Thursday, 27 May 2021

Cinta Zara : This I Promise You - Bab 4

 

ZARA menebarkan pandangan ke arah ladang teh yang luas terbentang. Alhamdulillah, di sebalik pengunjung yang ramai, mereka mendapat meja untuk sarapan di Ladang Teh Boh Sungai Palas. Terukir senyum kepuasan di bibirnya.

“Pukul berapa kita nak ambik gambar kahwin tu? Kat mana? Kat sini ke?” Banyak soalan Zara ajukan. Tidak sabar sebenarnya.

“Kalau tak ada apa petang nanti, sebelum kita balik. Pagi ni kita jalan-jalan dulu. Petik strawberi. Pergi pasar...”

“Pasar?” Zara kerut dahi. Pasar apa pula di sini? Ada pasar ikan ke? Tak ada laut pun!

“Mama pesan, kalau sempat beli sayur. Sayur murah-murah kat sini.”

Zara angguk. Terlupa pula Cameron Highlands ada banyak ladang sayur. Sudah tentulah ada pasar untuk menjualnya. Kenapa tiba-tiba boleh terlupa pula? Itulah, konon-konon feeling ala-ala Lisa Surihani dengan Aaron Aziz dalam filem Ombak Rindu. Sarapan sambil melihat kehijauan ladang teh.

Zara menghirup minumannya. Sambil itu dia menjeling Ammar. Kenapa suaminya melihat dia sambil tersenyum? Cawan diletakkan kembali ke atas piring.

“Kenapa abang pandang sayang macam tu? Tudung sayang tak kemas ke?”

Ammar menahan tangan Zara. Dia membawa tangan itu ke bibirnya dan dikucup penuh kasih. Tiada apa yang tidak kena kepada isterinya. Baginya, Zara sangat sempurna. Memiliki rupa yang menawan. Satu ketika dulu, wajah inilah yang buat dia mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang. Sayangnya, dia begitu bodoh kerana ikutkan ego.

“Abang tak sangka kita akan kembali bersatu. Tak sangka hubungan yang abang sendiri hancurkan suatu ketika dulu, kembali terjalin. Terima kasih, sayang.” Sekali lagi kekura tangan Zara dikucup.

Merah muka Zara saat ini. Mujurlah ramai pasangan yang datang dengan tangan berinai. Tidak kekok melihat adegan mesra suami isteri.

“Dah banyak kali kan abang cakap terima kasih.” Zara mahu menarik tangannya tetapi Ammar seakan tidak mahu lepas. Matanya meliar melihat sekeliling. Tiada siapa memandang mereka. Dia saja yang rasa segan. Malah ada pasangan lain yang berbuat begitu.

“Tak kira berapa banyak kali pun abang dah cakap, tetap abang akan cakap lagi. Sungguh, abang tak jangka yang sayang cintakan abang walaupun berpuluh kali kata tak cinta. Kalau sayang sambut cinta abang awal-awal kan...”

“Ehem. Kita kan dah janji tak nak ungkit perkara yang lepas.” Zara kurang senang Ammar asyik ungkit hal yang lalu. Padahal mereka sudah berjanji tidak akan menyebutnya lagi. Berapa banyak kali mereka mengeluh pun, masa lalu tetap tak akan dapat diulang. Sejarah tidak akan terpadam.

“Maafkan abang. Bukan sengaja nak imbas masa lepas. Tapi abang perasan yang kita ni saling memendam perasaan. Tak pernah nak luah atau berterus terang. Dari zaman sekolah lagi. Lepas arwah meninggal pun macam tu. Sayang pendam rasa cinta sampai abang salah sangka dan hampir bernikah dengan orang lain.”

“Kenapa abang terima Husna?” Tiba-tiba terlintas dalam fikiran Zara untuk bertanya. Sejak kejadian majlis kahwin tak jadi Ammar, dia tidak pernah bertanyakan soal gadis itu.

“Abang fikir, kalau abang kahwin lain dan ada tanggungjawab lain, abang akan... no... abang terpaksa lupakan Zara jugak. Nak tak nak, abang mesti lupakan Zara. Demi isteri abang nanti.” Ammar jujur mengakui.

Ammar tidak pernah berbohong tentang niatnya mahu menikahi Husna. Malah, dengan gadis itu juga dia berterus terang. Dan Husna sanggup menunggu hari di mana dia akan lupakan Zara Aulia. Tapi akhirnya gadis itu mengalah dan tidak datang semasa hari pernikahan mereka.

“Alasan yang kejam. Kesian Husna.” Gadis itu terlalu baik untuk dikecewakan. Namun sudah tersurat jodohnya dengan Ammar kembali bertaut. Zara mengusap pipi suaminya. “Allah dah takdirkan Ammar Syafiq milik Zara Aulia.”

“Betullah tu. Siapa kita untuk menolak takdir Allah. Husna pun tahu agaknya, bukan mudah untuk abang buang cinta yang ada dalam hati ni sejak sekolah lagi.” Ammar meletakkan tapak tangan tangan Zara di pipinya.

Tiba-tiba Zara ketawa. Tangannya ditarik perlahan.

“Kenapa sayang ketawa?”

“Tak ada apa-apa. Kita dah janji kan tak nak ungkit kisah lama.” Zara sambung ketawa. Ada sesuatu yang sangat menggelikan hatinya.

