Thursday, 3 February 2022

Nina - Bab 1


“MAK CIK, tolonglah saya mak cik...” Zahrah merayu dengan linangan air mata. Kalau disuruh sujud di kaki wanita itu, dia sanggup. Sudah lama dia menunggu di hadapan pintu. Sejak sejam yang lalu. Dia ingat-ingat lupa jalan ke Vila Teratai. Mujur jumpa. Besar harapannya agar wanita itu berbelas hati dan memberikannya duit.

“Halau dia.” Tengku Soleha terus pusingkan tubuh untuk masuk ke dalam.  

Sebelum orang gaji menutup pintu, sempat Zahrah meloloskan diri masuk lalu membuntuti

Tengku Soleha. Lari dan berdiri menghalang wanita itu. Saat Tengku Soleha berhenti melangkah, Zahrah rapatkan kedua-dua belah tangan. “Tolonglah saya mak cik.”

“Mak cik, apa mak cik! Panggil aku Tengku Soleha, faham tak?” Tanpa belas kasihan, Tengku

Soleha menolak kasar tubuh gadis itu.

Zahrah terpelanting ke belakang. Namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk merayu. Dia harus pulang membawa duit walau dengan apa cara sekalipun. Mama dan adiknya sedang menunggu di bilik sewa mereka.

“Mak cik... adik saya sakit tenat mak cik.” Kali ini Zahrah memeluk kaki Tengku Soleha pula. Terus merayu secebis kasihan dari wanita separuh umur itu.

Tengku Soleha berang bila Zahrah berani menyentuh kakinya. Rambut Zahrah ditarik dan memaksa gadis itu berdiri. Jeritan kesakitan gadis itu langsung tidak berbekas di hatinya. Marah yang menyelimuti hati membuatkan nilai kemanusiaannya hilang.

“Kalau mak kau mati sekalipun aku tak kisah. Memang itu balasan untuk perempuan perampas macam mak kau, tahu tak? Dia memang patut mati. Kau dengan adik kau pun sama. Patut mati!!!” Tengku Soleha mengheret Zahrah menuju ke pintu masuk.

“Mak cik sakit! Sakit!!!” Terasa kulit kepalanya mahu tertanggal apabila badannya diheret oleh Tengku Soleha. Jeritan demi jeritan langsung tidak mendapat simpati dari sesiapa pun. Malah orang gaji yang berada di situ hanya mampu berdiri tegak.

“Kau sakit, hati aku lagi sakit bila mak kau curi suami aku! Kau patut malu lahir dari perut perempuan perampas macam tu!!!” Tengku Soleha mencampakkan Zahrah keluar dari pintu. Terasa kepuasan bila dia dapat menyakiti anak kepada perempuan yang paling dibencinya. Kalau tak dapat emak, anaknya pun jadilah.

“Aku tak nak tengok muka kau lagi. Aku harap kau dengan mak kau mati. Itu hukuman untuk perempuan yang rampas suami orang!”

Kepala Zahrah berdenyut sakit namun hatinya lebih sakit lagi. Kata-kata Tengku Soleha terpaksa ditelan ibarat ubat yang sangat pahit. Kenyataan yang sukar untuk dia terima. Dia baru tahu status mamanya sebagai isteri kedua selepas kematian papanya.

“Johan, hambat dia keluar! Jangan bagi dia jejak kaki lagi masuk rumah saya.”

Berdentum bunyi pintu dihempas. Zahrah hanya mampu menangis melihat pintu tertutup. Bukan sahaja harapannya untuk meminta sedikit wang tidak kesampaian, malah kepalanya turut sakit. Dia terduduk di situ tidak mampu bergerak. Harapannya sudah hancur berkecai.

“Zahrah, bangun.”

Zahrah membiarkan Johan membantunya untuk bangun. Saat itu dia betul-betul tidak berdaya.

“Pak cik, adik saya demam panas. Saya cuma nak minta duit tambang teksi je.” Dengan linangan air mata, Zahrah bercerita. Berharap pemandu ayahnya bersimpati.

