SELEPAS makan tengah hari, dia terus ke bendang. Kononnya hari ini dia akan belajar bersama Hafiz. Memang taklah dia hendak ke sana. Cukuplah lelaki itu menghinanya. Mentang-mentanglah dia tiada ibu dan ayah, lelaki itu hendak tunjuk lagak pula.
Setiap kali dia teringatkan asal usulnya, mulalah hatinya berubah sebak. Dia pun manusia biasa. Tipulah kalau dia tak cemburu melihat rakan-rakannya mempunyai keluarga yang lengkap. Apa yang dia tahu daripada mulut orang kampung, ibu dan abahnya berpisah selepas melahirkannya. Paling membuatkan hati Hanan sakit, ibunya dituduh melarikan diri ke bandar kerana tidak mahu hidup susah bersama abah.
Walaupun abah dan atuknya selalu menafikan hal itu, dia sendiri musykil dengan cerita itu. Takkan seorang ibu tergamak meninggalkan anak tanpa sebab. Boleh jadi dia hanyalah beban kepada wanita itu. Keluhan kasar terlepas daripada bibirnya.
“Mengeluh lagi. Kali ni, masalah apa pula?” soal Amar. Dari tadi lagi dia perasan wajah gadis itu yang dalam keadaan keruh.
“Aku fikirkan masa depan aku.”
Ternaik kening Amar. Dia duduk menghadap gadis itu.
“Kenapa tiba-tiba pula?”
“Entahlah. Aku masih tak ada hala tuju. Tak lama lagi nak STPM. Aku tak yakinlah boleh buat yang terbaik.”
“Kau yang cari penyakit. Tengok macam aku. Habis SPM, terus kerja. Tak payah aku serabutkan kepala dengan belajar lagi.”
Mencebik bibir Hanan. Bercakap memang mudah. Yang kenanya dia juga. Dia kenal sangat dengan atuknya itu. Jangan haraplah dia boleh bekerja selagi tidak habis belajar.
Walaupun keputusan SPMnya hanya cukup makan, dia masih layak menduduki kelas tingkatan enam. Disebabkan itu, atuk membantah keras dia bekerja.
“Tak payah peninglah. Aku dah fikir rancangan untuk masa depan kau.”
Berkerut dahi Hanan. Wajah Amar dipandang dengan riak keliru.
“Maksud kau?”
Tersengih-sengih Amar. “Kau habis belajar, aku masuk meminang. Boleh?”
Hanan mencapai buku rujukan dan dihentak kuat ke kepala Amar. Menjerit lelaki itu sambil terus tegak berdiri. Boleh tahan kuat juga Hanan mengetuk kepalanya.
“Otak kau tercicir dekat bendang agaknya. Pergi cari! Nak bergurau, agak-agaklah.”
“Tulah kau, selalu tak percayakan aku.” Masam mencuka wajah Amar. Kepalanya digosok menahan perit.
“Memang taklah aku nak kahwin dengan kau. Kerja pun minta duit dekat mak dengan ayah kau, ada hati nak kahwin.” Hanan menjeling tajam.
Mereka berkawan baik sejak di tingkatan tiga. Masing-masing tidak pernah bercakap soal hati. Lagipun Amar selalu bertukar kekasih. Orang kata, cinta monyet. Apabila putus, dialah yang dijadikan tempat mengadu. Tapi ada satu persamaan antara mereka berdua. Mereka sama-sama benci Hafiz.
Nak tergelak pun ada. Hanya disebabkan Hafiz, boleh pula kekasih Amar sanggup meninggalkan Amar. Kononnya hatinya sudah beralih arah kepada Hafiz, padahal Hafiz langsung tak pandang si kekasih Amar itu. Kesudahannya, perempuan itu terlepas kedua-duanya. Amar pun sudah tak ingin menjilat ludahnya sendiri.
“Woi, berangan!” Bahu Hanan ditumbuk sedikit.
Menyeringai wajah Hanan. Bahunya digosok perlahan.
“Kau ada jumpa Hafiz?”
Wajah Amar terus berubah. Dia memandang ke arah lain.
“Tak ada sebablah nak jumpa dia. Dia pun sombong. Nak tegur pun susah.”
Hanan mengangguk setuju. Hafiz itu memang sombong namatey. Itu yang buat dia semakin menyampah.
