Thursday, 3 February 2022

Nina - Bab 7


“NINA, ini maklumat Mastura yang kau nak.” Lutfi meletakkan fail berwarna biru ke atas meja makan. Tepat di sebelah mangkuk yang penuh dengan sayur-sayuran milik gadis itu.

Nina yang sedang menyuap salad ke dalam mulut hanya memandang fail itu. Sengaja dia menyuruh Lutfi mencari maklumat mengenai Mastura tunang Rafa.

Dari pemerhatiannya tempoh hari, Mastura seorang yang manja dan kuat cemburu. Kasihan Rafa ditampar oleh tunangnya sendiri. Kalau perlu, dia akan ugut Mastura agar membatalkan pernikahan dia dengan Rafa. Nina mencapai fail tadi dan menyelak helaian demi helaian kertas di dalamnya.

“Nina.” Lutfi menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan gadis itu. Terlukis kerisauan di wajahnya.

Hmmm...” jawab Nina. Matanya ralit membaca apa yang tercatat di atas kertas. Panggilan Lutfi dia buat tak tahu.

“Nina.” Sekali lagi Lutfi memanggil.

Nina angkat kepala. “Apa?” soalnya.

“Perlu ke kau kahwin dengan Rafa? Rancangan kau sebelum ni tak melibatkan Rafa pun. Kenapa tiba-tiba kau nak buat kerja gila ni?” Lutfi kurang senang dengan rancangan Nina yang mahu masuk ke dalam keluarga Tengku Soleha. Macam-macam perkara boleh berlaku dan dia tak akan dapat melindungi gadis ini.

“Aku akan rampas balik hak aku. Kau tahu kan, Butik Soleha dengan Soleha Clothing Factory tu dia tubuhkan hasil dari duit yang dia rampas daripada keluarga aku. Tapi bukan tu saja, aku akan pastikan dia tahu apa ertinya kehilangan.” Nina senyum sinis. Melihat Rafa, dia serta-merta menukar rancangan yang sudah dia atur.

“Dia akan kehilangan semuanya... orang yang dia sayang. Harta dia. Maruah dia. Harga diri dia. Perlahan-lahan aku akan seksa jiwa dia.” Nina berkata dengan penuh keyakinan. Dia akan pastikan wanita itu merasakan apa yang dia pernah rasa.

“Kau nak Tengku Soleha mati macam ibu kau ke?”

“Kalau perlu... ya.”

Jawapan Nina membuatkan Lutfi terkejut. Bibir yang bercalit lipstik merah menyala milik Nina menguntumkan senyum sinis. Dari raut wajah Nina yang serius, Lutfi tahu gadis itu tidak main-main. Nina tak pernah bergurau dengan kata-katanya.

“Nina...”

Stop!” Nina angkat sebelah tangannya. Menghentikan kata-kata yang bakal meluncur dari mulut Lutfi. Dia tahu apa yang lelaki itu mahu katakan.

“Kalau kau sayang aku, tolong aku. Lepas aku lunaskan dendam, kita balik Paris.”

Lutfi mengeluh. Dia tak mahu pulang ke Paris. Dia mahu tinggal di sini. Cukuplah 8 tahun dia hidup di negara orang. Memang dia senang-lenang hidup di Paris tapi hatinya tetap rindukan nasi lemak dan roti canai.

Rancangan Nina untuk pulang ke Malaysia membuatkan dia teruja. Sebab itu dia sanggup meminta bapa tirinya, Datuk Suffian untuk membantu mereka. Memberikan dia kerja dan mencarikan dia rumah. Terpaksa dia berbaik-baik dengan lelaki yang paling dibencinya itu.

“Aku akan bantu kau untuk dapatkan balik apa yang Tengku Soleha rampas dari keluarga kau, tapi aku tak setuju kalau kau sengaja masuk ke dalam lubang neraka. Kau ingat Tengku Soleha akan izinkan kau masuk dalam keluarga dia? Rafa pun tak mungkin sukakan kau sebagai isteri. Kau hanya akan tempah derita.” Lutfi luahkan semuanya. Dia dan Nina sebaya. Nina adalah adik angkat kepada ibu tirinya Zulaikha.

“Aku akan lebih puas hati kalau tengok muka Tengku Soleha sakit hati atau kecewa. Aku cuma nak sakitkan hati dia, bukan sampai nak membunuh.” Nina meyakinkan Lutfi.

15 tahun dahulu dia mengikut Zulaikha yang menjadi isteri keempat daddy Lutfi, Tan Sri Yusoff. Takdir Tuhan Tan Sri Yusoff sakit teruk dan hampir bankrap. Isteri pertama Tan Sri Yusoff terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Mama Lutfi, isteri kedua meminta cerai dan berkahwin dengan lelaki lain. Begitu juga isteri ketiga Tan Sri Yusoff. Tinggallah Zulaikha yang sanggup menjaga suaminya.

Selepas sembuh, Tan Sri Yusoff berpindah ke Paris dan membina kembali empayar perniagaannya. Di situlah dia berkenalan dengan Lutfi, satu-satunya zuriat Tan Sri Yusoff. Dia diberi peluang menyambung pelajaran dan mula berjinak-jinak dalam dunia modeling semasa dia melanjutkan pelajaran ke New York.

