Wednesday, 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 1


Di sana sebuah kedukaan, di sini kita dipertemukan... 

 

LANGKAH diatur menyusuri jalan ke Menara Eiffel. Jika ada waktu terluang pasti dia akan melepak di sini, tempat kemegahan warga Kota Paris dan juga pelancong dari serata dunia. Berada di sini nyata menjemput sedikit rasa tenang dan mengubati hati dia yang terluka.

Anak mata mengitari segenap pelosok monumen dan landskap yang terdapat di situ. Rata-rata pengunjung yang datang ke sini pasti bersama pasangan sama ada kekasih atau suami isteri. Melihat kebahagiaan yang terpancar di wajah masing-masing, dia merasa iri hati. Menilik diri, dia nekad menjejakkan kaki ke tanah Paris dek hati yang terluka kerana cinta.

Pelik bukan? Sepatutnya dia boleh saja memilih destinasi lain bagi mengubati kekecewaannya, tetapi hatinya meronta-ronta mahu ke sini juga. Entah apa yang ada di sini pun dia tidak tahu. Hatinya bertambah rawan adalah melihat pasangan-pasangan bahagia di sini.

Tubir mata mula terasa panas. Dikerdipkan mata beberapa kali agar empangan itu tidak melimpah. Jika melimpah pun setidaknya di sini. Di bumi asing.

Rengusan terzahir di rengkungnya. Dada memberat dengan rasa benci dan sakit hati yang melampau. Namun tiada apa yang mampu dia lakukan. Siapa dia untuk memaksa lelaki itu untuk terus bersamanya? Memilih dia sedangkan dirinya...

Tapi dia tak minta dirinya begini. Dia tidak pernah mahu takdir kejam itu terjadi. Mengapa lelaki itu tidak mahu mengerti? Segala luahan cinta lelaki itu kepadanya selama ini hanya mainan di bibir semata! Memberikan dia harapan. Membiarkan dia menganyam mimpi yang akhirnya dia tersungkur sendiri.

Tanpa penjelasan dia dijatuhkan hukuman lagi. Sekali lagi oleh manusia. Mungkin itulah takdir hidup seorang Nur Syifaa Zulaika, menjadi papan badik menampung dosa orang lain.

Anak mata terpaku melihat Menara Eiffel yang tersergam indah pada waktu malam. Patutlah waktu malam lebih ramai orang berkunjung ke sini. Tidak puas dia menatap keindahan buatan manusia ini. Pemandangan pada waktu siang dan waktu malam sangat berbeza. Jika waktu siang sudah terserlah keindahannya, tetapi malam lebih-lebih lagi.

‘Alangkah indahnya jika cinta baharu aku berada di sini,’ usik hatinya.

‘Baru ditinggalkan seminggu yang lepas, kau dah mahu mencari cinta baharu, Syifaa? Kau tak takut kau akan dilukai lagi dek masa lalu kau?’

Keluhan terzahir di bibirnya. Masa lalu yang bagaikan detik bom menunggu masa untuk meletup. Silap dia kerana berahsia. Sepatutnya dia jelaskan semuanya kepada lelaki itu.

‘Namun kau yakin ke Syifaa yang dia takkan curang? Yang dia akan setia berpegang pada janjinya?’

‘Jika lembu berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Dan janji itu tak semua manusia mampu memegangnya untuk ditunaikan tetapi untuk dimungkiri juga.’

Perasaan Syifaa terganggu apabila telinganya menangkap suara yang sedang bertingkah. Laju saja kepala menoleh ke kiri dan ke kanan mencari arah suara tersebut. Rupanya pasangan itu berada di belakang pokok yang dia duduk ini. Jarak mereka tidaklah jauh sangat. Butir bicara kedua-duanya pun hanya kedengaran sayup-sayup di telinganya.

Dia melihat gadis berambut perang paras bahu itu berlalu pergi. Dan si jejaka pula termangu. Riak wajah lelaki itu mempamerkan apa yang dirasakan tika itu. Apakah cintanya ditolak atau lamarannya ditolak?

Anak mata Syifaa jatuh pada kotak di tangan lelaki itu. Sahih! Lamaran ditolak.

‘Nampaknya kita senasib, bro. Awak ditinggalkan kekasih dan saya... ditinggalkan tunang!’

