Thursday, 29 December 2022

My Guardian Angel - Bab 1


Kuala Lumpur, Malaysia...

BUNYI suara yang datang daripada aplikasi Waze yang masih terpasang membuatkan Jihan spontan menepuk dahinya sendiri. Dia sesat lagi nampaknya walaupun sudah beberapa kali aplikasi Waze ini menukar arah. Terus kereta yang dipandu diberhentikan di kawasan lapang. Aplikasi Waze ditutup sebelum nombor Lulu didail pantas sambil anak mata meliar memerhatikan keadaan sekeliling yang gelap.

“Cik kak! Kau kat mana? Dah sampai Istanbul ke apa?”

Suara Lulu yang nyaring di hujung talian membuatkan Jihan spontan menjauhkan telefon dari telinga. Lulu atau nama sebenarnya Lufyna terus saja menyemburnya sebaik salamnya dijawab.

“Oh, boleh sampai eh kalau naik kereta dari KL ke Istanbul? Aku ingat kena naik flight je kalau nak ke Istanbul?” usik Jihan bersahaja sambil tergelak-gelak.

“Hang jangan nak loqlaq dengan aku. Nanti aku putaq kepala hang sampai Aloq Staq!” Jihan ketawa lagi.

“Lulu, aku sesat lagilah. Dah dekat 10 minit aku pusing-pusing dekat kawasan sini je. Klien ni pun satu, ada ke wedding malam-malam macam ni nak buat dekat dengan kawasan hutan? Dahlah waktu malam ni semua hutan pun nampak sama je. Tak boleh ke buat dekat tempat orang normal buat wedding? Pilihlah hotel ke, restoran ke, kafe ke.” Anak mata Jihan meliar memandang kawasan sekeliling yang dipenuhi hutan belukar. Hanya ada sebuah bangunan yang kelihatan seperti gudang. Ada cahaya suram yang datang daripada bangunan yang tidak jauh dari keretanya.

“Bukan hutanlah, taman. Apolah hang ni, Jihan. Aku send location aku dekat kau sekarang. Harap kau tak sesat lagilah sebab bos kau tu dah asyik tanya mana perginya event manager tak sampai-sampai lagi. Muka Datin Lola pun dah ketat semacam tu.”

“Datin Lola jugak yang tukar venue last-last minute. Tak habis-habis dengan tema rimba untuk anak dia tu. Dia ingat anak dia geng safari ke? Nasib baik Datin Lola tak request untuk aku sewa harimau ke, gajah ke, singa laut ke untuk buat persembahan masa wedding anak dia malam ni. Kalau tak, jenuh pulak aku nak kena pinjam dari Zoo Negara.”

Lulu di hujung talian sudah mengekek ketawa.

“Kau tu tak padan dengan tengah sesat tapi mulut laju je mengata klien sendiri. Eh, cepatlah datang sini. Kau ada setengah jam je lagi ni, Jihan. Jadi cepat sikit!”

Yes, ma’am.” Panggilan dimatikan dan Jihan melihat location yang dikongsi oleh Lulu menerusi aplikasi WhatsApp. Baru sahaja dia menghidupkan semula aplikasi Waze, deria pendengarannya menangkap bunyi muzik bising yang tiba-tiba datang daripada bangunan yang tidak jauh dari keretanya. Bunyi muzik bising itu berselang-seli dengan suara lelaki ketawa dan suara perempuan menjerit beramai-ramai. Takkanlah ada kenduri pula di tengah-tengah kawasan hutan ini?

Automatik, bulu roma Jihan terasa meremang. Jantung sudah berdegup kencang sebelum dia memerhatikan keadaan di luar tingkap kereta. Memang tiada kenderaan lain di situ kecuali keretanya, dan jalan untuk masuk ke situ sememangnya sunyi daripada sebarang kenderaan lain kerana kawasan ini agak terpencil daripada jalan besar.

Jihan menurunkan sedikit tingkap kereta dan suara menjerit-jerit tadi kedengaran semakin kuat di pendengaran telinganya. Dengan hati yang berdebar, dia melangkah turun dari kereta sambil memandang ke kiri dan ke kanan memandangkan hanya ada dia seorang sahaja di kawasan lapang ini. Jam tangan dikerling sekilas. Dia cuma ada 25 minit lagi sebelum majlis perkahwinan anak Datin Lola bermula.

‘Tengok sekejap je, Jihan. Kalau betul-betul ada orang jahat, terus angkat kaki dan call polis. Ingat, yang kau tu tak ada bau-bau bacang dengan Superman langsung!’ Dia bermonolog sendiri.

Langkah kaki dilajukan menghampiri bangunan yang tidak terlalu besar itu dan bunyi muzik semakin kuat menghentam gegendang telinga. Menerusi tingkap bangunan yang tidak ditutup rapat, Jihan merapatkan tubuh dan cuba mengintai keadaan di dalam bangunan yang dari luar nampak seperti bangunan tinggal. Tepat seperti sangkaannya, memang bangunan ini sebuah gudang yang sudah tidak digunakan.

