KALAU dah namanya tak mahu... tak mahulah dia!
Majlis resepsi sebelah keluarga Mikayla memang meriah habis. Hanya seorang saja hatinya tidak meriah. Mikayla. Tidak reti senyum biarpun orang datang mengucapkan tahniah, memberi hadiah perkahwinan.
Petang itu setelah selesai majlis resepsi, Saef masuk ke bilik. Tidak menunggu sesaat pun, Mikayla terus mengutarakan bicara yang sudah disimpan semenjak tadi.
“I tak mahu you ada kat bilik ni dengan I. Sama ada you tidur kat luar atau you balik ke hotel,” ucap Mikayla tajam.
Saef termangu memandang isterinya.
“Kenapa pulak?”
“I tak nak. I tak nak you ada dekat dengan I. Jangan sentuh I. Jangan paksa I tunaikan tanggungjawab pada you,” ucap Mikayla bersungguh.
Saef diam seketika. Memikirkan apa yang harus dijawabnya saat ini. Jalannya tiada lain. Dia harus beralah saja.
“Okey. I balik rumah I saja. Boleh I tumpang solat dulu?” ucap Saef lembut.
“I keluar,” balas Mikayla lantas berlalu ke pintu. Namun saat dia melintasi Saef, lelaki itu mencekup pergelangan tangannya.
“I tak akan paksa you buat apa yang you tak nak, Kay.”
“I tak percaya you. Jangan tunjuk baik depan I. Tak kuasa nak layan!” balas Mikayla kasar. Pegangan tangan Saef dilepaskan sebelum dia meninggalkan kamar itu.
Lelaki itu terdiam. Namun seketika kemudian, dia menukar pakaiannya. Selesai solat asar... lelaki itu kembali mengezip beg. Ingatkan dapatlah bermalam di sini. Rupanya tidak.
Setelah keluar semula dari bilik, Mukhris ternampak adik iparnya itu seperti mahu pulang.
“Eh, mana Kay?” tanya Mukhris kalut. Masakan mereka harus melayani Saef seperti ini?
“Tak apa. Biarkan dia,” ucap Saef.
Namun si abang segera ke dapur mencari Mikayla.
“Suami kau nak balik. Bukan ke sepatutnya dia di sini malam ni?”
“Kay suruh dia balik,” jawab Mikayla membuatkan Mukhris berubah riak wajah.
“Apa kau buat ni??? Kau suruh dia balik??? Dia suami kau!” tekan Mukhris.
“Kay tak bolehlah, Abang Mukhris.”
Ketika itu Mariani keluar dari biliknya. Dia tersenyum sinis. Terdengar apa yang diucapkan abangnya.
“Dia mana pandai layan lelaki.”
“Kau diam!!! Semua ni jadi sebab kau!!! Masuk sana. Aku benci tengok muka kau!!!” jerkah Mukhris kepada Mariani.
Mariani terpempan melihat abang sulungnya marah.
“Berhambus sana! Kau ingat kau cantik sangat???” marah Mukhris lagi.
“Abang!” tegur Zuhrah. Anaknya mula merasa takut melihat sang ayah menengking. Mariani diam dan masuk semula ke dalam bilik.
“Kau dua orang... memang ada masalah,” ucap Mukhris sambil menuding ke arah Mikayla dan ke bilik Mariani.
“Buat sesuka hati. Ni depan mak bapak kau, kau layan suami kau macam ni. Kau tak ada perasaan! Tak ada rasa segan silu kau beritahu semua orang dari tindak-tanduk kau yang mak dan ayah ni tak tahu didik anak. Esok kau ada anak, kau rasalah Kay!” ucap Mukhris lantas menggeleng.
Mikayla memandang ibunya. Mak Cik Mariam hanya diam dengan hati yang luluh. Perlahan dia bangun lalu ke depan. Bukan untuk menahan Saef dari pulang. Dia sekadar hendak menghantar lelaki itu pulang. Namun dia lihat Saef berdiri di tepi keretanya sambil berbicara dengan ayahnya.