Tanpa diduga mata sayu si jejaka bertembung pandang dengannya.

Gulp!

Aduhai, kantoi sudah! Laju Syifaa memalingkan pandangannya ke arah lain. Hangat terasa pipinya. Janganlah lelaki itu salah sangka dan beranggapan dia mahu menyibuk. Itulah... mahu mengintai tapi tidak beragak langsung!

Skodeng ek?” tegur si lelaki. Dilabuhkan duduk di sebelah gadis yang melihatnya tadi. Malu pun ada sebenarnya apabila ada yang ternampak keadaan dirinya tadi. Tertangkap pula dengan orang perempuan. Jatuh sahamnya sebagai lelaki rebutan ramai.

Syifaa gigit bibir bawah. Perasaan malu usah cakap lagi. Kalau boleh ditunjuk, pipinya sudah setebal simen konkrit.

“Mana ada!” ujarnya, cuba berlagak tenang. Jaket ditarik lalu dibawa memeluk diri sendiri.

Haih, nak nafikan lagi? Well, takpe. Saya tak kisah pun. Saya Qayyum. Awak?” ujar Qayyum menghulurkan salam perkenalan. Bukan mahu menggatal, sekadar menceriakan hatinya yang gundah saat ini.

Syifaa berpusing ke arah lelaki itu. Curiga. Kenapa mahu berkenalan dengannya?

“Eh, jangan salah faham. Awak orang Malaysia, kan? Saya pun sama. Tak salah kita berkenalan, kan?” Qayyum pantas membetulkan tanggapan si gadis.

Erk, dia tersalah sangka lagi!

“Syifaa. Nur Syifaa Zulaika. Tapi mana awak tahu saya orang Malaysia?” soal Syifaa dengan kerutan di dahi.

“Tu, ada tulis kat dahi awak,” tutur Qayyum dengan sengih lebar.

“Hah?” Syifaa sentuh dahinya.

Meletus tawa Qayyum. Aduhai... lawak... lawak. Tidak salah perkiraannya untuk menegur gadis ini tadi. Boleh menjadi hiburan ketika hatinya sedang gundah.

“Hei, awak main-main kan saya!” ujar Syifaa dengan suara tertahan. Baru perasan yang dia diperbodohkan lelaki itu.

“Siapa suruh awak percaya!” jawab Qayyum dalam sisa tawa yang masih ada.

Haih, mudah sangat dia percaya cakap orang asing! Seketika kemudian, Syifaa terpaku melihat wajah yang tadi mendung kini tersenyum manis kepadanya. Kacak! Terlalu kacak. Malah lebih kacak daripada bekas tunangnya. Bodohnya perempuan tadi meninggalkan lelaki sekacak ini.

‘Kau lupa agaknya Syifaa, sekarang ni rupa paras bukan segalanya, tetapi duit. Kalau tak kacak, tak cantik tapi duit melambak ramai aje yang memikat.’

Helaan nafas dilepas perlahan. Sukarnya hidup pada zaman serba moden ini; pada zaman di mana wang ringgit menjadi raja. Mungkin kerana dia tidak mampu memberikan kesenangan kepada bekas tunangnya, dia ditinggalkan.

“Hei.” Qayyum melambai tangan di depan mata Syifaa.

“Hah?” Terpinga Syifaa.

“Eh, takkanlah dah terpikat dengan saya kut? Saya tahulah saya ni handsome, tapi baru tadi saya kena tinggal. Jadi, sila cuba lain kali,” giat Qayyum. Dia ketawa nipis.

Ternganga mulut Syifaa. Apakah maksud lelaki itu?

“Tak kuasa saya nak terpikat dengan awak,” nafi Syifaa. Terasa mahu saja disorokkan mukanya di celah-celah rumput padang itu. Malu!

“Ya ke? Habis, tadi tu apa? Tengok tak lepas aje,” soal Qayyum seraya berbaring di atas rumput itu.

Syifaa hanya melihat tindakan lelaki itu dari ekor matanya. Kenapa jantung dia... berdebar pula ni? Jangan terpesona wahai mata. Tolonglah sedar diri. Dirinya baru saja ditinggalkan tunang kerana masa silam.

