Friday, 28 April 2023

Mawar Di Arafah - Bab 4


4 tahun kemudian...

“NISA...” Suara Hazel kedengaran menyebabkan mata anak itu celik.

Nisa dan Nuril adalah cucu angkat kepada keluarga mereka kerana mereka anak yatim. Dan ibu mereka Salina juga dilayan seperti anak oleh ibu bapa Hazel.

“Auntie Hazel...” bisik Nisa.

Hazel sedaya upaya tersenyum walaupun dia tahu senyumannya tidak mampu memadam derita anak ini. Hazel memegang lengan anak berusia 10 tahun itu.

“Rasa macam mana?” tanya Hazel. Hari ini buat kali pertama anak ini menjalani kemoterapi.

“Sakit sangat...” balas Nisa amat payah.

Auntie ada kat sini. Auntie temankan ya?” ucap Hazel perlahan.

Nisa diam seketika sambil menatap dalam-dalam mata ibu angkatnya itu.

“Mama kata setiap kali sakit, Nisa kena baca selawat ke atas Nabi.”

“Ya... jom kita selawat sama-sama?” ucap Hazel. Nisa menggeleng. Kepalanya rasa macam nak meletup.

“Sayang,” bisik Hazel lantas memegang tangan Nisa. Dia lihat anak ini lemah benar. Tidak kuat menahan kesan kemoterapi.

“Ingat... Allah tu ada dekat dengan kita,” ujar Hazel. Suaranya menggigil menahan sedih.

Nisa kembali membuka matanya lantas memandang Hazel.

“Semua orang akan Allah uji, sayang...” ucap Hazel. Namun bicaranya terkandung rasa sebak yang begitu kuat menekan dada. Perlahan tangannya digenggam oleh Nisa tanda anak itu cuba menguatkan dirinya.

Hazel diam memandang anak itu. Terngiang-ngiang kata-kata Salina baru-baru ini. Anak ini dikesan ada masalah kanser limfoma tahap 4. Kerana ada pembengkakan di bawah lengan dan belakang tengkuknya dan kesihatan Nisa tiba-tiba menurun beberapa minggu lalu. Maka inilah takdirnya. Rawatan kemo hanya untuk mengelakkan sel kanser itu merebak dengan cepat.

Dia tidak pernah berdepan dengan sesiapa di dalam keluarganya yang ada masalah kanser. Hari ini dia melihat anak sekecil ini diberikan takdir ini. Hati siapa tidak menangis? Rawatan kemo itu bukannya menyeronokkan.

Auntie nangis?” tanya Nisa saat terpandangkan ada air mata berkumpul di pelupuk mata Hazel.

Hazel tersenyum pahit.

Auntie tak nangis, sayang.” Hazel berkata perlahan. Dia tidak mahu tangisannya menyebabkan anak ini jadi lemah.

“Nisa akan sembuh, insya-Allah...” ucap Hazel lantas jemari anak itu dikucupnya sekali.

Salina masuk ke bilik itu untuk melihat keadaan anaknya.

“Kesan kemo tu kata doktor memang macam tu.”

Hazel menoleh kepada Salina. Wanita itu tampak tenang saja.

“Berapa lama dia kena jalani kemo ni?”

“Hari tu doktor kata sehari sekali. Tapi sebab dia budak... doktor sarankan seminggu sekali. Papa Hazel ada call akak semalam tanyakan keadaan dia. Malam tadi dia mengadu susah nak tidur,” ujar Salina. 

Hazel kembali memandang Nisa. Anak itu cuba memejamkan mata agar dia dapat tidur. Sudahnya Hazel menarik Salina keluar dari kamar itu agar anak itu dapat tidur.

“Dia masih makan?”

Salina geleng.

“Muntah lepas makan. Sebelum makan pun dah muntah,” ujar Salina.

Hazel mengusap bahu kakak angkatnya itu.

“Duit bukan lagi masalahnya sekarang. Tapi kekuatan badan dia yang tak seberapa. Doktor sendiri cakap... Dia akan cuba dulu untuk seminggu sekali,” ucap Salina  lagi. Tidak dapat dibayangkan apa yang dilalui anaknya. Sakit kesan kemoterapi itu... dan sakit kerana kanser itu sendiri.

“Ada apa-apa yang Hazel boleh bantu?” ucap Hazel lagi.

“Tak ada. Semua dah kita ikhtiarkan, Hazel. Tinggal akak kena beri dia support supaya tak fikirkan sangat sakit tu. Akak senang hati Hazel datang ni. Harap dia tenang bila nampak orang-orang yang ambil berat tentang dia.”

Hazel angguk lembut. Seharian Hazel di rumah Salina. Petang itu, Puan Sri Haslina pula sampai di rumah itu. Kali itu Nisa tampak sedikit bermaya kerana sudah tertidur.

“Alahai... cucu tok ma.” Wanita tua itu memeluk Nisa erat-erat. Hazel sekadar berdiri di ambang pintu memandang mamanya duduk di birai katil memeluk Nisa.

“Cepat sembuh sayang ya? Tok ma nak tengok Nisa sihat semula macam dulu. Insya-Allah,” ucap wanita itu sambil memegang wajah Nisa. Dahi anak kecil itu dikucupnya sekali. Salina tersenyum memandang wanita tua itu. Walaupun bukan cucu kandungnya tetapi ibu bapa Hazel amat mengambil berat keadaan Nisa. Wanita itu berlalu ke dapur untuk menyediakan minuman buat Puan Sri Haslina.

“Nisa tak boleh makan,” adu anak itu.

“Memang macam tu, sayang. Semua orang yang jalani kemo akan rasa macam ni. Tapi kita kena lawan sakit tu. Fikir yang baik-baik, okey? Tok ma ada sini dengan Nisa. Kita lalui keadaan ni bersama-sama, okey?” ucap Puan Sri Haslina lembut.

Nisa angguk lantas tersenyum.

“Haa... kan manis tu? Senyum selalu. Semua orang sayang Nisa. Kami nak Nisa sembuh. Tapi Nisa kena kuat. Kena makan ubat. Kena jumpa doktor lagi lepas ni ya? Next round bila Nisa kena buat kemo, tok ma temankan Nisa ya? Insya-Allah,” pujuk Puan Sri Haslina.

Nisa angguk lagi. Tampak bersemangat setelah mendengar pujukan wanita tua itu.

Thank you, mama...” ucap Hazel setelah beberapa ketika Puan Sri Haslina menemani Nisa. Hasilnya anak itu mahu makan dan makan ubat.

Puan Sri Haslina diam. Kerana ada kesedihan bergulung di dalam dadanya membuatkan dadanya rasa seperti mahu pecah. Hazel memandang mamanya pergi mendapatkan Salina di dapur. Hazel sekadar memandang mamanya itu berbicara dengan Salina.

“Nur mana?” tanya Puan Sri Haslina.

“Di rumah jiran. Main dari tadi,” ucap Salina perlahan.

Puan Sri Haslina memegang pundak Salina. Tidak tahu apa lagi kata-kata semangat hendak diberikan kepada ibu Nisa dan Nuril ini. Kalau dia sendiri pun hampir pecah empangan air matanya melihat anak sekecil itu menderita, apatah lagi seorang ibu seperti Salina.

“Terima kasih sebab sudi datang, mama...” ucap Salina.

“Mama risaukan kamu. Kamu okey?” ucap Puan Sri Haslina kepada Salina.

“Macam nilah saya, mama. Kekuatan tu ada Allah bagi,” ujar Salina.

“Ada apa-apa cakap dengan mama. Jangan cuba selesaikan seorang diri,” ujar Puan Sri Haslina.

Salina tersenyum kelat. Kebaikan keluarga Hazel sudah tidak terhitung olehnya lagi sedangkan mereka tiada pertalian darah. Hanya dia dianggap sebagai anak oleh ibu bapa Hazel kerana dia kehilangan suami dalam usia yang muda. Ibu tunggal yang membesarkan dua anak perempuan.

Semenjak Nisa disahkan terkena limfoma, seminggu sekali pada hujung minggu Puan Sri Haslina datang melihat cucu angkatnya itu.

“Jom makan, mama. Saya ada masak untuk mama dan Hazel ni,” ajak Salina. Hanya itu kebaikan yang mampu diberikan bagi orang yang tidak berada sepertinya. Selesai menghidang, Salina pergi memanggil anak bongsunya balik.

“Eh, tok ma...” ucap Nuril gembira melihat sang nenek.

“Pergi mana tak balik-balik?” ucap Puan Sri Haslina sebaik saja wajah Nuril muncul di depan matanya.

“Main...” jawab Nuril menyebabkan Hazel ketawa kecil.

“Pergi sekolah tak, sayang?” tanya Puan Sri Haslina.

“Pergi.”

“Jangan malas pergi sekolah ya? Belajar rajin-rajin kat sekolah,” ucap Puan Sri Haslina sambil memaut tubuh anak kecil itu.

“Mari makan sekali dengan tok ma dan Auntie Hazel.”

“Okey. Kak Nisa?” tanya Nuril tentang kakaknya itu pula.

“Kak Nisa dah makan tadi. Tok ma dah suapkan dia. Cucu tok ma ni yang belum makan. Main di rumah orang tak balik-balik. Tak ingat makan minum,” ucap Puan Sri Haslina membuatkan Salina ketawa melihat anaknya itu tersengih malu.

“Cepat, pergi basuh tangan,” suruh Salina.

“Kamu ni memasak tak pernah tak sedap, Sal...” ucap Puan Sri Haslina ketika mereka sedang makan.

“Alhamdulillah, itu kelebihan yang Allah bagi pada saya, mama. Bolehlah saya gunakan untuk teruskan hidup.” Salina berkata dengan senyum lembut. Dia mencari rezeki

pun melalui kelebihan yang Allah bagi itu.

 

 

NAJMI MEMANDANG lagi mesej daripada Camille. Mesej itu diberikan malam tadi. Dia baru membacanya. Tidak pernah jemu! Biarpun dia tidak melayaninya, Camille tidak pernah mengalah. Kali ini mesej erotis pula diberikan oleh Camille untuk menggodanya. Syukurlah dia tidak membacanya malam tadi.

Najmi menggeleng sedikit lalu telefonnya diletakkan di tepi. Tidak mungkin dia akan menjadi punca keretakan rumah tangga orang lain. Lelaki itu duduk di kerusinya sambil memandang ke hadapan. Setiap hari pasti ada satu ketika dia memikirkan tentang bayang wanita dalam mimpinya dan gadis berjubah hitam bernama Hazel itu. Sudah 4 tahun berlalu. Dia sudah melupakan perasaan cinta kepada Camille. Namun entah kenapa dia tidak mampu melupakan bayangan wanita di dalam mimpinya itu.

Menungan Najmi tergugah setelah ternampak susuk ayahnya memakai kot berwarna kelabu berjalan di depan biliknya. Lelaki muda itu segera menghidupkan komputernya untuk memulakan kerja. Namun kemudian seorang wanita masuk ke kamar bosnya.

Morning, sir...” sapa Sarah dengan tablet di tangan.

Morning.” Lelaki itu memandang Sarah untuk mendengar apa-apa yang penting dalam jadualnya hari ini.

“Jam 10 nanti Dato’ Aminudin akan ada miting dengan beberapa pengarah JKR. Dia mahu tuan ikut sekali.”

“Okey.”

Najmi memandang permukaan mejanya seketika sambil terus mendengar apa yang diucapkan oleh Sarah kepadanya.

“Ada apa-apa tuan nak saya sediakan sebelum tuan keluar miting?”

Let me check with my father first,” ucap Najmi lembut.

“Okey. Tu sajalah. Saya keluar dulu. Oh ya, coffee or tea, sir?”

No need. Saya nak keluar pun sekejap lagi,” balas Najmi sebelum dia mengangkat gagang telefon untuk bercakap dengan ayahnya.

5 minit setelah berbual dengan sang ayah, gagang telefon diletakkan semula. Najmi bangun lalu mendapatkan satu kertas lakaran yang berada di dalam kabinet. Kertas itu diletakkan di atas meja kerana akan dibawa bersama sebentar lagi.

Setiba di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya, susuk lelaki muda itu mendapat perhatian ramai wanita sebaik saja kakinya melangkah masuk ke bangunan itu. Amat tampan. Sangat bergaya. Namun Najmi jenis lelaki tidak mudah senyum saat berpandangan dengan sesiapa termasuklah wanita.

Mereka terus dibawa ke kamar mesyuarat. Beberapa orang lelaki menyambut mereka kerana sudah kenal. Sudah pernah bertemu di Putrajaya sebelum ini. Ketika di dalam kamar mesyuarat, mata seorang wanita singgah di wajah Najmi. Kagum. Terpesona. Rambut lelaki itu bersikat kemas. Dia mengenakan blazer berwarna kelabu. Sangat kacak di matanya sehingga dia tersipu-sipu saat pandangan Najmi singgah di wajahnya.

“Silakan, Encik Najmi...” ucap gadis itu menjemput lelaki itu duduk di kerusinya.

“Terima kasih,” balas Najmi, mematikan nada apabila bercakap dengan wanita yang dia rasa telah terpikat kepadanya setelah memandangnya. Agar wanita itu tidak merasakan dia sedang melempar kail untuk memikat.

Seketika kemudian masuk lagi seorang lelaki lain.

“Tuan Haji Razali...” tegur Dato’ Aminudin kepada lelaki tua itu.

“Lama tak jumpa, Dato’. Apa khabar?” tegur lelaki yang merupakan Ketua Pengarah JKR negeri.

Najmi tersenyum sedikit saat melihat ayahnya berlaga pipi dengan lelaki yang dipanggil tuan haji itu. Janggutnya panjang, tampak macam orang alim. Namun Najmi menoleh setelah wanita tadi datang menghidangkan kopi buatnya.

“Manis? Kurang gula?” ucap gadis itu lunak.

Najmi mencari pandangan gadis itu.

Its okay,” ucapnya sambil menghadang mulut muk itu dengan tangannya tanda dia tidak mahu kopi itu diletakkan gula.

Najmi memandang muk itu sebelum mengucapkan terima kasih. Dia kembali memandang sang ayah di sebelah sana.

“Anak sulung saya... Ahmad Najmi,” ucap Dato’ Aminudin sambil menuding ke arah Najmi.

Najmi segera bangun lalu mendapatkan orang tua itu untuk bersalaman. “Apa khabar, tuan haji? Saya Najmi,” ucap Najmi lembut.

“Alhamdulillah, khabar baik.... masyaAllah, elok kejadiannya. Bapak borek anak rintik,” ucap Tuan Haji Razali sambil memandang semula ke arah Dato’ Aminudin. Orang tua itu gelak besar dengan bicara Tuan Haji Razali tentang Najmi.

Najmi sekadar tersenyum sedikit.

Mesyuarat itu bermula. Mereka diberikan pelan perancangan bandar untuk tahun itu. Beberapa projek sudah dirangka. Ada yang akan dibuka tender namun ada yang akan dirunding terus kerana memerlukan perlaksanaan segera. Syarikat yang dilantik haruslah memiliki kepakaran dan kemampuan menyiapkan projek tersebut. Dan syarikat mereka dipanggil untuk rundingan terus memandangkan mereka memiliki kedudukan kewangan yang kukuh.

Mesyuarat itu berlarutan sehingga ke makan tengah hari bersama pengarah-pengarah itu. Kebanyakan mereka di situ adalah jurutera profesional atau IR dan arkitek profesional atau AR.

Sebelum meninggalkan restoran, ketika di pintu keluar ada beberapa pekerja mengucapkan ‘terima kasih’ dan ‘sila datang lagi’. Namun Najmi menoleh setelah terdengar suara seseorang menyapanya. Seorang perempuan tersenyum memandangnya dengan pandangan memikat.

May I ask your name?” ucap gadis itu berani. Yang lain tercengang memandang gelagat teman mereka itu.

“Ahmad Najmi...” jawab Najmi.

Gadis itu mengambil pen dan menulis sesuatu di buku catatannya lalu cebisan kertas itu dikoyakkan untuk diberikan kepada Najmi.

Najmi memandang seketika kertas itu. “If I may...” ucap Najmi perlahan.

Yes, darling...”

Terkejut sedikit Najmi mendengar gadis itu dengan berani menyebut darling kepadanya. Etika kerjanya sudah hilang. Namun lelaki itu memandang sekilas gadis itu tanpa sebarang reaksi teruja kepada panggilan itu.

What is your father’s name?” tanya Najmi.

What?”

“Nama ayah you... siapa?” tanya Najmi lantas menentang pandangan liar gadis penggoda itu.

“Oh, Mohd Sabri. Kenapa?”

Nothing... I’m looking for someone actually. I met him a few years ago in Madinah. You pernah berada di Madinah pada bulan Disember 4 tahun lalu?”

Gadis itu tercengang.

No. I tak pernah pergi sana.”

Then, you’re not the person I’m looking for. I’m sorry but thank you for the number.” Najmi terus berpaling dan mendapatkan ayahnya yang sedang menunggu di luar restoran. 

Please call me,” ucap gadis itu separuh mendayu tanda dia benar-benar berharap namun Najmi hanya membiarkan saja bicara itu tanpa menjawabnya.

What was that about?” tanya Dato’ Aminudin saat berjalan seiringan dengan anaknya menuju ke kereta.

Nothing, papa...” ucap Najmi lantas kertas di tangannya itu dironyoknya tanda dia tidak berminat hendak menghubungi gadis itu.

“Perempuan tu mengurat kamu?” tanya Dato’ Aminudin setelah masuk ke dalam kereta.

Yes.” Najmi menjawab dengan helaan nafas perlahan seolah-olah tiada apa yang hendak dibanggakan dengan itu.

Dato’ Aminudin tersenyum tanpa memberikan apa-apa komen tentang itu. Dia sedar, alpha male seperti Najmi... perempuan seperti itu tidak segan silu melempar kail. Kalau menunggu Najmi yang melempar kail, alamatnya melepas. Tapi kalau lelaki biasa-biasa, poket pun agak kembang-kempis kembang-kempis... mungkin perempuan seperti itu lebih suka menunggu lelaki itu datang memikat mereka demi maruah mereka sebagai perempuan.

Bukan dia tidak perasan gadis di dalam kamar mesyuarat itu tadi juga merenung sakan kepada anak lelakinya.

Najmi hela nafas perlahan. Di ruang matanya terbayang lagi susuk gadis berjubah hitam dan memakai purdah. Siapa gadis itu? Saat ini dia menyesal kerana terlalu ikutkan rasa kecewanya kepada Camille ketika itu sehingga melepaskan peluang untuk bertanya nama gadis itu ketika di dalam gerabak itu dulu.

Hari ini hatinya meronta-ronta sendirian, kalau boleh dia mahu jejaki semula tanah Mekah... Dia mahu sujud kepada Allah. Agar Allah menjawab pertanyaan tentang gadis di dalam mimpinya itu. Kerana dia rasa dia sedang buta dalam pencarian kerana dia tidak tahu apa-apa tentang gadis itu melainkan nama ayahnya Hairi. Dia ada 4 orang abang. Itu saja yang dia tahu.

“Papa... saya bercadang nak pergi umrah.” Najmi berkata perlahan sambil memicit pelipisnya.

Dato’ Aminudin menoleh kepada anaknya.

Hmm... tapi pergi sebelum projek dengan JKR bermula. Nanti papa tanya umi. Kalau dia nak pergi, papa boleh planning sekali,” ujar Dato’ Aminudin. Tak mungkinlah isterinya tidak mahu pergi. Najmi mengangguk.

“Saya mencari seseorang,” luah Najmi.

“Siapa?”

Najmi menoleh kepada sang ayah yang duduk di sebelahnya. Lelaki muda itu memandang ke luar seketika. Pemandu di hadapan memandang cermin pandang belakang. Turut mahu mendengar.

“Nama dia Hazel. Ayah dia nama Hairi. Saya jumpa dia di Jeddah 4 tahun lepas. Saya tak tahu kenapa saya tak boleh lupakan dia,” ujar Najmi perlahan.

Dato’ Aminudin terdiam merenung sisi paras anak lelakinya itu.

“Kamu tak kenal dia?”

“Saya tak kenal rupanya. Ketika itu dia pakai purdah. Saya mencari dia di mana-mana. Di IG. Di semua media sosial dengan nama itu. Tak berjumpa,” ujar Najmi. 

“Hazel?”

Najmi membalas pandangan sang ayah. “Saya rasa saya merindui seseorang yang saya tak kenal, papa. Ke mana saja saya pergi, saya akan cari dia. Saya berdoa setiap hari supaya Allah dekatkan saya dengan dia. Saya tidak kenal rupanya tetapi saya asyik teringatkan dia,” ujar Najmi.

Dato’ Aminudin diam mendengar itu. Rumit! Berapa ramai orang dalam Malaysia ini dengan nama itu? itu pun bukan nama penuh.

“Kenapa kamu tak tegur dia waktu tu?”

Najmi diam memandang ke luar sana. Itulah kekesalan terbesar yang dirasainya saat ini. Dia tidak mampu menjawab kenapa dia tidak mendekati gadis itu ketika itu.

“Waktu saya baru berpisah dari Cam, fikiran saya susah hendak fokus. Saya hanya teringatkan Cam. Saya marahkan dia. Saya rasa segala-gala yang tak elok pada dia. Saya berperang dengan diri saya sendiri sehingga saya abaikan apa yang ada di depan mata saya,” ujar Najmi.

“Tak apalah. Jodoh pertemuan ni kehendak Allah, Naj.”

“Saya harap Allah akan temukan saya dengan dia, papa.”

“Insya-Allah...” balas Dato’ Aminudin perlahan. Gembira kerana Najmi tidak lagi mengharapkan Camille. Diam anaknya selama ini bukan kerana Camille. Tetapi kerana wanita lain.

 

 

SEHARI DUA ini gadis itu merasa jemu dengan kehidupannya. Suram. Ada yang tidak kena. Dia ada segala-galanya, namun dia tidak gembira. Hatinya merasa sunyi.

“I belum fikir tentang kahwin. Banyak yang I kena selesaikan sebelum kita bercakap tentang kahwin.”

Mungkin kerana kata-kata Rizal itu membuatkan dia rasa begini. Dia rasa hubungannya dengan Rizal tidak ada arah tujuannya.

Rizal... sepotong nama itu bermain di fikirannya. Adakah nama itu yang membuatkan hidup dan dirinya merasa serba tidak kena saat ini?

Hazelina termenung memandang ke hadapan untuk merehatkan kepalanya di penyandar kerusi. Dia terkenangkan Rizal. Teman lelakinya itu ada perilaku yang agak aneh. Rizal seorang perahsia. Dia tidak mampu menyemak banyak tentang lelaki itu walaupun lelaki itu klien di bank mereka kerana lelaki itu berurusan atas nama syarikat atau majikannya.

Hazel mendecit sambil memusingkan kerusi memandang ke cermin dinding untuk memandang ke luar sana. Matanya dipejamkan untuk merehatkan fikirannya. Namun memori 4 tahun lalu kembali lagi di mindanya tanpa jemu. Saat dia bertentang mata dengan lelaki Arab itu. Dia masih ingat renungan lelaki itu amat dalam kepadanya. Hazel tersenyum sendirian tanpa sedar. Berangan!

Dia membayangkan lelaki itu berjalan dengan langkah gagahnya. Namun kemudian kelopak matanya terbuka semula.

“Nama dia Najmi...” ucap Hazel perlahan. Di mana dia sekarang? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Agaknya sudah kahwin, beranak pinak. Sedangkan dia di sini termenung mengenang cinta pandang pertama yang berlangsung tak sampai seminit.

Hazel mengerutkan wajah dalam keadaan mata terpejam. Malu pula hendak mengenang keadaan itu kerana dia rasa betapa bodohnya dia kerana tidak menegur lelaki itu ketika itu.

Hazel memusingkan kerusinya saat terdengar pintu kaca biliknya diketuk seseorang.

Come in...” ajak Hazel kepada setiausahanya.

“Setiausaha Encik Hairul baru serahkan dokumen ni pada I. Dia minta pass pada you. Dan setiausaha Datuk Seri Shahila baru saja call tadi. Dia nak confirmkan tentang lunch esok,” ujar Lydia sambil meletakkan satu fail di depan Hazel.

Confirm,” balas Hazel sambil memandang kalender yang terpacak di atas meja.

“Kalau macam tu I akan beritahu mereka semula.”

“Okey, thanks... emm... Lyd, I nak tanya sesuatulah.” Hazel kembali menahan langkah wanita itu dengan bicaranya.

Lydia kembali memandang bosnya itu. What is it?”

“Macam mana I nak dapatkan nombor MyKad seseorang?”

Kening Lydia terangkat sedikit sambil merenung bosnya itu.

“Itu sulit. Dia klien kita ke?”

No. Not really,” ucap Hazel sambil memandang ke luar biliknya. Kemudian dia kembali memandang Lydia.

“I nak check seseorang ni bujang atau dah kahwin. Macam mana ya? I nak kena ada nombor IC dia. Itu I tak ada.”

“Tanya ajelah?”

No way! Nanti dia tahu I nak check status dia bujang atau tak,” balas Hazel.

“Nanti I periksa dulu macam mana. Kalau you tanya I sekarang, I pun tak tahu. Kecuali kalau dia klien atau staf kita lah,” jawab Lydia.

“Okey. Thank you so much, Lyd.”

Most welcome...” ucap Lydia sebelum berlalu dari kamar itu.

“Nampaknya kenalah I jalankan agenda untuk mencari nombor IC si Rizal ni,” ucap Hazel nekad mahu memeriksa status lelaki itu. Apakah dia masih bujang? Selalunya kalau orang begitu perahsia, tandanya dia ada simpan rahsia besar. Sudah berkahwin contohnya?

Hazel memberi mesej kepada teman lelakinya itu untuk mengajak bertemu malam nanti.

Malam itu ketika dia sampai di restoran tempat mereka selalu berdating, Hazel sudah nampak Rizal di situ sedang tekun memandang telefon. Gadis itu berdiri seketika memandang gelagat Rizal. Entah kenapa saban hari dia merasakan dia seperti tidak pernah cintakan lelaki ini. Baru 10 bulan dia berkawan dengan lelaki ini, dia sudah jemu.

Banyak yang tidak kena antara mereka. Sikap perahsia Rizal juga berjangkit kepadanya. Ibu bapanya tidak tahu dia ada teman lelaki. Selama 10 bulan ini tidak banyak dia tahu tentang Rizal. Dia tidak pernah diperkenalkan dengan kawan-kawan Rizal. Dia tidak tahu sama ada lelaki itu ada kawan atau tidak kerana dia tidak pernah memegang telefon Rizal.

Rizal tidak banyak bercerita tentang hidupnya. Dia kian sangsi dengan lelaki ini. Dan baru-baru ini tatkala dia bercerita tentang kahwin, lelaki itu mengelak. Dia memang pantang berkawan dengan lelaki yang tiada set arah tujuan. Sekadar keluar bersama saja... buang masa!

Rizal menoleh setelah Hazel tiba di sisi meja. Lelaki itu terus menyimpan telefon dan tersenyum kepada Hazel.

“Awal you sampai,” ucap Hazel.

“I lapar,” jawab Rizal lembut.

Sepanjang makan malam bersama, otak Hazel sibuk mencari idea bagaimana untuk dia dapat nombor MyKad lelaki itu.

“Riz, I rasa I nak tukar password phone I. Sekarang senang kena hack,” ujar Hazel sambil memandang telefonnya. 

Rizal termangu memandang Hazel. Really?”

Hmm... nombor apa yang rare ya? Boleh I dapatkan nombor akhir MyKad you?” omel Hazel lantas memandang Rizal.

Rizal tersentak pada awalnya.

“Untuk apa?”

“I dah cakap I nak tukar password phone I. I nak guna nombor akhir MyKad you... teman lelaki I. Tak boleh ke?” ucap Hazel dengan muka selamba.

Rizal berdeham. Kembang setaman juga mendengar Hazel menyebutnya sebagai kekasih. Ahh... setakat empat nombor akhir itu apa salahnya? Dan dengan mulia hati, langsung tidak mampu meneka apa-apa... Rizal menyebut nombor itu.

Thank you...” ucap Hazel sambil menulis nombor itu di memo di dalam telefonnya.

Rizal orang Selangor, jadi dia boleh teka nombor pertengahan MyKad lelaki itu. Sementelah dia sudah tahu tarikh lahir Rizal. Dia hanya perlu meneka kod di tengah-tengah MyKad itu berdasarkan tahun dia dilahirkan.

“Riz, kalau boleh I tahu... kenapa you privatekan you punya IG?” tanya Hazel.

“Oh, I tak aktif sangat di IG, sayang. Medsos ni I tak berapa sangat layan,” ujar Rizal sambil meneruskan makan.

Hazel memandang lelaki itu. Entahkan lelaki ini bercakap benar atau pembohong besar? Untuk apa ada akaun media sosial kalau tidak suka melayaninya? Akaun IG Rizal itu hanya ada dia seorang saja pengikutnya. Entah-entah akaun fake!

“Sayang, I tak boleh berlama-lama ni sebab I kena siapkan banyak proposal untuk dihantar dalam masa terdekat ni,” ucap Rizal usai makan.

Hazel memandang lelaki itu. Aneh hubungan ini. Mereka hanya bertemu sekali-sekala dan Rizal pasti akan lekas mahu pergi kerana kesibukan kerjanya.

“Okey.”

Rizal tersenyum senang dengan kelembutan Hazel. Dia segera bangun untuk membuat bayaran. Hazel terus memandang gerak-geri lelaki itu sehingga Rizal hilang dari pandangan mata. Setelah itu dia melambai pelayan untuk memesan sesuatu untuk dibawa pulang ke rumah.

Sepanjang masa menunggu hidangan yang dibungkus siap, Hazel sibuk mencerakinkan nombor kad pengenalan Rizal di telefonnya. Ketika pelayan sampai di mejanya, Hazel mendongak memandang muka pelayan itu.

“Hai... you umur berapa eh?” tanya Hazel dengan kerutan di kening.

“32? Kenapa, Cik Hazel?”

No. Saja tanya. You lahir di Selangor?”

Yes.”

“Okey. Berapa nombor tengah MyKad you?” tanya Hazel.

Pelayan lelaki itu terus menyebut nombor itu.

Thank you so much. Sekejap ya?” Hazel mengeluarkan kad kreditnya untuk membayar makanan yang dipesannya.

Hazel terus berlalu setelah pelayan itu memulangkan semula kadnya. Namun resit tidak diambilnya. Dibiarkan saja di atas folder hitam itu. Seketika kemudian seorang lelaki datang mengambil resit itu dan dia berlalu ke kaunter untuk membayar harga makanannya.

“Hai, Abang Najmi...” sapa gadis cashier itu kepada Najmi.

“Hai,” sapa Najmi lantas memberikan kadnya pula.

“You kenal perempuan yang duduk di Table 5 tadi?” tanya Najmi kepada cashier itu.

“Kenal. Sama macam Abang Najmi, dia regular customer sebab dia tinggal dekat-dekat sini aje. Dia pernah cakap dekat saya dia tinggal di Resident Heights tu.” Gadis bernama Najwa itu menjawab. Dia tidak sedar dia tidak seharusnya menyebut di mana Hazel tinggal kepada orang asing. Itu mungkin akan membahayakan keselamatannya.

“Nama dia?” tanya Najmi.

“Nurul Hazelina Hairi kalau tak salah. Shhh... Dia anak orang kaya tau! Kereta Ford Mustang yang selalu ada kat depan ni, dia punya. Dia anak Tan Sri Hairi CEO UMCB,” ucap gadis itu sambil menyengih.

Najmi tersentak mendengar itu.

Really? Nurul Hazelina Hairi... anak CEO UMCB?” ucap Najmi terkejut. Badan UMCB itu diketahuinya adalah syarikat kewangan yang terdiri dari bank dan lain-lain syarikat kewangan seperti insurans. Namun dia tidak pernah mengenali siapa di sebalik syarikat itu.

Yup. Saya panggil dia Hazel aje. Kenapa? Berkenan ke?”

Najmi ketawa kecil tanpa menjawab pertanyaan berbaur mengusik itu.

“Lelaki yang duduk dengan dia tadi teman lelaki dia?”

“Saya tak berapa tahu tentang lelaki tu. Lelaki tu memang kadang-kadang datang sini dengan dia. Tapi baru-baru ni aje saya nampak lelaki tu dengan dia. Saya tak tanya pun lelaki tu siapa. Segan. Takut customer tak suka kita ambil tahu hal peribadi dia,” ujar gadis itu.

“Betullah tu. Saya saja tanya. Jangan tanya dia pulak,” ucap Najmi sebelum dia mengambil kad yang dihulurkan oleh gadis itu.

“Dia memang lawa, bang. Kadang-kadang staf lelaki berebut nak syif malam sebab nak tengok dia,” ujar gadis itu menyebabkan mereka ketawa bersama. 

“Saya selalu nampak dia kat sini. Teringin nak tahu nama dia. By the way, thank you... Najwa.” Najmi menyebut nama pada tag di baju gadis itu.

“Sama-sama.”

Najmi berlalu dari situ sambil menyebut semula nama gadis itu.

“Dia rupanya Hazel... Hazelina,” ucap Najmi seorang diri. Betapalah... selama ini perempuan yang dicari ada aje dekat dengannya.

Ketika dalam perjalanan ke rumah, lelaki itu sekali lagi diketemukan dengan Ford Mustang berwarna biru sedang beratur di lampu isyarat. Nampaknya arah mereka sama.

Baru dia tahu yang gadis cantik itu tinggal dekat saja dengan kediamannya. Walaupun bukannya mereka menetap di kawasan perumahan yang sama. Namun perumahan mereka dari pemaju yang sama... yakni syarikat ayahnya. Dia memiliki rumah banglo 3 tingkat di fasa 1. Kereta Hazel pula kelihatan membelok di fasa 2. Sebelah saja!

Namun saat memikir sendiri, Najmi sangsi... adakah benar itu gadis di dalam gerabak itu? Lain benar dari apa yang ada dalam bayangannya. Tudung dah terbang entah ke mana. Agaknya terbang masuk ke enjin pesawat ketika pulang dari tanah suci dulu. Terus tak bertudung. Walaupun tidak seksi benar tetapi gadis itu sangat menarik di mata lelaki.

Tetapi dia terfikir sesetengah perempuan hanya bertudung ketika mengerjakan umrah. Lepas dari itu... tunggu hidayah sampai.

Gadis itu langsung tidak sedar keretanya diekori dari belakang biarpun setelah memasuki kawasan perumahannya. Najmi sempat tertahan di pos pengawal kerana kad akses untuk memasuki kawasan perumahan mereka berbeza. Namun lelaki itu segera menunjukkan ID syarikatnya kepada sekuriti Bangla itu. Setelah melihat ID itu, mereka menaikkan palang.

“Okey, bos. Sorry.” Seorang Bangla mengangkat tangan kepada Najmi.

Najmi tersenyum sebagai ganti ucapan terima kasih kepada sekuriti itu. Keretanya terus digerakkan untuk menjejaki kereta Mustang biru itu. Sehingga Najmi terperasan kereta itu membelok masuk ke sebuah kediaman. Dia memandang dari hujung simpang. Kereta diundurkan seketika sebelum dia turut membelok masuk simpang itu.

Keretanya diperlahankan saat mendekati rumah gadis itu. Najmi ternampak Hazel sedang mengeluarkan sesuatu dari sebelah tempat duduk penumpang dan pergi ke arah seorang wanita lain yang berada di pintu utama.

Najmi memandu pergi setelah mengecam nombor rumah Hazel. Hatinya kuat mengatakan, itulah gadis yang dicarinya semenjak 4 tahun lalu. Saat ini jantungnya seperti berdegup kencang. Teruja dalam diam setelah berjaya menemukan apa yang dicarinya. Dia mahu melihat gadis itu lagi.

Setelah tiba di rumah, Najmi membuka Google di komputernya. Dia menyemak latar belakang United Malayan Chartered Banking. Mata Najmi terpaku lama kepada gambar CEO bank itu. Dia tidak rasa lelaki yang menyapanya di Masjid Nabawi itu adalah lelaki yang sama dengan gambar di depannya ini. Dia hanya ada memori di dalam kepalanya untuk dia buat perbandingan tentang paras lelaki tua itu.

Sudahnya Najmi membuat carian tentang lelaki bernama Ahmad Hairi Hishamudin itu. Hasilnya dia menemukan Wikipedia tentang seorang tokoh perbankan terkaya di Malaysia... Tan Sri Ahmad Hairi. Mata Najmi membaca laju baris demi baris penerangan tentang lelaki itu.

Tan Sri Hairi memiliki 5 orang anak, 4 lelaki dan seorang perempuan. Maklumat itu memang sama seperti yang disebutkan oleh lelaki tua itu kepadanya dulu. Kening Najmi berkerut membaca nama semua anak lelaki itu. Pada nama Hafsham dan Hazran... tertera tarikh lahir mereka sama bermakna mereka kembar. Dan mata Najmi singgah pada nama Nurul Hazelina. Baru berusia 29 tahun. 4 tahun muda darinya.

Najmi mula tersenyum... kebetulan itu tidak akan semudah itu ada pada ramai orang. Dia yakin Hazel yang ditemui di restoran itu adalah Hazel yang sama ditemuinya di Jeddah dulu.

“Tak ada tudung pun... tak ada tudunglah!” keluh Najmi seorang diri sebelum dia bangun. Harap-harap malam ini tidurnya lena setelah sekian lama dia termimpi-mimpi! 


No comments:

Post a Comment