Mikayla turun ke tanah lalu mendekati suaminya.
“Ayah jangan bimbanglah. Semuanya akan baik-baik saja. Ayah jangan sedih,” ucap Saef yang sempat didengari Mikayla.
Saat itu baru Mikayla sedar, ayahnya menangis di depan Saef. Tiba-tiba dia rasa bersalah kepada ayahnya.
Pak Cik Mohamad berlalu tanpa menegur Mikayla.
Saef tersenyum lembut kepada isterinya itu.
“I balik dulu,” ucap Saef perlahan.
Mikayla hanya diam memandang lelaki itu ke tempat duduk pemandu. Tidak berhajat untuk menahan pemergian lelaki itu. Malah setelah kereta Saef berlalu, dia terus berpaling dengan perasaan aman tenteram.
Setelah Mikayla naik ke rumah semula dia terdengar suara Pak Cik Mohamad.
“Demi Allah... kalau mampu ayah minta Allah tunjukkan keadaan hati ayah ni, ayah nak kamu berdua lihatlah. Dan hiduplah dengan itu,” ucap Pak Cik Mohamad kepada Mikayla dalam nada kesal.
Mikayla terpaku memandang sang ayah berlalu ke dapur.
♫♪♬Darling, just hold my hand
Be my girl, I'll be your man
I see my future in your eyes...♫♪♬
RESEPSI BESAR-BESARAN diadakan di Dewan Perdana Felda. Impian semua wanita inginkan majlis yang mewah. Dengan gaun perkahwinan yang mahal harganya. Namun
Mikayla tetap tenggelam dengan perasaannya sendiri. Dia bagaikan robot. Hanya ingin semua ini cepat berlalu.
Saat dibawa kepada sang suami yang menunggu di hadapan pelamin, malah saat kedengaran lagu cinta dilagukan untuk menaikkan mood romantis... dia hanya kaku. Hatinya tidak terusik biar sedikit pun!
Saef cuba tersenyum saat menyambut pengantinnya sebelum dibawa ke pelaminan yang indah. Mikayla sekadar memandang kosong senyuman lelaki itu sebelum dia meletakkan jemarinya di atas telapak tangan lelaki itu.
“Walaupun tak senyum, you tetap cantik. Please don’t be sad,” ucap Saef perlahan.
Mikayla hanya kaku saat lelaki itu mengucup jemarinya di depan orang ramai.
Betapa terseksa dirinya saat menempuhi majlis resepsi di sebelah keluarga suaminya. Perasaan suram mula datang kepada Saef saat matanya secara tidak sengaja terpandangkan Mariani di kerusi tetamu. Tiba-tiba dia tersedar, wanita yang seharusnya menjadi isterinya turut ada di kerusi memandangnya tanpa jemu. Sesekali dia terlihat Mariani mengusap pipi. Dan dia kembali teringat yang dia menikahi Mikayla, kakak kepada Mariani.
Saef sempat memandang isterinya. Mikayla hanya tunduk memandang ke bawah. Seakan-akan mengerti perasaan itu, Saef perlahan memegang jemari isterinya. Saat itu Mikayla menoleh ke sebelahnya. Mereka sempat berpandangan.
Perasaan Saef sedikit terhiris. Dia tahu Mikayla masih tidak mampu membuka pintu hatinya untuk menerima keadaan ini seadanya.
‘Bukan tanggungjawab kamu untuk menyelamatkannya. Kerana dia tidak pernah sayangi dirinya sendiri. Jadi, kamu mesti sayangi diri kamu sendiri. Takdir sudah menjauhkan diri kamu daripada wanita yang tidak baik. Jadi, kamu tidak perlu memilih apa yang kamu tidak mahu.’
