Hari ke-3 di tanah suci Mekah...
LELAKI itu tiba di Jabal Rahmah ketika hari masih pagi. Cuaca agak sejuk pada hujung tahun di situ. Tidak ramai orang membuat lawatan ke situ pada jam itu. Tetapi sebentar lagi, sudah tentu ramai. Dari kejauhan, Najmi sudah melihat sebuah bas berhenti dan ramai orang turun.
Lelaki itu memanjat bukit untuk ke puncak Jabal Rahmah. Ketika di puncak itu, Najmi asyik memikirkan apa yang diucapkan oleh Abdul sebelum ini. Haji rukun Islam kelima bagi yang mampu. Dia sudah lebih dari mampu. Apa yang telah menahannya? Selama ini dia tidak fikir langsung untuk mendapatkan tempat untuk mengerjakan haji. Mungkin kerana dia masih muda. Atau dia rasa haji hanya dikerjakan setelah puas dia mengejar impian dalam hidupnya.
Ketika lelaki itu berdiri memandang bukit-bukit batu di sekelilingnya, ada keluarga dari Malaysia turut sampai ke puncak Jabal Rahmah itu. Si abang menarik tangan adik perempuannya untuk naik bersama ke puncaknya.
“Yeay! Berjaya,” ucap gadis itu.
“Boleh berdoa kat sini tak?” tanya abangnya yang lain.
“Orang single bolehlah kut doa kat sini.” Si abang yang paling sulung menjawab membuatkan adik bongsu mereka merasa tersindir.
“Malaslah. Asyik kena perli aje,” ucap gadis itu lantas disambut gelak tawa abang-abangnya.
“Orang single kena bergambar dengan orang single. Cepat,” ucap Hafsham selaku orang yang gembira kerana baru kahwin.
Si adik memasamkan muka lalu berdiri bersebelahan dengan abangnya Hazran. Hazran tidak kisah disindir abang kembarnya sebagai single. Dia tetap ceria sambil memeluk bahu adik bongsunya itu.
“Okey. Hazel seorang pulak,” ucap Hafsham lantas menunjukkan tugu Jabal Rahmah itu. Mahu segera mengambil gambar kerana orang sudah mula ramai. Nanti sukar hendak mendekati tugu itu.
Hafsham mengangkat kameranya. Saat itu di dalam lensa itu turut ada seorang lelaki berjubah panjang warna putih dengan kain serban menyerkup kepalanya sedang berada di sebalik tugu dan susuknya juga kelihatan seperti sedang berada di sebelah Hazel. Hafsham tidak jadi hendak mengambil gambar. Dia menurunkan kameranya dan memandang lelaki yang membelakangi mereka itu. Nak dihalau lelaki itu dari situ, macam tak patut pula.
“Cepatlah, Abang Sham,” gesa Hazel sudah mula resah kerana ada pengunjung dari negara lain sudah naik ke situ. Bimbang dia kena himpit di tugu itu.
“Okey. Kejap.” Lelaki itu terus menaikkan kamera. Susuk lelaki itu tetap ada di dalam lensanya.
“Okey, dah.”
Mereka semua turun semula ke bawah. Saat itu Najmi berpaling dan batang tubuh seorang perempuan menyapa pandangannya dalam keadaan tangan perempuan itu dipimpin oleh seorang lelaki mahu turun semula ke bawah. Tidak sedar, dia memandang semua manusia itu sehingga kesemuanya lenyap dari pandangan. 4 lelaki, seorang saja perempuan. Dia agak mereka itu semuanya sekeluarga.
Najmi mendekati trek untuk turun bukit batu itu. Matanya memandang lagi sekumpulan manusia itu bergurau senda sesama mereka sambil meniti batuan itu. Tidak sedar entah berapa lama dia memandang keluarga itu.
Hari ini hari terakhir dia di Mekah. Setelah kembali ke Mekah, dia lebih banyak mengerjakan solat-solat termasuk solat sunat tasbih. Sampai waktu makan, Najmi berjalan kaki mencari restoran terdekat untuk mengisi perut.
Namun ketika duduk sendirian, mata Najmi terpusat ke pintu utama. Dia ternampak sekeluarga yang dia rasakan orang Malaysia. Ramai!