“Tadi tu, saya menikmati keindahan kejadian Allah aje,” dalih Syifaa.

Qayyum tersenyum senget. Matanya masih ke dada langit. Kemudian dia merenung Syifaa. Baru dia faham maksud ayat gadis itu.

“Saya ke keindahan ciptaan Allah tu?” bisik Qayyum lembut.

Liur yang hendak ditelan tersekat di kerongkong dek soalan Qayyum. Lama mata mereka bertaut antara satu sama lain. Apakah yang dia perlu jawab? Jika jawab ya, dia membenarkan tanggapan lelaki itu. Jika jawab tidak, bukankah itu sudah menipu namanya?

‘Atau sebenarnya kau nak lelaki tu sedar masih ada wanita lain selain daripada perempuan tadi? Apa yang kau melalut ni Syifaa!’ Tidak mampu lagi membalas panahan anak mata Qayyum, Syifaa menjatuhkan pandangan, melihat rumput yang segar.

“Kenapa awak datang sini? Bawa hati yang lara ke?” ujar Qayyum setelah dari tadi menyepi.

Syifaa menjeling Qayyum. Macam mana...

Hah, mungkin lelaki ini hanya serkap jarang. Takkanlah lelaki itu boleh baca apa yang ada dalam hatinya. Mustahil!

Takdelah. Saja bercuti.”

“Tipulah! Jarang gadis Melayu bercuti tanpa teman melainkan... hati sedang kecewa. Kenapa? Jomlah share.” Selamba Qayyum bertanya seperti sudah lama kenal.

“Eh, kenapa pula awak nak tahu? Kita baru aje kenal. Tak sampai sejam pun.”

Pelik benar lelaki di sebelahnya ini. Sesuka hati mahu menyingkap kisah hidupnya. Dengan mereka yang sudah kenal lama pun dia tidak akan bercerita tanpa sebab, inikan pula lelaki yang entah dari mana. Muncul saja cuba beramah mesra seperti mereka sudah saling mengenali lama dulu.

“Lah, nak berkawan kena kira jam ke? Hmm, tak tahu pula saya,” polos nada Qayyum. Dia menyengih sambil menggaru kepala. “Jadi, berapa jam baru valid untuk kita berkawan?” sambungnya lagi. Hatinya senang dengan gadis yang baru dikenalinya ini. Mungkin inilah maksud apabila ada yang berkata; kita boleh bercerita apa pun dengan orang yang tidak kita kenali kerana pertemuan itu tak mungkin akan berulang lagi. Namun, dia lupa bahawa lipatan kehidupan manusia pada waktu pertemuan semula hanya selisih saat dan minit saja kerana yang di atas menentukan segalanya.

Syifaa menggigit bibir. Kecil besar dia nampak Qayyum tika ini. Pandai loyar buruk rupanya.

Qayyum senyum. Melihat Syifaa begitu dia rasa gadis itu comel.

‘Cup! Cup! Apa dah jadi ni, Qayyum? Jangan nak jual minyak. Kau baru aje putus cinta kejap tadi dan sekarang kau boleh bergelak tawa dengan gadis yang kau tak kenal?’ tegur hatinya.

“Awak lihat perempuan tadi? Itu teman wanita saya. Kami bersama dah 3 tahun. Hari ni merupakan ulang tahun ketiga hubungan kami dan saya mahu tamatkan hubungan kami dengan ikatan yang halal. Dan awak tahu apa jawapan dia? Dia tolak lamaran saya dengan alasan ada banyak benda lagi yang dia nak buat dan explore. Bagi saya, alasan tu rapuh sangat. Selama kami bercinta, tak pernah saya kongkong apa yang dia nak buat. Hati bila tak suka, sejuta alasan mampu dibina.”

Qayyum kesal. Sepertinya dia telah membazirkan masa mencintai seseorang yang bukan miliknya. Dia terlupa bijaksana ada menyatakan yang Allah temukan seseorang dengan pasangan yang tidak sesuai untuk dipertemukan dengan seseorang yang lebih tepat.

Hmm... apabila lelaki acuh tak acuh, perempuan marah. Dan apabila lelaki serius dengan hubungan, perempuan pula bersikap acuh tak acuh. Apa sebenarnya yang mereka mahukan dalam sebuah perhubungan?” luah Qayyum seakan merungut.

