh dari langit. Dia teringat kembali sewaktu mereka mula-mula bertemu, bukan pertemuan yang baik dan indah untuk dikenang.
“Saya rasa tak berdaya. Jangan bagi harapan palsu pada Mia. Kasihan anak kecil saya...” sambung Bija dengan suara lirih.
“Aku tak bagi harapan palsu pada Mia. Aku dah sayangkan dia,” tutur Sunny serius bukan dengan wajah main-main. Bija terkejut dengan kata-kata Sunny yang mengaku sayang kepada anaknya. Seorang samseng sayangkan anaknya? Bolehkah dia percaya?
PEMANDUAN KERETA diteruskan tanpa perbualan, hanya Mia yang kecoh bercerita. Seronok betul Mia dapat borong coklat dan gula-gula sesuka hati. Bija tersenyum sedikit tanpa sedar. Begitulah hati seorang ibu, gembira melihat anaknya gembira.
Sunny ternampak senyuman yang terukir di bibir wanita itu. Tanpa sedar, dia juga ikut tersenyum. Melihat pada cuaca yang cerah, dia tidak terus membawa mereka berdua pulang sebaliknya melencong ke Tasik Titiwangsa. Sunny masuk ke kawasan rekreasi, kemudian memberhentikan keretanya di sebelah taman permainan. Tanpa berkata apa-apa dengan Bija, Sunny keluar. Dibukakan pintu belakang dan membawa Mia keluar.
“Kita pergi main, okey!” Sunny riang mendukung Mia. Dari berdukung, diletakkan Mia di atas bahunya lalu berlari mengelilingi taman permainan itu. Mia ketawa dengan riang. Selepas itu, Sunny meletakkan Mia ke bawah, membiarkan anak itu meneroka keadaan sekeliling. Ketawa dia melihat Mia berlari-lari dengan cara yang melucukan. Gembiranya si kecil itu!
Kemudian Sunny menoleh ke arah Bija. Wanita itu tersenyum dengan wajah bercahaya. Dia tahu hati ibu mana yang tidak gembira melihat anaknya gembira. Sunny melarik senyum ke tepi bibirnya.
“Mia nampak dah sihat...” ujar Sunny di sebelah Bija. Mengalih pandangan ke sisi, wanita itu turut memandangnya. Dia tersenyum sedikit.
“Haah, lega tengok dia dah sihat.” Bija juga senyum sedikit. Kekok berbicara tentang Mia seperti lelaki itu bapa sebenar anaknya.
“Macam mana keadaan rumah kau?” tanya Sunny, teringat wanita itu masih bermasalah dengan jiran tetangga.
“Hari ni ada yang minta maaf. Entahlah, saya harap tak ada yang ganggu kehidupan saya lagi,” lirih suara Bija.
Sunny pandang lagi. Bija menundukkan wajah. Dia tahu wanita itu sedang menahan perasaannya.
“Oh...” Sunny menghala pandangannya ke arah Mia pula. Mia sedang bermain dengan kuda kecil yang boleh melantun ke depan dan ke belakang.
Bija pula mencuri pandang ke arah samseng itu. Sikap mengambil berat lelaki itu membuatkan dia rasa lelaki itu tidak pantas menjadi seorang samseng.
“Kenapa? Aku handsome eh?” Sunny menangkap Bija yang sedang leka merenung wajahnya. Pipi wanita itu merona merah, sangat melucukan.
“Perasan!” Bija mencebik, pipi terasa hangat.
“Aku dah biasa. Perempuan selalu renung aku macam tu.” Sunny sengih. Perasan lebih!
“Penyakit perasan memang tak boleh ubat, kan!” Bija mencebik lagi.
“Kau nak kena ke?” Sunny mengacah tangannya dengan gaya seperti mahu menepuk. Bija pula terus menyilangkan dahinya dengan cepat.
Sunny tergelak. Riak Bija mula cemberut.