Kekura tangan Zara di atas meja, Ammar usap lembut. Ingin tahu apa yang membuat kesayangannya ketawa.

Share dengan abang apa yang buat Zara ketawa. Tak apa. Kali ini abang bagi pengecualian. Boleh ungkit kisah lama.”

“Sebut pasal masa sekolah, tak sangka... Ammar yang kuat membuli tu sebenarnya suka kat kita. Mati-mati kita ingat dia benci kat kita.” Zara ketawa lagi.

Ammar tersenyum. Melihat ketawa Zara, hatinya berbunga bahagia. Suatu ketika dulu, dia membuatkan si manis ini asyik menangis dan bersedih sehingga lupa apa itu ketawa. Dia berjanji yang selepas ini Zara akan terus gembira dan sentiasa tersenyum.

“Jadi, kat padang dulu tu... masa dengan Nik Ahmad Faris, abang lempar kasut sebab cemburu ke?” Zara kerut dahi sambil memandang suaminya. Baru dia teringat insiden itu. Patutlah along panggil mereka lovebirds.

“Mahu tak cemburu. Along beritahu Nik Ahmad Faris nak berkenalan dengan Zara Aulia. Terbakar tahu tak... berani dia usik kesayangan Ammar.” Zara ketawa lagi.

“Abang ni. Kalau dia tahu, tak adalah dia nak usik. Itulah, ego lagi. Siap kutuk orang.”

“Abang mintak maaf sebab kutuk sayang dulu.”

Zara perasan perubahan mood suaminya. Setiap kali berbicara tentang masa lalu, pasti Ammar akan diburu rasa bersalah.

“Dah kenyang dah. Makanan pun dah habis. Jom, kita sambung jalan-jalan. Sayang nak shopping teh.”

Ammar bangun dan mendekati Zara. Zara bangun.

“Banyak ke nak beli teh?”

“Belilah untuk stok rumah kita. Untuk staf kat butik.”

Ammar angguk. Dia ikutkan sahaja apa rancangan isterinya. Ammar menghulurkan tangannya.

“Lepas shopping teh, kita pergi kebun strawberi.”

Zara menyambut tangan suaminya dengan senyuman terukir.

 

 

“ABANG, SEJUKLAH.” Walaupun suhu tidak sejuk mana jika dibandingkan dengan suhu musim sejuk di luar negara, tetap juga sejuk. Gaun pengantin yang dipakainya bukanlah tebal mana. Sekarang mereka sedang berjalan menyusuri ladang teh dengan berpakaian pengantin.

Sanggup Ammar membeli baju pengantin untuk sesi fotografi mereka. Gaun pengantin yang dipakainya ini pun kejutan daripada suaminya. Baru sampai dari Kuala Lumpur tengah hari tadi. Sangkanya mereka akan memakai baju sewa sahaja untuk sesi fotografi ini.

Ammar buka kot yang dipakainya lalu disarungkan ke tubuh Zara. Baju sejuk Zara tertinggal di kereta.

“Sekejap saja lagi kita sampai.”

“Abang tak sejuk ke?” Zara menggenggam kot suaminya.

“Sejuk jugak. Tapi takkan abang nak biarkan sayang kesejukan. Jom, sambung jalan.”

Zara terharu dengan perbuatan Ammar. Dia sambung berjalan. Lagi cepat sampai ke destinasi tujuan mereka, lagi cepat kerja boleh dibuat. Cepat sikit selesai kerja mereka. Jurugambar sudah awal-awal lagi bergerak di hadapan mereka.

Akhirnya mereka berhenti di tengah-tengah ladang teh. Di lereng bukit sebenarnya. Kelihatan dari situ pemandangan keseluruhan ladang teh yang seluas mata memandang. Juga terlihat pemandangan bukit-bukit yang menghijau.

“Abang... cantiklah tempat ni.” Zara tidak menyembunyikan rasa kagumnya. Rasa berbaloi penat berjalan sambil mengheret kaki gaunnya yang agak labuh itu. Segar matanya melihat pemandangan itu. Baju kot ditanggalkan dan diserahkan semula kepada suaminya.

“Sayang suka?” Ammar menyambut baju tadi dan menyarungkannya ke tubuh. Jurusolek sedang membetulkan tudung dan juga solekan Zara.

“Suka sangat.”

“Okey pengantin, berdiri kat sini ya.” Jurugambar mula memberi arahan.

Ammar dan Zara bergerak ke tempat yang ditunjukkan oleh jurugambar. Tempat mereka berdiri menampakkan lurah bukit yang dipenuhi dengan tanaman teh. Tanpa disuruh, Ammar memeluk pinggang isterinya. Senyuman paling manis diukirkan.

“Haa, macam tu. Buat aksi romantik.” Jurugambar mula memotret.

Zara membalas senyuman suaminya. Semoga kebahagiaan akan sentiasa menjadi milik mereka.

“Zara Aulia binti Izham, saya cintakan awak seluas langit biru, sedalam lautan. Saya Ammar Syafiq berjanji tak akan buat awak menangis dan terluka lagi.” Ammar melabuhkan bibirnya pada dahi Zara. Agak lama kerana mahu membiarkan jurugambar merakam detik itu. Detik dia berjanji dengan dirinya sendiri untuk menjadi suami terbaik buat cinta hatinya. Kali ini biarlah jodoh mereka hingga ke jannah.

 

No comments:

Post a Comment