Thursday, 20 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 6


SELEPAS seminggu berada di wad, hari ini Haji Hasan dibenarkan pulang. Hanan orang yang paling gembira. Selepas ini, tak perlulah lagi dia menumpang di rumah Hafiz. Syukur Pak Salim sudi membawa atuknya pulang dari hospital ke rumah.

Kos rawatan di hospital telah dijelaskan oleh Pak Salim. Semakin terhutang budi Hanan dengan keluarga Hafiz. Nak harapkan dia, manalah dia punya wang. Wang yang ada, hanya cukup membeli makanan untuk mereka dua beranak. Selepas ini, dia perlulah berjimat. Duit hasil getah pun sudah semakin berkurang. Atuknya lagilah tidak boleh bekerja kuat selepas ini.

“Atuk jangan nak keluar. Rehat dulu sampai betul-betul sihat.” Hanan membetulkan kedudukan Haji Hasan di atas katil.

“Bosanlah. Atuk nak duduk dekat beranda rumah. Dekat hospital kena kurung aje.”

“Atuk baru sampai rumah, takkan nak keluar.”

“Betul cakap Hanan tu. Pak Hasan rehatlah dulu ya.” Kali ini Pak Salim turut menegah. Terpaksalah orang tua itu menurut. Hanan keluar dari bilik untuk mengambil botol air supaya mudah atuknya membasahkan tekak. Tak perlulah berjalan sehingga ke dapur nanti.

Dia dapur, Mak Siti sedang sibuk memasak bubur untuk atuk. Mujurlah ada keluarga Mak Siti yang sudi membantu. Nak harapkan orang lain, memang tak ada yang sudi hendak membantu.

“Bubur ni Mak Siti dah siap masak. Kalau atuk nak makan, panaskan aje. Ni pula lauk untuk Hanan makan.”

“Susah-susah aje, Mak Siti. Hanan boleh masak kalau nak makan sendiri.”

Mak Siti tersenyum nipis. Dia mencapai beg tangan dan mendekati Hanan.

“Kalau ada apa-apa, beritahu kami. Mesej Hafiz pun boleh.”

Hanan sekadar mengangguk. Dia menghantar Mak Siti dan Pak Salim sehingga ke luar rumah. Hilang saja kelibat dua beradik itu, Hanan masuk ke dalam rumah semula.

“Atuk nak makan?” soal Hanan di muka pintu bilik.’

“Tak nak. Atuk kenyang lagi. Hanan bila periksa?”

Hanan duduk bersila di tepi katil. Sesekali dia memicit kaki orang tua itu. Jelas urat timbul di kedua-dua betis itu. Pasti kaki atuk sudah masuk angin.

“Dua minggu lagi.”

“Dah buat ulang kaji?”

Ermmm...” gumam Hanan. Nak jawab pun serba salah. Belajar celah mananya kalau fikirannya asyik risaukan atuknya itu.

“Assalamualaikum.”

Tegak terus tubuh Hanan. Itu suara Hafiz. Haji Hasan turut mengangkat kepalanya.

“Kejap ya, atuk.” Cepat-cepat Hanan keluar dari bilik. Diintai melalui cermin tingkap. Memang betul lelaki itu. Tadi bukan main sombong lagi tak nak ke sini. Sanggup membiarkan Mak Siti datang ke rumahnya dengan berjalan kaki.

“Nak apa?” jerit Hanan dari luar tingkap. Malas betul dia hendak keluar.

“Belajarlah. Aku tunggu kau dekat pangkin. Bawa buku Pengajian Am.”

Berdecit lidah Hanan. Dia baru nak melepaskan rindu dengan atuk. Suka betul lelaki ini merosakkan moodnya.

“Kau baliklah. Aku malas.”

“Kau jangan nak mengada-ada. Nanti aku juga yang kena. Turunlah. Sakit tekak aku ni dari tadi menjerit.”

“Aku tak suruh kau datang pun. Kau... arghhh!!!” Melompat Hanan disebabkan terlalu sakit. Telinganya yang dipulas tadi, digosok laju. Tertelan air liurnya melihat wajah atuk yang tegang.

“Pergi ambil buku. Nak belajar pun malas.” Mencerlung tajam mata orang tua itu. Dari tadi lagi dia mendengar cucunya terjerit-jerit. Tak malu agaknya jika ada orang sekeliling yang terdengar.

“Buat apa tercegat lagi?”

“Yalah.” Hanan menghentakkan kakinya sedikit kuat. Terkumat-kamit dia membebelkan si Hafiz. Beg sekolah diambil.

Sakit pula hatinya melihat wajah Hafiz. Duk tersengih dari tadi. Nak perli dialah tu!

