“TAK apa, Tan Sri uruskan mana yang perlu dulu. Nanti kita jadualkan semula lunch meeting kita. Assalamualaikum.” Rafa menamatkan perbualan. Telefon bimbit diletakkan di atas meja dan menu ditarik.
Hampir setengah jam dia menunggu kehadiran Tan Sri Johar namun kelibat tokoh perniagaan itu langsung tidak muncul. Baru sebentar tadi Tan Sri Johar menghubunginya untuk membatalkan lunch meeting mereka kerana anak Tan Sri Johar mengalami kemalangan jalan raya.
Mata Rafa tertumpu pada buku menu. Seleranya mahu makan lauk kampung sekarang. Terliur dia melihat senarai makanan yang tertera. Perutnya yang lapar minta segera diisi. Rafa meletakkan menu ke tepi. Matanya mencari pelayan.
“Hai Rafa. ”
Rafa terkejut dengan kehadiran gadis berbibir merah menyala itu. Namun dia cuba beriak selamba. Terus memanggil pelayan untuk mengambil pesanan. Matanya menjeling ke arah Nina. Nampak sedikit sopan perempuan itu hari ini. Tidak berpakaian terdedah seperti tempoh hari.
“Encik nak buat pesanan sekarang ke?” tanya pelayan yang datang.
“Saya nak ayam goreng berempah, tempoyak daun kayu dan juga sambal udang petai. Nasi putih 2. Minum... laici. You nak minum apa Nina?” Rafa perasan lapisan di dahi gadis di hadapannya. Pelik mendengar nama makanan yang dia sebut agaknya. Model seperti Nina memang pantang makan makanan berminyak.
“Sama,” jawab Nina pendek. Rafa langsung tidak menjawab tegurannya tadi. Tiba-tiba sahaja bertanya minuman apa yang dia mahu.
“Laici 2 ya dik. Terima kasih.” Rafa menyerahkan menu kepada pelayan tadi. Setelah itu mata Rafa beralih ke arah Nina. Gadis itu nampak bingung. Dia yang tiba-tiba datang menyerbu jadi bingung pula. Kalau Nina sangka dia akan melatah atau mengamuk memang silap.
“Nice to meet you Nina. I tak sangka model macam you minat makan masakan kampung. I thought lepas dah glamor di persada antarabangsa you dah lupa diri.” Rafa lemparkan senyuman sinis. Kelihatan senyum manis Nina bertukar kelat. Dia yakin telahannya tidak silap. Pasti Nina ada niat lain datang ke sini.
“Of courselah I tak lupa. Hujan emas di negara orang hujan batu di negara sendiri, baik lagi negara sendiri kan.” Senyum kelat Nina cuba ditukarkan jadi senyum manis semula. Mahu nampak biasa di mata Rafa.
“Good. Mujur I dah oder 2 nasi putih tadi. Kita share lauk ya. Banyak sangat I tak larat nak makan.” Rafa perasan pertuturan Nina agak berbeza dari pertama kali mereka berjumpa. Nina di depannya nampak lebih menggedik.
“I bet you mesti rindukan lauk kampung kan?” Rafa mengambil kertas yang diberikan oleh pelayan. Meneliti menu pesanannya. “Ayam goreng berempah, sambal udang petai untuk 2 orang makan. Okey. Betul.”
Senyum Nina mati. Rasanya Rafa hanya bertanya dia hendak minum apa. Bukan ajak makan
sekali. Omg! Dia kena makan nasi ke? Ayam goreng berempah pulak tu. Minyak berladung. Kalau tak silap tadi sambal udang petai. Yikes... busuk. Dia terlihat sengihan nakal di hujung bibir lelaki itu.
“Thank you Rafa. I’m really starving right now.” Nina buat-buat teruja. Dalam hati dia menyumpah Rafa. Takkan Rafa tak tahu sebagai seorang model memang pantang dia makan seperti yang lelaki itu pesan tadi. Berat badannya pasti akan naik berkilo-kilo.
“Alhamdulillah, Mastura tak suka lauk-lauk macam ni. Boleh naik berat badan katanya. Memang I teringin sangat nak makan lauk kampung tapi kalau keluar dengan dia, tak dapatlah. Makan tomyam pun sebulan sekali. Bagus juga you kan.”
Sekali lagi Nina senyum kelat. Hidungnya terbau tempoyak dari meja sebelah. Serta-merta tekaknya rasa mual dan hendak muntah namun ditahan sahaja. Dia mahu bersuara bila pelayan sampai membawakan pesanan.
