Friday, 15 October 2021

Mr. Destiny - Bab 2

 

SARA menebarkan pandangan ke luar kafe dengan riak resah. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 6 petang. Biasanya pukul 5.30 petang, kereta BMW hitam lelaki itu sudah muncul. Paling lewat jam 5.45 petang. Pejabat Kaisar dekat sahaja.

“Puan Nora tak datang kut hari ni.” Sheila bersilang lengan sambil memerhatikan Sara. Mujur kafe lengang saat ini.

“Pagi tadi ada datang. Aku nampak dia.” Pasti sangat dia nampak Puan Nora tadi. Kaisar sudah tentulah dia nampak. Tapi kenapa lelaki itu tidak muncul-muncul lagi?

“Mungkin Puan Nora dah balik tengah hari tadi,” Marina mencelah.

Sara menunduk. Kecewa. Mungkin juga. Waktu tengah hari biasanya kafe sangat sibuk. Manalah dia perasan kalau Puan Nora pulang awal. 

“Tak dapatlah aku merasa vitamin cinta hari ni. Vitamin aku tak datang.”

“Tak habis-habis dengan vitamin cinta kau. Pergi bersihkan meja kat luar sana,” arah Sheila. “Marina, tolong check kat dapur.”

Sara mengangguk. Memang dia bekerja sebagai pencuci pinggan. Tapi sekali-sekala dia akan membantu di luar, membersihkan meja. Shahrul dan Faizul, kebetulan kedua-duanya tidak datang bekerja. Seorang memang cuti dan seorang lagi cuti sakit.

“Nak aku kemas kerusi meja sekali ke?” tanya Sara sebelum menolak pintu.

“Belum pukul 6.30 lagi. Kejap lagi bos datang, mahu memetir dia.”

Sara membuat isyarat okey sebelum menolak pintu untuk keluar. Kain buruk dikeluarkan dari poket apronnya. Sebaik keluar daripada kafe, matanya melihat ke arah butik sebelah. Kenapalah Kaisar tidak muncul-muncul hari ini? Harinya menjadi suram.

Sara menyanyi kecil sambil mengelap meja. Tidak kotor pun sebenarnya. Hanya ada sedikit habuk kerana tempat terbuka. Hampir pukul 6 petang, tapi matahari masih agak cerah. Mujur ada payung.

Settle pun.” Selesai membersihkan meja terakhir, dia memusingkan tubuh untuk kembali ke dalam kafe.

Sebaik berpusing...

“Oh kau kacak, sangat kacak... memang kacak!” Terkejut punya pasal, hampir dia hilang imbangan.

“Saya kacak?” Kaisar menayang senyum manis. Sementara itu kedua-dua belah tangannya memaut lengan gadis yang hampir jatuh tadi.

“Maaf, saya melatah pulak.” Sara menunduk. Rasa bahang di pipinya saat ini. Lelaki pujaan hati berdiri di hadapannya kini.

“Saya yang patut minta maaf sebab terkejutkan awak.”

Sara hanya senyum sahaja. Tiba-tiba dia rasa tidak jumpa ayat yang hendak diucapkan. Lelaki itu membuatkan lidahnya kelu. Sudahlah lelaki itu berdiri betul-betul di hadapannya, menghalang dia daripada bergerak.

“Encik nak pesan minuman ke? Atau cuma nak duduk tunggu Puan Nora?” Akhirnya keluar juga ayat daripada bibirnya. Susah payah dikarang ayat itu dalam otak. Sekuat tenaga dia memaksa ayat itu keluar. 

“Mama saya dah keluar. Tak jadi nak pesan minuman.” Kaisar menunjuk mamanya yang baru keluar daripada butik.

Sara menoleh. Ada rupanya Puan Nora. Mati-mati dia sangka Puan Nora sudah pulang awal. Mata dihalakan semula ke arah Kaisar. Berdiri dekat dengan lelaki itu, terasa longgar kepala lututnya. Kacak sungguh makhluk ciptaan Allah ini.

Kaisar bergerak mendapatkan Puan Nora. Beg tangan wanita itu diambil lalu disangkutkan ke bahunya.

“Assalamualaikum Puan Nora.” Sara menyapa wanita itu. Dalam hati dia sudah berangan-angan mahu memanggil mama. Nampak sangat dia tergila-gilakan anak lelaki pemilik butik itu. Padahal Kaisar pandang dia pun tidak agaknya.

Waalaikumussalam Sara.” Puan Nora lemparkan senyuman.

“Saya balik dulu Sara.” Kaisar melambaikan tangan sebelum dia memeluk lengan mamanya lalu berjalan ke keretanya yang terletak di hujung sana.

Tidak berkelip mata Sara memerhatikan lelaki itu berjalan. Tentu sejuk perut Puan Nora mengandung, dapat anak begitu baik. Bertuah siapa yang menjadi isteri Kaisar. Lelaki itu bercakap-cakap dengan emaknya sambil tersenyum. Kacak sangat!

Kaisar bukakan pintu kereta untuk mamanya. Dan menunggu Puan Nora masuk barulah ditutup pintu kereta. Sempat lagi dia melambai dan tersenyum ke arah Sara sebelum masuk ke tempat pemandu.

“Oksigen... mana oksigen?” Sara mengipas mukanya sebaik sahaja kereta yang dipandu Kaisar meluncur laju. Bukan sekali lelaki itu melayangkan senyuman buatnya. Lebih daripada tiga kali. Cukup untuk buat dia terlupa untuk bernafas seketika.

Sambil tersengih-sengih dia kembali masuk ke dalam kafe. Dilihatnya Sheila sedang tekun menulis laporan. Lega kerana supervisornya tidak nampak apa-apa. Kalau tidak, habislah dia diusik. Terus dia berlari ke dapur.

 

 

“MAK, SARA nak keluar dengan Intan nanti. Nak teman dia cari baju. Mak tak payahlah masak makan malam.” Balik daripada kerja dia terus mendapatkan emaknya di dapur. Memang tempat emaknya di dapur. Orang menempah pulut kuning tak kira masa.

Emaknya sedang mengemas dapur. Dia perasan dua beg plastik besar di atas meja makan. Mesti emaknya baru siapkan tempahan. Sara menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan emaknya.

“Kamu keluar bawa kunci. Mak nak pergi kenduri kat rumah Acik Zaiton. Mak mungkin balik lambat. Nanti mak bawa kunci sendiri.”

“Baik, mak.” Sara segera masuk ke dalam biliknya. Dihempaskan tubuh ke katil. Tudung dicabut lalu dicampakkan ke kerusi. Mata dipejamkan. Terbayang saat Kaisar menahannya daripada jatuh. Lengannya diraba. Terukir sengih. Lelaki itu menyentuhnya walaupun secara berlapik.

Bantal diambil lalu diletakkan di atas mukanya. Dia menjerit sekuat hati di bawah bantal. Hari ini dia bukan sahaja mendapat vitamin cinta, tapi dapat juga tonik kasih sayang dan majun hati. Semuanya ada. Mungkinkah ini petanda yang dia dengan Mr. Destiny akan bersatu?

Dipeluknya bantal dan tubuhnya bertukar posisi mengiring. Telefon dikeluarkan daripada poket seluarnya. Kekunci dibuka. Dia mencari gambar Mr. Destiny di dalam folder. Gambar yang diambil secara curi-curi. Senyuman lelaki itu buat dia gila bayang.

“Kalaulah awak betul-betul jadi Mr. Destiny saya... saya akan jadi orang yang paling gembira.” Sara memeluk telefonnya.

“Sara... mandi. Solat.”

“Baik, mak.” Dengan malasnya dia bangun dan mengambil tuala. Emak memang sentiasa memastikan mereka bersolat jemaah pada waktu maghrib.

Sebelum keluar daripada bilik, Sara mencapai telefon bimbit dan diletakkan di atas meja.

“Kaisar Hidayat, suatu hari nanti saya nak awak jadi imam saya.”

 

No comments:

Post a Comment