“Kau mimpi apa semalam? Mimpi pasal aku ke sampai hari ni ajak belajar sekali?” Sengaja Hanan menyindir.

“Tak ingin aku. Kalau kau muncul dalam mimpi aku, tu mimpi ngerilah jawabnya.”

Nyaris Hanan hendak menumbuk wajah Hafiz. Namun terpaksalah dia menahan sabar apabila ternampak atuknya yang sedang duduk melepak di beranda. Degil betul orang tua itu. Dah disuruh berehat, nak juga ambil angin.

“Ini soalan percubaan tahun lepas. Kau baca dulu bab satu sampai lima. Lepas tu cuba jawab soalan ni.”

“Hesy... aku tak suka betul baca benda alah ni.”

“Baca ajelah. Pengajian Am ni penting. Kau kena lulus kalau nak sambung belajar. Bukan susah pun. Hafal ajelah perkara yang berkaitan.”

Menjuih bibir Hanan. Cakap memang senang. Tapi kalau dah namanya Hanan, apa sahaja yang perlu dihafal pasti jadi susah.

“Lepas STPM, kau tak ada hati nak belajar lagi ke?” soal Hafiz.

Hanan mengangguk laju.

“Habis tu, nak duduk kampung aje?”

“Kenapa? Hina sangat ke duduk dekat kampung?”

Hafiz mengeluh perlahan. Pantang ditanya, ada saja perkara negatif dalam fikiran gadis ini. Betullah cakap Haji Hasan, Hanan ini tidak pernah memikirkan masa depan.

“Takkan kau tak pernah ada impian sendiri?”

Terdiam Hanan. Tiba-tiba dia kehilangan ayat.

“Impian kau apa?” Kali ini giliran Hanan yang menyoal.

“Impian aku, nak jadi pereka hiasan dalaman. Sebab aku minat benda yang cantik dan dekorasi dalam rumah.”

Euuu... tak ada impian lain ke?”

Pap!

“Sakitlah!” Merah lengannya gara-gara ditampar tadi.

“Sekurang-kurangnya aku ada impian. Paling penting, aku nak banggakan mak dan arwah ayah aku.”

Hanan menarik nafas lemah. Dia memandang ke arah atuk. Tersenyum dia. Dah terlelap orang tua itu di beranda rumah.

“Aku pun ada impian. Tapi aku tahu, impian aku takkan tercapai.”

“Kenapa pula? Kau tak cuba, manalah tahu lagi tercapai ataupun tidak.”

Hanan memandang Hafiz. “Aku nak jumpa mak aku.”

Kelu lidah Hafiz. Wajahnya terus berubah.

“Itu impian aku. Kalau aku dapat jumpa dia, aku nak tanya, kenapa dia tinggalkan aku dan arwah abah?” Sebak dada Hanan. Selama ini, dia tidak pernah menceritakan isi hatinya kepada sesiapa. Termasuklah dengan atuk. Tapi apabila Hafiz menyebut tentang impian, hanya perkara itu yang muncul dalam fikirannya.

Errr... kau baca buku ni sekarang. Dari tadi asyik aje berbual. Bilanya nak jawab soalan ni nanti.”

Hanan menarik nafas panjang. Dengan mata yang separuh mengantuk, digagahkan juga dirinya membaca perkara yang membosankan dalam buku itu.

Hafiz masih lagi memerhatikan Hanan. Pertama kali dia melihat sisi lemah gadis itu. Nafas dihela sedikit berat. Tak tahulah apa reaksi Hanan sekiranya rahsia pak su dan ibu

Hanan terbongkar suatu hari nanti.

 

MERDEKA!!! MAHU saja Hanan menjerit sekuat hati sebaik saja tamat menjawab kertas peperiksaan yang terakhir STPM. Hampir pecah juga kepalanya mahu menjawab kertas soalan sepanjang tempoh itu.

Soal lulus atau tidak, ditolak ke tepi. Apa yang penting, dia sudah buat yang terbaik dan menunaikan permintaan atuknya. Sepatutnya dia sudah boleh bekerja dengan pak su seperti yang dirancang. Disebabkan kesihatan atuk masih belum stabil, Hanan membuat keputusan untuk menangguhkannya dahulu.

“Hanan.”

Terhenti langkah Hanan. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Lama sungguh mereka tidak berjumpa.

“Motor baru ke?” Hanan mengusap motosikal Amar.

“Ada rezeki, aku belilah sebiji. Jom Hanan, aku hantar kau balik.”

“Hesy... tak naklah. Nanti atuk aku mengamuk.” Walaupun dia dengan Amar memang baik, tapi tidak pernah sampai ke tahap naik motosikal bersama. Mahu dia dipancung  dengan Haji Hasan nanti.