Sebaik sahaja gelas berisi air laici diletakkan di atas meja, Nina segera menyedutnya kasar. Ketulan buah laici dimasukkan ke dalam mulut. Berharap bau laici akan menghilangkan bau tempoyak. Dia tersilap pilih tempat untuk mula menggoda lelaki ini.
Rafa tergelak melihat gelagat Nina. Kasihan pula dia melihat gadis itu cuba berlagak biasa. Dia tahu itu semua lakonan Nina. Dia memberi isyarat agar pelayan membawakan segelas lagi air laici.
“Jemput makan Nina.”
“Hmmm...”
Melihat Nina seakan tidak berminat, Rafa mencedok lauk untuk si gadis. Sesudu lauk sambal udang petai diletakkan ke pinggan Nina. Buntang mata Nina melihat biji-biji petai di atas pinggannya. Dia tak makan benda busuk ini.
“I pasti you rindukan petai kan. Why don’t you try some?” Rafa menyudu sedikit nasi dan sambal petai lalu disuakan ke bibir Nina.
Nina kunci mulut. Namun sebaik sahaja dia terpandang Lutfi angkat telefon tinggi, dia segera buka mulut. Peluang keemasan untuk menjadikan rancangannya lebih meyakinkan. Tanpa dipinta, Rafa sendiri menyuapkan makanan. Nasi dengan petai dikunyah perlahan.
Senyuman terukir di bibir Rafa. Siapa yang cuba menjerat siapa sekarang? Terpejam mata Nina cuba menahan rasa. Puas hati dia melihat gadis itu ‘terseksa’ begini.
“Sedap kan?”
Nina angguk. Dia telan makanan di dalam mulutnya.
“Excuse me, I nak pergi ladies.” Nina tak boleh bertahan lagi. Ususnya sudah menjerit, tekaknya sudah meraung. Makanan yang tak diundang harus dibuang.
Rafa bangun dan menarik kerusi untuk Nina. Sebagai lelaki, dia haruslah tunjuk sikap berbudi bahasa. Nina terus meluru mencari tandas. Sempat dia melirik ke arah Lutfi di meja berhampiran. Lelaki itu memberi isyarat yang rancangan mereka berjalan lancar. Nina menutup mulutnya menahan muntah.
Sebaik sahaja tubuhnya meloloskan diri masuk ke dalam tandas dia memuntahkan segala isi perutnya. Bau petai membuatkan dia bertambah loya. Dia muntah lagi sehingga perutnya betul-betul kosong. Dia berkumur namun bau dan rasa petai itu masih ada.
“Tak guna kau Rafa!” Nina mengesat mulutnya dengan tisu. Tak guna berkumur berpuluh kali sekalipun. Bau itu tetap ada. Tali flush ditarik. Nina keluar dari tandas. Sekarang dia harus membetulkan mekap dan lipstiknya.
“Kau boleh buat Nina. Demi dendam kau terhadap Tengku Soleha kau mesti buat. Ingat kehancuran Tengku Soleha.” Nina meniupkan kata-kata semangat kepada dirinya sendiri. Setakat sambal petai apalah sangat. Selesai mencalitkan lipstik, dia merapikan rambut dan pakaiannya.
“You can do it Nina.” Nina tersenyum melihat bayangan dirinya di cermin. Rafa bermain tarik tali dengannya. Tidak mengapa dia kalah sekarang. Besok atau lusa pasti akan tiba saat untuk dia menang.
Nina melangkah keluar dengan penuh keyakinan. Segaris senyuman tanda keyakinan dia pamerkan buat Lutfi. Nina Khalid belum jatuh tersungkur lagi. Rafa bukan tandingannya. Dengan senyuman yang masih lagi terukir, dia tarik kerusi lalu duduk.
“Lamanya you dekat ladies.”
“I dah lama tak makan sambal. So perut I meragam sikit. I makan ayam ajelah. Boleh kan,” sengaja Nina bersuara sedikit manja.
“I minta maaf, tadi I paksa you makan sambal pulak.”
“It’s okay, orang dah suap kan? Takkan nak tolak. By the way you tak risau ke kalau Mastura tahu you suap I tadi?” Nina menimbulkan nama Mastura.
Rafa tidak menjawab, sebaliknya dia teruskan makan. Bibirnya tersungging sengih yang aneh. Nina kerut dahi.
“Sebenarnya you yang kena risau, Mastura tak akan apa-apakan I. Tapi you... you pun nampak kan nasib pelayan kat restoran tempoh hari. I dengar dia melecur teruk.” Rafa tidak berniat mahu menakutkan Nina tapi memang itu yang Mastura akan lakukan. Dia pasti akan terlepas kerana tunangnya begitu gilakan dia.