“Jomlah kita tangkap ikan keli. Aku ada bawa jala ni.” Ternaik-naik kening Amar.
“Seriuslah. Aku memang rindu sangat nak jala ikan. Kalau dapat sekor dua pun okey.” Ceria wajah Hanan. Dilipat kaki seluarnya sehingga ke bawah lutut. Dia dan Amar sama-sama turun ke bendang dan pergi ke kawasan yang menjadi tempat kebiasaan mereka menangkap ikan keli.
Hampir sejam juga mereka menjala ikan. Banyak juga ikan yang mereka dapat hari ini. Baju Hanan pun sudah basah kuyup gara-gara terjatuh tadi.
“Hanat!”
Tegak terus tubuh Hanan. “Kau panggil aku apa tadi? Hanat?”
Laju Amar menggeleng.
“Aku mana ada cakap apa-apa.” Amar masih sibuk menarik jala. Tiba-tiba dia dituduh bercakap kasar pula.
“Woiii! Nurul Hanan!”
Sah, memang ada yang memanggilnya. Anak matanya meliar ke sekeliling kawasan bendang. Mengecil anak matanya sebaik saja terpandang Hafiz di atas motosikal.
“Sinilah, hanat!”
“Sesedap Ajinomoto dia panggil aku hanat. Memang nak kena dia ni,” bebel Hanan. Cepat-cepat dia melangkah pergi ke arah lelaki itu. Amar hanya memerhati sahaja.
“Nak apa?”
“Balik.” Tegang wajah Hafiz. Melihat baju Hanan yang sudah melekap ke tubuh, berkali-kali dia beristighfar dalam hati. Amar pun satu, takkan tak ada mulut nak menasihatkan Hanan? Suka sangatlah dapat lihat tayangan percuma!
“Kau tak payah sibuklah. Ooo... kau nak mengadu dekat atuk pula ke?”
“Balik, Hanan. Cukup-cukuplah kau tipu atuk. Kononnya pergi rumah aku, belajar. Tapi datang sini, buat kerja bodoh.”
Menyirap darah Hanan. Dahlah lelaki itu datang ke situ tak dijemput, sesuka hati mengarahkannya pulang. Malas Hanan mahu melayan.
“Atuk masuk hospital.”
Kaku tubuh Hanan. Tidak berkelip dia memandang wajah Hafiz.
“Kau jangan bergurau.”
“Aku masih waraslah nak bergurau perkara macam ni. Ada orang jumpa atuk pengsan dekat surau. Mereka dah bawa ke hospital.”
Hanan semakin gelisah. Bergegas dia mencapai beg dan buku sekolahnya. Belum sempat dia berlari, lengannya dicengkam kuat.
“Kau nak pergi mana ni?”
“Nak pergi hospitallah!”
“Agak-agaklah, Hanan. Tilik sikit tubuh kau dari atas sampai bawah.”
Hanan memandang ke bawah. Baru dia perasan kakinya penuh dengan selut. Baju dan seluar jangan cakaplah. Memang sudah basah kuyup.
“Ambil ni.” Hafiz mencampakkan baju hujan ke arah gadis itu. Nasib baiklah dia sentiasa membawa baju hujan di dalam raga motosikalnya.
“Nak buat apa?”
“Aku tahulah dekat sekolah kau tu bengap, takkan tak tahu sikit pun fungsi baju hujan?”
“Kau tu yang tak ada akal. Hari tak hujan, buat apa aku nak pakai!”
Terkulat-kulat Hafiz. Serba salah dia hendak menjawab.
“Kenapa diam pula?”
“Pakai ajelah, Hanan. Kita balik rumah dulu. Tukar baju. Mata aku ni dah banyak dosa pandang benda yang bukan hak aku.” Hafiz memandang ke arah lain. Pada masa yang sama, anak matanya bertemu dengan anak mata Amar. Lelaki itu masih ralit memerhatikan Hanan.
Hanan memandang tubuhnya sendiri. Cepat-cepat dia menyarungkan baju hujan ke tubuhnya. Malunya dia!
“Naik cepat.” Beg Hanan ditarik kasar dan diletakkan ke dalam raga motosikal.
Terpaksalah Hanan bersetuju pulang bersama Hafiz. Tidak sanggup dia pulang dalam keadaan begini.
“Amar, aku balik dulu!”
“Okey!”
