Wednesday, 17 June 2020

Encik Ulat Buku - Bab 10

“AWAL hari ni, Yaya?” tegur Kak Diyana di meja makan. Dia sedang mendukung Umar yang berumur setahun lebih dan sebelah tangan memimpin Nia duduk di meja makan. Tuan puteri kecik itu mula menyuap roti ke dalam mulut dengan mata yang masih tertutup.

“Hari ni Yaya naik LRT macam biasa, kak long.” Aku sengih.

“Abang Yaya kata Yaya nak boikot LRT?” usik Kak Diyana.

“Sementara abang long ada, bolehlah dia nak boikot. Ni abang long dah kena offshore balik, back to normallah, kan?” balas Eizat dan menarik kerusi di sebelah Nia. Ringan tangannya mencubit pipi Nia sehingga terjerit kecil tuan puteri kecik itu.

“Mana ada boikot LRT. Ijat ni pandai-pandai buat ceritalah,” balasku sambil menjegilkan mata ke arah Eizat.

“Kak long, hari ni Ijat tolong hantarkan Nia pergi sekolah agama dia. Tak adalah kak long terkejar-kejar nak hantar Umar ke nursery,” balas Eizat.

“Eh, tak lambat ke nak masuk ofis nanti?” balas Kak Diyana.

“Hari ni tak masuk lab. Jadi okey aje kalau tak sampai awal sangat,” balas Eizat.

Terus aku memandang Eizat sambil mengerdipkan mataku berulang-ulang kali.

“Tak ada, tak ada. Akak dah tak boikot LRT, kan? Nak naik LRT macam biasa, kan?” balas Eizat pantas sebelum sempat aku bersuara.

“Sampai hati!”

Eizat menjongketkan bahunya sambil menyapu jem pada roti.

 

FITBIT DI tangan kutilik. Baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Confirm aku takkan terserempak dengan Aydin di dalam LRT kerana ini bukan waktu naik train si Encik Ulat Buku. Sengaja aku tiba di stesen LRT Gombak lebih lambat daripada waktu biasaku.

Apabila koc LRT sampai, sempat lagi aku melangkah masuk sambil dalam hati berulang kali menyebut ‘janganlah jumpa dengan Aydin, janganlah jumpa dengan Aydin, janganlah jumpa dengan Aydin’.

Aku menyandarkan tubuh di tempat duduk dan memejamkan mata. Ada banyak lagi stesen sebelum sampai di stesen LRT KL Sentral. Diari di tangan kusimpan semula ke dalam beg. Tidak lama aku terlelap, apabila aku tiba-tiba tersedar. Terus anak mataku naik memandang wajah lelaki yang sedang berdiri di hadapanku.

Crap! Aydin Noah!

Encik Ulat Buku itu sedang berdiri di hadapanku dengan tangan kanannya memegang sebuah buku yang tidak jelas tajuknya. Headphone Beats berwarna hitam seperti biasa menghiasi kepalanya. Lama anak mataku singgah pada tangan berurat yang erat memegang buku itu. Indahnya pemandangan mata pada pagi ini.

Parah kau ni, Yaya! Mata tu cubalah control sikit. Alihkan pandangan mata cepat!

“Tengok apa? Siap ternganga lagi,” tegur Aydin dan menutup buku di tangannya. Kali ini sepasang anak mata hitam itu tajam menatap wajahku.

“Hah? Tengok tangan aw...” Cepat-cepat aku mengaplikasikan fungsi brek mulut. Terus aku melarikan pandangan mata. Haih, kenapalah berjumpa lagi dengan lelaki ini di dalam LRT?

Tiba-tiba telingaku menangkap suara orang ketawa kecil. Aku mengangkat wajah memandang Aydin yang nampak khusyuk dengan bukunya.

“Awak gelakkan saya?” soalku. Geram melihat wajah selamba Aydin.