“Fobia betul kau ya.” Dia tergelak-gelak lagi. Sakit hati Bija melihat tawa lelaki itu.
“Mia sayang, jom balik. Panas ni.” Malas mahu melayan perangai samseng tak semenggah itu lagi, terus dia panggil Mia. Isyarat menyuruh lelaki itu menghantar mereka berdua pulang.
“Jom, Mia!” Sunny menggamit Mia supaya datang dekat padanya.
Mia terus berlari mendapatkan Daddy Sunny. Mama yang panggil dia buat tidak tahu sahaja.
Anak, anak... Sabar sajalah.
SETELAH MELETAKKAN Mia di tempat duduk belakang, Sunny membuka pintu di bahagian hadapan. Tiba-tiba, sebuah kereta Mitsubishi Evo putih berhenti di tepi keretanya. Bija yang baru hendak masuk ke dalam kereta terhenti pergerakannya. Ingin tahu siapa gerangan itu.
Saat cermin kaca tingkap diturunkan, barulah Sunny dan Bija dapat melihat siapa yang berada di dalam kereta tersebut. Sunny sangat mengenali pemilik kereta itu dan Bija pula tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Pertama kali dia melihat lelaki itu.
“Hai, bro!” Cermin mata yang dipakai dibuka dengan penuh bergaya. Young tersenyum manis dengan penuh makna.
Wajah Sunny berubah serius dan garang. Bija takut melihat wajah Sunny yang sudah mula bertukar. Siapakah lelaki itu? Gaya mereka berdua seperti mahu bergaduh. Musuh samseng itukah? Bija tertanya-tanya.
“Masuk dalam!” arah Sunny keras.
Bija terkejut. Mulut seperti mahu bertanya mengapa tetapi jelingan lelaki itu cukup membuat dia kecut perut dan terus masuk ke dalam kereta. Sunny pula menutup pintu kereta selepas melihat Bija sudah masuk ke dalam kereta. Dia tidak mahu wanita itu mendengar perbualan mereka.
“Kau nak apa?” tanya Sunny keras.
“Aku lalu saja dekat sini.” Young tarik senyum ke tepi bibirnya dengan panahan mata maksud mendalam.
“Okey, aku pun nak balik.” Sunny melihat sekeliling dengan mata dikecilkan. Mungkin lelaki bedebah ini datang bukan berseorangan. Dia mengambil langkah berjaga-jaga.
“Okey, bro. Cantik. Bakal kakak ipar aku ke tu?” Young menyengetkan kepalanya, cuba melihat wanita yang berada di dalam kereta Sunny. Wanita bertudung? Dia seperti tidak percaya pula.
“Bukan urusan kau!” Sunny merenung Young dengan penuh amaran.
“Aku tak tahu kau suka stok-stok ustazah macam ni. Aku ingat kau spesies luar tabii. Dua-dua kau lenjan, bro! Cayalah...” Young mengutuk selamba.
“Kau!” Sunny mengetap giginya menahan geram. Young memang tak habis-habis mahu mencari pasal dengannya.
Tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati apabila terfikirkan Bija dan Mia. Young sudah tahu kewujudan mereka berdua dan ini sangat membimbangkan Sunny. Menyesal pula tidak mendengar nasihat kedua-dua teman baiknya, jangan rapatkan diri dengan dua beranak itu. Tetapi, hatinya tidak mahu mendengar nasihat itu.
“Aku pergi dulu, bro. Kirim salam dekat bakal kakak ipar. Budak kecik tu pun comel. Nama dia Mia, kan? Tentu kau sayang sangat dengan mereka berdua, kan?” Young sengih sebelum menaikkan cermin tingkap keretanya.
Sunny menghantar Young berlalu dengan pandangan gusar. Young tahu nama Mia, bermakna lelaki itu tahu tentang profil Bija dan Mia. Itu petanda buruk!
