“Hanya kerana orang lain berbuat
tidak baik kepada kita, bukan bererti
kita harus membalasnya dengan cara
yang sama...”
“AWAK tidurlah dulu, saya keluar sekejap jumpa kawan saya,” beritahu Anuar sebaik sahaja dia keluar dari bilik air dan berpakaian lengkap.
Nailah terkebil-kebil memandangnya. Sempat dia menjeling jam di dinding, 10 malam. Terdetik dalam hatinya, kawan ke kekasih?
“Tapi dah pukul 10 malam. Esok tak boleh ke awak jumpa dia?” Nailah tidak mahu Anuar keluar. Nanti apa kata mak ayahnya, sudahlah Anuar menghilangkan diri sebaik sahaja habis majlis tadi, dekat pukul 8 malam baru muncul.
“Esok pagi kawan saya tu dah nak bergerak balik KL. Jadi malam ni saya kena jumpa dia kejap.”
“Tapi...” Nailah berat hati mahu melepaskan Anuar pergi.
Anuar memandang Nailah, tahu isterinya tidak mahu dia pergi, tapi dia telah berjanji dengan Firdaus akan datang berjumpanya malam ini.
“Awak ingat kawan saya tu perempuan ke?” Kening Anuar terangkat menyoal Nailah. Sengaja menduga hati isterinya.
“Tak, bukan...” Tergagap-gagap Nailah membalasnya. Tekaan itu tepat dengan apa yang bermain di dalam fikirannya. Tapi takkanlah dia hendak mengaku. Baru malam pertama, dia dah tunjukkan perangai cemburunya. Mesti Anuar cakap dia ni jenis isteri suka cemburu dan kawal suami.
Anuar ketawa kecil. Dia duduk di sebelah Nailah. Tangan Nailah diambil dan disulam.
“Kawan saya tu bukan perempuan tapi lelaki. Pengapit saya tulah. Dia minta saya temankan dia pergi ke Wakaf Che Yeh, beli barang nak bawa balik esok pagi.”
Ooo... Nailah angguk faham. Lemah hatinya. Mahu juga dia ikut, tapi dia penat.
“Tapi dia tak ada kawan lain ke nak ajak?” Terkelip-kelip mata Nailah memandang Anuar. Berharap sangat Anuar membatalkan rancangannya. Rasanya ada juga kawan Anuar yang datang tadi.
“Tak ada. Kawan saya yang dia kenal tak ada. Dia kenal saya je kat sini. Takkan saya nak tolak permintaan dia pula. Sudahlah dia berpenat tolong kita.”
Kata-kata Anuar itu membuatkan Nailah terasa bersalah. Nampaknya dia terpaksa melepaskan Anuar keluar temankan sahabatnya.
“Kasihan jugak kat dia, kan...” bisik Nailah.
“Haah memang kasihan.” Nada suara Anuar terdengar lain tapi tidak dikesan oleh Nailah.
“Kalau macam tu awak pergilah temankan dia. Tapi kalau boleh baliklah awal sikit.” Nailah terpaksa mengizinkan.
Malam pertama nampaknya kena ditangguhkan. Mujur juga, sebab dia pun tidak bersedia lagi. Ingatkan malam ni dia hendak berkenalan dengan suaminya. Mahu tahu apa yang sepatutnya dia tahu.
“Baik sayang. Awak tidur dulu. Tapi kalau lewat sangat saya balik esok pagi. Jadi awak jangan tunggu saya,” pesan Anuar.
Nailah angguk. Dia pandang suaminya. Malap sinar matanya apabila melihat Anuar bangun.
Anuar tidak sampai hati melihat wajah sedih Nailah itu. Dahi Nailah dikecup.
“Nailah berehatlah. Tidur awal malam ni. Siang tadi penat melayan tamu.”
“Awak pun penat juga tapi nak keluar juga,” bebel Nailah perlahan.
“Terpaksa sayang. Dah orang berbudi jadi kenalah kita balas.” Pandai Anuar mengambil hati Nailah. Riak mukanya pun seolah-olah terpaksa dan tidak mahu meninggalkannya.
“Saya pergi dulu ya.”
Lambat-lambat Nailah angguk. Satu malam berlalu. Tidur Nailah tidak juga berteman.
Bangun pagi itu, Nailah melihat di sebelahnya kosong. Anuar mesti tidak balik malam tadi. Dia terasa hati tapi cepat dipadamkan. Tidak patut dia rasa macam tu. Lagipun Anuar sudah menjelaskan sebabnya malam tadi.
Selesai solat subuh Nailah keluar dari bilik.
“Selamat pagi pengantin baru, awal bangun,” usik kak long.
Nailah menjuih bibir. “Pengantin tak ada, tak balik malam tadi.” Selamba balasannya seolah-olah tidak terasa apa.
“Hah? Anuar tak tidur sini malam tadi?” soal kak long macam kurang percaya.
“Nuar tak datang semalam?” Kak ngah pula mencelah.
“Eh, adalah dia datang maghrib semalam,” sampuk Rafi yang baru keluar dari bilik.
“Datang lepas tu dia keluar balik, teman kawannya ke Wakaf Che Yeh.”
“Kalau ke situ, memang tak adalah balik jawabnya,” balas kak long pula.
“Kawan dia lelaki ke perempuan? Kenapa tak ikut sekali?” Kak ngah sudah jadi penyiasat tidak bertauliah. Mujur juga mak dan ayah tidak ada kat situ bersama mereka pagi itu. Kalau tidak tentu lebih banyak soalan yang akan mak tanyakan.
“Lelaki, pengapit dia tulah. Tak ada kawan nak temankan, jadi dia minta Nuar temankan. Penatlah aku nak ikut, kak long. Bersesak-sesak kat sana. Sudahlah letih jadi pengantin baru ni.”
“Kejap lagi dia baliklah tu. Siapa nak masak sarapan pagi ni?” soal kak long.
Nailah tunduk. Kak ngah pula terus bangun apabila mendengar anaknya menjerit.
“Anak aku dah bangun.” Kak ngah kembali ke biliknya.
“Akulah tu,” rungut kak long.
Nailah angkat wajah, dia senyum. “Bukan selalu kak long masak pun. Balik pun dua tiga kali setahun.”
“Betul tu. Nasi goreng kak long sedap,” sampuk Rafi pula sambil memuji.
Kak long menjeling sambil melangkah menuju ke dapur. Mujurlah majlis semalam menggunakan katering. Habis majlis pukul lima petang. Jadi terus saudara-mara dan orang kampung tolong mengemas. Malah pihak lelaki juga upah orang kemas dan bersihkan peralatan dan kawasan malam tadi. Jadi mereka tidak penat sangat. Hari ini semuanya telah kemas dan bersih.
Nailah pula membelek-belek telefon pintarnya. Masih lagi berkira-kira mahu WhatsApp atau telefon Anuar bertanya di mana dia sekarang. Tapi jam baru pukul tujuh pagi.
“Kak cik nak call, terus je call, tak payah fikir banyak,” tegur Rafi.
Nailah sengih. Malu pula apabila kelakuannya dapat dibaca oleh adiknya.
“Takut dia tidur lagi. Kacau pula.”
“Takkanlah dia tak bangun subuh.”
Kata-kata Rafi itu menyedarkan Nailah, iya tak iya jugakan. Jadi Nailah terus membuat panggilan kepada Anuar.
Tiga kali panggil tapi tidak berangkat.
“Entah-entah tengah memandu tu kak cik. Kejap lagi sampailah Abang Nuar tu,” ujar Rafi menyedapkan hati Nailah.
“Mungkinlah tu.”
No comments:
Post a Comment