Wednesday, 29 June 2022

Gelisah Asmara - Bab 7


SEPULANG dari pejabat, Saef singgah di pasar raya Jusco. Membeli barang untuk keperluan rumahnya. Namun dia teringatkan isterinya. Saef mengeluarkan telefon. Cuba menghubungi Mikayla, tetapi panggilannya tidak berjawab.

Lelaki itu menghela nafas panjang. Sudah diagak,  Mikayla tidak akan menjawab panggilannya. Lelaki itu memenuhkan troli dengan keperluan rumahnya. Setelah itu, dia mencari beberapa keperluan asas untuk diberikan kepada isterinya pula.

Namun ketika berada di susunan beras, lelaki itu termangu. Banyak yang dia tidak tahu tentang Mikayla. Apa yang disukai isterinya itu. Semuanya dia tidak tahu. Malah saat ini, dia keliru sendiri. Jenis beras apa yang sering dibeli Mikayla? Soalan itu pun boleh penuh dalam benaknya. Beras wangi? Beras kurang wangi? Atau Basmathi?

Sudahnya Saef mengambil satu kampit 5 kg beras biasa dan satu jenis beras wangi lalu disumbatkan ke dalam troli. Selebihnya dia main beli saja. Main agak-agak. Harap-harap isterinya tidak kisah.

Selesai mendapatkan barang itu, Saef terus memandu ke rumah Mikayla. Kereta isterinya tiada di dalam ruangan porch. Lelaki itu enggan menunggu memandangkan dia ada membeli barang basah. Sudahnya Saef memandu pulang ke rumah.

Keesokan harinya, Saef meminta pemandu ayahnya menghantar barang yang dibelinya itu ke pejabat Mikayla. Wanita itu termangu saat melihat berkampit-kampit barangan dapur dibeli oleh suaminya itu.

“Untuk apa ni?” tanya Mikayla.

“Lah... untuk puanlah. Dia suruh saya hantarkan kepada puan,” jawab Zakirin.

Mikayla diam. Dia tidak suruh pun Saef buat begini.

“Mana kereta puan?”

“Tu...” balas Mikayla lantas menunjukkan kereta yang berada tidak sampai semeter dari situ.

“Buka kereta. Biar saya pindahkan ke dalam kereta puan.”

Mahu tidak mahu, Mikayla akur juga. Dia hanya berdiri terpacak memandang lelaki itu memindahkan plastik itu.

“Sampai 2 kampit beras?”

Zakirin tersenyum kepada Mikayla.

“Maknanya suami puan risau... takut puan tak cukup makan,” ujar Zakirin.

Mikayla langsung tidak memberi reaksi dengan kata-kata itu. ‘Dia tak tahu ke yang aku ni kat rumah selalunya malas memasak?’ bisik hati Mikayla sendiri. Dia hanya memasak ketika hari cuti saja.

“Cakap dengan Saef... lain kali tak payah susah-susah hantar barang,” ucap Mikayla setelah selesai Zakirin memindahkan barang itu.

“Puan cakaplah dengan dia sendiri. Dia suami puan, kan?” balas Zakirin lembut.

“Saya tak bercakap dengan dia.”

“Kenapa pulak? Tak baik. Encik Saef tu baik orangnya,” ucap Zakirin hairan.

Mikayla hanya diam sebelum mengunci semula keretanya. Dan dia berpaling lalu kembali ke pejabatnya tanpa mengucapkan terima kasih kepada Zakirin.

Zakirin memandang aneh perangai Mikayla. Sebahagian hatinya merasakan isteri Saef itu agak sombong. Sudahnya dia kembali ke pejabat. Pesanan Mikayla disampaikan kepada bosnya.

“Dia kata macam tu?”

“Ya.”

Saef hanya diam. Namun seketika kemudian dia bersuara semula.

“Terima kasih,” ucap Saef.

“Sama-sama, tuan...”

Saef menghela nafas panjang. Ada saja yang tak kena di mata isterinya itu. Hairan dia. Tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Mereka baru seminggu berkahwin, namun buat hal sendiri. Mikayla langsung tidak mahu bercakap dengannya.

Petang itu Saef memberi mesej kepada Mikayla.

I nak ajak you dinner dengan I malam

ni. Ada masa?

Mesej itu segera dijawab oleh Mikayla.

Di mana? Pukul berapa?

I akan berikan lokasinya. Pukul 9.