“Oh really?” Sekali lagi Nina cuba berlagak biasa. Amaran Rafa tak boleh diambil ringan tapi dia sudah bersedia untuk segala kemungkinan. Tindakan luar jangka Mastura memang salah satu kemungkinan yang akan muncul nanti.
“Takut?”
“Takutkan Mastura? No. Orang yang menggunakan kekerasan untuk menunjukkan dia berkuasa, sebenarnya adalah orang yang paling kesunyian. Dirinya puas melihat penderitaan orang lain. Tapi dalam hati dia takut yang teramat sangat. Sama seperti Mastura yang tak berani nak marahkan you. You yang suap I tadi, kenapa pulak I yang harus
takut? Atau you patut takut Tengku Soleha tahu.”
“Okey, kita tunggu je. I hope you bersedia awal-awal. Mastura tu lain macam sikit.”
Betul kata Nina. Dia langsung tak kisahkan Mastura. Dia hanya fikirkan bagaimana kalau bonda tahu nanti.
“Kalau terjadi apa-apa kat dia, you jangan marah tau. Manalah tahu kan I pulak tersimbah asid kat muka dia.” Nina berseloroh. Lawak yang dia rasakan bakal membuatkan Rafa geli hati. Dan sebagaimana yang dijangka Rafa ketawa terbahak-bahak.
“Part tu I suka. I tak sabar nak tengok muka dia kena simbah asid. Kalau you berani buat, I hadiahkan kereta Fairlady I.”
Nina sepetkan mata. Tak percaya dengan apa yang keluar dari mulut Rafa. Takkan dalam hati Rafa langsung tidak terdetik suka atau sayang kepada Mastura. Rumah tangga bagaimana yang mereka akan bina nanti kalau hati Rafa langsung tiada ruang buat Mastura.
“Kenapa you buat muka pulak? Makanlah atau you nak I suapkan petai lagi?”
Nina lantas menutup mulutnya dengan tangan. Dia tak akan izinkan petai masuk ke dalam mulutnya lagi. Cukuplah penderitaan yang dia tanggung tadi.
“You ni cutelah.” Rafa ketawa.
“KAU OKEY ke Nina?” Melihat gadis itu keluar masuk bilik mandi Lutfi jadi risau.
“Okey kau tanya... aku dah berus gigi 3 kali tapi bau petai tu ada lagi. Aku harap gambar yang kau ambil tu cantiklah. Biar berbaloi aku kunyah petai tu.” Nina menarik laptop milik Lutfi. Di atas skrin terpapar ‘kemesraan’ antara dia dengan Rafa. Nina senyum puas.
“Good, cantik gambar-gambar ni. Pandai kau ambil gambar.”
“Tengok kakilah.”
“So, kita proceed next step. Kau boleh umumkan ‘kepulangan’ aku. Dapatkan job untuk aku dan sebarkan hubungan aku dengan Rafa.” Nina cuba membayangkan wajah Tengku Soleha melihat gambar-gambar dia dengan Rafa. Mesti Tengku Soleha kecewa dengan Rafa. Sudah bertunang tapi bermesra dengan perempuan lain.
“Kau betul ke nak ‘kerja’ balik?” Lutfi mahu pastikan Nina betul serius dengan keputusannya.
“Mastura kena tahu siapa aku dan yang paling penting aku nak kau dapatkan aku kontrak sebagai duta minyak wangi keluaran syarikat mama Mastura tu. Pastikan aku dapat, tak kisah berapa bayaran pun mereka nak bagi.”
“Tapi Nina...”
“Satu ni je wajib kau ikut kehendak diaorang, aku nak satu kerja ni je. Penting untuk aku balas dendam kat Tengku Soleha.”
Lutfi tidak faham apa kaitannya menjadi duta jenama minyak wangi syarikat ibu Mastura dengan membalas dendam terhadap Tengku Soleha. Tapi dia tahu Nina seorang yang teliti. Pasti semuanya Nina sudah fikirkan sejak awal lagi. Dia angguk tanda setuju.
“Ni yang aku sayang kau Fi. Lepas ni kat mana pulak aku boleh jumpa si Rafa ni?” Nina membelek jadual Rafa. Matanya tertumpu ke arah perkataan Celebrity Fitness. Patutlah badan Rafa ni cantik, jaga badan rupanya.
Brupp!
“Bau petai!” Lutfi menutup hidung. Manakala Nina sudah berlari masuk ke tandas.
No comments:
Post a Comment