Kata-kata sang ayah kembali kedengaran saat Saef memandang Mikayla. Kata-kata diucapkan sang ayah ketika ayahnya menyatakan keputusan mereka untuk memilih Mikayla sebagai calon menantu mereka sekali gus mengetepikan Mariani yang kembali merayu kepadanya.
Saef cuba memujuk dirinya yang serba salah. Inilah isterinya kini. Dia tahu kejam dirinya kerana menjadikan kakak kepada Mariani sebagai ganti suri dalam hidupnya. Namun dia percaya setiap sesuatu yang sudah ditentukan ada hikmahnya. Betapa saat ini dia berharap, adalah lebih baik Mariani tidak hadir di majlis resepsi perkahwinannya dengan Mikayla. Kerana dia tidak mahu memperlihatkan kepada Mariani yang dia telah pun reda dengan takdir ini. Dia tidak mahu dipersalahkan kerana berubah hati begitu cepat.
Mikayla akur saat dibawa turun dari pelaminan bersama Saef. Semua ini seperti mimpi saja kepadanya. Jemarinya kini di dalam genggaman bekas kekasih adik sendiri. Dan kenyataan itu sungguh membuatkan dia merasa jijik dengan dirinya sendiri.
Tidak mampu dielak saat disuapkan kek oleh suaminya, mereka berpandangan. Namun Mikayla lebih cepat mengalihkan pandangan dengan menunduk. Betapa saat itu dia berharap lelaki ini tidak pernah bertemu atau bercinta dengan Mariani. Sudah tentu keadaan lebih mudah untuknya. Kerana bahunya ini akan menggalas gelaran perampas sampai bila-bila. Malah dia tidak tahu bagaimana, kerana selepas ini... dia harus bergaul dengan suami sendiri. Sedangkan dia tidak mampu menepis ingatan yang lelaki ini pernah menyayangi adiknya. Memikirkan itu dia rasa mahu menangis saja.
“Please, smile...” ucap Saef perlahan.
“I can’t...” balas Mikayla. Dia rasa mahu menangis. Matanya dipejamkan saat wajahnya ditundukkan. Berharap dapat pergi dari semua ini. Namun saat dia kembali membuka mata, Mikayla kembali sedar realitinya... lelaki itu masih ada di depan matanya.
Dia kini isteri kepada seorang lelaki yang tidak diingininya sama sekali.
Wanita itu terus membisu saat dibawa ke suite Ceylonz di Jalan Ceylon setelah selesai majlis resepsi. Sempat dia memandang sekitar kamar itu setelah memasuki kamar.
“I don’t deserve this,” ucap Mikayla perlahan.
“Jangan cakap macam tu, Kay. I faham... cuma kita perlu beri masa kepada diri kita sendiri,” balas Saef lembut.
Mikayla duduk di birai katil. Saat itu dia benar-benar menangis. Saef kaku memandang sang isteri di hujung katil itu. Dia mahu mendekati Mikayla namun wanita itu menahan.
“Leave me alone,” ucap Mikayla saat dia melepaskan beban perasaan.
Saef melabuhkan punggung, duduk tidak jauh dari Mikayla. Dia mahu memujuk hati isterinya ini. Namun dia kelu. Tidak tahu kata-kata terbaik untuk dipersembahkan untuk melembutkan hati Mikayla saat ini. Jadi, dia berdiam. Memberikan wanita itu masa untuk dirinya sendiri. Dia sedar, perjalanan untuk mendapat bahagia yang diharapkan masih jauh dalam keadaan begini.
“I tak berniat nak paksa you buat apa yang you tak mahu,” ucap Saef perlahan. Dia sedar Mikayla tidak ingin menempuhi majlis seperti tadi. Semua itu dirancang untuk Saef dan Mariani. Bukan dengan Mikayla. Tetapi sudahnya Mikayla yang perlu melalui apa yang diimpikan Mariani.
