“ZAHRAH, lepas ni Zahrah kena tinggal dengan nenda Zahrah, Tengku Ishak. Hidup Zahrah
akan lebih baik lepas ni.” Johan dan Zahrah sama-sama meninggalkan tanah perkuburan. Jenazah Puan Marina dan Ariff sudah selamat dikebumikan.
“Tengku Ishak tu siapa?” Pertama kali Zahrah mendengar nama itu.
“Tengku Ishak tu papa kepada ayah Zahrah,” jelas Johan. Buat masa ini Tengku Ishak berada di luar negara atas urusan perniagaan. Dia sudah maklumkan semuanya kepada Tengku Ishak dan lelaki itu mahu menjaga satu-satunya cucu yang dia ada.
“Macam mana kalau Tengku Ishak tu jahat macam Tengku Soleha?” Zahrah mula berprasangka buruk.
“Ayah Zahrah anak tunggal dia. Ini menjadikan Zahrah satu-satunya cucu kandung Tengku Ishak. Dia tak akan apa-apakan Zahrah... percayalah.”
Johan tahu bukan mudah untuk meyakinkan Zahrah saat ini. Gadis ini banyak menderita kerana Tengku Soleha dan Tengku Jamilah. Tengku Jamilah adalah ibu kepada Tengku Khalid. Kerana sakit hati, Tengku Jamilah turut bersekongkol untuk menyembunyikan perkahwinan kedua Tengku Khalid daripada suaminya. Tengku Ishak pun baru tahu perkara ini daripada dia.
“Kalau Zahrah tak nak duduk dengan diaorang boleh tak? Zahrah takut.”
Johan terdiam. Dia sudah berjanji dengan Tengku Ishak untuk meyakinkan Zahrah. Namun perasaan gadis ini juga harus dia pertimbangkan.
“Kalau Zahrah tak tinggal dengan nenda, Zahrah nak tinggal dengan siapa?”
Zahrah terdiam. Dia tiada sesiapa pun sekarang. Atuk dan nenek dah anggap mamanya bukan anak mereka selepas tahu mama isteri kedua. Pandai papa dan mama sembunyikan semuanya. Memang dia jadi anak terbuang sekarang.
“Atuk Zahrah tak datang?”
“Rasanya atuk tak tahu mama dah tak ada.” Zahrah menjawab sayu.
“Zahrah boleh jaga diri Zahrah sendiri. Zahrah bukannya budak kecik.” Zahrah begitu yakin. Dia sudah berusia 15 tahun dan hanya 4 bulan dari sekarang akan genap 16 tahun.
“Zahrah nak jaga diri macam mana? Zahrah tak ada duit langsung. Lagipun Zahrah kena sambung belajar. Zahrah ingat tak ayah nak Zahrah ganti ayah dekat Mercu Holding. Kalau Zahrah tak belajar, macam mana Zahrah nak ganti ayah nanti?”
“Zahrah tak mahukan itu semua. Zahrah mahu jauh daripada semua orang yang bencikan Zahrah. Zahrah nak hidup tenang, pak cik.”
Johan menarik nafas. Dia tak ada upaya untuk memujuk Zahrah. Matanya dihalakan ke arah kereta BMW berwarna merah yang sudah sedia menunggu di luar kawasan perkuburan. Dan serentak itu Tengku Jamilah menjengulkan kepala dari tingkap. Johan sudah dimaklumkan yang Tengku Jamilah akan membawa Zahrah balik ke Vila Anggerik. Perkara ini belum dimaklumkan kepada gadis itu.
“Itu Tengku Jamilah, kan?” Zahrah tak mungkin lupa dengan wajah manusia yang menghalang dia dengan mamanya melihat jasad ayah buat kali terakhir. Kata-kata nista Tengku Jamilah masih terngiang-ngiang di telinganya. Malah wanita itu tergamak menendang mamanya.
“Dia buat apa kat sini?” Zahrah berkira-kira hendak lari dari situ. Tapi masalahnya hendak ke mana? Pintu pagar di hadapan mereka satu-satunya jalan keluar yang dia tahu.
“Dia nak jemput Zahrah balik ke Vila Anggerik.”
“Tak nak! Zahrah tak nak duduk dengan dia. Dia cakap Zahrah tak layak jadi cucu dia. Zahrah tak nak, pak cik.” Zahrah diselubungi rasa cemas. Tinggal bersama Tengku Jamilah ibarat menyerahkan diri untuk diseksa. Dia tak rela tinggal bersama dengan manusia yang menghina keluarganya.
“Pak cik... tolonglah, Zahrah tak nak.” Zahrah merayu Johan. Memohon pengertian daripada lelaki itu.
“Okey, Zahrah tinggal dengan pak cik dulu sementara Tengku Ishak balik dari luar negara. Lagipun anak lelaki pak cik balik kampung. Zahrah tunggu kat sini ya. Pak cik jumpa Tengku Jamilah sekejap.” Johan meninggalkan Zahrah lalu mendapatkan pemandu Tengku Jamilah yang sedang berdiri.
