Sunday, 28 February 2021

Puppy Love - Bab 2


“MIR, dengar cerita untuk projek baharu kat Pengerang tu korang dah hire consultant team dengan kontraktor?” tegur Wardah sebaik sahaja ternampak kelibat Amirul atau lebih mesra dipanggil sebagai Mir itu lalu di hadapan workstation.

“Haah, Wardah. Ni kejap lagi ada pre-construction meeting dengan both consultant dan kontraktor,” jawab Amirul. Sempat lagi dia singgah di hadapan workstation Wardah.

“I dengar consultant being hired ni memang new consultant kita ya?” soal Wardah dan berdiri memegang muk Spiderman merahnya.

“Ya, dari Archsigno. By the way, nanti you yang akan tengok project accounting side kan?”

“Macam biasalah. Korang menghadap lagilah muka I sampai siap projek ni,” gurau Wardah. Amirul tergelak kecil.

“I kena gerak dulu sebab miting buat di Tower 1 pula.

Apa-apa nanti I roger.” Kelam-kabut Amirul meninggalkan workstation Wardah dan membawa langkah ke pintu keluar.

Baru sahaja Wardah mahu melangkah ke pantri, anak matanya menangkap mesej WhatsApp daripada adiknya, Wafia. 

Along, mama pesan minta tolong belikan

Spageti dengan Sos Prego Tradisional

dekat Cold Storage.

Muk Spiderman yang sejak tadi dipegang sudah diletakkan semula di atas meja. IPhone berwarna hitam itu dicapai.

Mama nak masak spageti untuk breakfast

esok ke?

Budak kecik tu nak makan spageti tiba-tiba.

Kemain dia demand macam-macam dengan

mama.

Wardah tergelak sendiri. Budak kecik a.k.a. Wadya, adik bongsunya yang sedang menghabiskan summer break di rumah itu memang manjanya mengalahkan budak-budak walaupun umur sudah 21 tahun.

Nanti along singgah beli lepas kerja.

Muk tadi diambil dan langkah kaki dibawa ke pantri.

 

“NAAIL!

Suara Dani yang memanggil itu membuatkan tangan yang sedang menyumbat planner dan Macbook ke dalam beg Targus hitam itu terhenti.

“Aku macam kena patah balik ofis je ni. Bos panggil pulak sebab ada Ad Hoc meeting yang tak boleh tunggu pagi esok.” Beritahu Dani dengan muka tidak puas hati.

“Memek muka kau tu jujur betul,” usik Naail dan tangan menarik zip Targus.

“Aku tanya juga apa yang penting sangat sampai tak boleh tunggu esok tapi bos aku tu kata, nanti aku sampai dia akan beritahu. Dahlah timing macam ni memang masaklah aku kalau nak patah balik ke Damansara dari KLCC ni. Kau rasa aku ada masa untuk sakit kepala?”

“Makanlah Panadol Actifast!” Tergelak-gelak Naail sambil bahu Dani ditepuk perlahan.

“Sengal!”

“Aku nak solat asar dulu kat surau bawah. Kau ni terus gerak balik ofis ke macam mana?” soal Naail dan jam Fossil di tangan kanan ditilik.

“Solat dululah. Takut tak sempat pulak nanti. Lagipun biarlah bos aku tu belajar erti kesabaran sikit.”

 

“OKEY KE ni?” Tiba-tiba Amirul datang menegur apabila dia perasan yang sejak tadi wakil konsultan dari Archsigno itu nampak sibuk berbincang selepas mesyuarat antara mereka tamat. Rasa-rasanya dia dah terangkan dengan sehabis baik sewaktu mesyuarat tadi. Pihak kontraktor yang dilantik pun sudah meminta diri sebentar tadi.

“Eh, tak ada apa. Dani ni kena balik ofis pula,” jawab Naail apabila dia nampak yang riak wajah Amirul nampak risau.

“Balik Damansara?”

“Naail, kau tengok. Amirul pun tayang muka macam muka aku tadi.”

“Pekerja kesayangan bos memang selalu macam ni, Mirul,” usik Naail sebelum dia ketawa lagi.

Anyway, we will liaise with each other lagi banyak lepas ni. Looking forward to work with you guys,” ucap Amirul dengan mesra.

