Thursday, 27 May 2021

Cinta Zara : This I Promise You - Bab 5

 

TENGAH malam baru mereka sampai di Kuala Lumpur. Ammar benar-benar puas dapat menghabiskan masa dengan Zara walaupun hanya sekejap. Cukuplah untuk kali ini. Apabila kembar sudah besar, mungkin dia dengan Zara boleh bercuti lama.

“Sayang, kita dah sampai ni.” Ammar mengejutkan Zara yang sedang tidur. Suasana vila sudah gelap-gelita.

Zara menggosok matanya. Sudah berapa lama dia tertidur? Dia sudah pesan dengan Ammar yang dia akan memandu separuh perjalanan. Tetapi suaminya degil. Dibiarkan dia tertidur sehingga sampai di rumah.

“Kenapa abang tak kejut sayang? Sayang boleh drive separuh.”

“Abang boleh drive. Lagipun sayang nampak penat sangat.” Dia membuka klip tali pinggang keledar isterinya. Ditutup mulut Zara yang terbuka luas. Usai itu, dia keluar dari kereta dan membukakan pintu untuk isterinya.

“Naik bilik. Terus tidur. Jangan lupa salin baju. Abang nak angkut barang-barang keluar dari but kereta dulu.” Ammar menitipkan pesan buat isterinya. Zara kelihatan masih mamai lagi. Dia memimpin Zara hingga ke pintu masuk. Kunci dikeluarkan dari poket untuk membuka pintu.

“Tak laratlah.”

“Ni yang kata nak drive separuh jalan. Bawak badan pun tak larat.” Ammar membuka pintu. Dia memeluk pinggang isterinya lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Didudukkan Zara di sofa.

“Duduk sini dulu. Abang nak ambik barang-barang.”

Usai Ammar pergi, Zara membuka mata. Dia menyengih. Sengaja mahu melihat reaksi Ammar sebenarnya. Senyap-senyap dia bangun dan menyelinap di belakang suaminya. Terus dipeluk pinggang Ammar yang sedang mengeluarkan barang dari but kereta.

“Kata tadi tak larat.” Terkejut dengan kemunculan Zara sebenarnya. Dia tidak perasan

kehadiran isterinya itu.

“Takkan sayang nak biarkan abang buat kerja seorang. Oleh-oleh untuk staf butik tinggal saja dalam kereta. Lusa terus bawak butik. Sayang bawak beg. Abang bawak plastik lain.” Zara terus ambil beg pakaian mereka. Dibiarkan bungkusan plastik lain untuk Ammar bawa. Banyak yang Ammar beli untuk mentuanya.

“Pandai dia ya. Dia ambik yang ringan saja. Sayang tolong kunci pintu ya.” Ammar membawa masuk bungkusan plastik dan terus ke dapur. Plastik tadi diletakkan di atas meja. Biarlah orang gaji yang keluarkan barang-barang nanti. Dia sudah penat.

“Sayang nak pergi mana?” Ammar ternampak isterinya mahu membuka bilik tamu. Terus dia mendekati Zara.

“Nak tengok anak-anak.”

“Jangan kacau diaorang. Besok pagi kita jumpa.” Ammar menarik tangan isterinya dan terus dibawa ke lif.

“Sayang nak jumpa anak-anak. Rindu.”

“Besok saja. Jom, naik atas.” Dia menolak tubuh isterinya masuk ke dalam lif dan terus menekan butang ke tingkat 3. “Diaorang tengah tidur. Tak elok kacau.”

Zara angguk. Betul juga kata suaminya. Sudah tengah malam. Anak-anaknya pasti sedang nyenyak tidur.

Sampai sahaja di bilik, Zara terus baringkan tubuh ke katil. Sangat penat walaupun bukan dia  yang memandu. Hendak tanggalkan tudung pun tidak berdaya. Kenapa Ammar langsung tidak nampak penat? Padahal suaminya memandu sepanjang perjalanan.

“Sayang, tukar baju dulu. Cuci muka.”

“Malaslah. Penat,” gumam Zara dengan mata terpejam.

“Kalau macam tu, abang tolong tukarkan baju sayang ya.”

Terus segar mata Zara. Pantas dia bangun dan berlari masuk ke bilik pakaian. Tuala diambil lalu langkah diayun ke bilik mandi. Baru sahaja hendak membuka pakaian, terdengar bunyi pintu ditolak. Bibir diketap geram. Ammar memang sengaja rupanya. Tahu-tahu, sudah ada tangan yang tolong membuka bajunya.

 

 

“KALAU PENAT tidurlah.” Ammar tergelak melihat Zara tersengguk-sengguk di atas sejadah. Tangan dihulurkan kepada isterinya.

“Abang ni tak reti penat ke? Siap buat overtime lagi.” Terasa lesu seluruh tubuhnya saat ini. Memang dia mahu sambung tidur selepas ini. Sarapan nanti baru dia berjumpa dengan anak-anaknya. Kekura tangan Ammar dikucup.

Ammar ketawa. “Abang dah minum air tongkat ali. Sebab tu  kekal bertenaga.”