Sewaktu Sunny masuk ke dalam kereta, Bija lihat wajah lelaki itu sangat rusuh. Dia tidak berani bersuara apa-apa sehingga mereka berdua selamat sampai ke rumah. Sunny keluar tanpa suara, mengambil segala barangan yang dibeli lalu dibawa ke tingkat atas rumah Bija.
Bija berjalan mengikuti lelaki itu dari belakang sambil mendukung Mia. Sewaktu mereka berjalan ke rumah, dia bertembung dengan Mak Cik Zana yang sedang menyapu di depan rumahnya.
“Mak cik...” Bija menyapa dengan wajah segan. Maklumlah, dia bawa balik lelaki lagi.
Sampai di depan rumah, Sunny meletakkan segala barangan di depan rumah. Mia yang berada dalam dukungan si ibu diambil. Bija membuka pintu dan segala barangan yang dibeli dibawa masuk. Manakala Sunny berada di luar bermain dengan Mia.
Mak Cik Zana walaupun sedang menyapu sampah di depan rumah, sibuk juga mahu mengambil tahu siapakah lelaki yang dibawa pulang oleh janda muda itu. Perasaan manusia ingin tahu itu sentiasa ada.
Bija keluar selepas membawa semua barang masuk. Mak Cik Zana yang masih di luar dipandang segan lagi.
“Mia, jom... masuk dalam,” ajak Bija.
“Tak nak!” Mia berdegil tidak mahu berpisah dengan daddynya.
“Jom, sayang.” Bija terpaksa memaksa Mia.
“Tak nak!” Mia lagi berdegil.
“Mia masuk ke dalam dengan mama, nanti petang daddy datang lagi.” Sunny menyuruh lembut. Kepala anak kecil itu dicium-cium. Mia akhirnya akur apabila dipujuk lembut oleh daddynya.
“Ambil Mia...” Sunny menyua Mia kepada Bija. Saat Mia bertukar pegangan, tidak semena-mena Mia memaut leher Sunny menyebabkan tubuh Bija terdorong rapat dengan lelaki itu. Seperti berpelukan satu keluarga.
Bija berpusing ke tepi dengan wajah serba salah apabila Mak Cik Zana melihat telatah ‘keluarga bahagia’ mereka.
“Mia, sudahlah tu!” Bija menarik tangan Mia yang melingkar di leher Sunny.
“Daddy! Daddy!” jerit Mia. Risau daddynya tidak datang seperti yang dijanjikan.
“Mia, daddy datang. Daddy datang, sayang...” Sunny menenangkan Mia.
Bija merenung Sunny dengan renungan sukar dimengertikan. Sunny mengangguk kepalanya juga dengan renungan yang sukar dimengertikan oleh Bija. Saat Bija berpaling ke arah lain, dia ternampak Midah berada tidak jauh daripada mereka berada dengan mulut dijuih-juih benci. Dia semakin serba salah.
“Awak baliklah.” Bija terpaksa menghalau Sunny. Bimbang menjadi buah mulut sekali lagi.
“Petang nanti aku bawa Mia jalan-jalan,” ujar Sunny bersedia mahu beredar.
“Tak payahlah.” Bija membantah.
“Aku dah janji!” tegas Sunny.
SEPERTI YANG dijanjikan, Sunny datang mengetuk pintu rumah Bija. Kali ini hanya Mia sahaja yang keluar bersamanya. Mama Mia pula menolak ajakannya.
Bija memberi sepenuh kepercayaan kepada samseng itu membawa Mia keluar bersiar-siar. Dia tahu Sunny akan menjaga anaknya dengan baik kerana lelaki itu sudah acap kali menolong dia dua beranak. Jadi tak mungkin lelaki itu akan berbuat yang tidak elok dengan anaknya.
Kalau Sunny jahat dengan konteks yang sebenar mungkin sudah lama dia menjadi mangsa lelaki itu sewaktu dia pergi ke kondo lelaki itu tidak lama dahulu. Entah kenapa, teringatkan perkara itu pipinya merona merah.
“Kau nak pesan apa-apa?” Sunny sempat bertanya jika wanita itu memerlukan apa-apa.