“Jom kita bawa adik pergi hospital. Kita guna kereta pak cik ya... Tengku Soleha tak bagi guna kereta Tengku Khalid.” Johan memimpin gadis itu keluar dari kawasan rumah banglo milik majikannya. Dia mengenali Zahrah sejak kecil lagi. Memang sedia maklum dengan status perkahwinan kedua arwah Tengku Khalid. Puan Marina, isteri kedua majikannya sangat baik dan lemah lembut. Jauh berbeza dengan Tengku Soleha.

“Cepat pak cik! Adik demam panas dah 2 hari. Mama tak bagi Zahrah minta tolong kat siapa-siapa.” Zahrah berlari-lari anak sambil mencari di mana letaknya kereta Johan. Sebaik sahaja ternampak kereta Kancil milik lelaki itu, dia tersenyum gembira.

“Pak cik, cepat...” Zahrah sudah pun berdiri di sebelah pintu tempat penumpang.

Johan segera menekan alarm. Mengizinkan Zahrah masuk ke dalam keretanya. Sementara dia sendiri masuk ke bahagian pemandu.

“Zahrah duduk kat mana sekarang?” tanya Johan.

Ini kali pertama dia berjumpa Zahrah selepas kematian arwah Tengku Khalid. Sudah hampir 6 bulan Tengku Khalid meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Johan dan isterinya sedang menunaikan umrah ketika kejadian itu. Berita tentang kemalangan itu mereka hanya ketahui daripada anaknya. Dan apabila dia pulang ke tanah air, Puan Marina dan keluarganya sudah keluar dari rumah peninggalan Tengku Khalid.

“Kami dah pindah. Kami duduk kat bilik sewa rumah kedai. Yang ada 7E tempat Zahrah beli Slurpee selalu tu.”

“Oh.” Johan tahu tempat itu.

“Kenapa sampai tak ada duit langsung Zahrah? Tengku Khalid kan ada masukkan duit tiap-tiap bulan. Rasanya akaun Zahrah dengan Ariff pun ada duit, kan? Ada berpuluh ribu.” Johan jadi hairan kenapa Zahrah sampai harus minta belas Tengku Soleha.

Ermm.” Zahrah seakan berat hati untuk

menjawab.

“Zahrah tak cuba minta tolong kat atuk?” soal Johan lagi sambil memandu. Tidak mahu memaksa gadis itu menjawab.

“Lepas ayah meninggal, baru Zahrah tahu kenapa atuk benci sangat dengan kami. Rupanya mama kahwin dengan suami orang.” Zahrah mengesat air matanya. Matanya sedikit bersinar saat ini. Bantuan Johan amat bermakna buatnya.

“Pak cik lupa.” Johan sedia maklum akan kedua-dua orang tua Puan Marina. Sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan orang lain tetapi kahwin lari dengan Tengku Khalid. Matanya menjeling Zahrah seakan ada sesuatu yang gadis itu mahu katakan.

“Zahrah nak cakap apa?”

“Sebenarnya, Tengku Soleha dengan Tengku Jamilah paksa mama keluarkan semua duit kami dan bagi pada dia. Kata Tengku Soleha, mama perampas, mama tak berhak satu sen pun atas harta papa. Barang kemas mama pun dia rampas. Ini pun dapat sewa bilik lepas mama jual cincin kahwin mama,” terang Zahrah.

“Masya-Allah...” Johan tak sangka Tengku Soleha tergamak berbuat begitu. Namun itulah dia

tindak balas seorang isteri yang ditipu suami sendiri. Sudah berkali-kali dia menggesa Tengku Khalid agar berterus terang dengan Tengku Soleha. Namun Tengku Khalid sentiasa mengelak. Dia tidak mahu sakitkan hati isteri pertamanya.

Tengku Soleha disahkan tidak boleh mengandung kerana rahimnya dibuang selepas terlibat

dalam kemalangan. Tengku Khalid mahukan zuriat. Maka wujudlah perkahwinan yang dirahsiakan ini.

“Zahrah tak sekolah ke?” Johan bertanya lagi sambil matanya melihat gadis itu. Pasti perit bila mengetahui statusnya sebagai anak isteri kedua. Perkahwinan yang disorokkan oleh ayahnya selama ini.

“Kat sekolah semua orang ejek Zahrah anak perampas. Zahrah malas nak pergi sekolah, pak cik. Lagipun PMR dah habis. Tak datang pun tak apa.”