Sambil menyuap makanan, mata Najmi memerhatikan setiap seorang ahli keluarga itu. Ada 5 lelaki dewasa dan 5 perempuan dewasa. Mata Najmi terpasak beberapa saat kepada semua wanita berjubah hitam itu. Ada yang mengenakan purdah, ada yang tidak. Namun kemudian dia meneruskan makan tanpa mahu mencuri pandang keluarga besar itu.
Selesai makan, Najmi meninggalkan restoran itu. Kembali ke masjid untuk merebut tempat untuk sembahyang jemaah bersama di Masjidil Haram. Sengaja dia menyibukkan diri agar tidak terkesan fikirannya dengan bayangan Camille. Perasaan sakit mengasak, bukan rindu yang dia rasa sebaliknya sakit hati, rasa tidak puas hati, rasa tidak adil. Dia rasa segalanya yang menyebabkan fikirannya terganggu dan jiwanya tertekan.
Malam itu lelaki itu tidur sendirian di biliknya. Terjaga di tengah malam, dia segera keluar untuk ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat tahajud. Lama Najmi duduk bermunajat di atas sejadah, sehingga air matanya mengalir saat dia mendoakan dirinya agar dapat melupakan Camille.
Dia menyebut nama ibu dan ayahnya di dalam munajatnya agar diberikan kesabaran untuk berdepan dengan cubaan ini. Berdepan dengan pandangan dan cakap-cakap orang tentang majlis nikah yang tidak jadi, memang mencabar.
Setelah hatinya merasa sedikit tenang... Najmi berjalan kaki pulang ke biliknya. Sejuk. Masih bersisa sejam lebih sebelum masuk waktu subuh. Lelaki itu memasang doa agar dia terjaga sebelum azan dilaungkan di Masjidil Haram.
“YA HABIBI...”
Mata Najmi celik semula. Dia terasa seperti dia berada di alam lain.
“Habibi...” Wanita itu menyeru lagi dengan penuh kelembutan. Dan dia telah melihat susuk dirinya sendiri ketika berdiri memandang Gunung Arafah. Seketika kemudian seorang lelaki hadir menepuk bahunya dari arah belakang sehingga dia menoleh. Lelaki itu berbicara bahasa Arab dengannya. Anehnya dia memahami dengan tepat apa bicara lelaki itu.
“Tuhanmu telah menjemputmu ke sini, bersama khabar gembira. La tahzan. Redalah kamu kepada takdir Allah.”
Setelah itu Najmi terjaga serta-merta dari lena. Dia memandang sekeliling baru dia sedar dia tertidur tadi. Dia sedang berada di biliknya. Bukan di Jabal Rahmah. Najmi duduk di birai katil sambil menyapu peluh di dahinya. Dia bermimpi sampai berpeluh dan dia lihat tangannya menggigil. Saat memandang jam di telefon, baru dia sedar... Dia hanya terlelap sekitar 3-4 minit saja. Kenapa mimpi itu terasa macam peristiwa sebenar?
Najmi tunduk merenung karpet di lantai. Ada susuk wanita di dalam mimpinya yang bermain dalam fikirannya. Sayangnya dia tidak tahu siapa wanita itu. Dia gagal ingat rupa wanita itu.
Lelaki itu kembali berbaring dengan selimut menyerkup sehingga ke hujung kepala. Kali itu berbanding terkenangkan Camille, dia lebih terfikirkan mimpinya itu. Dia terkenang-kenang apa yang diucapkan lelaki di dalam mimpi itu.
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perasaan waswas,” bisik Najmi.
NAJMI TERJAGA semula setelah terdengar bunyi alarm di telefonnya. Sedar yang sedikit waktu lagi azan akan berkumandang dari Masjidil Haram, dia lekas-lekas bangun. Tidak mahu terlepas solat. Lelaki itu turun dan berlari anak ke masjid. Ramai kaum lelaki juga berjalan laju menuju ke arah masjid itu.
Najmi mencelah ruang untuk solat paling dekat dengan Kaabah. Pagi itu perasaannya sedikit lain dirasakan. Pagi ini juga dia akan berangkat ke Madinah pula. Jadi, usai solat subuh, dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Masjidil Haram.