“Tidur kat sini sajalah.” Selamba sahaja Zara baringkan tubuh di atas sejadah dengan mata terpejam. Tiba-tiba tubuhnya terasa diangkat. Mata dicelikkan.

“Abang!”

“Katil kan ada. Buat apa tidur atas lantai? Sakit badan nanti.”

“Kalau ya pun bagilah sayang tanggalkan telekung dulu.”

Ammar membaringkan tubuh Zara di atas katil. Dia menolong Zara melucutkan telekung.

“Sekarang tidur. Abang nak turun bawah. Tengok barang-barang yang kita beli semalam.”

“Nak ikut abang turun.” Segan pula untuk membiarkan Ammar buat kerja seorang. Apa pula kata mentuanya nanti.

“Tak payah ikut. Sambung tidur.”

“Abang.”

“Jangan bantah. Tak cium bau syurga nanti.”

Zara cemberut. Dia kembali meletakkan kepala di bantal. Malas hendak berbahas dengan Ammar. Kalau dah keluarkan kata-kata ugutan, bermakna suaminya sangat serius.

“Macam itulah isteri abang. Sekarang lelap dulu. Dah siap sarapan nanti abang kejut.” Ammar  tunduk dan mengucup pipi isterinya sebelum bangun. Telekung Zara dicapai dan dibawa ke ruang solat lalu dilipat bersama sejadah tadi. Usai selesai semuanya, diayun langkah keluar dari bilik.

“Senaman sikitlah.” Malas hendak menggunakan lif, dia turun menggunakan tangga. Sampai di dapur, kelihatan mama dan juga Kak Ita sedang mengeluarkan barang-barang yang dibelinya semalam dari plastik.

“Assalamualaikum mama.” Ammar terus memeluk bahu Puan Sri Aisyah.

Waalaikumussalam. Happynya dia.” Puan Sri Aisyah mengusik puteranya.

“Wah, berseri-seri muka pengantin lama ni!” Juwita tidak ketinggalan mengusik. “Zara mana?”

“Dia penat. Angah suruh dia tidur.”

“Mesti angah tak bagi dia tidur malam-malam. Sebab tu dia penat. Tahulah orang baru kahwin.”

Ammar tersengih malu. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Haa... eloklah tu membuta sampai matahari tegak atas kepala!”

Ammar terkejut lalu menoleh. Hampir tidak kedengaran suaranya.

“Mak long.”

Puan Sri Aisyah menyentuh bahu anaknya. Dia tahu Ammar paling tidak suka kakak sulungnya. Kamariah, kakak yang paling lantang bersuara dan selalunya menyakitkan hati. Paling membenci adik bongsunya Zaharah, ibu kepada arwah Daniel.

“Bila mak long sampai?” tanya Ammar. Dia salam dan mencium kekura tangan mak longnya.

“Elok sangat perangai kamu ni Ammar. Manjakan sangat isteri. Nanti naik lemak, baru tahu. Ni pergi mana tak nampak muka?”

Mulalah Ammar rasa hendak lari. Namun dia tidak mahu menjatuhkan air muka emaknya. Nanti dituduh tidak pandai jaga anak. Memang sejak dulu, itu tuduhan mak longnya kalau dia bersuara.

“Pergi honeymoon dengan Zara,” jawab Ammar selamba. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan. Dia tahu, sekejap lagi pasti mak longnya akan membebel panjang.

“Itu lagi satu perangai tak betul. Bercuti berdua. Tak sedar anak ramai. Tinggal macam tu saja. Menyusahkan orang lain. Paling penting, susahkan mak kamu ni hah. Mak kamu dah tua. Takkan kerjanya nak jaga anak kamu. Cukuplah dia jaga kamu adik-beradik dari kecik. Jangan ikut sangat perangai manja isteri kamu tu. Dia terikut-ikut perangai suami mat salih dialah tu. Tak serupa orang Melayu.”

Ammar mahu menjawab. Tapi dia perasan mata emaknya memberi isyarat jangan melawan. Baginya, mak longnya sudah melampau.

“Bini kamu pun satu. Tahu anak kecik lagi, suami baru mati, kenapa sibuk nak kahwin lain? Dah gatal sangat ke? Sekarang sibuk nak bulan madu bagai. Dah menyusahkan orang,” Puan Kamariah semakin galak membebel.

“Kamu pun Ammar, ada anak dara nak kat dia, pergi cari janda baru beranak. Kan dah susah nak bermanja-manja. Susah nak berkepit. Terpaksa mak kamu jaga anak-anak dia. Dah, pergi kejut isteri kamu. Suruh dia buat sarapan. Apa punya menantu. Tahu menyusahkan mentua saja!”

Ammar ketap bibir geram. Kalau dia tahu mak longnya datang, lebih rela dia menginap di hotel. Pada mata mak longnya, semua serba tak kena.

“Zara,” Juwita bersuara.

Ammar menoleh ke arah tangga. Kelihatan Zara berdiri dengan mata merah. Pasti Zara sudah mendengar semua kata-kata mak longnya.

No comments:

Post a Comment