Hanan duduk di belakang Hafiz. Kedua-dua tangannya memegang bahagian belakang motosikal. Tak ingin dia memegang lelaki itu.
Hafiz segera menunggang laju motosikalnya. Dia perlu segera menghantar Hanan ke rumah terlebih dahulu untuk menukar pakaian. Mahu sakit jantung Haji Hasan kalau melihat rupa cucunya itu sekarang.
HANAN KECEWA kerana tidak dapat menemani atuknya malam ini di wad. Terpaksalah dia pulang dan bermalam di rumah Mak Siti. Puas dia menolak, tetapi Pak Salim turut berkeras.
Di rumah Mak Siti, Hanan masih duduk termenung di beranda. Dia tahu atuknya kecewa disebabkan dia berbohong petang tadi.
“Hanan, kenapa duduk dekat sini? Dah lewat malam ni.”
“Hanan tak mengantuk lagi, Mak Siti.”
Mak Siti menarik nafas panjang. Sejak tadi gadis ini hanya berdiam diri. Hafiz sudah lama masuk tidur. Dia duduk di sebelah Hanan.
“Kenapa? Ada apa-apa yang mengganggu fikiran Hanan?”
Hanan tunduk bermain dengan jari sendiri. “Hanan selalu susahkan atuk.”
“Kenapa cakap macam tu? Atuk Hanan tak pernah cakap Hanan ni susahkan dia.”
Hanan mengemam bibirnya. Semasa di hospital, doktor ada memberitahu yang atuknya mempunyai masalah sakit jantung. Pembedahan terlalu berisiko disebabkan usia Haji Hasan yang telah berumur. Hanya ubat-ubatan yang perlu diambil untuk mengawal masalah penyakit lelaki tua itu.
“Hanan tak nak hilang atuk. Sebelum atuk pergi, Hanan nak sangat bahagiakan atuk.” Air mata yang ditahan sejak tadi menitis di pipi. Tak dapat dia bayangkan jika dia kehilangan orang tua itu.
“Janganlah fikir yang bukan-bukan. Kita berdoa aje. Yang penting sekarang, atuk dah stabil. Cuma lepas ni, Hanan janganlah menipu lagi. Mak Siti pun nak Hanan belajar dengan Hafiz.” Tubuh Hanan dipeluk dari sisi.
“Ya. Hanan akan belajar dengan dia nanti. Entah sudi ke tidak dia nak ajar Hanan.”
“Nanti Mak Siti beritahu Hafiz.”
Hanan mengangkat wajahnya. Pipi yang sudah basah tadi diseka perlahan.
“Kan bagus kalau Mak Siti ada anak lelaki sorang lagi.”
Ternaik kening orang tua itu. Pelik pula dia mendengar kata-kata Hanan.
“Kenapa Hanan cakap macam tu?”
Hanan tersengih malu. “Bolehlah Hanan jadi menantu Mak Siti. Tak perlulah Hanan nak panggil Mak Siti lagi.”
Tercengang orang tua itu. Dadanya terasa sebak.
“Tak perlu jadi menantu pun Hanan boleh panggil mak.”
Hanan menggeleng sambil tersenyum. Pinggang wanita itu dipeluk kemas.
“Hanan tak nak rampas Mak Siti daripada Hafiz. Dapat tumpang kasih sayang Mak Siti pun Hanan dah bersyukur sangat.”
Mak Siti tersenyum nipis. Bahu gadis itu ditepuk perlahan. Dalam masa yang sama, dia terpandangkan Hafiz yang sedang mengintai melalui celahan tingkap. Namun Mak Siti hanya membiarkannya sahaja setelah terlihat isyarat jari yang diletakkan di mulut oleh Hafiz.
Hafiz segera beredar masuk ke dalam biliknya, memberi peluang kepada Hanan bersama dengan Mak Siti. Di bilik, dia termenung di atas katil. Pada awalnya dia keluar dari bilik untuk membasahkan tekak. Melihat pintu rumah masih terbuka, dia mengintai melalui cermin tingkap. Tidak sangka pula dia ternampak gadis itu sedang menangis.
Mendengar kata-kata Hanan, dia akui agak tersentuh. Wajahnya diraup perlahan. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan gadis itu. Bukan disebabkan dia jatuh hati, tetapi lebih pada rasa bersalah.
No comments:
Post a Comment