“Sembanglah kau. Sombong pula. Hari tu, dengan Hafiz boleh.” Masam mencuka wajah Amar.

Terkebil-kebil mata Hanan. Dia cuba mengingat kembali perkara yang dikatakan oleh Amar itu. Baru dia teringat yang dia pernah menumpang motosikal Hafiz.

“Takkan dengan aku, kau tak percaya? Jomlah,” Amar masih memujuk.

“Bukanlah. Hari tu, darurat. Atuk aku kan sakit. Sebab tu aku tumpang dia.”

“Alaa... naiklah. Kau tak nak merasa ke naik motor aku ni?”

Hanan menggaru kepala yang tidak gatal. Tak sampai hati pula dia hendak menghampakan niat baik Amar.

“Jomlah. Aku belanja kau ais kepal.” Tangan Hanan ditarik agar duduk di belakangnya. Tiba-tiba bunyi deruman enjin motosikal yang agak kuat muncul di sebelah mereka.

Hanan cepat-cepat menarik tangannya. Bukan disebabkan takut dengan pandangan lelaki itu. Matilah dia kalau atuknya menerima aduan daripada Hafiz.

“Kenapa tak balik lagi?” soal Hafiz.

“Kau siapa nak sibuk hal dia?” Bengang Amar. Tak suka betul dia dengan reaksi Hafiz. Pantang dia bersama Hanan, pasti lelaki itu muncul.

“Kau tanya aku ke?” sinis cara Hafiz menyoal.

Hanan segera berdiri di tengah-tengah. Karang tak pasal-pasal, ada juga pertumpahan darah berlaku.

“Kau ni kenapa? Pergilah balik.” Terkeluar suara celah gigi Hanan.

“Kau jangan nak cari pasal, Hanan. Balik jalan kaki. Elok sangatlah balik dengan lelaki macam ni. Dah gaya bohsia.”

“Eh, dia ni dah lebih...” Nyaris-nyaris Amar hendak turun daripada motosikal tapi sempat dihalang oleh Hanan.

“Mulut kau ni suka sangat cakap perkara buruk pasal aku. Aku nak balik dengan dia, suka hati akulah. Kau tak ada hak dalam hidup aku!” Dada Hafiz ditolak kasar. Turun naik nafas Hanan. Memang pada awalnya diatidak mahu pulang bersama Amar. Tetapi disebabkan kata-kata Hafiz, terasa tercabar juga. Sesuka hati mahu menuduhnya seperti bohsia.

“Aku memang tak ada hak ke atas kau. Tapi sebagai orang yang kenal kau lebih lama daripada lelaki ni, tolong dengar cakap aku.”

“Boleh pergi jalanlah nasihat kau tu. Aku tak suka kau masuk campur dalam hidup aku. Jangan disebabkan kau pernah tolong aku belajar, aku kena dengar cakap kau. Kau tak ada hak untuk kawal hidup aku.”

Amar tersenyum sinis. Suka sangat dia melihat Hanan mengenakan lelaki itu.

Blahlah. Dengan perempuan lain bolehlah kau nak mengayat. Dengan Hanan, kau makan penampar aje nanti,” sindir Amar.

Tergerak-gerak rahang Hafiz. “Kau bukan lelaki yang baik. Aku tahu selama ni kau cuba nak ambil kesempatan dekat Hanan.”

“Kau jangan nak tuduh aku pula bro,” marah Amar. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

“Betullah cakap aku. Kalau kau lelaki baik, kau takkan sesekali pandang aurat dia tanpa hubungan yang sah. Dah lupa kejadian dekat bendang hari tu? Dan kau Hanan! Masih lagi nak berlagak jadi jantan?”

Pijar wajah Hanan. Malu apabila kejadian di bendang tempoh hari diungkit. Tapi dia yakin Amar tak pernah berniat jahat terhadapnya.

“Jomlah, Amar. Kita balik. Tak perlu layan dia. Dia bukan sesiapa pun dengan aku. Sibuk nak atur hidup orang.”

“Ooo... kalau aku ada hak, kau nak dengar cakap aku ke?” Lengan Hanan yang masih berlapik itu dicengkam kuat.

Terpaku Hanan. Mereka saling berpandangan.

“Kenapa kau tak jawab?”

“Lepaslah!” Tangan Hafiz ditepis kasar. Terasa lain pula cara renungan Hafiz. Malas nak melayan lelaki itu, bergegas dia duduk di belakang motosikal Amar. Sengaja diletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu Amar.

Amar menayangkan muka puas hati. Sebaik saja motosikal itu menghilang, Hafiz berpaling ke belakang. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

“Kau nak bercakap pasal hak, ya? Tunggu!”

No comments:

Post a Comment