Entah kenapa senang pula lidahnya membuka bicara tentang kisah cintanya kepada gadis ini. Mungkin kerana mereka orang asing. Kenal hari ini dan belum pasti akan bertemu lagi.

Dalam diam Syifaa mengakui apa yang dikatakan Qayyum ada benarnya. Contoh terdekat apa yang terjadi kepada mereka. Dia tulus mencintai Adam, tetapi lelaki itu meninggalkannya. Begitu juga Qayyum, ditinggalkan teman wanita kerana mahu menghalalkan hubungan. Walaupun mereka berdua ditinggalkan atas sebab yang berbeza, hakikatnya ia sama saja.

Hmm, awak pula kenapa?”

“Hah?”

“Kenapa dia tinggalkan awak?” soal Qayyum dalam geram.

“Oh... saya bukan yang terbaik untuk dia barangkali.” Syifaa tersenyum tawar.

Qayyum terkesima. Senyuman Syifaa jelas kelihatan hambar, tetapi kenapa matanya melihat senyum itu cukup menarik, cukup... indah? Dia kembali fokus kepada Syifaa. Mujur si gadis tidak perasan tingkahnya tadi.

“Maksud awak?” Dia tidak puas hati dengan jawapan Syifaa yang terlalu subjektif. Pasti ada sebab yang munasabah bagi seorang lelaki meninggalkan gadis cantik ini. Walau tidaklah secantik ratu cantik, namun air muka Syifaa cukup untuk menjadi penenang jiwa yang resah.

Syifaa angkat bahu. Dia tak rasa Qayyum lelaki yang tepat untuk dia menceritakan tentang masa silamnya. Kisah lampau yang menjadi penyebab pertunangannya diputuskan. Lebih menyakitkan, lelaki itu memilih sepupunya sendiri untuk menggantikan dirinya sebagai pengantin.

Ah, drama! Dasar lelaki! Bila hati sudah beralih arah, pelbagai alasan dijadikan sebab untuk berpisah.

“Hei, mana aci! Saya dah beritahu awak kisah cinta saya,” ujar Qayyum tidak puas hati.

“Tak suruh pun,” ujar Syifaa selamba.

Qayyum menjeling tajam. Dibetulkan duduknya. Kini mereka duduk berhadapan muka bertemu muka.

Syifaa senyum. Dia mahu ketawa melihat wajah geram itu. Alahai, comelnya!

“Okey, okey... saya cerita. Dia cakap saya tak layak untuk dia. Jadi dia pilih sepupu saya sebagai pengantin dia. Sepatutnya saya dah boleh agak bila melihat kemesraan mereka sebelum ni.” Akhirnya dibuka juga kisah pahit itu kepada Qayyum.

Jeda.

“Bila saya tanya tunang saya kenapa, dia cakap sebab kami dilarang berjumpa sebelum majlis akad kami yang hanya beberapa bulan lagi, jadi dia minta tolong sepupu saya untuk bantu dia pilih barang hantaran bagi pihak saya. Saya ikut saja kata-kata mereka. Dan pada akhir cerita... saya di sini,” ujar Syifaa menamatkan kisahnya.

Qayyum terangguk-angguk. Faham akan apa yang disampaikan gadis itu. Kasihan. Syifaa lagi kasihan daripadanya. Ditinggalkan tunang sendiri dan paling dahsyat Syifaa akan berjumpa dengan lelaki itu lagi. Gila jahat lelaki itu. Tiadakah orang lain hendak dipilih selain sepupu Syifaa?

“Bangang punya lelaki!” kutuk Qayyum.

Syifaa ketawa halus. Jarang dia melihat kaum lelaki mengutuk sesama mereka. Selalunya pasti mereka akan menangkan kaum sendiri walaupun sudah jelas salah.

“Kutuk kaum sendiri nampak?” duga Syifaa dengan kening terangkat.

“Kalau dah salah tetap salah, Syifaa. Saya bukan nak kata saya ni baik, tetapi apa yang tunang awak lakukan tu sangat tak patut. Saya tak tahu kalau saya di tempat awak, saya akan mampu hadapinya ataupun tak. Awak dengan dia walaupun tak sebumbung, pasti akan bertemu mata juga, kan? Ke mana hilangnya sifat pelindung dalam diri lelaki yang telah Allah titipkan?” Qayyum kesal. Seperti dia kata, dia bukan lelaki yang baik dan dia juga bukan lelaki yang kejam.