Sekali lagi Johan beristighfar dalam hati. Apa dosa anak ini sampai dihina sebegitu? Inilah penyakit masyarakat. Kalau emaknya bersalah, dosa akan terpalit sampai 7 keturunan. Bagaikan orang tiada akal dan tidak bertuhan. Salah Tengku Khalid kerana merahsiakan semua ini. Tapi bukan salah Zahrah lahir ke dunia.

“Pak cik, mama sewa bilik kat atas rumah kedai tu.” Telunjuk Zahrah menunjukkan bangunan rumah kedai di sebelah kanan.

Johan mengangguk lalu mencari petak kosong untuk memarkir kereta. Setelah itu, dia bergegas keluar dari kereta lalu mengekori Zahrah yang sudah pun melompat keluar. Perlahan-lahan, dia memanjat tangga ke tingkat 3. Walaupun sedikit mengah, dia gagahkan diri untuk naik.

“Adik!!!”

Johan mempercepatkan langkah sebaik sahaja terdengar jeritan Zahrah. Dia melihat pintu-pintu yang berderetan. Setiap bilik hanya dipisahkan oleh papan lapis. Tiada langsung kemudahan asas di situ. Melihat pintu terbuka Johan cepat-cepat masuk.

“Zahrah.” Johan menghampiri gadis itu. Dia tidak dapat melihat dengan jelas tubuh Ariff dengan Puan Marina kerana terlindung oleh kelibat Zahrah.

“Adik, bangun adik!” Zahrah menggerakkan badan Ariff yang terbaring di atas tilam nipis. Namun Ariff membeku. Zahrah beralih ke arah badan mamanya di sebelah adiknya.

“Mama... mama... bangun mama!” Zahrah menggoncangkan tubuh Puan Marina. Juga tiada respons.

“Pak cik.” Zahrah memandang Johan. Dia risau kalau-kalau ada sesuatu terjadi kepada mama dan adiknya.

Perlahan-lahan, Johan duduk melutut. Jari telunjuknya diletakkan di bawah hidung Ariff. Tiada hembusan nafas dari kanak-kanak itu. Dahi itu disentuh. Sejuk. Dia berbuat perkara yang sama pada Puan Marina. Johan meraup wajahnya. Air mata yang hampir menitis cuba ditahan. Dia menarik selimut di kaki Ariff dan menutup kedua-dua tubuh itu.

Innalillahiwainnailaihirojiun.” Johan menarik selimut menutupi tubuh dua beranak itu. Matanya dihalakan ke arah Zahrah yang tiba-tiba terdiam. Dia tidak pasti apa perasaan gadis ini sekarang.

“Kenapa pak cik selimutkan mama dengan adik?” soal Zahrah bingung.

“Mereka dah tak ada Zahrah.” Johan menjawab perlahan. Dia terduduk di situ. Kedatangannya untuk membantu sudah terlambat. Puan Marina dan Ariff telah tiada.

“Pak cik tipu kan...” Zahrah seakan tidak percaya. Dia mengengsot ke belakang dengan perlahan hingga badannya tersentuh dinding. Hatinya mahu membangkang kata-kata lelaki separuh umur ini tapi otaknya mengatakan kebenaran. Mama dan adiknya memang sudah tidak bernyawa.

Agak lama Zahrah diam. Matanya kelihatan tidak bercahaya. Dunia sudah berakhir di situ.

“Pak cik tipu!!!” Zahrah terus menerpa tubuh mamanya lalu dipeluk erat. Air mata mengalir laju. Dia yakin mamanya masih hidup. Johan hanya menipunya.

“Mama masih hidup. Mama takkan tinggalkan Zahrah sorang-sorang!” Zahrah menggoncangkan tubuh mamanya sekuat hati.

Johan meraup wajahnya. Air mata yang ditahan menitis satu per satu. Tangisan Zahrah meruntun hatinya.

“Mama... bangun mama!!!” jeritan Zahrah mengejutkan seluruh tingkat satu bangunan rumah kedai itu. Perlahan-lahan di hadapan bilik Zahrah dipenuhi manusia.

No comments:

Post a Comment