Tuesday, 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Prolog


TANGISAN itu masih berlagu. Kadangkala berselang-seli dengan rintihan dan jeritan hiba. Daffa Jawhar tidak mampu lagi mendengar apatah lagi memandang. Sudah  ditegah tetapi tidak diendahkan. Rambut dikuak ke belakang. Wajah diraup kasar.

“Sampai bila? Sampai bila mama mahu begini?” Hati lelaki Daffa menjerit kuat.

“Tuan, kami dah jumpa perempuan tu.” Suara di hujung talian membuatkan Daffa mengetap giginya kuat sehingga terlihat rahangnya bergerak-gerak. Dia menahan amarah yang membungkam dalam diri.

“Kau datang rumah aku esok. Kita dapatkan dia segera.” Daffa mengeluarkan arahan tegas. Talian dimatikan. Rokok di jari dibawa ke bibir. Disedut beberapa kali sebelum menghembus lepas semua asap, berkepul-kepul di udara.

“Kau pasti apa yang kau nak buat ni?” Nabil menyoal dari belakang. Nabil, rakan baiknya sejak sekolah dan hubungan mereka rapat seperti adik-beradik kandung. Nabil tidak tegar melihat Daffa begitu. Penuh amarah dan dendam. Namun dalam hati terselit juga ingin tahu, kenapa dan mengapa berlaku semua ini? Apa salah keluarga Dato’ Jauhari Daud sehingga sebegini sekali diperlakukan.

“Aku nak dia dapat balasan atas apa yang dia buat dekat keluarga aku. Aku tak tahan tengok mama macam tu sejak papa meninggal. Aku nak dia rasa apa yang aku rasa sekarang ni. Dia tak boleh terlepas macam tu je!” Penumbuk dikepal dan dilepaskan ke arah besi pengadang balkoni. Sakit namun sakit lagi hatinya.

“Sabar Daff. Aku faham. Aku pun rasa yang sama. Cuma nasihat aku, apa sahaja kau buat, ingat Allah, ingat mama, ingat arwah papa.” Bahu Daffa ditepuk beberapa kali. Daffa Jawhar memandang dari hujung mata.

‘Aku akan pastikan, dia tak akan bahagia!’ tempik hati Daffa. Matanya yang penuh amarah dan dendam itu membelah awan malam yang gelap-gelita. Hatinya tekad untuk membalas atas apa yang telah berlaku kepada keluarganya. Darah dibalas darah, nyawa dibalas nyawa. Kalau itu menenangkan jiwa, aku akan lakukannya!

 

No comments:

Post a Comment