Wednesday, 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 2


Untuk memiliki cinta, bukan sekadar dengan kata-kata... 

 

QAYYUM duduk di kerusi yang disediakan di ruang lobi bersama tiga kuntum bunga lili dalam pegangan. Tidak tahu bunga apa yang disukai Syifaa, jadi dia main rembat sahaja. Sesekali senyuman manis terukir di bibirnya. Sambil menunggu si gadis, kotak fikirannya mengimbas kembali pertemuan mereka serta lamarannya semalam. Mengingatkan itu, dia ketawa halus.

Gilakah dia? Mungkin! Sanggup melamar gadis yang hanya beberapa jam dikenalinya. Entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa ringan saja lidahnya melamar Syifaa. Apatah lagi berusaha meyakinkan gadis itu yang dia benar-benar memaksudkan apa yang dilafazkannya.

Tiba-tiba dia menggeleng. Apa yang dia tahu, melihat wajah gadis itu saja hatinya tenang. Kesakitan ditinggalkan Zahnita langsung tidak berbekas. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu. Bercinta sepenuh hati dengan Zahnita namun pemergian gadis itu langsung tidak diratapinya. Sepertinya cinta yang diagungkan selama ini hanyalah mainan mulut.

Nur Syifaa Zulaika. Cahaya penyembuh! Adakah disebabkan itu dia rasa senang dengan Syifaa? Nama gadis itu sangat sesuai dengan perwatakannya. Wajah yang lembut, tutur kata yang lembut walaupun ada ketegasan dalam bicaranya.

Syifaa...

Berulang kali nama itu diseru sejak semalam. Ilmu apakah agaknya yang gadis itu pakai sehingga memukaunya sehingga begini sekali?

Bosan menunggu, Qayyum melihat sekilas jam di pergelangan tangan. 10 pagi. Takkan Syifaa tidak turun bersarapan? Dipandang lif yang terbuka. Satu per satu wajah yang keluar dari perut lif diperhatikan. Tiada langsung wajah Syifaa. Keluhan dilepaskan.

Baru saja dia hendak bangun untuk ke kaunter pertanyaan, dia disapa seorang lelaki.

“Mr. Qayyum?” soal lelaki itu.

Yes,” jawab Qayyum dengan kerutan di dahi.

I have something for you. This is for you.” Lelaki itu menghulurkan kotak baldu merah berserta sekeping kad.

From whom?”

She said, you will know after see this,” ujar lelaki itu selajur berlalu meninggalkan Qayyum.

Berkerut dahi Qayyum. Siapa bagi ini? Dibelek atas bawah. Kotak baldu itu dibuka. Terserlah sebentuk cincin berbentuk bintang yang dikelilingi batu permata halus. Ini cincin yang dibelikannya untuk Zahnita. Dan semalam... dia telah menyerahkan cincin ini kepada Syifaa.

Adakah ini bermakna gadis itu nekad menolak lamarannya? Tangan naik menyentuh dada. Kenapa kesakitan ini lebih sakit daripada penolakan Zahnita?

Qayyum melabuhkan duduk di sofa. Bunga lili dipandang sepi sebelum dicampak ke atas meja kopi di hadapannya. Dua kali dia ditolak. Namun penolakan kedua lebih menyakitkan. Tercalarkah egonya atau apa?

Otak penuh memikirkan hatinya yang lebih terkesan dengan penolakan Syifaa. Kertas yang disertakan sekali bersama cincin itu dibuka. Dia yakin itu tulisan Syifaa. Dan dia juga yakin, gadis itu baru saja menulisnya. Mungkin pagi tadi. Dakwat pen masih belum kering sepenuhnya atau ini titisan air mata si gadis?

Satu per satu bait patah yang terlakar pada dada kertas putih itu dibaca dengan teliti.

Assalamualaikum, dear Qayyum...

Firstly, I’m so sorry. Sejujurnya saya tak tahu macam mana nak mulakan semua ini. Bukan niat saya nak menolak lamaran awak. Bukan juga niat saya nak calarkan ego awak. Apa yang saya buat ni bersebab, Qayyum. Sebab yang saya yakin awak takkan mahu tahu pun. Dan... saya juga tak mahu terluka lagi setelah hati saya berharap pada awak.

