Wednesday, 17 June 2020

Encik Ulat Buku - Bab 9

SESI interviu tamat apabila jam menunjukkan hampir pukul 1 tengah hari. Itu pun Aariz meminta sesi photoshoot disambung ke hari lain di studio Ideafly Group sahaja memandangkan dia perlu menghadiri lunch appointment pada pukul 2 petang pula.

“Cik Eliya.”

Aku menoleh dan kelihatan Aariz sedang tersenyum memandangku.

“I nak tanya sikit.”

Saat ini aku sudah berdebar-debar. Nak tanya apa pulak ni? Aku mencari bayang Aydin tetapi lelaki itu sudah tidak kelihatan di dalam bilik mesyuarat ini.

“Betul ke apa yang Aydin cakap tadi?” soal Aariz.

“Hah? Apa yang Aydin cakap?” soalku pantas. Aydin cakap apa? Cakap yang dia tahu aku stalk dia dalam LRT? Atau Aydin cakap yang konon-kononnya aku ni wanita idaman dia?

Aariz terus ketawa tanpa menjawab soalanku. Eloklah kan, yang ini suka sangat ketawa dan yang kembar seorang lagi susah nak ketawa. Complete each other sangat!

“Macam mana you dengan Aydin boleh kenal? Setahu I, Aydin tu rutin dia setiap hari macam robot. Dia memang akan pergi kerja dan balik kerja aje. Macam mana pulak dia boleh kenal dengan you?” Aariz pandang lama wajahku.

Ah, sudah! Ni siapa yang interviu siapa sebenarnya?

Errr... bukan Encik Aariz kata ada lunch appointment pukul 2 petang ke?” soalku, cuba mengalihkan perhatian Aariz sambil menghantar isyarat S.O.S kepada Neo, tetapi si budak bertuah itu sedang asyik dengan telefon pintarnya.

“Sekarang baru pukul 1 petang. So, sempat lagi kalau I nak berbual sekejap dengan you,” jawab Aariz.

Aku telan liur dan mula cuak.

“Cik Eliya...”

“Hah?”

“Cik Eliya tak balik lagi?” Kali ini Aydin muncul sambil memandang aku dan Aariz dengan pelik.

“Kau ni Aydin, gaya bercakap tu macam nak menghalau Cik Eliya ni aje,” balas Aariz dengan senyuman yang tersungging di hujung bibir.

“Neo, jom balik!” Aku menggamit Neo yang masih duduk.

“Eh, Kak Yaya! Sorry, lupa pulak nak kena balik.” Neo bangun sambil sengih dan terus bersalam dengan kedua-dua lelaki itu sebelum laju sahaja dia keluar dari bilik mesyuarat.

Eh, budak bertuah ni! Dia saja tinggalkan aku ke apa?

“Relaks, Yaya. Walaupun Aydin tak cerita in detail dekat I, tapi sebagai his twin brother, I boleh rasa apa yang dia rasa,” bisik Aariz perlahan.

“Rasa apa?” Tidak sempat aku berbisik kerana Aydin sudah terlebih dahulu menyoal Aariz.

“Rasa nak makan cendol kat bawah tu, tapi sayangnya tak sempat nak bawak Yaya ke situ sebab I nak kena gerak dah. Maksudnya you kena datang sini lagi, Yaya. Baru I boleh bawak you rasa cendol sedap tu.” Aariz tersenyum selamba. Selamba jugak dia memanggilku dengan nama ‘Yaya’ dan bukannya ‘Cik Eliya’.

“Aku gerak dulu. Jumpa kau kat rumah malam nanti.” Aariz menepuk perlahan bahu Aydin.

“Kejap, awak tak habis cakap lagi.” Aku menahan Aariz.

“You kena datang sini lagilah nampaknya, Yaya.” Aariz senyum senget sebelum berlalu pergi.

Aku memusingkan tubuh memandang Aydin yang sedang berdiri memeluk tubuh memandangku.

“Awak cerita apa dekat Aariz?” soalku geram. Siapa kata geng lelaki tak kuat ‘membawang’? Ni ada buktinya di depan mata aku.

“Cerita apa pulak?” soal Aydin.

Aku ketap bibir. Dia ni tak tahu atau pura-pura tak tahu?

“Ohhh... yang pasal LRT tu ke? Ataupun berkenaan yang awak ni...”

“Tak payahlah ulang balik!”

Aku nampak Aydin cuba menahan senyum.

“Saya gurau ajelah, Yaya,” balas Aydin tenang. Amboi, yang ini pun dah pandai panggil aku ‘Yaya’ jugak?

“Gurau?”

Yup, gurau. Unless memang betul yang awak memang stalk saya dekat dalam LRT. Adakah disebabkan awak segan dengan saya kerana kes hari tu, awak dah tak naik LRT?”

“Bukanlah. Mana ada saya stalk awak! Tolong jangan perasan sangat, boleh tak?”

Semakin melebar senyum Aydin membuatkan aku rasa seram sejuk. Rasanya lebih elok kalau dia tak tersenyum kut.

“Yalah,” jawabnya pendek dengan senyuman yang masih bersisa.

“Yalah? Apa yang yalah?”

Aydin hanya menggeleng perlahan sambil tersenyum lagi. Ya Allah, pening kepala aku setengah hari ni!

 

“KAK, SAYA nak tanya sikitlah,” tutur Neo sebaik sahaja kereta bergerak perlahan-lahan meninggalkan tempat parkir berdekatan dengan bangunan tiga tingkat ini.

“Nak tanya apa pulak ni?” balasku dengan mata yang terpejam.

“Akak dengan Dr. Aydin tu dah kenapa?” soal Neo.

Terus mataku celik.

“Kenapa apa?” soalku kembali.

“Dia sebut pasal LRT tadi. Memang betul ke akak stalk dia? Sebab tu ke akak suka tulis diari dalam LRT? Dan sebab tu jugak ke dia sebut nama akak bila akak tanya siapa dream girl dia tadi? Kiranya akak memang dah kenal dialah? Tapi kalau akak kenal dia, kenapa dia macam terkejut nampak kita waktu kat lecture hall minggu lepas?”

Aku mengeluh perlahan. Neo ni sepatutnya jadi reporter dan bukannya photographer. Banyak sangat soalannya! Tak berhenti pulak tu.

“Mana ada akak stalk dia. Lagipun, LRT tu bukannya dia punya pun. LRT tu kan pengangkutan awam.” Aku sudah memejamkan mata semula.

“Sebab tu ke akak dah tak naik LRT pergi kerja sekarang ni? Sebab Dr. Aydin tu ke?”

Aku kembali mencelikkan mata dan memandang Neo yang sedang memandu. Laaa... tak habis lagi ke?

“Bukanlah. Esok akak akan naik LRT macam biasa sebab abang akak nak kena pergi offshore balik. Puas hati?” balasku geram.

“Marah nampak? Mak saya kata, marah-marah ni maksudnya betul. Ni mak sayalah yang kata, bukan saya. Kalau akak marah, maksudnya macam akak marah dengan apa yang mak saya cakap,” usik Neo.

Terus aku menjeling Neo dari sisi. Seronok pulak dia mengenakan aku.

No comments:

Post a Comment