Mikayla berkalih duduk. Dia tidak mahu matanya terpandangkan kelibat Saef kerana kehadiran lelaki itu hanya membuatkan keadaan hatinya bertambah teruk. Dia sakit hati. Dia rasa Saef seakan-akan ‘enjoy’ dengan semua ini. Dia merasakan lelaki itu sedang mengambil kesempatan ke atas ketidakupayaannya.
Saef memandang lama gelagat isterinya itu.
“Rehatlah. I tahu you stres. I tak akan paksa you buat apa yang you tak bersedia,” ucap Saef.
Mikayla tetap berdiam. Apa yang paling dia hendakkan saat ini adalah, dia mahu pergi dari kamar ini. Dia tidak mahu berdua-duaan dengan Saef apatah lagi tidur sekatil dengan lelaki ini.
Saef bangkit lalu dia mengeluarkan tuala dari wardrobe. Mahu mandi dan menyelesaikan solat asar. Mikayla terus tidak memandang. Lebih rela memandang ke arah dinding kaca di depan matanya. Fikirannya pergi jauh.
Apa hendak dibuatnya selepas ini? Namun satu saja jawapan yang dia temuinya. Dia mahu lari dari Saef.
“Kay?” tegur Saef setelah keluar dari kamar mandi.
Mikayla terus bangun. Jijik mahu melihat lelaki itu tanpa pakaian.
“I tak boleh, Saef.”
Saef kaku saat isterinya itu memandang kepadanya.
“Apa maksud you?”
“I tak boleh lakukan semua ni. You takkan faham apa yang I lalui sekarang,” ucap Mikayla.
“I faham. Calm down. We just need some time, Kay.” Saef membalas lembut, separuh memujuk.
“I tak akan boleh lupa yang you adalah bekas kekasih Mariani. I nampak dia menangis tadi. Semudah itu?” balas Mikayla dengan mimik wajah jelik. Semudah itu lelaki ini meminta masa untuk mereka berdua seolah-olah tiada apa yang berlaku selama ini?
“What do you need? Let me know,” ucap Saef lantas cuba mendekati isterinya itu. Namun Mikayla mengangkat tangan dan berundur tanda dia tidak mahu didekati Saef.
“I don’t need you. I just want my life back!” ucap Mikayla tanpa memikirkan kesan permintaannya itu.
Saef hanya tenang mendengar itu. Tidak terkejut sama sekali.
“I nak balik rumah I. Jangan paksa I hidup dengan you,” ujar Mikayla lagi.
“Okey. Okey...” Saef hela nafas panjang. Cuba bertenang di dalam keadaan yang tegang ini.
“I anggap you belum bersedia. I boleh berikan you masa, Kay. Tapi secepat itu you meminta hidup you semula. Kita belum pun mencuba.”
“Cuba apa? Cuba hidup bersama dengan hakikat yang I gantikan tempat Mariani di dalam hidup you?”
“Ada apa dengan kenyataan itu? Berdosa ke? Dia hanya bekas tunang I, Kay!”
“You tak faham. Dia adik I!” suara Mikayla meninggi serta-merta. Saef berdiam sambil memandang isterinya itu.
“Apa yang jadi milik dia, akan jadi milik dia. Tiada sesiapa boleh berkongsi dengan dia. You tak kenal dia sepenuhnya.”
“You tak kenal I, Kay!”
“Tapi I kenal Mariani, Saef! Dia akan rebut apa yang seharusnya jadi hak dia. I lebih rela you pergi saja pada dia. Tinggalkan I! Berikan hidup I semula,” tegas Mikayla.
Saef masih kaku memandang sang isteri. Hatinya luluh mendengar bicara Mikayla. Lelaki itu terus kaku saat Mikayla mencapai beg tangannya dan keluar dari suite itu.
Saef menoleh ke tepi saat pintu kamar itu tertutup sendiri dan suasana kamar itu mulai jadi hening. Dia ditinggalkan Mikayla begitu saja! Namun dipujuk hatinya. Dia hanya perlu memberikan Mikayla masa.