Syifaa tersenyum. Lapang dadanya bercerita dengan Qayyum.

‘Kami takkan berjumpa, Qayyum. Saya... insan terbuang. Sepatutnya saya tak perlu terluka apabila dibuang lagi kerana bertahun lama dulu saya sudah dibuang keluarga sendiri. Sepatutnya... saya lebih cekal. Nyata, saya hanyalah perempuan biasa.’ Kata-kata itu hanya bergema di relung hatinya.

“Kahwin dengan saya!” Tiba-tiba sepotong ayat itu terbit dari dua ulas bibir Qayyum.

What???” Buntang mata Syifaa memandang Qayyum. Dia tak salah dengar, kan?

“Apa? Janganlah terkejut sangat. Saya ajak awak kahwin dengan saya aje.”

“Gila! Hei, awak ingat nikah kahwin ni main-main ke? Kita baru aje kenal. Hati budi masing-masing pun kita tak tahu. Siapa awak, saya tak tahu. Yang paling penting, siapa saya... awak tak tahu apa-apa pun tentang saya!”

Syifaa terus bingkas bangun. Dia mahu pergi dari sini. Gila! Lelaki ini benar-benar gila. Baru tadi dia rasa selesa dengan lelaki ini dan sekarang... Adakah tanggapannya salah tentang lelaki ini?

“Kita kenal lepas kahwin. Syifaa, nasib kita sama. Bercinta bertahun-tahun tapi in the end kita dikecewakan. Kata orang tua, bercinta lepas nikah itu manis. Lebih berkat,” pujuk Qayyum.

Syifaa memandang Qayyum dengan riak tidak percaya. Baru tadi lelaki ini dikecewakan dan sekarang... melamar dia. Patutkah diserahkan kepercayaannya kepada lelaki ini? Kesungguhan pada wajah itu menakutkan Syifaa.

“Syifaa...”

Sorry Qayyum, I can’t!” putus Syifaa.

“Hei, wait!” Lengan Syifaa segera ditarik.

“Apa lagi, Qayyum?” soal Syifaa dengan nada jengkel. Dia tidak suka dipaksa begini.

“Awak tak percayakan saya?”

Syifaa mahu tergelak mendengar soalan Qayyum. Percaya? Dia sendiri tidak tahu, adakah masih ada sisa kepercayaan dalam dirinya?

“Saya kenal tunang saya bertahun-tahun lamanya sebelum kami mengikat tali pertunangan. Tapi hanya dengan satu sebab dia lepaskan ikatan kami yang sudah bertahun-tahun. Hanya kerana siapa saya yang sebenar, dia lupakan segala kata cinta yang pernah dia ungkapkan kepada saya. Jadi, awak beritahu saya Qayyum, perlu ke saya percayakan awak yang baru saya kenal?” soal Syifaa lirih.

“Syifaa...”

“Saya tahu saya tak patut bandingkan awak dengan dia. Tapi kita... Saya tak boleh, Qayyum. Lagi satu, awak tak sedih ke putus cinta yang dah 3 tahun awak bina? Senang-senang awak lamar perempuan yang awak tak kenal hati budinya. Takkanlah awak nak biarkan hubungan 3 tahun tu putus begitu saja?” tembak Syifaa lagi.

“Dia yang tolak saya. Bukan saya tolak dia.” Tenang Qayyum menjawab. Kenyataan!

“Ya, betul dia tolak awak. Tapi, mungkin sebab dia tak yakin dengan kesungguhan awak. Awak pujuklah dia lagi. Ini tak, lamar saya pula.” Suara Syifaa mengendur.

