Sunday, 28 February 2021

Puppy Love - Bab 1


ANAK mata Wardah mengintai skrin iPhone di atas meja yang baru sahaja menerima notifikasi WhatsApp baru.

Mimi created group “Majlis Reunion-SK Sentul 1”

Mimi added you.

“Eh?” Terus iPhone yang sejak tadi dibiarkan di atas meja dicapai dan jari-jemari mula menatal skrin telefon pintar dengan dahi yang berkerut.

Assalamualaikum dan salam sejahtera

geng UPSR 2004 SK Sentul 1!

Reunion kali ketiga kita datang lagi.

Insya-Allah kali ini kita target reunion

besar-besaran supaya ramai yang dapat hadir.

Tarikh: 20 Jun 2020

Hari: Sabtu

Masa: 8.30 PM – 10.00 PM

Venue: Impiana Hall 1, Impiana Hotel KLCC

Kindly RSVP di sini untuk confirmkan attendance

 dan no of pax. Thanks dan jumpa korang nanti!

“Alya.” Terus disinggung Alya yang asyik menonton drama Money Heist yang sedang popular di Netflix.

“Kejap, kejap. Kau kena tengok macam mana The Professor tengah rancang next plan mencuri ni. Diaorang nak rompak bank pulak,” Alya masih pegun di depan Smart TV bersaiz 40 inci itu.

“Kenapa tiba-tiba sekolah rendah kita nak buat majlis reunion pulak ni?” Wardah masih meneruskan soalan.

“Eh, kau tak tahu ke?” Kali ini Alya menarik remote TV dari bawah bantal sebelum menekan butang pause.

“Apa?”

“Kan Mimi dah start heboh pasal reunion ni dalam grup WhatsApp sekolah? Reunion ni on jugak sebab ramai confirm akan datang.”

“Ya ke?” Wardah kembali mencari grup WhatsApp SK Sentul 1. Bergerak-gerak anak matanya membaca senarai perbincangan dalam grup WhatsApp tersebut.

“Itulah, kau tu malas nak ambil port kan? Tak pun jadi silent reader aje.” Alya menggelengkan kepala perlahan. Dia dah masak sangat dengan perangai Wardah.

“Aku malas baca sebab kadang-kadang topik merepek yang diaorang bincangkan dalam grup tu.”

“Yalah tu.” Alya menekan butang play semula dan fokusnya kembali ke skrin leper televisyen.

“Kenapa tiba-tiba ramai pulak yang nak pergi reunion kali ni?” soal Wardah sambil ibu jari kanan laju menatal skrin iPhone.

“Entah, rindu kut.”

“Kalau aku tak pergi boleh tak?”

Terus Alya menoleh ke arah Wardah yang nampak gelisah itu. Dia tahu sangat kenapa si bff ini gelisah semacam.

“Kau tahu kenapa mat salih panggil cinta monyet ni puppy love in English?” soal Alya tiba-tiba.

“Apa kaitan soalan kau dengan soalan aku tadi?” balas Wardah geram. Lain yang ditanya, lain yang dijawab oleh Alya.

“Ada kaitannya. Mat salih panggil puppy love sebab cinta monyet budak-budak ni comel aje macam comelnya si puppy tu. Tapi, dalam kes kau ni...”

Jeda seketika dan seraut wajah berkerut milik Wardah dipandang lama.

“Bukan puppy love dah sebab tak comel langsung! Kau masih tak boleh move on lagi daripada si Firhan tu ke, War?”

Wardah pantas menggelengkan kepala. Dia bukannya kemaruk sangat pun! Dia dah lama move on cumanya dia rasa tak selesa dan dia tak nak letakkan diri dia dalam keadaan tidak senang duduk nanti.

“Perkataan tak boleh move on tu is too deeplah, Al. Aku bukannya tak boleh move on tapi...” Sekali lagi Wardah mengeluh. Dilema betul perasaan dia sekarang ni.

“Teringat? Ke terkilan? Ke kau marah lagi?”

“Entahlah. Mixed feelings.”

“Aku sampai sekarang tak faham kenapa wife Firhan tu sama nama Warda jugak macam nama kau. Yalah, walaupun wife dia Warda tanpa huruf h tapi masih bunyi sebutan tu sama. Aku agak dia tu sebenarnya masih sayangkan kau tapi sebab kau memang tak nak bagi second chance kat dia, jadi dia kahwinlah dengan perempuan yang sama nama dengan kau.”

