Friday, 28 April 2023

Mawar Di Arafah - Bab 2


SETIBA di hotel, Najmi terus merebut peluang untuk menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi. Entah kenapa hatinya tetap sayu saat menjejakkan kaki ke masjid itu biarpun ini bukanlah kali pertama dia datang berziarah ke Madinah.

“Orang Malaysia?” tegur seorang lelaki dari arah belakang.

Najmi yang baru hendak menanggalkan selipar menoleh. Kalau tidak salahnya, lelaki ini sudah ditemuinya tadi.

“Ya, saya,” jawab Najmi sambil memandang lelaki bertubuh sedikit berisi itu. 

“Allahuakbar. Kamu yang dalam tren tadi, kan?” tanya lelaki berusia 50-an itu.

“Ya.”

“Hairi... panggil uncle ajelah. Agaknya saya baya ayah kamu. Uncle nak tegur dah tadi. Ingatkan orang Arab. Kamu tutup kepala dengan kain tu, serupa sungguh macam orang Arab uncle tengok.”

Najmi ketawa kecil sebelum menyambut huluran tangan lelaki itu dan setelah itu telapak tangannya diletakkan di dadanya. “Saya Najmi, uncle.”

“Kamu seorang saja ke?”

“Saya bermusafir. Uncle tadi dengan anak-anak?” balas Najmi, turut mengambil kesempatan merungkai persoalan dalam fikirannya tentang seramai-ramai tidak orang yang bersama dengan lelaki ini tadi.

“Ya, saya dengan isteri. Kali ni dapat ajak anak-anak semua buat umrah. 4 orang anak lelaki saya. Seorang saja anak saya perempuan. Yang perempuan muda tiga lagi tu menantu saya. Alhamdulillah... muda lagi, eloklah bermusafir. Badan sihat lagi. Uncle ni lainlah... perut ni dah ke depan,” ucap orang tua itu lantas menepuk bahu Najmi.

Najmi menyambut bicara itu dengan senyuman. Harap-harap yang berbalas pandangan dengannya tadi adalah anak perempuan. Bukannya menantu.

“Saya keliru tadi. Uncle ada anak yang muka sama serupa.”

“Oh, itu semestinya Hafsham dan Hazran... mereka kembar seiras. Dah kahwin?” tanya orang tua itu ramah.

Riak wajah Najmi berubah sedikit kerana dia kembali teringat kepada majlis nikahnya yang dibatalkan dua minggu lalu.

“Belum ada jodoh, uncle.”

“Muda. Handsome. Adalah tu jodoh nanti, insya-Allah. Mari masuk. Anak-anak saya ni sekejap lagi sampailah. Ada yang nak rehat dulu kat bilik. Banyak berjalan, sakit kaki,” ujar lelaki tua itu lantas mereka melangkah masuk bersama.

Namun di dalam masjid itu bayang lelaki tua itu hilang kerana dia pergi menyapa orang. Sudahnya Najmi berdiri bersolat di sebelah jemaah lain. Dan mereka tiada lagi bertemu selepas itu kerana Najmi tenggelam dalam lautan manusia. Tidak sedar olehnya, orang tua itu mencarinya di sekitar masjid kerana mahu mengajaknya menyertai makan malam bersama ahli keluarganya.

“Dia seorang saja. Eloklah kita ajak dia join sekali. Dia kata dia bermusafir,” ujar Tan Sri Hairi sambil kepalanya melingas ke sana sini mencari anak muda itu. Ramai kaum lelaki memakai kain serban di atas kepala seperti orang Arab, jadi dia agak sukar hendak mengecam.

“Muda lagi, papa?” tanya Hafsham kepada ayahnya.

“Lah... tadi dalam tren dia pun ada satu gerabak dengan kita. Dia duduk seorang. Papa nak tegur dia tapi papa ingat dia orang Arab. Tadi waktu terserempak di pintu masjid papa nampak ada lambang bendera Malaysia pada beg sandang dia,” ucap Tan Sri Hairi. Dia masih terus mencari kelibat Najmi.

“Apa maksudnya dia bermusafir, papa? Kita pun bermusafir jugak apa?” tanya anak gadis Tan Sri Hairi.

