Tuesday, 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 1


SUASANA hari ini berbeza daripada hari-hari sebelumnya. Meriah! Semua sanak saudara berkumpul beramai-ramai meraikan hari bersejarah Anuar Malik, abang sulung mereka. Adra mengesat peluh yang merenik di dahinya dengan belakang tangan. Walaupun berasa begitu penat tetapi senyuman masih terukir di bibir tatkala melihat gelak tawa saudara-mara yang hadir pada hari ini. Bukan senang hendak berkumpul beramai-ramai begini.

“Kak Adra, ada orang suruh bagi ni dekat akak.” Entah dari mana munculnya Safwan dengan sekeping kertas yang berlipat di tangannya. Adra mengambil kertas tersebut dengan kening yang berkerut.

“Siapa yang bagi?” Adra bertanya sambil tangannya membuka kertas dan membaca apa yang tertulis di dalam kertas itu.

Kening yang berkerut kian bercantum dua. Safwan dipandang bersilih ganti dengan kertas di tangan. Si kecil yang berumur 7 tahun itu sekadar menjongket bahu dan menuding ke arah pintu pagar Dewan Dato’ Syed Omar yang menjadi lokasi majlis perkahwinan Anuar hari ini.

“Safwan, tolong Kak Adra bawa bakul bunga telur ni masuk dalam ya. Lepas tu panggilkan Abang Qaliff dan Kak Qayla suruh depa mai dekat kereta, ada lagi bunga telur nak dikeluarkan dari dalam kereta tu.”

Safwan mengangguk laju. Bakul bunga telur di tangan Adra diambilnya lalu dia terus berlari ke dalam dewan.

Adra membetulkan tudungnya dan mengemaskan sedikit baju kurungnya. Kepalanya terjengah-jengah ke arah pintu pagar dewan.

‘Siapalah gerangan pengirim nota itu tadi?’ soal hatinya. Nota yang diserahkan Safwan tadi membuatkan hatinya berdebar dengan tidak semena-mena.

Jumpa aku depan dewan. Segera!

Adra melangkah dengan perlahan hingga sampai di hadapan dewan. Masih ada beberapa orang tetamu yang hadir walaupun hari sudah menginjak ke petang. Sambil mencari tuan empunya nota, dia sempat menyalami tetamu yang datang.

Kepala dipusing ke kiri dan ke kanan untuk mencari pengirim nota itu. Debar kian terasa apabila susuk tubuh seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an terlihat tidak jauh dari tempat dia berdiri. Mata lelaki itu sedang tajam memerhatikan dirinya atas dan bawah, beberapa kali. Lelaki itu elok sahaja bersandar di kereta miliknya sambil menghisap sebatang rokok yang sudah hampir habis.

“Adra Malaeka?” Lelaki itu bertanya agak kuat suaranya dilontarkan memandangkan jarak antara mereka agak jauh. Si gadis tersentak kecil.

“Ya saya Adra Malaeka. Awak ke yang hantar nota tadi?” Adra menyoal kembali, sambil melangkah menghampiri lelaki yang tidak dikenalinya.

Lelaki itu hanya mengangguk. Rokok yang sudah terpadam bara, dibaling ke tanah lalu diinjak-injak dengan kaki.

Adra melangkah perlahan-lahan menghampiri lelaki tadi. Sebaik sahaja dia hanya berjarak kurang 1 meter, terus sahaja lelaki itu membuka pintu belakang kereta, dan dia mempersilakan gadis ini untuk masuk ke dalam kereta dengan riak wajah yang serius.

“Untuk apa saya masuk dalam kereta awak?” Adra menyoal, pelik dengan pelawaan yang tiba-tiba. Lelaki di hadapannya ini memang langsung tidak dikenali.

Lelaki itu menjongket hujung bibirnya dengan sinis dan angkuh. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Hanya dengan menggoyang kepala dan memberi isyarat mata, entah dari mana datangnya dua orang lelaki bertubuh sasa itu lalu memegang kedua-dua belah tangan Adra.