“Tak adalah. Story line buku ni lawak.” Dia menayangkan buku bertajuk Adam Spencer’s World of Numbers.

Lawaklah sangat, kan? Baca buku berkaitan dengan nombor pun kelakar ke? Orang tak betul aje yang boleh baca sambil ketawa.

“Kenapa awak naik LRT waktu ni pulak?” Soalan itu automatik keluar daripada mulutku tanpa sempat ditahan. Aduh, Yaya!

“Eh, kenapa pulak? LRT ni kan pengangkutan awam. Semua orang ada hak untuk naik LRT ni. Saya tak nampak pulak kalau ada tertulis nama awak kat mana-mana,” jawab Aydin selamba sebelum menutup buku di tangannya.

Aku diam. Geram! Lagi aku nak elakkan lelaki ini, lagilah dia datang mendekat.

“Atau awak memang purposely tukar timing naik LRT sebab awak nak mengelak daripada bertembung dengan saya?” Riak wajahnya saat ini memang sangat menjengkelkan hatiku.

Soalan serkap jarang Aydin membuatkan pandangan mataku naik semula memandangnya yang sedang memandangku dengan riak wajah tenangnya.

Satu, dua, tiga... tarik nafas dan sabar, Yaya! Aku menarik nafas dalam-dalam dengan mata yang terpejam.

“Jadi, betullah yang awak stalk saya dalam LRT all this while?” soal Aydin lagi sambil tersenyum senget.

“Ehhhhhh...” Hah, kan dah panjang ‘eh’ aku ni.

Kidding, Yaya. Kidding.” Aydin membuka semula buku di tangan dan menyambung bacaannya.

Kidding? Sekali lagi, dia ni tak ada gaya macam tengah bergurau pun!

“YAYAAAA!!! RINDUNYA aku dengan kau.” Kedatanganku di ofis disambut riang oleh Sarah yang sudah menungguku di kubikel kerjaku dengan dua bungkus nasi lemak Kak Bedah di atas meja.

Overlah kau. Gaya macam dah lama tak jumpa, padahal baru 2 hari aje pun.” Aku meletakkan handbag di atas meja dan menghidupkan suis komputer.

“Ala, kau ni... nak bermanja pun tak boleh,” cebik Sarah.

“Bermanja dengan aku buat apa. Pergi bermanja dengan Abam Haziq kesayangan kau tu.”

“Ala, dia lain, kau lain. Dia boyfriend, kau girlfriend.”

“Yalah tu. Bila kau sampai KL ni?”

“Tengah malam tadi. Disebabkan aku dah lama tak breakfast dengan kau, ni aku dah belikan nasi lemak yang paling sedap dekat KL ni.” Sarah menayangkan dua bungkus nasi lemak di tangannya.

“Jomlah makan kat pantri.” Aku bangun daripada dudukku.

“Kau tak breakfast lagi ke?” soal Sarah.

“Dah, tapi makan roti aje kat rumah. Jadi, perut aku ada ruang lagi untuk nasi lemak ni. Lagipun tak elok tolak rezeki, kan?” jawabku sambil menarik Sarah supaya ke pantri.

So, interviu hari tu macam mana?” soal Sarah sambil menyudu nasi lemak ke dalam mulut.

“Okeylah, cuma photoshoot aje yang tak sempat settle hari yang sama. Diaorang datang semalam,” jawabku.

“Datang sini ke?” soal Sarah pantas dan aku angguk.

“Ala, Yaya! Kenapa buat photoshoot semalam? Kenapa tak buat hari ni? Terlepas aku nak tengok rupa Encik Ulat Buku kau tu!”

“Isy, kau ni! Perlahankan sikit volume suara kau tu. Ni gaya dah macam nak buat announcement satu ofis.”

Terus Sarah tersengih-sengih.

“Yaya, kau tak ada ke gambar Encik Ulat Buku kau tu? Ala, aku nak tengoklah gambar dia.”