Jihan menjengketkan kaki untuk mengintai keadaan di dalam, sebelum anak matanya terus membulat apabila ternampak sekumpulan besar wanita yang sedang duduk di dalam bulatan. Kelihatan beberapa orang lelaki berbadan besar sedang memukul wanita-wanita tersebut menggunakan kayu besbol tanpa belas kasihan. Suara jeritan dek dipukul sudah berselang-seli dengan bunyi muzik yang membingitkan telinga.

Gila!

Jihan sudah terduduk di atas lantai dengan tangan kanan menekup mulutnya sendiri supaya tiada suara yang terkeluar. Menyedari bahawa kehadirannya yang tidak diundang boleh disedari oleh mereka, dia terus berlari ke arah kereta sebelum tersadung batu dan jatuh tersembam di atas tanah.

“Cik?”

Suara yang tiba-tiba menegur itu membuatkan jantung Jihan hampir berhenti berdegup sebelum dia mendongak memandang tuan punya suara.

Syhhh...” Perempuan bertopi itu meletakkan jari telunjuk di bibirnya sendiri, sebagai isyarat supaya Jihan cepat-cepat diam.

“Apa... siapa...” Jihan tidak dapat menuturkan ayat dengan baik. Dia memandang wanita di hadapannya ini dan gudang tidak jauh dari mereka bersilih ganti.

“Bahaya kalau orang awam ada dekat sini. Saya dah call polis dan team saya. Cik kena cepat-cepat tinggalkan kawasan ni.”

Jihan pandang wanita itu tidak berkelip.

“Saya wartawan yang cover kes pemerdagangan orang.”

“Hah? Pemerdagangan orang?” Membulat sepasang anak mata Jihan sebelum cepat-cepat dia menekup mulutnya sendiri.

Wanita bertopi itu menarik senyum tawar sebelum mengangguk perlahan.

“Hoi! Siapa tu?” sergah satu suara lelaki dan pintu gudang sudah terbuka luas. Ada dua orang lelaki bertubuh sasa di muka pintu.

“Lari, cik. Selamatkan diri cik. Cepat!” Dia menarik tangan Jihan supaya kembali berdiri.

“Hah? Tapi, awak?”

“Jangan risaukan saya. Team saya dalam perjalanan ke sini bersama-sama dengan pihak polis. Pandai-pandailah saya selamatkan diri saya.”

“Tapi,”

“Lari, cik! Lari!”

Wanita bertopi itu terus berlari ke dalam kawasan semak dan Jihan pula berlari ke arah kereta. Kelam-kabut dia menghidupkan enjin kereta dan memandu untuk keluar dari kawasan gudang ini. Sempat dia mengintai ke belakang. Kelihatan dua lelaki tadi tidak lagi mengejarnya. Kaki kanan terus menekan pedal minyak supaya kereta meluncur laju dengan tangan kiri terketar-ketar mencari nama Lulu daripada senarai pemanggil.

Bum!

Telefon pintar di tangan kiri terjatuh ke bawah kaki. Belakang lehernya terasa sakit disebabkan impak yang datang daripada keretanya yang tiba-tiba dilanggar dengan kuat dari arah belakang.

Bum!

Sekali lagi dia dilanggar oleh kereta belakang sebelum kereta yang dipandu hilang kawalan dan melanggar pokok besar. Kali ini, kepala Jihan sudah terhantuk kuat pada stereng. Kereta yang dipandu sudah berhenti. Bahagian depan kereta sudah berasap dengan airbag yang terkeluar daripada stereng kereta.

Dengan kepala yang terasa berdenyut dan darah merah hangat yang mengalir di tepi kepala, Jihan cuba menarik keluar tali pinggang keselamatan yang sudah tersekat. Sewaktu ini fikirannya mula membayangkan perkara tidak elok akan berlaku kepadanya. Raut wajah mami dan babah yang jauh di Langkawi mula terbayang-bayang di hadapan mata.

Tok, tok, tok!

Dengan penglihatan yang sedikit kabur, dia lihat ada seseorang mengetuk cermin tingkap kereta dari luar. Semakin lama, ketukan tersebut semakin kuat sebelum akhirnya bunyi ketukan itu bertukar senyap. Jihan menarik nafas lega. Mungkin orang jahat yang melanggarnya tadi sudah melarikan diri.

Prang!

Kali ini kedengaran bunyi cermin tingkap di bahagian pemandu yang tiba-tiba dipecahkan dari luar. Kulit wajah sudah terasa pedih dek serpihan kecil cermin kaca yang pecah. Dia cuba untuk menjerit meminta tolong, sebelum akhirnya pandangannya bertukar kelam dan dia tidak sedarkan diri.

No comments:

Post a Comment