Selamat pengantin baru
Selamat berbahagia
Selamat ke anak cucu
Selamat sejahtera...
“AKU terima nikahnya Nailah binti Nazmi dengan mas kahwin 10 ribu tunai.” Tangan digoncangkan sebaik sahaja lafaz selesai dilafazkan.
Imam Haji Yusuf bertanya saksi di sebelah.
“Sah?”
“Sah.”
“Alhamdulillah.”
Imam mengangkat tangan membaca doa untuk pengantin baru.
Hari ini dia sah menjadi suami Nailah binti Nazmi dengan sekali lafaz. Doa diaminkan sambil mata melihat teman yang berada tidak jauh darinya. Ada riak sedih di wajah itu, hatinya juga sedih. Namun permintaan emak tidak mampu dibantah dan hari ini dia telah sah menjadi suami orang.
Nailah tunduk mengesat air mata di birai matanya. Hari ini dia telah sah menjadi isteri orang. Hati gembira dan dalam masa yang sama hatinya berdolak-dalik. Ada takut bertapak di hati. Mampukah dia menjadi seorang isteri yang baik dan solehah nanti
Walaupun mereka jiran sekampung tapi dia sangat jarang melihat lelaki itu. Sejak dia bekerja di kedai emas mentuanya, hanya dua tiga kali sahaja melihat lelaki itu. Selebihnya dia banyak dengar cerita dari orang lain, terutama Wafa. Terasa juga bersalah kerana menerima pinangan ini tapi dia terpaksa terima. Mak sudah lama mahu berbesan dengan Cik Milah ini.
Dalam berangan dia dicuit.
“Anuar datang nak batalkan wuduk tu,” bisik kak ngah di sebelah.
Nailah terpegun memandang ke depan, Anuar segak melangkah menghampiri tempat duduknya. Bibirnya terasa lumpuh, antara mahu senyum atau tidak. Dia segan. Mereka raja sehari hari ini dan menjadi tumpuan semua mata.
“Senyum sikit pengantin. Jurugambar tengah tangkap gambar tu.” Ada suara sibuk memberi arahan.
Lagilah Nailah segan. Dia sudah tidak tahu macam mana mahu senyum. Tapi dicuba juga tarik senyum plastik bagi memenuhi permintaan ramai.
“Ilah sambut salam suami tu.”
“Ilah cium tangan suami.”
“Ilah hulurkan tangan tu, suami nak sarungkan cincin. Senyum.”
Kiri kanan memberinya arahan. Nailah semakin berdebar-debar. Tangannya menggigil. Dia tertekan. Indah khabar dari rupa, rupanya jadi pengantin baru ini. Dia sudahlah jenis tak suka berada dalam kumpulan orang yang ramai dan menjadi perhatian. Sekali orang memberi perhatian, tubuh berpeluh dingin. Panic attack.
Perasaan keadaan Nailah itu, Anuar tarik tangan Nailah, lalu disulam. Kemudian dia tunduk memandangnya. Bibir tarik senyum, cuba menenangkan Nailah. Melihat dari dekat wajah Nailah, dia terpikat. Cantik dan manis. Mekap yang dikenakan pada hari ini pun tidak tebal sangat. Kepalanya didekatkan ke telinga Nailah.
“Relaks, awak senyum je. Saya akan sentiasa berada di samping awak. Kita sama-sama meraikan hari bahagia kita.” Pujukan Anuar membuatkan hati Nailah tenang.
“Cantik.”
Klik.
Klik.
Gambar mereka terus diambil oleh jurukamera. Nailah semakin tenang. Dia sudah mampu mengambil perasaan panik dan tidak selesanya. Nailah senyum, mujur suaminya faham keadaannya. Tanpa sedar, dia telah jatuh hati dengan suaminya sendiri. Harapan yang tidak pernah muncul selama ini, mulai tumbuh dia hati. Dia mula mengharapkan hubungan mereka akan berkekalan.
‘Bismillahirrahmanirahim... ya Allah kau satukanlah hati kami. Berkatilah rumah tanggaku ini. Semoga kami akan bersama-sama mencipta bahagia hingga ke syurga-Mu,’ bisik hati kecil Nailah.
Senyumnya semakin ikhlas dan menawan. Huluran tangan Anuar disambut. Kerlipan lampu kamera terus menghujani mereka. Kali ini Nailah tidak lagi rasa tertekan memenuhi permintaan jurugambar dan saudara-mara. Tangannya sentiasa di dalam genggaman Anuar.
Layanan Anuar sangat baik. Jadi separuh hari dapat dilalui dengan gembira. Selesai akad nikah di masjid, mereka pulang ke rumah. Majlis kenduri mereka gabungan majlis kenduri pihak lelaki dan perempuan, jadi tentulah besar dan ramai jemputannya. Sebanyak sepuluh buah khemah terpacak di hadapan rumah orang tua Nailah.