Adra yang terkejut, cuba menjerit namun lebih cepat mulutnya ditekup oleh salah seorang daripada lelaki itu.

“Tempat kau dengan aku!” Itu sahaja yang mampu didengari oleh Adra sebelum seluruh tubuhnya yang sebentar tadi meronta sekuat tenaga, kini terkulai layu. Dunia mula menjadi gelap-gelita dan sunyi sepi.

“Cepat drive, susah pulak kalau ada yang nampak.” Lelaki itu terus memberi arahan sebelum kereta itu meluncur laju meninggalkan dewan tersebut.

 

“MAKKK!” JERITAN itu bergema di dalam dewan. Majlis yang masih lagi ada tetamu, menjadi gempar dengan jeritan Qayla yang tiba-tiba itu.

“Kenapa dengan kamu ni Qayla?” Puan Halimah menyoal anak gadisnya itu, mukanya sedikit tegang.

Riak wajah Qayla yang tadinya cemas kini bertukar menjadi suram dan sayu. “Mak, Kak Adra mak.... Kak Adra hilang, Kak Adra kena culik!” beritahu Qayla dalam cemas dan tangisnya.

Puan Halimah terperanjat. Saudara-mara yang ada yang turut mendengar juga terkejut dengan apa yang disampaikan Qayla.

“Culik? Biar betul kamu ni Qayla?” Azhar Malik menyoal laju. Qayla yang sudah mengalir air matanya mengangguk laju.

“Tadi Safwan cakap dekat Qayla, Kak Adra suruh pergi kereta ambil lagi bunga telur yang berbaki dalam kereta. Bila Qayla pergi dekat kereta, tak ada pun Kak Adra tapi Qayla jumpa ni...” Qayla menghulurkan nota yang dijumpainya di depan pagar dewan.

“Alah, sebab nota ni aje kamu kata Adra kena culik?” Azhar menyoal sebaik saja membaca nota yang dijumpai Qayla. Wajahnya sedikit tegang.

“Masalahnya Qayla cuba call Kak Adra dari tadi tapi tak dapat-dapat.” Qayla cuba menjelaskan lagi. Entah kenapa hatinya kuat mengatakan Adra, kakaknya itu diculik.

“Abang ngah, nota tu tadi Safwan yang bagi dekat Kak Adra.” Safwan mencelah. Semua yang ada di situ memandang ke arahnya.

“Siapa bagi nota ni dekat Safwan?” Azhar menyoal Safwan.

“Safwan tak kenal. Masa tu Safwan baru nak masuk dewan tadi, pak cik tu tanya Safwan kenal tak Adra. Lepas Safwan kata kenal, dia suruh bagi nota tu.” Safwan menjelaskan takut-takut.

“Lepas tu, Kak Adra pergi mana? Safwan tahu?” Azhar menyoal lagi tapi kali ini dengan lebih lembut kerana melihatkan Safwan sudah agak ketakutan apabila terus-menerus disoal.

“Tak tahu. Kak Adra suruh Safwan panggil Abang Qaliff dengan Kak Qayla dekat dalam dewan.” Azhar mengangguk dengan jawapan daripada Safwan.

Puan Halimah sudah kelihatan lemah, terduduk di kerusi sambil dipeluk oleh Qayla.

“Angah akan cuba call Adra lagi, mungkin dia ada dekat mana-mana ni. Qayla cari Qaliff, suruh datang sini cepat. Cik Melah, tolong bawak mak balik rumah ya.” Azhar memberi arahan sebaiknya.

“Ngah... cari Adra.” Puan Halimah bersuara lemah. Walaupun belum tahu keadaan sebenar sama ada Adra benar-benar diculik atau tidak, Puan Halimah sudah susah hati. Fikirannya berserabut dengan pelbagai andaian yang dia sendiri takut untuk mengandaikannya.

Azhar hanya mengangguk perlahan. Keadaan perlu dikawal dengan baik. Azhar melangkah ke arah Anuar dan isterinya. Ini majlis bermakna buat mereka, tidak boleh beri kejutan yang mengejutkan itu. Dia resah memikirkan di mana Adra. Benarkah dia diculik seperti telahan Qayla?

