LELAKI muda itu menoleh setelah terlihat ayahnya datang kepadanya. Najmi menegakkan tubuhnya saat Dato’ Aminudin duduk di sebelahnya.
“Umi okey?” tanya Najmi.
“Okey, alhamdulillah. Jangan risaukan umi tu. Lama-lama orang semua dah tak peduli dah tentang majlis tak jadi tu. Dia tak keluar rumah... itu lebih baik untuk dia. Tak bermaksud dia tak okey,” ujar sang ayah lembut. Sudah lebih sebulan, seharusnya itu semua menjadi alah bisa tegal biasa saja buat mereka.
Najmi mengangguk sedikit mendengar bicara ayahnya itu. Namun Dato’ Aminudin menoleh kepada anaknya. Semua orang risaukan isterinya namun kadangkala terlupa Najmi yang terkesan paling teruk dengan hal itu.
“Kamu macam mana?” tanya Dato’ Aminudin perlahan.
Najmi tersenyum sebelum dia membalas pandangan sang ayah. “Saya akan terima kenyataan juga lama kelamaan, papa. Saya baik-baik saja.”
“Baguslah. Ini semua ujian. Ada waktu di atas, ada waktu di bawah. Allah tak izinkan ada sebabnya,” ucap Dato’ Aminudin perlahan.
Najmi teringat semula bicara lelaki Arab itu. Ya, Allah tentukan berbeza dari apa yang dirancang oleh mereka ada sebabnya.
“Saya cuma harap dapat teruskan hidup tanpa dikaitkan lagi dengan Camille. Saya mengelak jumpa kawan-kawan sebab saya tak mahu sesiapa sebut tentang dia depan saya,” ujar Najmi.
Dato’ Aminudin memandang lama sisi paras anak lelakinya itu. “Cuba memadam luka tu kadangkala membuat jiwa tertekan, Naj. Memendam itu lebih perit. Papa ada di sini kalau kamu nakkan kawan untuk menjadi pendengar.”
Najmi hela nafas panjang. “Saya tak tahu apa nak diluahkan lagi, papa. Ada banyak persoalan dalam fikiran saya yang dia tidak jawab kerana dia tak mahu jumpa saya dan jelaskan. Dia tak pernah jelaskan! Saya rasa saya masih dalam fasa terpinga-pinga. Majlis kahwin saya terbatal kerana dia memilih lelaki lain. Saya keliru dengan apa sebenarnya yang dah berlaku. Saya asyik tertanya mengapa keadaan jadi begini. Apa kesilapan yang saya dah buat,” ucap Najmi.
Dato’ Aminudin angguk lembut. “Kamu dahagakan penjelasan,” ujar Dato’ Aminudin.
“Saya sentiasa fikir apa salah saya. Apa yang saya tak buat. Apa yang saya terlepas pandang,” jawab Najmi.
“No. Jangan salahkan diri sendiri. Seseorang boleh berubah hati. Hati ni ujian untuk manusia. Penjelasan dia tak akan ubah keadaan. Tak akan membaikkan keadaan hati kamu, Najmi...” ucap Dato’ Aminudin.
Najmi tunduk meletak dua siku di atas lutut sambil memandang bawah. Fikirannya tidak pernah jemu mengimbau kenangan saat dia dipanggil ke Pejabat Agama kerana nama Camille sudah tertera dalam permohonan nikah dengan lelaki lain.
Dia cuba mendapatkan penjelasan daripada Camille namun wanita itu tidak dapat dihubungi. Sudahnya keluarga Camille tiba-tiba datang memulangkan cincin tunang pada hari ke-11 sebelum menjelang majlis pernikahan mereka.
Kemudian semuanya pergi begitu saja, membiarkan mereka terpinga-pinga untuk memikirkan bagaimana dengan majlis yang sudah dirancang. Semua orang terdekat sudah diberikan kad jemputan.
2 pengantin lelaki, satu pengantin perempuan!
Betapa aib dirasakannya saat itu. Begitu saja wanita itu menyingkirkannya. Najmi memejam mata rapat-rapat. Perit jiwanya mengenang itu. Dia tidak sangka wanita yang disayanginya rupanya ada hubungan cinta dengan lelaki lain dalam keadaan sudah bertunang dengannya.
“Saya percayakan dia selama ni, papa. Susah saya nak padamkan dendam di hati saya ni,” ucap Najmi perlahan.
“Papa faham. Tapi ni rencah hidup, Najmi. Ramai orang melaluinya. Mereka boleh overcome kelemahan dan kekecewaan dalam diri mereka. Begitu juga kita. Sakit itu adalah proses dalam hidup. Kalau tak sakit, kita tak belajar,” ujar sang ayah sambil mengusap bahu Najmi.
“Insya-Allah, jodoh kamu nanti dengan wanita lain.”