Ya, saya tahu tak adil pada awak sebab saya tak ceritakan hal sebenar tentang diri saya untuk awak nilai sendiri. Saya belum kuat untuk membuka pekung di dada.

Kita andaikan begini saja. Jika suatu hari nanti... saya dan awak ditakdirkan berjumpa semula, masa itu... saya akan berterus terang dengan awak siapa saya sebenarnya. Tapi, saya benar-benar berharap kita takkan berjumpa lagi.

Awak lelaki yang baik, Qayyum. Dan selayaknya awak jumpa perempuan yang baik juga.

Pasal cincin tu, maaf... saya dah cuba. Muat dengan jari saya tau. I can’t help myself. Cincin tu cantik sangat, tapi sayang, it’s not for me. Hehehe...

Dan untuk terakhir kalinya, saya minta maaf sebab tak sempat ucapkan selamat tinggal. Saya takut saya lemah apabila awak merayu lagi. Awak lelaki yang charming. Hampir saja cairkan hati saya tau. Hehe...

Okaylah, I’ve got to go. Malaysia dah panggil saya. Sampai jumpa nanti. Take care!

With love,

Nur Syifaa Zulaika.

Qayyum melipat kembali kertas tersebut. Ini bermakna Syifaa sudah tiada di sini. Tangan naik meraup wajah. Helaan nafas kesal dilepaskan. Kenapalah semalam dia tak tergerak hati mahu bertanya selama mana gadis itu di Kota Paris ini? Bersama rasa kesal, hatinya memberontak.

“Sebesar mana rahsia awak Syifaa, hinggakan awak menolak saya? Rahsia apa yang awak sembunyikan? Syifaa, saya akan cari awak sampai jumpa. Dan saya harap masa tu awak akan tunaikan janji awak. Awak milik saya!” Qayyum nekad dia akan menjejaki Syifaa sehingga dapat. Kalau dulu dia sentiasa mencari alasan untuk tidak pulang ke Malaysia, kini dia sudah punya alasan untuk kembali ke sana.

Telefon di dalam poket seluar dikeluarkan. Laju dia mendail nombor seseorang.

“Ma, Qayyum nak balik Malaysia.” Talian dimatikan. Dia bangun meninggalkan ruang lobi hotel. Hatinya berbunga riang. Dia ada misi yang mahu dilaksanakan sebaik saja menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Syifaa, awak tunggu!” gumam Qayyum perlahan. Senyuman manis mekar di bibirnya. 

 

QAYYUM MENARIK nafas dalam. Sudah lama dia tidak menghirup udara bumi Malaysia. Kini, kerana seorang gadis kakinya kembali menjejak tanah air. Matanya melilau mencari kelibat mama. Hanya kepada wanita itu dikhabarkan kepulangannya. Hanya wanita itu yang menanti kepulangannya selama ini. Papa? Ada atau tidak dia, sama saja.

“Hai, my boy,” tegur seorang wanita bertubuh sederhana gempal. Laju Puan Balqis menerpa Qayyum dan memeluk erat tubuh sasa si anak.

“Mama...” seru Qayyum lembut. Dibalas pelukan mama mesra. Rindunya dia dengan pelukan ini. Bau mama, dia rindu sangat!

“Mama rindu anak mama ni,” luah Puan Balqis.

“Rindu mama juga,” ujar Qayyum bersama senyum manis.

“Jom.” Tangan anak terunanya ditarik.

Qayyum hanya mengikut langkah mamanya. Ditolak troli mengikut Puan Balqis.

“Ni, angah balik berapa lama?” soal Puan Balqis sebaik saja mereka masuk dalam kereta.

Hmm...” Qayyum ketuk dagunya, seolah-olah berfikir.

Boy!” Puan Balqis keraskan nadanya. Geram disakat si anak terunanya.

Meledak tawa Qayyum. Lama tidak mengusik Puan Balqis. Dia suka tengok mamanya marah.

“Angah balik untuk selamanya,” ujar Qayyum seraya memeluk bahu Puan Balqis.

Serious boy?” soal Puan Balqis tidak percaya. Bertahun dia cuba memujuk Qayyum pulang ke Malaysia, namun ada saja alasan yang diberikan. Apabila si anak beritahu mahu pulang, dia sangat gembira tapi sekarang dia berasa curiga. Adakah Qayyum telah berbuat sesuatu yang salah di sana?