 

24 jam kemudian...

ADRA HILANG tanpa khabar berita. Jadi benar telahan Qayla yang kakaknya telah diculik. Namun bagi Puan Halimah, hatinya berbelah bagi. Kenapa pula Adra diculik? Mereka bukan sesiapa untuk anaknya menjadi mangsa culik. Puan Halimah sudah teresak-esak menangis. Fikirannya bercelaru, resah juga mula menghimpit diri.

Qayla yang memujuknya juga sudah basah berendam air mata. Tubuh Puan Halimah dipeluk erat. Cik Melah juga sudah hilang kata untuk memujuk.

“Angah, ada apa-apa berita tak?” Qaliff menyoal, sebaik wajah Azhar tersembul di pintu rumah.

Azhar mengeluh perlahan. Langkahnya dibuntuti Anuar di belakang.

“Polis suruh sabar, doa semuanya dipermudahkan. Pihak polis dah mula mencari Adra. Sekarang kita doakan Adra dalam keadaan baik dan selamat.” Azhar bersuara perlahan. Anuar menepuk bahu Azhar perlahan seolah-olah memberikan semangat.

“Kami dah bagi gambar Adra. Sekarang kita tunggu laporan daripada polis. Kejap lagi kita buat bacaan Yasin dengan solat hajat. Insya-Allah semua akan baik-baik aje.” Anuar menambah. Semua yang ada mengangguk kepala perlahan.

Baru semalam mereka bergembira menyambut orang baharu dalam keluarga. Namun dalam sekelip mata, mereka dikejutkan dengan berita kehilangan Adra. Setahu mereka, gadis itu tidak mempunyai masalah dengan orang di sekelilingnya apatah lagi untuk mempunyai musuh. Mustahil! Adra seorang yang agak pendiam apabila berada dalam kumpulan orang yang kurang dikenalinya tetapi seorang yang sangat ceria dalam keluarga dan rakan-rakan baiknya.

“Qayla... ada Kak Adra beritahu kamu apa-apa sebelum ni?” Puan Halimah menyoal lemah sebaik selesai bacaan Yasin dan solat hajat yang diketuai oleh Anuar.

“Beritahu apa mak?” Qayla menyoal, kurang faham dengan persoalan yang diajukan oleh Puan Halimah.

Adik-beradik yang lain, mula mendekati Puan Halimah dan Qayla. Qaliff, anak bongsu kembar Puan Halimah, sudah memeluk tubuh ibunya yang lemah sejak semalam. Anuar dan Azhar hanya menunduk menekur lantai. Sesekali mereka mengeluh perlahan. Suhanna, kak long yang baru diraikan semalam dalam majlis menyambut menantu, menghampiri bulatan keluarga itu.

“Mana tahu, Adra ada berkawan dengan sesiapa ke?” soal Puan Halimah penuh tersirat.

“Tak ada, mak. Setahu Qayla, Kak Adra memang tak ada sesiapa. Insya-Allah mak, Kak Adra takkan malukan mak macam tu.” Qayla memujuk hati Puan Halimah yang mulai gundah. Anuar dan Azhar mengangguk menyokong kata-kata Qayla.

“Sekarang ni macam-macam kes keluar dalam TV, dalam surat khabar. Siapa tahu, Allah mahu menguji kita melalui Kak Adra?” Puan Halimah bersuara lagi.

Cik Melah mula mencelah. “Memang kita sedang diuji. Insya-Allah aku percaya Imah, Adra bukan macam tu. Dia anak yang baik.”

Qayla mengangguk bersetuju. Dia mengengsot tubuhnya menghampiri Puan Halimah. Tubuh ibunya itu dipeluk erat. Anuar dan Azhar kemudian turut melakukan yang sama. Ujian ini mengukuhkan cinta mereka. Menyatukan kasih mereka. Dalam ikatan sayang itu, mereka berdoa agar kasih mereka yang satu itu, kembali ke pangkuan mereka berkongsi cinta bersama-sama seperti sebelumnya.

 

No comments:

Post a Comment