“Tak mengapa, saya dah masak.” Bija menolak.
“Oh, okey.” Sunny berlalu membawa Mia keluar.
Dari jauh, Bija nampak mereka berdua begitu mesra sekali bergurau senda seperti anak dan ayah sahaja walaupun hakikatnya bukan begitu. Tidak lama, disorot matanya ke tempat duduk belakang setelah Sunny membuka pintu keretanya.
Mata Bija ternampak baby car seat. Sunny membeli car seat semata-mata demi Mia? Jeda. BMW sport Sunny hilang dari pandangan mata dan dia terasa sesuatu dalam hatinya.
SUNNY BARU lepas menerima panggilan kali kedua daripada Malik sewaktu tiba di Tasik Titiwangsa. Malik ingin berjumpa dengannya. Penting. Dia menyuruh mereka datang ke sini. Walaupun tidak mahu pertemuan dia dengan Mia diganggu, tetapi Sunny terpaksa bersetuju juga bertemu dengan kedua-dua orang kuatnya itu.
Sementara menunggu Malik dan Zamri, Sunny melayan Mia bermain-main. Sedang leka dia melayan Mia, terdengar deruman motocross yang membingitkan telinga. Bukan sebuah, tetapi banyak buah motocross menghala ke arah mereka. Firasat Sunny tidak enak.
“Mia, datang pada daddy!” panggil Sunny. Mia berlari mendapatkan Sunny apabila ternampak lelaki bermotosikal turun dari motor beramai-ramai. Mereka menakutkan Mia.
“Sunny!” Sunny menoleh. Malik dan Zamri sedang mara ke arahnya dengan langkah garang. Ditarik nafas lega, teman rapatnya datang tepat pada waktunya.
“Pasal ni yang aku nak cakap tadi,” kata Malik sewaktu tiba di sisi Sunny. Lelaki-lelaki di hadapan mereka sedang merenung mereka bertiga seperti ingin melahap mereka semua hidup-hidup.
“Jaga-jaga!” kata Zamri pula. Di lehernya tergantung fon kepala besar seperti penutup telinga pada musim salji.
“Zam, bak sini headphone tu.” Sunny meminta fon kepala milik Zamri.
“Mia sayang, kita nak main satu permainan. Polis lawan penjahat sambil Mia dengar lagu best. Nak tak?” tanya Sunny kepada Mia.
“Nak, nak, nak!” Mia mengangguk kepalanya berkali-kali.
“Okey, sayang...” Fon kepala diletakkan di telinga Mia. Lagu ditekan.
“Kau layan lagu apa ni, bro?” tanya Sunny kepada Zamri. Parah kalau layan lagu rock kerana membingitkan telinga si kecil. Tak pasal-pasal anaknya pekak nanti kerana dia sengaja membuka volum tinggi supaya Mia tidak mendengar perkara bukan-bukan.
“One Direction, bro!” Zamri sempat menyengih.
“Hah?” Sunny berkerut dahi. One Direction? Dia fikirkan Metallica, sekali One Direction. Kalau sejenis dalam hati ada taman bunga memang begitu!
“One thing bro, relakslah. Gengster dalam hati ada taman, mati dalam iman.” Zamri menyengih lagi. Sempat berlawak padahal untung nasib mereka masih belum tahu.
“Kau baru tahu ke, bro? Aku dah tahu lama dah mamat ni jiwang!” Malik menyampuk tersengih-sengih juga. Relaks saja mereka padahal segerombolan gengster berada di depan mereka bersiap sedia mahu menyerang.
“Ready?” tanya Sunny serius. Mereka berdua mengangguk, berdiri gagah di depan lawan mereka. Sunny pula bersahaja mendukung Mia dengan sebelah tangan.