Mesej itu tidak dijawab oleh Mikayla. Namun Saef merasa sedikit gembira kerana dia agak Mikayla sudi untuk bertemu dengannya. Namun apa yang berlaku sebaliknya! Dari jam 9 malam sehingga ke jam 10, si Saef menunggu. Puas ditelefon isterinya. Namun Mikayla tidak menjawab pun panggilan itu. Sudahnya lelaki itu pulang usai makan.

Setiba di rumah dia menghubungi isterinya. Mikayla masih enggan menjawab panggilannya.

I tunggu you. I rasa you sengaja

permainkan I.

Sepuluh minit kemudian, mesej itu dijawab Mikayla.

Oh, sorry... I lupalah janji kita malam ni.

Maybe next time. Bye.

Saef termangu. Percuma saja dia dikelentong isterinya. Lelaki itu menggeleng sendiri. Dia tahu Mikayla  sengaja mahu mencabar kesabarannya.

 

MASUK KALI ini sudah jenuh Saef perlu bersoal jawab dengan mamanya tentang keadaan hubungannya dengan Mikayla. Dia mengerti, keadaan ini akan merisaukan ibunya.

“Mama, jangan susah hati. Kita beri dia masa,” ucap Saef di talian pagi itu. Dia baru hendak mula kerja pagi ini, mamanya sudah menelefon bertanya tentang Mikayla.

“Tapi ini tak normal, Saef. Bagaimana untuk memperbaiki keadaan kalau kamu berdua tidak tinggal bersama?”

“Saya faham, mama. Tapi memaksa dia hanya akan burukkan keadaan. Mama bagi saya peluang... biar saya uruskan masalah saya dan Kay. Mama jangan risau,” ucap Saef lembut.

“Mama kalau boleh tak mahu sampai keadaan jadi teruk. Jangan sampai dia minta cerai, Saef.”

“Saya tahu, mama. Kami baru saja bermula. Sudah tentu kita tak boleh berharap banyak. Soal Mikayla... penyelesaiannya tidak semestinya seperti apa yang kita bayangkan. Kerana dia ada pendirian dia sendiri. Kita kena berhalus dan sabar dengannya. Mungkin susah sedikit sekarang. Tapi saya hanya perlu berusaha. Hasilnya adalah ketentuan Allah juga nanti. Mama faham, kan?”

“Ya, betul tu. Tak apalah. Mama cuma ambil berat, Saef.”

“Saya faham, mama. Saya tak mahu mama terlalu fikirkan hal saya dengan Mikayla sehingga kesihatan mama terjejas. Serahkan urusan tu pada saya. Dan doakan yang terbaik untuk kami berdua,” balas Saef.

Usai berbicara dengan ibunya, Saef termenung sendirian. Siapa lagi yang bermain dalam fikirannya kalau bukan Mikayla. Teringat kali terakhir dia bertemu isterinya itu... Mikayla masih berdegil. Masih tetap dengan pendiriannya untuk bercerai.

Sudahnya lelaki muda itu termenung sendirian di mejanya. Mencari idea untuk mengubah pendirian Mikayla. Saef kembali memandang telefonnya. Dia kembali memberi mesej di WhatsApp kepada isterinya itu. Masih tidak jemu biarpun isterinya melayaninya macam sampah.

How are you? Can I call you?

Mesej itu tidak dibaca pun oleh Mikayla. Beberapa jam kemudian Saef cuba menghubungi isterinya melalui telefon bimbit. Namun panggilannya tidak dijawab  Mikayla. Sudahnya dia menggunakan telefon pejabatnya menghubungi pejabat Mikayla. Kali itu dia berjaya menembusi talian.

“Boleh call lain kali tak? I busy sekarang...” Klik!

Saef termangu memandang gagang. Tidak sempat dia berkata apa-apa, isterinya sudah mematikan talian. Ada sentakan kuat menempa hatinya dengan perbuatan Mikayla yang dirasakan amat biadab. Namun lelaki itu hanya menggeleng. Sabar dengan sikap isterinya itu.

Lelaki itu bersandar ke kerusi dan bibirnya membisikkan sepotong doa.

“Ya Khaliq... ya Rahman... ya Rahim... sesungguhnya aku mengharapkan Engkau akan memaafkannya. Jangan ditimpakannya dengan kesusahan. Sesungguhnya kami hamba Allah yang naif. Ampunilah isteriku, ya Allah. Tunjukkanlah dia jalan yang Engkau sukai. Aminn.”