Terus Wardah ketawa. Bukan main senang lagi konklusi seorang Alya Najihah.

“Tak baiklah kau ni, Al. Dia dah ada anak sorang dah pun. Gaya kau bercakap ni macam Firhan kahwin tangkap muat aje.”

Then? Yang kau berat hati sangat nak pergi reunion sekolah rendah kita tu dah kenapa?” soal Alya tidak puas hati.

“Mana ada orang buat reunion untuk zaman sekolah rendah dah, Al.”

“Kau ni takut nak pergi kan sebenarnya? Takut kau tak boleh berdepan dengan Firhan dan bini dia nanti?” Alya tembak tepat.

Wedding dia dulu pun aku boleh pergi dan siap tangkap gambar atas pelamin lagi. Setakat nak berdepan lagi dengan Firhan dan wife dia tu tak ada hal sangat,” balas Wardah walaupun dia sendiri ragu-ragu.

“Dah tu? Apa masalahnya lagi?”

“Masalahnya, aku tak nak letakkan Firhan dalam situasi yang serba salah. Dahlah nanti bini dia ada sekali nanti.”

“Maksud kau?”

“Ada budak-budak sekolah kita yang tahu aku dan Firhan pernah bertunang tapi putus.”

So?” Alya masih tak faham apa yang Wardah risaukan sangat.

For sure akan ada orang yang tanya nanti. Aku tengok Didie dah RSVP. Kau taulah mulut Didie tu macam mulut mak cik bawang versi puaka punya. Aku tengok video dia interview artis pun aku dah rasa scary mary. Soalan keluar daripada mulut dia memang tak ada filter langsung.”

Terus Alya ketawa.

For once, boleh tak kau jangan risaukan pasal orang lain? Kau fikir untuk diri kau sendiri dahlah, War. Kalau Didie tu tanya banyak-banyak, kau cakap ajelah yang kau reject si Firhan tu sebab perangai tak semenggah. Senang cerita.”

“Eh, kau ni!”

Alya ketawa lagi. Tahu sangat yang Wardah tak akan ikut cadangan dia.

“Dah tu, pergi jelah.”

“Nanti awkwardlah, Alya.”

“Susah-susah, kau upah boyfriend sehari untuk temankan kau pergi majlis reunion tu. Gerenti Didie takkan tanya apa-apa pasal kau dengan Firhan dah.” Terus ringan tangan Wardah menampar belakang Alya.

“Cakap tak guna akai betullah kau ni. Kau ingat ni macam nak upah orang jahit baju kurung ke? Jahit baju kurung pun tak dapat siap satu hari tau!”

“Apa pulak tak dapat? Kat Vietnam tu elok je sehari dah siap.”

“Alya!”

Alya gelak lagi.

“Kau pun nampak yang Firhan dah RSVP kan? Kau bayangkan kalau kau tak nak pergi, mesti orang lain akan ingat kau takut nak berdepan dengan Firhan disebabkan kau masih tak boleh move on daripada dia. Memang seronoklah Didie tu mengorek pasal kau daripada Firhan nanti.”

“Psikonya kau ni!”

“Baik aku psiko kau sekarang daripada Didie yang psiko kau,” balas Alya bersahaja sambil membuka plastik pembalut coklat Cadbury.

“Jadi, aku kena pergilah ni?” Wardah melepaskan keluhan. Kali terakhir dia berjumpa dengan Firhan sewaktu majlis perkahwinan lelaki itu 2 tahun yang lepas. Kalau diingatkan cara lelaki itu menjemput dia memang menyakitkan hati betul.

“Kena. Wajib. Kalau kau tak nak pergi, aku yang akan heret kau pergi.” Alya mematahkan kepingan Cadbury dan menghulurkan kepada Wardah yang nampak gelisah.

“Aku menyesal betullah pergi update relationship status dekat Facebook dulu. Sekarang ni memang makan diri sendiri balik. Barulah aku faham kenapa Islam minta kita rahsiakan pertunangan dan menghebahkan perkahwinan.”

“Benda dah jadi, War. Nak menyesal pun tak guna. Yang penting sekarang ni kau kena tunjukkan dekat diaorang yang kau happy je dengan hidup kau sekarang. Kahwin atau belum kahwin lagi; bukan jaminan untuk kau happy.”

Perlahan-lahan Wardah mengunyah kepingan Cadbury sambil kembali membaca mesej Firhan dalam senarai RSVP dalam grup WhatsApp majlis reunion itu:

Firhan & isteri.

No comments:

Post a Comment