“Mama tak suka ke angah balik?” tukas Qayyum berjauh hati.

“Eh, bukan macam tu. Cuma mama pelik. Ni... mulut mama ni dah berbuih pujuk angah balik, tapi langsung buat tak endah. Tapi kali ni... Hah, boy jangan cakap yang boy buat hal kat sana...” Puan Balqis menjeling tajam Qayyum di sebelah. Perasaan curiganya semakin kuat.

Meletus tawa Qayyum. Aduhai mama... tak pernah berubah! Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Tidak menjawab soalan Puan Balqis, dia membuang pandang ke luar tingkap. Sudah banyak perubahan di tanah airnya ini. Jalan juga sudah banyak jalan baharu.

5 tahun dia bertapa di Paris. Pada mulanya dia ke sana hanya untuk bercuti. Tapi setelah berjumpa kenalan lama yang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di sana, dia terus terima tanpa berfikir panjang. Takdir pula menemukan dia dengan Zahnita. Makin liatlah dia mahu pulang ke Malaysia.

Perancangannya, selepas Zahnita tamat belajar, mereka akan sama-sama pulang ke Malaysia dan memulakan kehidupan baharu di sini. Namun, segala perancangan berubah apabila Zahnita mendapat tawaran menjadi duta satu jenama di sana dan akhirnya... dia kembali ke Malaysia sendirian dan dengan tujuan yang berbeza.

Mungkin inilah hikmah gadis itu mengembara ke sana walaupun seketika dan mereka dipertemukan. Allah merapatkan hati mereka walaupun baru mengenali satu sama lain. Dan kini dia berada di Malaysia hanya kerana mahu menjejaki keberadaan Nur Syifaa Zulaika.

Dia tidak tahu keberhasilan apa yang akan diperoleh. Namun dia tidak akan berputus asa. Biarlah orang kata mencari orang hidup ini lebih susah daripada mayat, dia tetap akan berusaha.

Syifaa...

Mengingati nama itu saja hatinya sudah berbunga. Rindunya dia mahu menatap bening wajah gadis itu. Sepasang mata yang sering kali berkaca. Jika sekali lihat sepertinya mata itu mahu menangis tetapi tidak pun.

Haih! Soalan mama tak jawab tapi tersengih-sengih. Boy okey tak ni?” soal Puan Balqis risau dengan olah si anak. Mulalah otaknya berfikir yang bukan-bukan.

Qayyum tersenyum. Faham sangat kerisauan Puan Balqis. Dia memang buang tabiat. Ini kalau mama tahu dia tengah angaukan perempuan yang dia kenal tidak sampai sehari, mahu pedih telinganya mendengar bebelan mama.

Tapi dia yakin, kalau mama melihat Syifaa, pasti mama akan turut jatuh suka pada pandangan pertama. Wajarkah gadis berwajah lembut itu ada menyimpan rahsia yang teruk?

“Tengok! Bukan dia nak jawab soalan mama, tapi duk tersengih-sengih lagi. Kita pergi klinik nak tak boy?” ajak Puan Balqis.

“Klinik? Buat apa, ma?”

Check otak boy. Manalah tahu ada gegaran ke apa ke? Asyik menyengih aje dari tadi. Risau tau mama.”

“Ya Allah, mama... angah okey, ma. Angah sedang menikmati keindahan Malaysia. Akhirnya selepas 5 tahun dapat juga angah sedut udara sini lagi. Dan ya, udara yang tercemar.” Qayyum mencebik selamba.

“Kalau angah okey, tak apa. Jangan lupa kalau ada rasa pening ke rasa nak muntah ke, beritahu mama,” pesan Puan Balqis. Dia meneruskan pemanduannya dengan berhati-hati.

Syukur andai benar Qayyum akan balik untuk selamanya. Qayyum satu-satunya anak lelakinya. Lagi dua anaknya perempuan. Kakak dan adik kepada Qayyum.

Dalam terpaksa Qayyum mengangguk juga. Mama tak pernah berubah. Kalut semedang saja. 

 

No comments:

Post a Comment