“Insya-Allah. Harap semuanya berjalan lancar nanti,” balas Naail.

“Aminnn!” Amirul tersenyum memandang Naail yang berkemeja berwarna biru lembut itu.

“Jumpa lagi nanti.” Naail bersalaman dengan Amirul sebelum dia menggalas beg Targus hitam di bahu.

 

SEBAIK SAHAJA sampai di tingkat bawah, Wardah berdiri di tengah-tengah ruang yang memisahkan kedua-dua Menara Berkembar Petronas ini. IPhone dari dalam tas tangan Kate Spade berwarna merah jambu itu ditarik keluar. Tertera reminder di skrin telefon pintarnya.

‘Oh, ya! Kena beli spageti dengan sos Prego.’

Jari-jemarinya lincah mencari nama Alya daripada senarai kenalan.

“Alya, semalam kau cakap Jumaat nanti nak buat baked mac and cheese kan? Kau ajak betul-betul ke atau ajak-ajak ayam ni?” soal Wardah apabila salamnya dijawab oleh Alya. Disebabkan rakan serumah Alya sering outstation maka selalu juga Wardah bermalam di rumah sewa Alya sambil menemani si rakan baik seperti malam tadi.

Shooh ayam, shooh! Hah, aku dah halau dah ayam tu,” usik Alya di hujung talian sambil diselangi ketawa.

“Loyar buruk pulak! Aku nak singgah Cold Storage ni. Boleh terus beli bahan sekali. Nanti hari Jumaat aku bawa pergi rumah kau.”

“Cun! Eh, kau dah RSVP dalam grup WhatsApp reunion tu ke belum?”

“Aku tengah fikir lagi ni.”

“Laaa... kau fikir apa lagi? Aku ingatkan malam tadi kau dah habis fikir dah? Benda simple macam ni kau tak payah fikir banyak kali. Tak sesusah paper Chartered Accountant kau tu, War!” Alya di hujung talian sudah membebel.

“Ala, Mimi kata dia tunggu sampai lusa untuk final confirmation kehadiran. Jadi aku ada sampai esok untuk fikir.”

“Daripada kau fikir sampai esok, eloklah kau cari boyfriend untuk sehari kau tu secepat mungkin. Itu lagi penting untuk selamatkan kau daripada dihujani soalan-soalan panas Didie.”

“Tak senonohlah kau ni. Aku dah kata dah, jangan tengok banyak sangat drama. Kau tu suka terbawa-bawa sampai ke alam realiti,” usik Wardah dan dia boleh membayangkan Alya yang pastinya sedang mencebik.

“Kalau kau tak RSVP juga esok, nanti aku yang akan tolong letakkan nama kau,” ugut Alya.

Wardah hanya ketawa. Dia memang nak RSVP pun dalam grup WhatsApp tersebut tapi tunggu dululah.

“Al, aku kena gerak dulu ni. Nak singgah Cold Storage lagi.”

“Yalah, yalah. Aku jumpa kau Jumaat nanti.”

IPhone disimpan semula ke dalam tas tangan dan dia mengatur langkah ke arah eskalator.

“Wardah?”

Suara lelaki asing yang tiba-tiba menegur dari sisi kanan Wardah membuatkan langkah kaki yang tadinya laju melangkah terus terhenti sebelum menoleh ke arah tuan punya suara.

“Betullah, Wardah. Ingatkan salah orang tadi,” sapa lelaki berkemeja biru yang sedang tersenyum menampakkan sepasang lesung pipit di pipi.

Spontan Wardah mengecilkan anak mata dan merenung lelaki di hadapannya ini. Setakat kawan-kawan lelaki yang dia kenal, rasanya tak ada yang berlesung pipit macam ni kecuali...

Terus sepasang mata Wardah yang tadinya mengecil, membulat tanpa sengaja dengan tangan kanan spontan menekup mulut sendiri yang sudah ternganga.

“Naail Anas?”

“Hai, Wardah. Long time no see. Ingatkan dah lupa.”

Wardah koyak sengih tanpa ditahan. Macam manalah dia nak lupa kalau lelaki yang sedang berdiri di depan dia sekarang ialah puppy love zaman sekolahnya.

No comments:

Post a Comment