Geng motocross meluru ke arah mereka beramai-ramai dengan bersenjata tajam. Sunny dengan sebelah tangan bergerak laju memukul dan melibas musuh-musuh di hadapan. Lagak seperti gaya Jacky Chan, berpusing-pusing melarikan badannya daripada disentuh oleh penjahat-penjahat. Bimbang jika Mia tercedera.
Mia mengekek ketawa apabila daddynya berpusing-pusing dan melompat-lompat memukul penjahat dan menumbangkan penjahat. Mia fikir mereka sedang bermain.
Malik dan Zamri bertindak melindungi big boss mereka. Apabila Sunny sukar mengendalikan musuhnya dengan sebelah tangan, tidak semena-mena...
“Malik, sambut Mia!”
Malik berpusing selepas menerajang salah seorang daripada geng itu. Sepantasnya dia sedia menyambut Mia. Mia melantun ke udara dan selamat mendarat dalam dukungannya.
Sunny gunakan peluang yang ada menghabiskan mana-mana yang ada di depan mata secukupnya. Dia geram dan marah kerana waktu dia bersama Mia diganggu. Dia berpusing melihat Malik yang kelihatan payah mahu menghabiskan salah seorang musuh lagi.
“Sibuk betul!” Sunny datang dan terus diberi tendangan tepi sekuat tenaga. Tercampak musuhnya itu.
“Zam, kau ambil Mia pula. Lenguh tangan aku ni. Mia kau ni boleh tahan berat juga, bro!” Malik melantun Mia ke arah Zamri pula. Zamri yang belum sempat bersedia tetap menyambut Mia dengan selamat dalam dukungannya walaupun cara dia melompat sangat ekstrem.
“Pandai kau Malik!” jerit Zamri terpaksa mengambil alih ‘anak kesayangan’ Sunny pula.
“Kau jaga anak aku tu betul-betul. Tergores sikit, siaplah!” ugut Sunny tetapi dia tahu Zamri akan menjaga Mia baik-baik.
“Bila nak kahwin dengan mamanya, bro!” Malik sempat bertanya soalan sensitif selepas menghentak seorang lagi sambil lengan lelaki jahat itu disengkang keras dengan kakinya. Lelaki jahat yang dipijak lengannya menjerit dibuat tidak hairan. Rasakan, kacau lagi!
“Mamanya tu, entahlah...” Sunny menjawab ala kadar. Belakang badannya bertemu belakang badan Malik. Sama-sama bersedia mahu berlawan dengan separuh lagi penjahat.
“Hai, hati anak dah dapat tawan, takkan mamanya belum dapat-dapat lagi kut?” sindir Malik sambil berpaling ke sisi. Sunny sengih, dia juga berpaling ke tepi.
“Mama jual mahallah, bro!” Sunny jadi geram dengan Bija yang jual mahal sangat. Pasal geram sangat, habis dua tiga orang penjahat yang mara ke arahnya dihentam cukup-cukup.
“Mati anak orang tu!” Zamri pula datang menghenyak dua tiga orang yang sudah dibelasah Sunny. Kasi tambah satu kali!
Habis kesemua musuh-musuh tumbang, tak bangun-bangun. Sunny berpuas hati. Mia diambil dalam dukungan Zamri.
“Macam mana Mia, seronok?” tanyanya sambil tersenyum dan mengerut hidungnya buat muka comel di depan Mia. Mengekek anak kecil itu tatkala melihat wajah lucunya.
“Seronok, daddy!” Mia mengangguk seronok. Gembira betul anak kecil itu ‘bermain’ dengan mereka bertiga tadi.
“Daddy? Parah...” Malik ketawa berdekah-dekah.
“Comel betul budak ni. Aku cubit sikit, boleh?” Zamri cuba mencubit pipi si kecil tetapi Sunny tangkas menepis. Sebaliknya dia mencium pipi Mia bertalu-talu.
“Ini anak aku tau! Yong kecik aku ni.” Sunny ketawa.
Mereka bertiga ketawa berdekah-dekah dan Mia dipeluk Sunny kuat-kuat. Gembira betul Mia!
No comments:
Post a Comment