Najmi diam namun dalam fikirannya dia terkenangkan wanita dalam mimpinya di Masjidil Haram dulu. Siapakah wanita itu? Sehingga kini dia terfikir siapa wanita di dalam mimpinya itu. Adakah sekadar mainan tidur atau Allah sedang memberikan petunjuknya?
Najmi bangun lalu dia memberi makan kepada arnab yang sedang berkeliaran di halaman rumah. Suka dia melihatnya. Arnab belaan ibunya itu bermain ke sana sini di celah pokok bunga.
“Papa cadang nak sembelih saja rabbit tu. Umi kamu punya marah pada papa bila papa kata nak sembelih rabbit dia,” ujar Dato’ Aminudin membuatkan Najmi ketawa.
“Dah tentu umi tak sanggup. Dia sayang macam anak sendiri,” ujar Najmi.
“Papa bergurau aje. Umi kamu lebih sayangkan haiwan belaan dia dari papa,” rungut Dato’ Aminudin lalu disambut dengan sengih Najmi. Ibunya suka bela kucing dan arnab di rumah.
“Tak mungkin umi sayangkan makhluk lain ni lebih dari papa,” balas Najmi perlahan.
Dato’ Aminudin tersenyum. Dulu dia tidak suka benar bela kucing atau arnab. Tapi semenjak kahwin dengan isterinya, dia mula suka pula. Isterinya rajin membersihkan haiwan peliharaan mereka. Kucing dan arnab di rumah mereka bergaul macam sama spesies. Haiwan belaan penghibur hati mereka.
Najmi mengambil seekor arnab yang berjalan melintasi di depannya. Binatang itu dipeluknya lalu bulunya yang lebat diusap berkali-kali. Kemudian kepala arnab yang diberi nama Bobby itu dikucup berkali-kali.
Dato’ Aminudin memandang perilaku anak lelakinya itu. Najmi seorang lelaki penyayang. Namun entah kenapa Camille menolak untuk bersama Najmi. Dia juga teringin hendak tahu jawapan itu. Selama ini Najmi setia. Apabila dia memutuskan untuk memperisterikan Camille, dia tidak main-main.
Siapa kata curang hanya ada pada lelaki? Zaman ini wanita juga mahu berdiri setara untuk duduk setaraf dengan kaum lelaki dalam bab itu. Puas memanjakan arnab uminya itu, Najmi kembali duduk di sebelah ayahnya di gazebo.
“Kamu tak terfikir nak cari pengganti?” tanya sang ayah.
Najmi segera menggeleng.
“Buat masa ni saya nak fikir tentang kerja dulu, papa. Biarlah... saya seorang diri pun, tak ada kurangnya saya. Sampai masanya saya berumah tangga, saya akan kahwin juga,” ujar Najmi perlahan. Alih-alih dalam fikirannya melintas bayangan wanita berjubah purdah hitam, entahkan anak atau menantu kepada lelaki bernama Hairi itu. Tidak semena-mena pula bayangan gadis itu muncul.
Setelah pulang ke Malaysia, dia punya kesal kerana tidak menegur atau bertanya nama kepada gadis itu. Atau meminta nombor sekurang-kurangnya untuk mereka berhubung. Sudahlah rupa gadis itu dia tidak tahu. Hanya alis mata yang cantik itu melekat dalam fikirannya.
“Papa cuma tak mahu kamu berpatah arang kerana pengalaman sekali ini, Naj. Ditinggalkan, dikecewakan... itu lumrah dalam hidup.” Suara sang ayah membawa Najmi ke alam nyata semula.
“Ish! Taklah. Saya faham, papa. Saya terima keadaan ni seadanya. Saya tak akan rugikan diri saya untuk orang yang dah tak pedulikan saya,” ujar Najmi lembut.
“Baguslah kalau begitu pendirian kamu. Papa tahu kamu lelaki yang matang. Move on, Naj. Bunga bukan sekuntum. Allah pisahkan kamu dari dia ada sebabnya. Cepat atau lambat, kamu akan faham juga,” ujar Dato’ Aminudin kepada anak lelakinya itu.
Najmi mengangguk faham.
“Jom masuk?” ajak Dato’ Aminudin sebelum mengangkat punggung.
Mereka berdua berjalan ke arah pintu gelangsar yang terbuka. Najmi terpandangkan arnab kesayangan uminya juga terkedek-kedek berlari masuk.
“Hei, orang nak masuk... Dia berlari dulu masuk ke rumah,” ucap Dato’ Aminudin terkejut melihat 3 ekor arnab itu bertempiaran lari masuk ke rumah. Najmi ketawa mendengar bicara sang ayah. Terhibur dengan gelagat-gelagat haiwan itu.
HAMIL DALAM keadaan tidak bersedia.
Camille jadi resah setelah melihat kit ujian kehamilan itu. Baru 3 bulan dia dan Rizal bernikah... sudah berhasil! Sedangkan dia belum bersedia. Bersendirian dia memandu ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Doktor yang menyambutnya terkejut mendengar hajat wanita itu.
“Why?”
“I’m not ready,” ucap Camille.