Lelaki itu menyandang beg kembara di belakang tubuhnya bersama kain serban menyerkup kepalanya. Selesai daftar keluar, dia dihantar ke terminal kereta api laju. Masih pagi... kawasan terminal lengang.
Lelaki itu hanya membeli secawan kopi untuk dirinya mengalas perut sementara menunggu waktu berlepas ke Madinah.
Setelah memasuki kawasan stesen kereta api laju untuk ke Madinah, sekali lagi Najmi terpandangkan keluarga besar itu. Riuh-rendah suara orang lelaki bersembang sambil berjalan ke arah terminal sambil menyorong beg beroda.
Namun mata Najmi terpusat kepada seorang gadis yang berjalan sambil memegang tangan wanita lain. Dia agak itu ibunya. Gadis itu tidak sedar dirinya sedang diperhatikan oleh Najmi. Walaupun memakai purdah tetap kelihatan cantik. Jubah kelihatan besar, susuknya pasti kurus terlindung di sebalik jubahnya. Kaum lelaki agak tinggi-tinggi belaka. Walaupun wanitanya lebih rendah berbanding lelaki-lelakinya, namun susuk wanita itu masih dikira tinggi juga persis gadis Arab.
“Bidadari dunia...” bisik Najmi seorang diri.
Tidak sedar, cukup lama Najmi memerhatikan gelagat gadis itu ketika mereka duduk menunggu. Dia tidak memandang wanita lain kerana dia agak, wanita yang lain itu ada suaminya kecuali gadis itu yang asyik menyendeng kepada ibunya. Dan keluarga itu riuh-rendah, suka bergurau sesama mereka.
“Mama, tengoklah Abang Harith ni...” Suara gadis itu tiba-tiba meledak kuat disambut oleh gelak tawa kaum lelaki itu.
“Harith! Kamu dah tak ada kerja lain ya?” Si ibu memarahi anak lelakinya yang tidak jemu-jemu menyakat si adik.
“Abang, dahlah!” marah si isteri pula kepada lelaki bernama Harith itu. Geram tengok suaminya mengerjakan adik sendiri. Tidak kira di rumah atau di tanah suci.
Baru Najmi sedar yang keluarga itu orang Malaysia. Tersenyum dia melihat mereka bergurau sesama sendiri. Bahagia!
Namun Najmi hela nafas panjang lalu mengalihkan pandangan ke arah lain. Tidak mahu dirinya tertipu dengan pandangan matanya sendiri. Cantik dan baik kadangkala tidak disekalikan.
Najmi membuka telefonnya. Niatnya sekadar hendak memeriksa mesej di WhatsApp. Namun matanya terpandangkan notifikasi dari Instagram. Perlahan jarinya menekan notifikasi itu. Alangkah pedih hatinya melihat gambar terbaru Camille yang dinaikkan semalam. Berbulan madu di kota Paris!
Hati Najmi koyak melihat itu. Dia menggeleng sendiri sambil menutup media sosial itu. Di WhatsApp ada mesej daripada ibunya bertanya khabar.
Umi, saya baik-baik saja. Umi jangan
risau. Nanti kita berbual. Maaf kalau
saya buat umi risaukan saya. Saya
doakan umi dan papa di tanah suci.
Love you both!
Najmi bangkit setelah mendengar pengumuman perjalanan tren ke Madinah. Lelaki itu berjalan sendirian untuk mencari gerabaknya. Di belakangnya, keluarga itu juga sedang mencari gerabak mereka. Gerabak masih kosong ketika Najmi masuk. Kerusinya berada dekat dengan pintu masuk, di sebelah cermin jendela. Harap-harap kerusi di sebelahnya kosong.
Keluarga itu turut masuk ke gerabak yang sama dengannya. Kaum lelaki berhenti di pertengahan gerabak. Najmi menoleh setelah ada orang berhenti di sebelah kerusinya. Spontan gadis itu turut memandang ke arahnya namun hanya seketika.
“Mama, nak pergi washroom sekejap.” Suara itu kedengaran didengari oleh Najmi. Suara itu sungguh sedap didengarinya. Perasaannya jadi lain saat mereka berpandangan biarpun hanya mata gadis itu dilihat kerana gadis itu mengenakan purdah.