MIKAYLA BENAR-BENAR mengotakan kata-katanya. Dia enggan tinggal serumah dengan Saef. Lelaki itu terpaksa akur. Sedar yang dia harus memberikan wanita itu masa
untuk menerima hakikat ini.
Sekurang-kurangnya hatinya aman sedikit. Mikayla ada di rumah sewanya. Tidak ke mana-mana. Namun isterinya itu sukar untuk menjawab panggilan. Entahkan sengaja tidak mahu bercakap dengannya.
Hari itu Saef sengaja datang ke pejabat isterinya ketika waktu makan tengah hari. Tahu-tahu dia sudah terjengul di situ. Kelibatnya menyebabkan pekerja pejabat guaman itu mula memanjangkan leher.
“Kay, I rasa tu husband you,” ucap Jamaliah dari tempat duduknya.
Mikayla di dalam bilik mula mengangkat pandangan. Dia terus bangun dan menjengah dari luar biliknya. Memang Saef sedang berdiri bersandar di tiang di depan kaki lima depan pejabat itu. Lelaki itu sedang membelek telefon.
Sudahnya Mikayla masuk ke biliknya dan keluar semula bersama beg tangan.
“I keluar lunch,” ucap Mikayla dengan muka masam mencuka.
Jamaliah memandang tanpa jemu gelagat Mikayla.
Saef mengalihkan pandangan ke arah pintu pejabat itu setelah pintu itu dibuka dari luar.
“Kenapa tak call dulu? Terus datang aje?” tegur Mikayla.
“Kalau I call you tak akan jawab,” balas Saef.
Mikayla mendengus sebelum dia berlalu ke arah kafe. Tak payah ditanya... dia tahu lelaki itu mahu mengajaknya makan tengah hari. Mereka singgah di kafe sederet dengan pejabat Mikayla.
“Selalu datang kafe ni?” tanya Saef. Aneh... agak lengang pula kafe itu.
“Tak. Sini tak hidang nasi berlauk macam di restoran lain,” balas Mikayla dalam gaya orang malas nak layan. Dia ajak Saef ke sini kerana tidak mahu orang di pejabatnya nampak dia dan Saef. Kafe ini agak privasi.
Pelayan datang membawa menu. Saef cepat saja memesan spageti setelah terlihat menu di dalam situ kebanyakannya makanan barat. Memang ada menu nasi disediakan di kafe itu, namun Mikayla turut memesan spageti.
Saef kembali memandang isterinya setelah pelayan berlalu. Sudah dua minggu, Mikayla berjaya mengelak daripadanya.
“I cuma rasa aneh kerana kita dah 2 minggu berkahwin tapi tak bertemu langsung,” ucap Saef.
Mikayla diam sambil memandang ke luar kafe itu. Dia tidak tahu mahu bercakap apa dengan suaminya ini.
“Mama I selalu tanya pasal you.”
“Tanya apa?”
Saef tidak ingin mengutarakan apa yang ditanyakan ibunya.
“Kay, kita sukar untuk saling memahami kalau kita terus macam ni,” ucap Saef.
“I tak nak faham apa-apa pun,” balas Mikayla tanpa memandang lelaki itu.
“You marahkan I atau apa?”
“I tak tahu nak marahkan siapa. I tak nak kahwin, Saef. I ada banyak benda lain yang I nak kejar dalam hidup ni. Lelaki dan kahwin tak ada dalam senarai tu,” balas Mikayla tajam.
“Kenapa?”
Spontan Mikayla membalas pandangan Saef.
“Sebab I tak nak. I tak begitu berminat dengan lelaki semenjak dulu. I tak macam Mariani. Dia boleh dekati sesiapa saja yang dia suka. Tapi I lain. Apa yang penting atas dunia ni hanya diri I saja. Sebab tu I tak pernah berhajat nak jadi isteri sesiapa pun,” ucap Mikayla. Tidak bertapis kata-katanya. Biar Saef tahu dia siapa. Dia tidak pernah bercinta selama ini walaupun ramai lelaki sukakannya.
Saef diam seketika. Nafas ditarik dalam dan dihembus tenang.
“Tapi I rasa tak semestinya apa yang kita angankan itu yang akan berlaku, Kay.”
“Keadaan ni boleh diubah kalau you setuju. Nak dengan tak nak aje. Melainkan you suka nak sulitkan keadaan kita. I dah kata dulu... you yang kena buat keputusan. Tapi you saja aje biarkan parents you yang putuskan. Sekarang you terima isteri yang tak nak tengok muka you,” balas Mikayla sinis.
“I lebih suka kalau kita buat keputusan selepas kita berusaha,” ucap Saef.
Mikayla memandang suaminya itu. Pendirian Saef itu sangat-sangat tidak digemarinya. Lelaki itu tetap tenang saja sedangkan dia berkasar agar Saef tidak suka kepadanya.
“I dengan Mariani, semenjak awal lagi memang ada halangan...”
“I tak nak tahu pasal you dan dia.” Mikayla mencelah.
“Kay, ada banyak benda yang you masih tak tahu tentang I. I hanya harap you sudi beri peluang untuk I berusaha demi perkahwinan ni. Kita berdua...”
“You tak faham lagi ya?” sekali lagi Mikayla mencelah bicara suaminya.
“I faham. I faham perasaan yang ada dalam diri you. Tapi perkahwinan ni bukan sesuatu yang I anggap semata-mata untuk menyelamatkan maruah keluarga. Ia lebih daripada itu,” balas Saef.
“I tak ada pendirian yang sama. Perkahwinan ni tak penting pun untuk I, Saef.”
“Kerasnya hati... keadaan ni akan beri kesan kepada keluarga kita juga, Kay.” Bicara Saef sedikit mendayu. Terasa kalah dengan kedegilan Mikayla.
“I cuma nak kahwin dengan you untuk elak mak dan ayah kita malu kalau majlis tu dibatalkan. Lepas kahwin, I memang nak minta cerai. Mak I suruh I layan you macam suami... I tak nak, Saef. Dan I tak akan boleh jadi isteri yang baik kerana dalam fikiran I ada penghalang besar. I sentiasa membayangkan you sebagai bekas kekasih Mariani.”
Saef ketawa kecil. Sudah diagak oleh Saef semenjak awal lagi. Itulah impian Mikayla. Lelaki itu berdiam memikirkan bicara isterinya. Bohong kalau dia tidak merasa gusar dengan kedegilan Mikayla.
“Apa yang boleh membuatkan you rendahkan sedikit kerasnya pendirian you? Sekurang-kurangnya fikir orang lain juga.”
“Orang lain tak ada dalam hidup kita, Saef.”
“You yakin? Ibu bapa kita? You tak peduli jika kebaikan yang cuba mereka buat kita balas dengan tuba dan sikap keras kepala?” bidas Saef.
Mikayla terdiam. Lelaki itu menghela nafas perlahan.
“I cuma minta kita ambil masa sikit. Itu saja. Jangan terburu-buru, Kay. Ikutkan hati, kita sendiri yang akan binasa. I tak minta you layan I macam raja. Langsung tak. I cuma minta you ambil sedikit masa dan fikir baik-baik tentang keputusan yang kita nak ambil untuk perkahwinan ini. Satu perkahwinan... it takes two to tango. I perlukan you. You juga akan perlukan I suatu hari nanti,” nasihat Saef.
“I tak yakin I perlukan you, Saef.”
“You bercakap tentang masa depan, Mikayla. Jangan sombong. Jangan terlalu yakin,” balas Saef lembut.
Mikayla diam. Renungan lelaki itu membuatkan dia tidak ingin mereka bertentang mata. Hatinya berkocak sendirian. Renungan Saef agak bening dan tenang, persis lelaki yang tidak cepat melatah.