“Saya kenal Zah macam mana. Dia seorang yang tahu apa yang dia mahu. Dan saya, seorang lelaki yang bertanggungjawab. Salahkah saya bercinta dengan niat untuk bernikah? Kalau awak di tempat Zahnita, adakah awak akan tolak lamaran saya? 3 tahun bercinta, apa lagi yang perlu diragukan?” Qayyum berhenti seketika. “Selama 3 tahun saya tak pernah abaikan dia. Saya sayangkan dia melebihi segalanya. Bagi saya mudah, dia tolak niat baik saya bermakna dia bukan untuk saya. Allah telah aturkan jodoh yang lebih baik buat saya. Saya tak mahu bazirkan masa lagi dengan bercinta. Usia saya bukannya muda lagi,” jelas Qayyum. Memang dia sedih sebab Zahnita menolak lamarannya, tapi dia lelaki. Untuk apa bersedih pada sesuatu yang bukan haknya? Ternyata impiannya dengan Zahnita tidak sama. Lebih baik berpisah sekarang daripada bercerai selepas nikah.

“Saya nak balik hotel,” putus Syifaa. Lemas dia dengan jawapan lelaki ini. Sebenarnya dia hampir kalah. Apa yang dikatakan oleh Qayyum itu ada benarnya.

Qayyum lepas nafas berat.

“Saya hantar awak,” putusnya. Mengalah.

Syifaa masih tercegat di belakang sedangkan Qayyum sudah jauh di hadapan.

Come, Syifaa!” laung Qayyum.

Menggeleng kepala Syifaa. Kenapa lelaki ini baik sangat dengannya?

 

SYIFAA MEMANDANG ke luar. Dari hotel penginapannya, dia dapat lihat dengan jelas Menara Eiffel. Malahan dia dapat lihat suasana malam kota itu dari tingkap biliknya; suasana malam yang indah dengan simbahan cahaya lampu di sana sini.

Dipeluk tubuhnya. Keluhan halus dilepaskan. Teringat kata-kata Qayyum sebelum mereka berpisah tadi.

“Syifaa.” Qayyum langkah mendekat.

“Saya tak tahu macam mana nak yakinkan awak yang saya ikhlas. Saya pun tak tahu kenapa saya bersungguh-sungguh mahukan awak. Awak terfikir tak kenapa awak datang ke sini sedangkan banyak lagi tempat lain yang awak boleh pergi? Awak tak rasa ke yang Allah sengaja gerakkan hati awak ke sini untuk berjumpa dengan saya?” Qayyum menjongket kening mencabar Syifaa membalas kata-katanya.

Dan Syifaa tertelan ludah sendiri. Tadi dia bermonolog dengan diri sendiri bertanyakan kenapa dia ke sini sedangkan tempat lain masih ada. Adakah kerana jodohnya di sini? Liur yang melepasi rengkung terasa sangat pedih. Diam-diam dia menarik nafas dalam.

“Qayyum, awak dan saya... jauh berbeza. Dunia saya, kisah hidup saya... Saya yakin awak takkan mahu tahu. Dan saya amat yakin awak akan menyesal melamar saya setelah tahu siapa saya,” ujar Syifaa untuk ke berapa kali dia pun tidak tahu. Lelaki ini sememangnya cukup degil.

“Ceritakan dulu, biar saya putuskan sama ada saya akan menyesal ataupun tidak!” tegas kata-kata Qayyum. Dia muak kerana dari tadi Syifaa berkata yang mereka berbeza. Masa silam Syifaa berbeza tetapi gadis itu tidak pula menjelaskan kepadanya. Cubalah buatkan dia faham.

Syifaa menggeleng. Untuk membuka aib sendiri dia belum cukup kuat.

“Yang awak beria-ia sangat ni kenapa? Dah terdesak sangat ke?” tempelak Syifaa.

“Hei, awak jangan fikir yang bukan-bukan eh!” marah Qayyum. Faham sangat dengan maksud pandangan Syifaa itu.

Deringan telefon mematikan lamunan Syifaa. Bibirnya terukir senyum nipis. Siapakah lelaki itu sebenarnya? Sekali lagi telefon menjerit nyaring. Laju kakinya menapak ke meja di sebelah katil. Dia melihat nama yang tertera pada skrin telefon.

Adam! Kenapa lelaki itu menghubunginya? Bukankah mereka sudah tiada sebarang ikatan?

Malas mahu bersoal jawab, panggilan itu dibiarkan begitu saja. Malam ini malam terakhir dia di sini dan dia mahukan ketenangan itu kekal tanpa sebarang gangguan.


No comments:

Post a Comment