“Guna yang dalam gerabak aje. Nanti tertinggal tren.”
“Kat sini aje. Pegangkan sekejap,” pinta gadis itu lantas menyerahkan beg tangannya kepada ibunya.
Si ibu berpatah balik ke arah tandas untuk menemani anak gadisnya. Najmi kembali memandang ke luar. Suara gadis itu seperti berlagu semula di telinganya. Sangat enak didengari.
Setelah tren itu bergerak, Najmi tersedar ada mesej masuk ke telefonnya. Lelaki itu mengeluarkan telefon dari poket jaketnya. Matanya terpandangkan satu mesej daripada Camille.
Naj... how are you? I masih selalu
teringatkan you. Please, don’t be mad
at me. You tetap istimewa di hati I. I
miss you so much.
Lelaki itu terpaku memandang mesej itu. Wanita ini baru dua minggu berumah tangga dengan lelaki pilihannya sendiri. Hari ini dia memberi mesej seolah-olah hubungan mereka masih ada. Najmi hela nafas panjang sebelum memandang ke jendela. Dia beristighfar dalam hatinya. Mesej itu tidak dibalas atau dibaca lagi oleh Najmi.
Di sini segala-galanya bermula.
Pada saat Najmi tidak sedar, gadis berpurdah tadi memanjangkan leher kerana mahu melihat semula lelaki yang duduk bersendirian di hujung gerabak itu. Namun dia hanya nampak sebahagian saja kepala lelaki itu.
“Tengok apa?” tegur Gee kepada adik iparnya.
“Tak ada apa-apalah,” ucap Hazel perlahan.
Gee turut memandang ke arah yang dipandang Hazel tadi. Dia tahu siapa yang mahu dilihat Hazel.
“Ada Pak Arab duduk kat depan gerabak tu, kan?” ucap Gee.
Hazel menyengih di sebalik purdahnya.
“Minat lelaki Arab?” tanya Gee.
“Taklah. Hazel tengok ajelah,” ujar Hazel mula tersipu-sipu. Nak tegur dia tidak tahu bahasa Arab. Jadi, tengok ajelah. Lagipun dia segan hendak menyapa. Lelaki itu tampak macam mahu bersendirian. Tidak begitu beri perhatian saat ada wanita di sekelilingnya.
“Kak Gee tanyakan nama nak?”
“Eh, tak payahlah. Hazel tengok aje,” ucap Hazel perlahan. Walaupun dalam hati berharap janganlah kakak iparnya ini dengar penolakan mengada-adanya ini. Dalam hati menyeru... tolonglah pergi tanya!
Gee ketawa kecil. “Kak Gee main-main aje. Kak Gee pun segan nak tegur orang lelaki ni,” ucap Gee selamba. Bimbang Harith sangka dia buang tebiat pula.
Gadis itu memandang ke luar jendela. Dia tahu rasa tertarik ini hanya sementara. Setelah lelaki itu hilang dari depan matanya, rasa ini juga akan hilang.
Setiba di stesen Madinah, mereka keluar dari pintu berbeza. Hazel keluar dari pintu berdekatan dengannya. Namun setelah turun dari tren dia nampak lelaki itu turut melangkah keluar dari tren. Lelaki itu berdiri memandang tepat ke arahnya.
Hazel jadi terkaku tidak tahu apa sebabnya. Perasaannya jadi gemuruh tiba-tiba. Lelaki itu hanya memandang, tidak senyum pun kepadanya. Dan renungan itu tidak kelihatan seperti mahu memikatnya. Tetapi pandangan lelaki itu membuatkan dia merasa dirinya telah hilang ke alam yang lain.
Seketika kemudian lelaki asing itu berpaling memandang ke arah lain sambil membetulkan beg di bahunya saat Hazel masih memandangnya. Tidak terdetik sama sekali dalam fikiran kedua-duanya untuk saling bertanya khabar atau nama masing-masing.
Hazel memandang tanpa jemu lelaki itu sehingga susuk lelaki itu hilang dari pandangan matanya. Dia tersedar setelah dipanggil sang ayah untuk berlalu.
No comments:
Post a Comment