“I yakin you mampu jadi teman hidup yang membahagiakan I suatu hari nanti, Kay. Kalau I ada keyakinan tu... kenapa you tidak? I cuma harap you akan sudi tinggal dengan I. Kalau kita berjauhan begini, keadaan akan semakin teruk,” tambah Saef.
“I tak ada keyakinan tu mungkin sebab Mariani. Kita berdua perlu berhadapan dengan dia sampai bila-bila. Dia akan salahkan I kerana ambil lelaki yang dia suka! Macam mana I nak hidup, Saef? Kisah you dan Mariani tak akan mati dalam fikiran I! Sekarang you harap I akan bergaul dengan you seolah-olah semua tu tak wujud,” jawab Mikayla.
“Semua tu memang wujud. Cuma sekarang ia hanya wujud dalam fikiran you saja,” balas Saef.
“I lebih suka kalau you lepaskan I dan pergi pada Mariani. Dia lebih sesuai dengan you. Kalau you pergi pada dia sekarang pun, I tak kisah. I lebih suka! I tak perlu berpura-pura untuk jaga hati you!”
“Fikir dengan baik apa yang you cakap ni Mikayla Nur Julita...” tekan Saef.
“I mean it.”
Saef membisu sambil menggeleng sendiri mendengar bicara isterinya yang agak mencabar kesabarannya. Namun dia lebih suka untuk tidak menjawabnya. Saef merenung permukaan meja. Ketika itu pelayan pun datang membawa minuman.
“Makanan dah nak hampir siap, tuan...” ucap pelayan.
“Take your time,” balas Saef kepada pelayan itu. Dia tersenyum sebelum kembali memandang isterinya. Ada sesuatu pada Mikayla yang membuatkan dia kembali teringat dengan bicara ibunya.
‘Dia lebih cantik berbanding Mariani...’
Dia akui tanpa solekan yang tebal pun, Mikayla ada rupa paras yang mampu membuatkan hati lelaki tergoncang begitu saja. Biar tanpa senyuman terhias di bibir, Mikayla tampak menarik dengan bulu matanya yang lentik.
Dan satu-satunya perkara yang dia perasan dan dia suka tentang Mikayla... wanita ini tidak gemar memakai pakaian ketat. Dia selalunya akan kenakan kardigan di luar pakaiannya. Persamaan Mikayla dan Mariani? Sama-sama tak pakai tudung. Belum sampai seru agaknya.
“I berikan apa saja yang you nak kecuali cerai. Just let me know. You nak kereta baharu?” pujuk Saef. Cuba menarik perhatian Mikayla dari sudut material pula.
Mikayla memandang lelaki itu.
“I cuma nak cerai aje. You hadiahkan I Ferrari pun, I tetap nak cerai,” balas Mikayla selamba.
“Kalau macam tu, lambat lagi. Talak di tangan suami. Melainkan you ada point nak tuntut fasakh.” Dan Saef tersenyum santai. Kebetulan ketika itu pelayan mula datang membawa hidangan.
“Jemput makan,” ucap Saef setelah pelayan selesai menghidangkan makanan.
Lelaki itu memandang isterinya sekali-sekala tatkala makan. Fikir apa lagi kata-kata yang mungkin boleh melentur sifat keras sang isteri.
“You tahu, kan? I boleh guna kuasa mahkamah untuk paksa you duduk serumah dengan I.”
Spontan Mikayla memandang suaminya.
“So, kenapa you tak buat?”
“You nak I buat? You lebih suka I gunakan orang ke-3 untuk buat you berpindah duduk dengan suami sendiri? You tak kisah kalau hal peribadi sampai naik ke mahkamah syariah?” soal Saef. Dia mahu Mikayla sedar hakikat itu sebelum meluahkan sesuatu sesuka hatinya.
“You boleh cuba. Kita tengoklah nanti kesannya macam mana,” balas Mikayla lantas mencebik. Macam dia takut benar dengan kuasa mahkamah syariah.