“Maksud dia, dia singgah di banyak negara kemudian singgah di Mekah buat umrah. Papa ada bercakap dengan dia tadi. Kemudian dia hilang,” jelas Tan Sri Hairi sambil matanya meliar ke sana sini mencari Najmi.

“Oh...” Gadis itu mula faham. Dia juga fikir lelaki itu orang Arab kerana menutup kepala dengan kain serban dan berjambang kemas seiras benar macam orang Arab. Saat ini dia berharap benar agar mereka dapat menemui lelaki itu. Kerana dia teringat akan tatapan mata lelaki itu kepadanya.

“Tabligh ke?” tanya Puan Sri Haslina kepada suaminya.

“Entahlah. Bukan tabligh rasanya. Tak nampak macam orang tabligh pun. Tak adalah agaknya dia kat sini dah. Jomlah. Kita pergi makan dulu,” ajak orang tua itu akhirnya mengalah.

Hazel memandang sekeliling semula. Dia pula nak tolong cari. Tidak jumpa!

Ketika berada di salah satu pintu masjid, dia tidak sengaja terpandangkan sekali imbas seorang lelaki asing sedang berdiri tidak jauh darinya sambil memandangnya. Hazel tidak menyedari itulah lelaki yang dicari ayahnya tadi kerana kain serban di atas kepalanya sudah dialihkan. Gadis itu menoleh ke depan semula dan berlalu.

Najmi duduk di satu sudut lalu membaca Al-Quran. Sehelai demi sehelai dibacanya. Sebelum maghrib menjelang, bahunya ditepuk orang ketika dia khusyuk membaca surah At Taubah. Spontan dia menoleh dan menutup bacaan dengan sadaqallah. Ada dua lelaki berdiri menghulurkan air dan sebungkus makanan kepadanya.

Eat... eat...” ucap lelaki itu sambil membuat isyarat makan.

Syukran...” ucap Najmi lantas mengambil bungkusan makanan itu. Dua lelaki itu berlalu ke jemaah lain. 

Najmi sempat mengisi perut dengan roti ala-ala roti canai dan air kotak yang diberikan oleh dua lelaki tadi. Setelah itu dia mendirikan solat maghrib berjemaah. Rasa tenang hatinya di celah lautan manusia. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah... mereka sama-sama ingin menghambakan diri kepada Allah.

Malam itu dia mahu merebut peluang untuk bersolat tahajud di Masjid Nabawi. Dia terlelap dekat dengan Raudhah beralaskan beg yang sering dibawanya ke mana-mana. Ketika itu gadis itu juga berada dekat dengan Raudhah, menadah tangan... memohon kepada Allah agar dijodohkan dengan lelaki yang baik.

Sekali lagi di tanah suci, di dalam masjid Nabi Muhammad SAW ini dia telah termimpikan wanita yang sama. Wanita itu dilihatnya berdiri di Raudhah.

Ya habibi (wahai sayang)...” Suara itu datang lagi ke dalam mimpinya.

Biarpun rautnya tidak jelas dalam mimpi itu, namun setelah terjaga... perasaan Najmi jadi sangat asing. Sangat tenang. Bagaikan kekecewaan yang dirintihkan di depan Kaabah dan di Raudhah sebelum ini sudah diangkat keseluruhannya.

Najmi terus menyelak kain serban yang dijadikan selimut. Dia beristighfar banyak kali. Hatinya jadi sangat ringan. Setelah itu hal pertama yang muncul dalam fikirannya adalah wanita di dalam gerabak itu. Najmi jadi pemikir sambil duduk sendirian.

Ternampak olehnya ramai kaum lelaki sedang melakukan solat, lalu Najmi bangun untuk sama-sama mengerjakan tahajud di dalam masjid Nabi ini.

Dia hamba Allah yang lemah. Namun kata Abdul kepadanya sebelum ini... hadir dia di sini kerana Allah telah menjemputnya, Allah mahu bertemunya. Lalu dia letakkan dahinya bersujud di sejadah untuk memuja Allah. Tiada Camille... tiada kekecewaan. Tiada dunia... hanya dia dan Allah yang tahu segala-galanya! 

 

No comments:

Post a Comment