“Pengantin kena berpisah kejap. Pengantin lelaki balik tukar baju dulu dan pengantin perempuan tukar baju dan tunggu pengantin lelaki kat rumah,” arah mak andam.
“Kita jumpa kejap lagi. Selawat dan zikir banyak. Jangan panik,” pesan Anuar sambil melepaskan tangan Nailah. Pesanan itu Nailah semat dalam hati. Dia semakin yakin pilihan keluarga adalah yang terbaik. Walaupun ada hati yang kecewa tapi dia tidak mampu menghalang takdir jodohnya.
“Ilah, kau menung apa lagi tu? Takkan berpisah sekejap pun dah angau? Cepat pergi salin baju,” gesa Wafa, kawan baik merangkap pengapitnya.
Panggilan itu Nailah tidak hiraukan, malah matanya masih lagi melihat ke arah Anuar. Wafa semakin geram, tanpa dapat menahan perasaannya lengan Nailah dicengkam dan ditarik kuat.
Berkerut muka Nailah, sakit. Nailah rentap lengannya dari pegangan itu. Dia menjeling tajam kepada Wafa sebelum masuk ke dalam rumah. Dia tahu Wafa tidak boleh terima dia kahwin dengan Anuar. Tapi bukan salahnya.
Wajah Wafa semakin merah menahan geram dan cemburunya. Mahunya dia buat kacau majlis Nailah ini. Tapi disabarkan hati. Cerita baru bermula. Dia akan rampas balik Anuar dari Nailah. Haknya dirampas, dia tidak akan berdiam diri. Akan dirampas kembali dan biar Nailah tahu, akibat mengambil haknya walaupun mereka berkawan baik.
Selepas zohor majlis bersanding dan makan beradab diadakan. Anuar kembali ke sisinya, barulah hati Nailah tenang.
Di meja pengantin Anuar melayannya makan. Nailah malu-malu menerima layanan itu. Hatinya semakin bahagia. Mungkin betul orang cakap, pilihan mak ayahlah yang paling tepat dan akan membahagiakan kerana restu mak ayah itulah yang akan memayungkan kehidupan mereka nanti.
Selepas makan beradab mereka melayan pula tetamu yang hendak bergambar. Nailah sentiasa senyum hinggakan terasa mulutnya kebas.
“Awak, senyum...” tegur Anuar setiap kali ada tetamu mahu bergambar.
Dari pagi sampai ke petang mereka tidak berehat langsung, tenaga Nailah semakin merudum jatuh. Penat dan panas. Dia mahu masa cepat berlalu dan majlis selesai.
Dalam penat-penat itu, mujurlah ada pengapit yang menolong mereka melayani setiap kehendak tetamu yang datang. Pengapit lelaki sangat prihatin dan pengapit perempuan walaupun tidak berapa ikhlas, dilaksanakan juga tugasnya.
Tapi keprihatinan itu menarik perhatian Nailah. Terdetik dalam hati... bagusnya kawan Anuar ni. Peluh di dahi Anuar dilap menggunakan tisu dan pakaian Anuar dibetulkannya.
Tapi sebaliknya pengapit perempuan, tidak seprihatin pengapit lelaki. Lengan yang dicengkam tadi pun masih terasa sakit. Entah-entah sudah lebam. Kuat betul pegangan Wafa tadi.
“Wafa... tolong touch up sikit.”
“Kau buat sendirilah,” balas Wafa tanpa perasaan. Dia sibuk mengipas diri sendiri.
Nailah tahan hati. Dia tidak sabar majlis kendurinya selesai. Penat dan panas. Itulah yang dirasakan saat ini. Anuar pula sedang berbual dengan pengapitnya. Mesra dan nampak macam perbualan mereka tidak akan habis. Kemudian dia memandang keadaan di sekelilingnya. Masih ramai tetamu dan saudara-mara tengah makan dan berbual-bual bertanya khabar.
Nailah juga melihat ke langit. Cuacanya cantik hari ini. Tidak terlalu panas dan juga mendung. Walaupun begitu bersauna juga dia memakai baju songket ini dari tengah hari ke petang.
Dia termenung jauh. Walaupun majlisnya besar dan meriah, hati tetap terasa kosong. Walaupun tadi dia bagaikan telah jatuh cinta dengan suami sendiri, tapi kenapa dia berasa kehidupan barunya tidak mudah.
Jauh di hati ada rindu yang belum gugur. Ada ruang yang terkunci kemas. Entah bila dan sudah berapa lama ruang itu berkunci, dia sendiri lupa. Namun dia yakin ada sesuatu dalam hatinya hilang dan belum kembali.
No comments:
Post a Comment