Selepas sedikit perbincangan, Tengku Jamilah membuka pintu kereta. Johan berbicara dengan wanita itu. Sesekali pandangan mereka menghala ke arah Zahrah. Zahrah kecut perut melihat pandangan tajam Tengku Jamilah. Perempuan tua itu kelihatan seperti mahu menelannya.
Matanya ternampak kelibat seorang perempuan yang memakai baju serba hitam. Perempuan itu adalah jiran sebelah biliknya. Pernah bertegur sapa dengan arwah mamanya dua tiga kali. Bersama perempuan itu adalah beberapa orang jiran sebelah bilik dia.
“Kak Zulaikha... boleh Zahrah tumpang kakak balik?” Zahrah mencelah antara mereka berempat. Tubuhnya yang kecil dengan mudah terlindung dari pandangan orang lain.
“Kenapa kau nak balik dengan aku? Bukan ke atuk nak bela kau nanti?” Zulaikha terkejut dengan kehadiran Zahrah. Disangkanya gadis itu sudah balik.
“Atuk kat luar negara. Kena tinggal dengan nenek. Nenek tu bila-bila masa je akan telan Zahrah. Dia tak akan izinkan Zahrah hidup. Zahrah takut.”
Zulaikha serba salah. Namun akhirnya dia mengangguk. Perlahan dia memberi isyarat agar semua yang ada di situ bergerak sambil mengepung Zahrah sampailah mereka tiba di van.
“ADA ORANG ketuk pintu bilik Zahrah tu. Tak nak jenguk ke?”
Zahrah menggeleng. Sejak balik dari tanah perkuburan tadi, dia berkurung di bilik Zulaikha. Dia tahu Johan pasti akan mencarinya. Tekadnya sudah bulat, dia rela jadi gelandangan daripada terpaksa tinggal sebumbung dengan Tengku Jamilah.
“Aku nak pergi kerja ni. Kau duduklah sini. Ada Maggi cup kat laci tu. Kau makanlah kalau lapar. Balik nanti aku belikan kau makanan.”
“Maafkan Zahrah sebab susahkan akak, besok Zahrah cari kerja. Tempat kerja akak tak ada kosong ke?”
Zulaikha ketawa. Kalau madam tahu perkara ini, memang cepat sahaja Zahrah akan dapat kerja. Gadis sunti seperti Zahrah tentu lumayan kalau dijual. Dia pun pasti akan dapat bahagian. Namun dia masih waras, Zahrah tidak sesuai bekerja di tempatnya. Cukuplah dia seorang yang terpalit dengan dosa.
“Lebih baik kau kerja kutip sampah daripada kerja kat tempat aku.” Dia harap Zahrah akan faham.
Zulaikha merapikan penampilannya. Skirt pendek paras paha menggantikan baju kurung yang dia pakai tadi. Tali halus yang tergantung di bahu juga dibetulkan. Kerja sebagai GRO memang menuntut dia memakai pakaian seminimum yang boleh.
“Tapi...” Zahrah faham maksud Zulaikha namun dia tidak kisah. Dia perlu bekerja untuk kelangsungan hidup.
“Aku cakap tak boleh kan. Bahagian mana yang kau tak faham? Balik nanti kita bincang.”
“Tapi Zahrah tak nak susahkan akak...”
“Kalau kau sebut lagi fasal ni, aku buka pintu dan beritahu mereka kau kat sini. Jangan desak aku.” Zulaikha berang. Dia tak mahu Zahrah jadi mangsa seperti dia. Sejak dia kenal Zahrah dan keluarganya 6 bulan lalu, dia jatuh sayang kepada gadis itu. Kalau umur arwah anaknya panjang, pasti sudah sebesar Zahrah.
Dia juga sama seperti emak Zahrah. Jadi mangsa tohmahan masyarakat. Dia mengandung anak luar nikah selepas dirogol sekumpulan pencuri yang masuk ke dalam rumahnya. Saat itu usianya baru 15 tahun. Dia enggan menggugurkan kandungan walaupun didesak keluarganya. Akhirnya dia mengambil jalan untuk lari dari rumah. Malangnya anak yang dia kandung mati sebaik sahaja menjenguk dunia.
“Okey kak, Zahrah faham.” Zahrah mengendur dan kembali duduk.
“Kalau faham, baguslah... Kalau kau nak duduk dengan aku, kau kena dengar cakap aku. Jangan degil. Tapi kau tak kisah ke duduk dengan perempuan kotor macam aku? Kau kan darah raja.” Zulaikha bersuara sinis. Zahrah berketurunan bangsawan manakala dia pula perempuan kotor. Memang tak sesuai langsung.
“Kita semua sama saja kak di sisi Allah. Kalau akak insaf dan mahu bertaubat, akak boleh jadi lebih mulia dari mereka yang mengaku baik tu. Kalau mampu saya buang gelaran Tengku pada nama saya... memang saya dah buang.”
No comments:
Post a Comment