“I rasa pastinya ada sesuatu yang mampu melenturkan sifat keras you ni,” ucap Saef lembut. Wanita ini tiada langsung sifat hormatnya terhadap lelaki yang sudah pun bergelar suami. Hairan dia. Apa yang membuatkan Mikayla bencikan lelaki?
“Yang pastinya bukan you orangnya yang boleh buat I berlembut,” balas Mikayla.
Saef membisu. Dia percaya Mikayla sengaja buat begini agar dia setuju untuk menceraikan isterinya ini. Tidak mengapa. Dia anggap ini adalah waktu yang sukar buat Mikayla. Buat masa ini dia ingin memaafkan.
“You tak pernah bercinta selama ni?” tanya Saef saat wanita itu berdiam.
“Tak. I tak rasa itu satu keperluan. Cita-cita I lebih penting,” balas Mikayla.
Saef tersenyum memandang tatkala Mikayla tidak memandangnya. Pendirian seperti itu jarang dia jumpa.
“You dengan Mariani langsung tak sama sikap dan perangai,” komen Saef.
Spontan Mikayla memandang suaminya itu.
“Oh, you harap I macam dia ke?”
“Kalau I harap you macam dia... baik I kahwin dengan dia aje. Betul?” balas Saef mudah.
Mikayla terdiam memandang Saef yang murah dengan senyuman.
“Jadi, kenapa you bandingkan I dengan adik I?”
“No. I tak maksudkan apa-apa. I minta maaf kalau apa yang I kata tadi buat you rasa dibandingkan,” balas Saef lembut.
Mikayla mencebik saat dia kembali memandang makanan.
“Sekurang-kurangnya ada seseorang kata kepada I, you lebih cantik daripada Mariani.”
“Ya? Siapa tu?”
“Mama I...”
Balasan Saef menyebabkan Mikayla mengangkat pandangan serta-merta. Dia terpaku saat berbalas pandangan dengan Saef.
“I terpaksa bersetuju dengan mama tentang itu,” tambah Saef lantas tersenyum.
“Jangan bermanis mulut dengan I, Saef. Tak laku,” cebir Mikayla.
Saef ketawa kecil.
“I hanya katakan apa yang I rasakan,” ucap Saef bersahaja. Namun bicara lelaki itu tidak memberi kesan sedikit pun kepada Mikayla.
“You boleh cakap apa saja untuk memikat. Tapi you juga akan kenal I sebagai perempuan yang paling degil yang you pernah kenal, Saef.”
Saef mengangguk lembut mendengarkan itu.
“I akui itu benar.”
Mikayla tayang riak wajah jengkel sebelum menolak pinggan.
“Dan I malas memasak. I masak tak sedap.”
Saef tersenyum tanpa menjawab apa-apa. Saat itu dia mula menilik jam.
“I rasa I kena balik ke pejabat,” ucap Saef sebelum dia menghabiskan makanannya. Seketika kemudian dia meminta pelayan membawakan bil.
Lelaki itu menyeluk poket belakang seluarnya. Dia mengeluarkan satu kad lalu diletakkan di hadapan Mikayla.
“Take it,” ucap Saef.
“What for?” balas Mikayla hairan.
“I bertanggungjawab ke atas nafkah dan sara hidup you walaupun you tak suka I, Kay...” ucap Saef lantas meletakkan wang tunai di atas folder hitam yang diletakkan oleh pelayan.
“No. I tak nak terhutang budi pada you.”
“Ini bukan budi. Ini tanggungjawab I.”
“I tak nak, Saef. Ambil balik.” Mikayla kembali menyerahkan kad itu ke hadapan Saef. Dia terus bangun.
“I tahu you nak ikat I dengan nafkah and what so ever. I tak nak...” ucap Mikayla sebelum dia berlalu meninggalkan lelaki itu buat kali kedua. Saef ditinggalkan terkebil-kebil sendiri.
No comments:
Post a Comment