“No. Tak boleh! Ini salah. You tak ada condition yang membenarkan anak itu digugurkan. You sihat,” ujar doktor itu bersungguh-sungguh.
Camille tunduk meraup wajahnya. “I belum terfikir nak ada anak.”
“Kenapa tak guna protection?” balas doktor itu.
Camille diam pula.
“I faham perasaan ni. Tapi ada keadaan tak boleh diundurkan semula. Terutama bahagian ini. Jangan fikir yang tak elok. Ini berita baik yang Allah beri pada you dan husband you. Saja-saja nak gugurkan, itu menyalahi etika. I tak boleh tunaikan,” ujar doktor itu.
“I tak rasa I berminat nak jadi ibu buat masa sekarang,” ujar Camille.
Mengucap panjang doktor itu mendengar ucapan Camille.
“Jangan stres. Anak ni memang susah jaga waktu kecil. Tapi dialah penolong ibu bapa selepas kita mati nanti.”
Puas dinasihati oleh doktor. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Camille pulang ke rumah dengan perasaan yang kosong. Dia tidak gembira dengan perkahwinan ini. Dia tidak tahu kenapa dia buat begini. Saban hari ingatannya hanya pada Najmi. Dia rindukan Najmi.
Camille pulang ke rumah setelah hasratnya untuk menggugurkan kandungan itu berkecai. Dua klinik dia kunjungi. Salah satunya klinik yang dimiliki oleh doktor bukan Islam. Doktor itu juga enggan kerana menyalahi etika sebagai doktor.
Naj, I’m pregnant. Everybody is happy
but not me. I need someone to talk to.
Wanita itu memegun setelah suaminya pulang ke rumah. Mesej yang diberikan kepada Najmi langsung tidak dibalas oleh lelaki itu. Camille menoleh sedikit setelah Rizal mendekatinya.
“How are you?” bisik Rizal romantis.
“I’m not in the mood for this...” ucap Camille lantas menepis tangan Rizal di bahunya.
“What’s wrong, sayang?”
“Nothing...” ucap Camille.
Rizal mengucup kepala isterinya sebelum dia berlalu ke kamar mandi. Camille terus duduk di situ memandang ke luar sana. Mengapa dia tetap tidak merasa bahagia? Bukankah ini yang dia hendakkan? Bahagia yang dirasakan hanya seketika. Terlalu pendek.
Rizal keluar semula dari bilik setelah melihat kit ujian kehamilan itu. Matanya terbeliak tanda gembira.
“Are you pregnant, Cam?”
Camille hanya menoleh sedikit.
“Yes.”
Lelaki itu tunduk lalu memeluk bahu isterinya. Pipi Camille dikucup berkali-kali namun Camille menepis.
“Don’t touch me,” tegas Camille kasar.
Terkaku lelaki itu dikasari isterinya begitu. “Kenapa? You tak happy?” ucap Rizal hairan dengan telatah isterinya.
Camille terus bangun dan masuk ke dalam rumah semula. Siap dengan jelingan tajam buat suaminya tanda dia meluat benar nak pandang muka Rizal, meluat dengan sentuhan Rizal. Dia meluat dengan segala-galanya pada Rizal!
Tabah lelaki seorang itu biarpun dilayan macam sampah oleh isterinya. Hanya disebabkan wanita itu berduit. Dia suka hidup dengan Camille. Serba-serbi yang dia angankan sudah ada di depan mata. Kereta jenama BMW salah satu contohnya. Ke sana sini megah memandu kereta jenama mahal walaupun atas nama bini!
“Sayang, I tahu you letih. I akan jaga you baik-baik. Emosi you tak stabil mungkin kerana alahan. I akan buat apa saja yang you nak,” ujar Rizal sambil mendekati isterinya yang duduk di sofa pula. Haram dia tahu sebentar tadi sebaik saja isterinya mendapat tahu berita itu, Camille hendak gugurkan kandungan.
Camille diam. Dia berfikir sendiri. Mungkin rasa bencinya kepada Rizal saat ini adalah alahan kehamilan. Mungkin. Tetapi kenapa dia asyik teringatkan Najmi? Masakan itu alahan juga?
“Leave me alone, Riz...” ucap Camille perlahan. Pujukan itu langsung tidak berbekas di hati Camille.
Sedar yang isterinya tiada mood, Rizal segera menjauhkan diri daripada Camille. Camille bersandar lalu memejamkan matanya rapat-rapat. Dalam fikiran wanita itu, bayangan Najmi terus berkitar dan menghantuinya.
Selesai mandi Rizal mencari pakaiannya sendiri. Sempat dia memandang isterinya yang tidak mempedulikannya. Dalam fikirannya terdetik sesuatu. Kadangkala Camille termenung sendiri. Dia rasa dia tahu siapa yang merajai fikiran Camille. Sudah tentu bukan dia. Rela dia menjadi hamba perempuan berduit. Asalkan hidupnya senang.
No comments:
Post a Comment