Thursday 29 December 2022

My Guardian Angel - Prolog



New York City, Amerika Syarikat...

SUASANA di dalam bilik pejabat yang dipenuhi kertas lakaran kitchen cabinet pelbagai rekaan dan warna yang tertampal di ruang dinding itu hening. Hanya kedengaran muzik perlahan alunan piano klasik yang datangnya daripada Macbook di atas meja yang tidak begitu kemas.

Why?”

Nine angkat wajah yang sejak tadi hanya memerhatikan tingkah Tuan Fritz, lelaki yang sedang duduk di hujung mejanya yang penuh dengan kertas lakaran yang tidak disusun dengan kemas. Balik sahaja dari St. Louis, Missouri malam tadi terus dia dipanggil menghadap bosnya pada pagi ini.

Tuan Fritz pusingkan skrin leper Macbook menghadap Nine. Tertera e-mel yang dihantar oleh Nine tengah malam semalam.

Enough is enough, Fritz,” jawab Nine serius sambil memusingkan semula skrin Macbook menghadap Tuan Fritz. Wajah lelaki Inggeris yang berusia lewat 40-an itu dipandang tepat. Riak wajah Tuan Fritz kelihatan serius betul, sedangkan lelaki itu seorang yang suka tersenyum.

But, why are you quitting? Are you getting married?” soal Tuan Fritz lagi.

Terus pecah tawa Nine tiba-tiba dengan tekaan bosnya itu, sebelum riak wajahnya kembali serius.

 “Orang macam aku ni tak sesuai untuk berkahwin, Fritz,” jawab Nine dalam bahasa Inggeris.

“Sebab apa yang dah jadi pada Isaac?” soal Tuan Fritz. Terus berubah raut wajah Nine yang tadinya kelihatan tenang, sebelum dia menyambung ayatnya.

“Tak ada siapa yang boleh halang kau untuk bahagia, Nine. Satu hari nanti bila kau dah jumpa dengan orang yang kau sayang, percayalah yang kau akan sanggup bagi nyawa kau sendiri untuk pastikan dia selamat sebab dia ialah kebahagiaan kau. You will become her guardian angel.”

Nine hanya diam. Apa yang berlaku di Milan bulan lepas terus diulang tayang dalam kepala tanpa henti. Dia saksi apa yang berlaku kepada Isaac dan dia juga yang menyampaikan berita kepada isteri Isaac yang sedang mendukung bayi kecil yang belum pun berusia setahun.

“Aku tak boleh terima surat peletakan jawatan kau ni tapi aku izinkan supaya kau berehat dulu. Take all the time you need and come back. We need you, Nine. Kalau kau nak, kau boleh jadi sleeper juga,” tambah Tuan Fritz, cuba memujuk Nine walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada Nine akan termakan pujuk ataupun tidak.

“Fritz, aku...” Tumpuan Nine terganggu dengan bunyi gegaran telefon pintar dari dalam poket seluar jean hitam. iPhone hitam itu ditarik keluar. Dahinya berkerut sebentar sebelum jari menyentuh skrin dan bunyi gegaran bertukar senyap. Anak matanya kembali menatap Tuan Fritz yang sabar menanti. “Fritz, aku dah...”

Sekali lagi iPhone hitam dalam pegangan bergegar.

“Aku rasa kau patut angkat call tu,” ujar Tuan Fritz.

Sorry.” Jari Nine menyentuh skrin telefon dan suara sepupunya yang jauh di Kuala Lumpur kedengaran di hujung talian. Berkerut-kerut dahinya mendengar apa yang baru diberitahu oleh Nadia, sehinggalah iPhone hitam itu disimpan semula ke dalam poket dan dia memandang wajah Tuan Fritz semula.

“Aku ada satu permintaan,” beritahu Nine. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Seraut wajah Nadia yang sudah bertahun-tahun tidak dilihatnya itu menari-nari di hadapan mata.

No comments:

Post a Comment