“Nina... kau satu-satunya saudara yang aku ada. Aku tak nak apa-apa terjadi kat kau. Aku sayang kau Nina.” Lutfi masih tidak berputus asa memujuk gadis itu.

“Kau jatuh cinta kat aku ke?” tanya Nina. Dia memang risau kalau-kalau Lutfi menyimpan perasaan cinta terhadapnya.

“Nina... kita ni kembar, lain mak lain bapak. Aku tak cintakan kau pun. Aku sayangkan kau sebagai seorang abang sayangkan adik dia.”

“Kalau macam tu kau akan tolong aku kan. Kita kena susun rancangan macam mana aku nak jadi isteri Rafa. Tak sabar nak tengok muka terkejut Tengku Soleha.”

“Nina...”

“Kau jangan risau, perkahwinan ni sekejap saja. Tak melibatkan perasaan pun.” Nina masih berusaha meyakinkan Lutfi. Senyuman meleret dia pamerkan dengan mata dikelipkan berkali-kali. Lutfi terus palingkan wajah ke arah lain. Tidak mahu terpedaya dengan Nina.

“Perkahwinan bukan perkara main-main Nina.” Lutfi kembali pandang si gadis. Senyuman meleret Nina tadi sudah hilang.

“Aku pun tak main-main Fi.” Nina berwajah serius. Agak lama mereka berpandangan. Nina dengan wajah seriusnya.

Lutfi berpeluk tubuh sambil melawan pandangan mata dengan Nina. Nina yang mula-mula dia kenal sangat berbeza. Gadis naif dan manja sudah bertukar rupa sejak menjadi model. Mekap tebal menjadi peneman setiap hari walaupun hanya berada di rumah. Sengaja menyembunyikan rupanya yang sangat mirip dengan Tengku Khalid.

Lutfi melepaskan keluhan kasar. Bila berdepan dengan Nina dia pasti kalah. Gadis itu tak pernah gagal untuk memujuk dia mengikut segala kemahuannya.

“Okey aku bantu kau. Dalam fail tu ada jadual kerja Rafa untuk seminggu. Mungkin kau boleh approach dia waktu lunch meeting.” Lutfi sudah menyiapkan segala-galanya. Dia tahu sangat yang Nina tak akan dengar kata.

“Bagus. Macam mana kau boleh dapat ni?”

“Aku curi diari PA dia. Syarikat bapak tiri aku ada usaha sama dengan Merak Kayangan Holding.” Tak perlulah dia ceritakan kepada Nina bagaimana dia mendapat jadual itu. Yang penting itu akan membantu Nina mendekati Rafa.

“Aku tahu kau memang sayangkan aku.”

Nina leka meneliti jadual Rafa. Kepalanya sudah merencanakan sesuatu. Matanya terlihat lunch meeting di Restoran Pucuk Pisang pukul 1 tengah hari. Nina jeling jam di tangannya. Sempat lagi untuk dia merancang pertemuan tak sengaja dengan Rafa di sana.

“Aku nak bersiap dulu.” Nina bangun lalu meninggalkan meja makan.

“Macam manalah perempuan ni mampu makan daun-daun ni. Bukan sedap pun.” Lutfi menguis salad kepunyaan Nina. Makanan harian gadis itu sejak bergelar model. Dia pun tak pasti adakah Nina akan meneruskan kerjaya modelingnya di sini.

Bibik!” laung Lutfi.

“Ya tuan.” Seorang pembantu rumah pertengahan usia muncul dari dapur.

“Simpankan daun-daun si Nina ni. Makan pandai, kemas tak pandai.” Lutfi menolak mangkuk salad ke arah pembantu rumah.

“Tuan makan di rumah apa di luar hari ini?”

“Saya dengan Cik Nina makan kat luar. Bibik masak untuk bibik dan juga pekerja lain.” Lutfi

memberi arahan.

“Makan malam?” soal bibik lagi.

“Tunggu saya call. Daun-daun Cik Nina ada lagi ke?”

“Sudah habis tuan.”

“Nanti pergi pasar raya beli barang dapur dengan Pak Rashid. Jangan lupa beli daun Cik Nina.” Lutfi mengeluarkan not RM100 sebanyak 5 keping dari beg duitnya.

“Baik tuan.” Bibik tunduk hormat dan kemudian berlalu dari situ.

 

“LUTFI... CANTIK tak?” Nina berdiri dengan gaun separas paha berwarna merah tersarung di badan. Bahagian dada Nina terdedah. Mekapnya juga lebih tebal dari tadi. Malah ditambah dengan bulu mata palsu.

“Rafa bukan lelaki buaya. Dia akan palingkan muka tengok dada kau tu. Pergi tukar baju.” Lutfi memberi isyarat dengan tangan. Sungguh dia tak berkenan melihat dada gadis itu yang terdedah.

Selepas 15 minit, Nina muncul dengan pakaian lebih sopan. Blaus sutera berwarna putih dipadankan dengan seluar palazzo bercorak bunga-bunga. Lutfi mengangkat ibu jari tanda bagus.

“Misi mengurat Rafa...” Lutfi bangun. Demi sebuah senyuman, Nina sanggup lakukan apa sahaja.

“Nanti kau ambil gambar tau. Lepas tu sebarkan kat paparazi... eh kat Malaysia ni ada paparazi ke?”

No comments:

Post a Comment