Sudahnya Saef kembali meneruskan kerja. Tetapi satu persoalan yang masih tidak lepas dari fikirannya. Bagaimana untuk melenturkan sifat keras dan degil Mikayla. Sudah tentu ada caranya. Itu yang dia tidak tahu.

Sesungguhnya hati manusia itu milik Allah. Bagaimana dia terlupa apa yang diucapkan kepada ibunya tadi? Dia hanya berusaha. Allah yang memberikan keputusan itu.

Petang itu Saef keluar awal dari pejabat untuk pergi ke pejabat isterinya. Dia menemukan Mikayla sedang bercakap dengan seorang lelaki di hadapan pejabatnya.

Riak wajah Mikayla berubah setelah ternampak Saef memandangnya. Lelaki itu turut menoleh kepada Saef.

My... err... he is my husband,” ucap Mikayla, segera memperkenalkan Saef kepada lelaki itu.

Oh, I see... Puan Kayla? I ingat Cik Kayla,” ucap lelaki itu lantas ketawa kecil. Dia menjabat tangan Saef.

Look familiarlah you ni,” ucap Dato’ Harun saat memandang Saef.

“Saef Haris...”

“Oh... you anak Tan Sri Shahrin ke?” teka Dato’ Harun segera.

“Ya.”

“Eh, I ada pergi wedding you hari tu. I tak perasan pengantin perempuan tu Kayla.” Dato’ Harun memandang Mikayla.

Mikayla hanya senyum kelat. Memanglah! Nama pengantin di dalam kad itu ialah Mariani, bukannya dia.

“Mungkin sebab make up,” jawab Saef bagi pihak isterinya.

“Yalah. I pergi kenduri kahwin ni bukannya I tengok sangat orang yang kahwin tu pun. Datang nak berjumpa kawan-kawan dan tuan punya majlis. Kirim salam kepada papa you ya, and congratulations,” ucap Dato’ Harun sebelum kembali berjabat tangan dengan Saef.

“Kayla... kita jumpa di pejabat I nanti ya?” ucap lelaki tua itu kepada Mikayla pula.

Saef kembali memandang isterinya setelah lelaki tua itu berlalu.

“Ada apa datang sini?” tanya Mikayla dalam nada tidak senang.

“You matikan panggilan I tengah hari tadi,” ucap Saef, kurang senang dengan perbuatan isterinya itu.

So?”

So?” balas Saef dengan kerutan di kening.

“I tak mahu bercakap dengan you. You nak apa sekarang?” balas Mikayla sambil memandang ke arah lain.

“I tak tahu apa nak buat dengan you ni, Kay.”

“Ceraikan I. Itu saja yang I nak,” balas Mikayla lantas masuk ke dalam pejabatnya semula.

Saef menggeleng kesal dengan bicara Mikayla. Sudahnya dia ikut masuk ke dalam pejabat itu dan terus ke bilik Mikayla.

Si Jamaliah dan temannya memandang Saef macam orang tak cukup mata.

“Macam tu punya handsome dia tak nak? Kalau dia tak nak... bagi aje pada saya,” bisik Salmiah kepada Jamaliah.

Jamaliah ketawa kecil.

“Dia masih naif tu,” bisik Jamaliah perlahan.

Saef duduk di depan meja Mikayla. Tampak isterinya bukan buat-buat kesibukannya. Banyak fail di atas mejanya.

“Hari ni balik lambat lagi?” tanya Saef.

“Mungkin. Ada apa, Saef? I tak mahu bercakap pasal nak berbaik. I tak nak. Tolong jangan paksa I,” tekan Mikayla bersungguh.

“Kenapa? Apa masalahnya, Kay?” balas Saef.

“Sebab you bekas kekasih adik I. Itu masalahnya!”

“I tak dapat ubah sejarah tu untuk you. Tapi kita boleh ubah cara kita berfikir tentang sesuatu, Kay. Contohnya... mungkin Mariani hanya satu elemen yang menemukan kita berdua. Jodoh kita... bermula daripada Mariani. Siapa tahu, kan?” balas Saef lembut. Namun Mikayla mencebik pula.

“I nak ajak you dinner dengan I malam ni?” ucap Saef lagi.

“You ni tak reti bahasa ya? I tak nak tengok muka you, Saef. Boleh tak you jangan ganggu I???” Nada Mikayla mula kasar.

Riak wajah Saef berubah sedikit.

“Okey. Sorry.” Lelaki itu bangun dan berlalu.

Mikayla menjeling tajam.

“Semak betul!” gerutunya seorang diri.

No comments:

Post a Comment