“Isy, dah kenapa aku nak kena ada gambar dia pulak? Kalau kau nak tengok sangat, kau boleh Google nama Aariz Najmi, kembar Aydin. Macam tulah muka Aydin sebab diaorang kan kembar seiras.”

Tiba-tiba Sarah mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menaip sesuatu pada skrin telefon.

“Kau buat apa?”

“Google Aariz Najmi itulah.”

Aku terus tersedak. Memang minah reporter ni buat betul-betul!

“Masya-Allah sistur!” Automatik tangan Sarah menepuk belakang tubuhku.

Terus aku tersedak sekali lagi. Cepat-cepat aku meneguk air kosong di atas meja. Pedih rasanya tersedak sambal nasi lemak.

“Kau dah kenapa, Sarah? Tersedak aku!”

“Ni ke rupa diaorang?” Sarah menayangkan telefon pintarnya di hadapanku.

“Haah. Yang dalam gambar tu Aariz, tapi Aydin pun seiras macam tu jugaklah, cuma Aydin tu pakai braces.”

Heloknya rupa. Sejuk perut mak mengandung. Patutlah kau suka sangat stalk Aydin tu dalam LRT. Aku boleh bayangkan dia kat dalam LRT sambil baca buku. Memang nerd yang handsome!”

Aku menggelengkan kepalaku perlahan dan kembali menyambung suapan nasi lemak yang tergendala. Nerd yang handsome eh?

“Eh, semalam ada book signing session Haru jugak, kan?” soal Sarah tiba-tiba.

“Haah, timing yang sama dengan photo shooting Aydin dan Aariz. Crowded gila semalam sebab shooting kat studio bersebelahan dengan venue book signing tu.”

Haru, atau nama penuhnya Uzair Faiq merupakan penulis bestseller novel genre thriller sepenuh masa di bawah naungan Little Book Press yang merupakan anak syarikat Ideafly Group. Disebabkan dia satu-satunya penulis lelaki yang ‘helok’ rupanya bak kata Sarah, Haru memang diminati ramai, terutamanya pembaca perempuan. Setiap kali novel Haru baru diterbitkan, pasti sesi book signing akan penuh dengan para peminat. Dah macam artis!

“Haru tu pun handsome, kan? Bukan senang nak jumpa penulis novel handsome macam dia tu,” tambah Sarah.

“Mungkin sebab tu dia tulis genre thriller kut? Kalau dia tulis novel genre cinta yang tangkap leleh tu, aku pun tak boleh nak bayangkan. Macam tak sesuai aje,” balasku dan tergelak kecil. Yalah, kalau muka manly macam tu tapi tulis novel cinta yang tangkap leleh, memang macam tak sesuai rasanya.

“Aku dengar yang Haru tu civil law graduate dari overseas university. Mungkin plot cerita thriller macam tu makanan dia aje,” komen Sarah.

“Kau ni memang reporter sejati, kan? Tahu aje semua benda. Apa aje info yang kau tak pernah tak tahu, kan?”

Terus Sarah tergelak-gelak.

“Ada jugak yang aku tak tahu. Contohnya bila kau nak ada boyfriend.”

“Sarah!” Sarah ketawa seronok.

“Bercakap pasal Haru ni, aku tak pernah baca lagi novel dia sebab aku tak minat sangat dengan genre thriller ni.” Aku terus menukar topik sebelum Sarah menyambung plan jodohnya untuk aku pula.  

“Dia banyak buat cerita yang bertemakan psychopath, serial killer dan yang sewaktu dengannya. Kalau kau baca novel dia, kau boleh rasa macam apa yang dia garapkan tu memang real sangat. Dia describe in detail satu per satu.”

Pantas aku menggelengkan kepala. Memang taklah kalau aku nak baca novel macam tu, sebab daya imaginasi aku ini sangat tinggii. 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JUN 2020

ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment