Friday, 15 October 2021

Mr. Destiny - Bab 3

 

“KAU dengar cerita tak?” tanya Intan tiba-tiba saat sedang memilih pakaian.

“Cerita apa? Siapa yang bercakap?” Sara memerhatikan Intan. Sudah sejam memilih baju. Dari satu butik ke satu butik. Belum jumpa baju yang berkenan. Bukan hendak pergi mana pun, sekadar makan malam syarikat sahaja.

Dia dengan Intan melanjutkan pelajaran di universiti yang sama dalam jurusan yang sama. Keputusannya lebih cemerlang daripada Intan. Tetapi rezeki lebih menyebelahi sahabatnya itu. Intan ditawarkan pekerjaan di salah sebuah syarikat terkenal. Menjadi kerani. Tapi sekarang sudah naik pangkat. Sesuai dengan kelulusannya.

“Faiz nak kahwin dengan Syaz.”

Sara membesarkan biji matanya. Ini berita hangat!

“Faiz yang selalu ejek Syaz gemuk tu?”

“Ya.”

“Seriuslah? Bukan Faiz kata dia benci Syaz sampai akhir hayat ke?” Sara tergelak. Kedua-dua nama itu adalah milik kawan sekolahnya semasa di tingkatan 5. Faiz dengan Syaz memang tidak pernah berbaik. Kerja mereka asyik bercakar sahaja.

“Kata orang tua jangan terlalu membenci, nanti jatuh cinta. Jangan terlalu mencintai, nanti tak jadi, merana hati.”

Berkerut dahi Sara mendengar ayat terakhir Intan. Macam terkena muka sendiri sahaja. Dia terlalu sukakan Kaisar. Kalau tiba-tiba lelaki itu berjalan dengan perempuan lain, sah dia akan patah hati.

“Aku nak cuba baju ni sekejap.” Intan membawa baju yang dipilihnya ke bilik persalinan.

Sementara menunggu Intan, Sara keluar daripada butik dan mendekati tembok kaca. Dia memerhatikan gelagat manusia di tingkat bawah. Sejam lebih lagi pusat membeli-belah itu akan ditutup.

Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu. Dikecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas. Semacam ada fungsi zoom sahaja. Kepala digelengkan.

“Pelanduk dua serupa tu.”

Dia seakan terlihat Kaisar berjalan dengan seorang perempuan di tingkat bawah. Tapi apalah diharap matanya yang sedikit rabun tapi tak mengaku rabun. Mungkin orang lain. Nampaknya dia kena pakai juga cermin mata yang emaknya tempahkan.

Selepas agak lama, dia masuk kembali ke butik. Kelihatan Intan sedang membuat pembayaran di kaunter. Lega. Tidak perlulah mereka masuk ke butik lain. Bolehlah mereka makan. Perutnya sudah berkeroncong lapar.

“Dah settle?”

“Dah. Jom makan.”

Sara mengikut sahaja langkah temannya. Gadis itu yang hendak belanja. Takkan dia hendak demand lebih. Apa orang belanja, makan sajalah.

“Eh, tu bos aku dengan pakwe dia.”

Sara menoleh ke arah yang Intan tunjukkan. Zap! Terasa jantungnya bagaikan berhenti berdegup saat ini. Betullah apa yang dia

lihat tadi. Rasa hendak meraung dia di situ. Tapi sedaya upaya dia membuat muka selamba.

Handsome pakwe dia.” Hanya itu sahaja komen Sara. Sebenarnya dia sedang memujuk hati yang kecewa. Seperti yang dia jangka, Kaisar sudah ada kekasih rupanya. Dan kekasih lelaki itu beratus kali ganda hebat daripada dirinya.

“Memang handsome. Dia manager jugak rasanya. Tak pasti department apa. Dengar cerita diaorang bercinta sejak sekolah lagi.” Dia baru sahaja dinaikkan pangkat dan bertukar cawangan. Belum kenal sangat dengan pekerja lain.

Putus harapan. Mr. Destiny hanya tinggal nama. Akan jadi Encik Yang Tidak Ditakdirkan Bersama. Sedih! Pedih! Pilu! Kecewa! Tapi apakan daya, memang sejak awal lagi dia hanya bertepuk sebelah tangan.

“Kata bos aku, diaorang plan nak kahwin hujung tahun ni.”

Sara menahan diri daripada hendak menjerit. Terasa seperti dirinya ditimpa seketul komet. Berita perkahwinan itu betul-betul membuat hatinya hancur. Tapi kenapa hatinya  perlu hancur? Bukannya lelaki itu curang dan bukannya mereka ada hubungan pun.

“Kita tengah menghendap diaorang ke? Kalau macam tu bila nak makan?” Malas hendak melihat pasangan itu lagi. Hatinya sedang membengkak. Mujur dia tidak pernah tunjuk gambar Kaisar kepada Intan. Kalau tidak, memang dia akan malu besar.

“Kau ni kalau tengah lapar serupa raksasa dah.” Intan mengekori langkah sahabatnya.

 

 

PUKUL 10 malam Sara sampai di rumah. Emaknya belum pulang lagi. Selepas mandi dan menukar pakaian, dia duduk di sofa. Alat kawalan jauh dicapai dan TV dihidupkan. Dia mencari saluran drama Korea di Astro.

Walaupun terpampang wajah pelakon lelaki kegemarannya di skrin TV, dia langsung tidak berminat untuk menonton. Akhirnya dipadamkan sahaja siaran televisyen. Baru hendak bangun dan masuk ke dalam bilik, pintu terbuka. Segera Sara bangun dan mendapatkan emaknya. Memang kebetulan sangat dia hendak tidur, emaknya pun muncul.

“Belum tidur lagi?”

“Dah nak tidur, tapi mak balik. Tunggu mak, nak salam.” Sara menghulurkan tangan mahu bersalaman dengan emaknya.

“Sabtu depan kamu cuti, kan?”

Sara berfikir sejenak.

“Ha... Sabtu depan giliran Sara cuti hujung minggu. Kenapa mak? Nak pergi beli barang ke?”

“Mak dapat dua tempahan pulut kuning Sabtu tu. Dua-dua tempahan nak 100 bekas. Jadi mak kena buat 200 bekas. Sara boleh tolong mak, kan?”

“Banyaknya, mak. Kenapa tak tolak satu tempahan?” Terbeliak mata Sara dengan tempahan sebanyak itu.

“Ni pelanggan biasa mak. Memang sebulan sekali tempah pulut kuning. Tapi biasanya hujung bulan. Tak tahulah kenapa dia buat awal bulan kali ni. Mak dah tolak, tapi dia nak bayar double.”

Tegak telinga Sara mendengar bayaran 2 kali ganda. Patutlah emaknya terima. Mujur juga dia cuti. Bolehlah dia menolong emaknya.

“Nanti Sara tolong mak. Sekarang Saranak tidur. Besok nak kerja.”

“Ha, yalah.”

Sekali lagi Sara bersalam dengan emaknya. Usai mencium pipi emaknya, dia terus bangun dan masuk ke dalam bilik. Tubuh dihempaskan ke katil. Mujur emak tak perasan mukanya yang muram tadi.

“Mr. Destiny... kenapa awak nak kahwin cepat sangat?” Sara mengeluh. Bukan urusan dia Kaisar hendak berkahwin dengan siapa dan bila. Dia yang gedik terlebih kerana kononnya ada hati dengan lelaki itu. Bukannya Kaisar tahu dia ada hati kepada lelaki itu pun.

Wake up Sara. Jangan nak buat drama hatiku hancur berkeping-keping kat sini. Bukannya dia kekasih kau.” Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus perlahan. Dia baring mengiring. Bantal guling dipeluk.

“Mr. Destiny... sampai hati awak. Awak jahat. Awak kejam!”

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment