Thursday, 20 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 7


Setahun lebih kemudian...

BERITA Hafiz dapat menyambung pengajiannya ke Jepun sampai ke telinga Hanan. Hampir setahun lebih lelaki itu melanjutkan pelajarannya di salah sebuah universiti tempatan, baru hari ini lelaki itu muncul di kampung.

Hafiz mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Walaupun dia menerima keputusan yang tidak begitu baik, atuk tidak pernah memperlekehkannya. Dia sudah cuba buat yang terbaik. Kesihatan atuk juga semakin baik sejak akhir-akhir ini. Pelik juga Hanan melihat atuk yang kelihatan ceria beberapa hari ini.

“Atuk...”

Ermmm...” gumam Haji Hasan sambil melipat daun rokok. Tembakau diletakkan sedikit di atas daun rokok itu.

“Muka atuk ni berseri-seri semacam aje. Atuk nak kahwin eh?”

“Hesy, ke situ pula! Atuk ni dah 70 tahun. Tak ada maknanya nak kahwin.”

Berdekah-dekah Hanan ketawa. Tidak dapat dia membayangkan jika atuknya berkahwin lagi. Selepas dilahirkan, dia tidak pernah melihat wajah nenek. Kata atuk, arwah nenek meninggal sebelum arwah abah berkahwin.

“Betul ke atuk tak kisah Hanan tak sambung belajar?”

“Dah setahun lebih, baru nak tanya?” sindir orang tua itu.

Terkulat-kulat Hanan.

“Atuk malas dah nak paksa. Kalau dipaksa, takkan jadi juga.”

Semakin lebar senyuman Hanan. Takut juga atuk membandingkan dirinya dengan Hafiz. Minggu depan rumah Mak Siti akan mengadakan kenduri doa selamat. Hafiz bakal bertolak ke Jepun beberapa hari selepas kenduri berlangsung.

“Nanti Hafiz pergi belajar jauh, Hanan tak rindu dia ke?”

Hanan membuat riak meluat. Tak ada maknanya dia nak rindu. Gembira lagi adalah.

“Rindulah juga. Kami kan dah lama kenal.” Mulutnya ditekup laju. Dia ke yang menjawab tadi? Pelik!

Haji Hasan menyembunyikan senyum. Belum sempat dia menyalakan api di hujung rokok daun, pemetik api di tangannya tiba-tiba dirampas. Cemberut wajah orang tua itu.

“Tak payah nak mengada-ada. Atuk mana boleh hisap benda alah ni. Jantung tu baru nak okey. Semua ni Hanan simpan.” Sebungkus rokok daun bersama tembakau diambil dan dibawa masuk ke dalam rumah. Ada hati lagi atuknya itu nak hisap rokok. Pantang sihat sikit, kerja nak membakar organ dalaman sahaja. Barang-barang tadi disimpan ke dalam laci hiasan.

Tiba-tiba, terdengar bunyi hon kereta dari luar rumah. Bergegas dia keluar dari rumah. Lebar senyumannya melihat Mak Siti datang bersama Pak Salim.

“Eh, Hanan tak siap lagi?” soal Mak Siti.

Hanan menggaru kepala yang tidak gatal. Rasanya dia tidak ada pula berjanji hendak ke mana-mana. Dipandang wajah atuknya. Haji Hasan masih beriak selamba.

“Aku tak sempat nak cakap dekat dia. Ralit sangat berbual.”

“Nak pergi mana?” soal Hanan dengan riak keliru.

“Tak payah banyak tanya. Pergi bersiap cepat. Pakai baju elok sikit. Jangan nak pakai seluar pendek pula.”

Bingung Hanan. Malas hendak bersoal jawab, dia segera masuk ke dalam rumah. Sementara menunggu gadis itu bersiap, Mak Siti dan Pak Salim duduk berbual bersama

Haji Hasan.

“Hanan dah tahu ke?”

“Belum.”

Tercengang dua beradik itu. Masing-masing saling berpandangan.

“Habis tu, takkan majlis tu berlangsung tanpa pengetahuan Hanan?” Mak Siti sudah beriak cemas. Jangan tiba-tiba majlis yang dirancang tidak jadi pula. Haru jawabnya.

“Tak perlulah risau. Aku kenal cucu aku tu macam mana. Dia takkan bantah kalau majlis tu berlangsung. Apa yang aku risau, kalau dia tahu sekarang, ada juga anak kau kena belasah dengan dia.”

Tergelak Pak Salim. Terbayang dalam fikirannya Hanan mengamuk lalu membelasah Hafiz. Selama ini, dia perasan anak saudaranya suka membuli gadis itu. Tapi yang pelik, Hafiz selalu sahaja mengalah kemudiannya.

“Tapi dia perlu tahu juga. Saya tak nak nanti dia salahkan kita sebab pandai-pandai buat keputusan ni.”

“Kita dengarlah cakap Pak Hasan. Mungkin ini yang terbaik untuk mereka berdua,” celah Pak Salim.

Mak Siti kelihatan gelisah. Ketika dia mendengar permintaan Hafiz beberapa hari yang lepas, dia terus menyatakan hasratnya kepada Haji Hasan. Tak sangka segalanya berjalan lancar apabila orang tua itu bersetuju. Apa yang menjadi masalah, tuan badan masih tidak tahu perkara yang sebenar.

“Hanan dah siap. Kita nak pergi mana?”

Mak Siti dan Pak Salim segera bangun.

“Adalah. Sampai sana nanti, Hanan tahu.” Mak Siti menarik tangan Hanan supaya mengikutnya masuk ke dalam kereta.

Hanan sekadar menurut. Mungkin dia diajak untuk membeli barang-barang mentah sempena kenduri Hafiz agaknya. Sempat dia melambaikan tangan kepada atuknya sebelum kereta Pak Salim meninggalkan rumah itu.

Haji Hasan tersenyum pahit. Bukan niatnya untuk membelakangi si cucu. Hanya ini yang terbaik untuk masa depan cucunya itu nanti.

 

PELIK HANAN. Semalam dia dipaksa oleh atuk untuk bermalam di rumah Hafiz. Nasib baiklah anak tunggal Mak Siti itu bermalam di rumah Pak Salim. Pada awalnya dia enggan kerana risau akan atuknya itu. Tetapi memikirkan majlis doa selamat di rumah Mak Siti akan berlangsung esok, terpaksalah dia mengalah. Manalah tahu kalau-kalau Mak Siti memerlukan pertolongannya.

Tapi lain pula yang berlaku apabila dia tiba di sini semalam. Segala persiapan sudah siap. Khemah juga sudah terpasang di hadapan rumah Mak Siti. Siap ada pelamin kecil lagi di tengah rumah.

Dia sudah tahu Hafiz bakal bertunang hari ini ketika dia keluar menemani Mak Siti beberapa hari yang lepas. Tipulah kalau dia tak berkecil hati dengan lelaki itu. Walaupun mereka tidak pernah sebulu, tidak salah lelaki itu menceritakan sedikit tentang majlis pertunangan itu kepadanya.

Dia cuba mengorek maklumat daripada Mak Siti. Pandai betul orang tua itu berahsia. Kata Mak Siti, nanti dia akan tahu juga siapa tunangan Hafiz. Tak sangka, ada juga perempuan malang yang mendapat tunang seperti Hafiz.

Awal pagi lagi, Hanan sibuk membantu Mak Siti didapur. Kerja memasak tidak diperlukan sangat kerana wanita itu lebih senang menggunakan perkhidmatan katering. Hampir jam 11 pagi, tiba-tiba dia ditarik oleh Mak Siti agar masuk ke dalam bilik. Dia yang tidak faham apa-apa sekadar menurut sahaja.

Di dalam bilik, ada seorang wanita yang bersolek tebal sedang menunggu mereka. Wajah wanita itu kelihatan terkejut sebaik saja melihat penampilan Hanan.

“Ini ke orangnya?” Tidak berkelip mata wanita itu menyoal.

“Ya, Joyah. Kau tolong siapkan dia. Tengah hari nanti, majlis dah nak mula.”

Terpinga-pinga Hanan.

“Yalah. Tapi tengok daripada penampilan dia ni, banyak nak kena repair.

Tak sedap hati pula Hanan dibuatnya. Apa benda orang tua ini bercakap? Ingat dia ni mesin agaknya sampai nak kena baiki!

“Apa-apa ajelah. Hanan bersiap ya. Kejap lagi tunggu orang panggil Hanan keluar, baru keluar ya.”

Tidak sempat dia hendak bertanya, Mak Siti terlebih dahulu keluar dari bilik. Tangannya ditarik kuat agar duduk di kerusi oleh wanita yang bersolek tebal itu.

“Siapa nama?”

“Hanan.”

“Nama sedap. Tapi orangnya...” Berdecit lidah wanita itu sambil menggeleng perlahan. Dia mengeluarkan kotak alat solek dari beg yang dibawanya tadi. Muka Hanan dibersihkan dengan tisu basah terlebih dahulu.

Berkerut dahi Hanan. Tangan wanita itu cuba ditepis.

“Apa ni?”

“Duduk ajelah. Aunty Jo nak bersihkan dulu.”

Suara celah gigi wanita itu menggerunkan Hanan. Tak jadi dia hendak melarikan diri. Ketika wajahnya menerima solekan, matanya terasa berat. Tak sedar dia sudah terlelap hampir setengah jam. Setelah siap disolek, Mak Joyah mengejutkan Hanan.

“Bangun. Pakai baju ni.”

“Hah?” Hanan masih dalam keadaan mamai. Dia yang separa sedar, hanya merelakan dirinya dipakaikan baju kurung. Mulutnya menguap besar.

Tercengang orang tua itu melihat reaksi Hanan. Tak senonoh betul anak dara menguap begitu. Macam manalah Hafiz boleh berkenan dengan budak ini?

“Siap. Tak sangka, cantik juga budak ni.”

“Apa yang siap?” Hanan menggeliat malas.

Tiba-tiba ada seorang wanita muncul di bilik itu. Dia menggesa membawa Hanan keluar dari bilik.

“Dah nak mula ke?” soal Mak Joyah.

“Dah, kak. Bawa keluarlah dia ke depan.”

Mak Joyah membetulkan selendang di kepalanya terlebih dahulu. Hanan berdiri sambil melihat dirinya di hadapan cermin. Terpaku anak matanya seketika. Dia kenal dengan baju yang tersarung di tubuhnya. Tak silap dia, minggu lepas dia ada mencuba pakaian ini disebabkan Mak Siti ingin membelikan untuk bakal tunang Hafiz.

“Ke... kenapa...”

“Jom, kita keluar. Majlis dah nak mula. Pegang bunga ni.”

Tangan Hanan ditarik keluar dari bilik. Pucat wajahnya melihat beberapa orang tetamu yang berada di ruang tamu. Terasa tak terpijak kakinya ke lantai. Dia diarahkan duduk di atas pelamin.

Tidak lama kemudian, Mak Siti muncul dan duduk di sebelah Hanan. Tangan kiri gadis itu diraih. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manis Hanan.

Tertelan air liur Hanan. Cincin? Pelamin? Tunang? Cup! Takkanlah dia yang bertunang sekarang?

“Sekarang Hanan dengan Hafiz dah bertunang. Lepas Hafiz balik daripada belajar, baru kita buat majlis nikah. Lepas ni Hanan panggil mak aje ya.”

Hanan tersenyum kekok. Kepalanya ditolehkan sedikit ke hadapan. Saat itu, anak matanya bertembung dengan makhluk paling dibencinya sejak dulu.

Hafiz menayangkan senyuman senget. Dia segera mendekati gadis itu apabila diarahkan untuk duduk di sisi Hanan. Walaupun mereka duduk sedikit berjarak, dia dapat rasakan bahang amarah Hanan disebabkan majlis hari ini.

“Kau dah hilang akal ke?” bisik Hanan dengan suara celah gigi. Kecil besar saja dia memandang wajah Hafiz. Sudah setahun lebih menghilang, tiba-tiba muncul menjadi tunangannya pula.

“Senyum, Hanan. Nanti gambar tunang kita tak cantik,” Hafiz turut berbisik.

Selepas sesi bergambar, tetamu diminta menjamu selera. Hanan sempat menarik belakang baju Hafiz agar menunggunya di ruang tamu itu.

“Kau sengaja kenakan aku ke?”

“Memang. Kau yang cabar aku dulu. Dah lupa apa yang kau cakap depan lelaki tu dulu? Lain kali jangan cakap pasal hak di depan aku lagi sayangku, Hanan.”

Tergamam Hanan. Lidahnya tiba-tiba kelu.

“Cepat betul kau cair dengan ayat aku.” Hafiz mengenyitkan matanya sebelum berlalu pergi.

Cepat-cepat Hanan tersedar daripada dunia nyata. Boleh pula dia terpesona dengan ayat lelaki tidak guna itu! Terduduk lemah dia di atas pelamin.

“Hanan...”

Hanan mengangkat wajah. Tubir matanya sudah berkaca.

“Atuk... kenapa....” Tidak sanggup dia hendak menghabiskan ayatnya. Hendak marah, tapi semuanya telah terjadi.

“Maafkan atuk buat keputusan tanpa berbincang dulu. Atuk buat semua ni demi kebaikan Hanan.”

Menitis air mata Hanan di pipi. Memang dia sangat marah sekarang ini. Kalau dia tahu majlis ini untuk dirinya, memang sudah lama dia lari dari kampung ini.

“Cucu atuk cantik sangat. Impian atuk dah termakbul. Lepas ni, Hanan jangan lupa status Hanan sebagai tunangan orang.” Kepala cucunya diusap lembut.

“Hanan tak suka dia.”

“Orang kata, kalau benci, lama-lama jadi sayang,” seloroh Haji  Hasan.

“Atuk!”

Berdekah-dekah orang tua itu ketawa. Hanan memeluk erat pinggang lelaki itu. Tak tahulah apa nasibnya selepas ini. Memang satu kerja gila apabila dia tiba-tiba bergelar tunangan Hafiz.

No comments:

Post a Comment