Wednesday, 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 7


AFIA rasa nak pitam. Sepatutnya dia gembira apabila Qaireen berjaya mendapat kerja di tempatnya. Tapi sekarang, dia rasa nak bacakan rukyah di telinga Qaireen.

“Kau tak bergurau, kan?”

No.” Qaireen masih sibuk menggosok pakaian yang akan dipakainya pada hari esok.

“Serius, Reen. Kau nak pakai baju macam ni esok?”

Qaireen hembus nafas kasar. Tajam dia merenung wajah Afia.

“Kalau kau nak membebel, tolong keluar sekarang dari bilik aku. Aku nak buat persediaan untuk hari esok pun terganggu.”

Afia rasa nak menangis. Takkanlah dia nak biarkan Qaireen pakai baju tak cukup kain esok? Mahu terbeliak mata pekerja di sana. Itu belum lagi angin kus-kus anak Haji Emad.

“Reen, pandang aku.”

Kedua-dua bahu Qaireen dipegang kemas. Dia memaksa gadis itu berdiri di hadapannya.

“Etika kerja dekat sana, tak boleh pakai baju macam ni.”

“Tak ada pun mereka cakap apa-apa masa aku pergi interviu.”

Afia menarik nafas dalam-dalam.

“Sebab tu aku beritahu sekarang. Buatnya kau kena marah dengan bos kita, teruk kau nanti.”

Qaireen ketawa dengan sikap gelabah Afia. Tangan gadis itu ditepis lembut. Dia menyambung kembali kerja menggosok pakaian.

“Aku bukan budak lagi. Dah sah-sah aku kerjadi bahagian marketing. Mestilah kena faham kenapa aku berpakaian macam ni...”

“Ya Allah! Kenapa kau ni degil sangat?” Naik pening kepala Afia nak menyedarkan Qaireen.

“Bos kita tu Haji Emad. Kau rasa, dia suka ke tengok pekerja dia pakai pakaian tak cukup kain?” Puas hati Afia. Cakap berkias, masih tak faham.

“Zaman sekarang, gelaran haji tu hanya sekadar pangkat aje. Kau dah lupa beberapa orang lelaki yang pernah jadi mangsa aku sebelum ni? Kononnya ada haji. Tapi bila nampak perempuan seksi, gugur terus iman tu.”

Itulah realiti kehidupan sekarang. Dia paling benci mereka yang menggunakan agama untuk mengaburi mata-mata orang di sekelilingnya. Hakikatnya, banyak perbuatan terkutuk yang dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa.

“Kau tak boleh samakan semua orang macam tu. Haji Emad yang aku kenal ni baik sangat. Kadang-kadang aku pernah juga rasa, macam pernah jumpa dia. Cuma ingatan aku ni tak berapa jelas.”

Qaireen sembunyi senyum. Afia langsung tak ingat tentang lelaki yang datang ke rumah anak yatim yang dihuni mereka beberapa tahun yang lepas. Banyak makan semut agaknya!

“Aku nak tidur. Sekarang kau boleh keluar dari bilik ni. Satu lagi, esok kita pura-pura tak kenal.”

Terpinga-pinga Afia. Tak sempat dia nak menyoal, tubuhnya dah ditolak keluar dari bilik itu. Pintu dikunci dari dalam oleh Qaireen. Nafas ditarik lega. Barulah aman sikit dia nak berehat.

 

 

TALI LEHERNYA dibetulkan sedikit sebelum dia masuk ke dalam lif. Terkial-kial tangan Elman cuba mengikat tali leher.

“Kejap!”

Pintu lif terbuka kembali. Elman memandang ke hadapan. Hampir terlepas beg kerjanya gara-gara kemunculan gadis itu.

“Maaf, tuan. Boleh saya masuk?”

Errr... boleh.” Gugup Elman memberikan keizinan.

Ceria wajah Qaireen. Setelah seminggu bekerja di sini, baru hari ini dia dapat peluang mendekati lelaki itu.

Elman masih terkejut. Dia sendiri tertanya-tanya punca gadis itu berada di sini. Atas bawah dia memandang penampilan gadis itu. Air liur ditelan payah. Cepat-cepat dia mengalihkan anak matanya ke arah lain.

“Eh, kenapa senget? Mari saya betulkan.”

Bulat mata Elman. Gadis itu sedang membetulkan tali lehernya. Bau wangian gadis itu menusuk ke lubang hidungnya. Berpeluh wajah Elman.

“Barulah nampak kacak.” Dada bidang lelaki itu diusap lembut.

Elman terundur kaki ke belakang. Merah wajahnya. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah.

Sebaik saja pintu lif terbuka, laju kakinya melangkah keluar. Dia berpaling ke arah gadis itu.

“Awak bekerja di bahagian mana?”

Marketing, tuan.”

Elman putarkan badan dan bergerak ke biliknya.

Setibanya di bilik, dia segera menghubungi Jabatan Sumber Manusia. Ada perkara penting yang perlu dia tahu.

Hampir 10 minit menunggu, pintu biliknya diketuk. Dia membenarkan lelaki itu masuk.

“Awak ada bawa fail pekerja baharu tu ke sini?” soal Elman kepada Azizan.

“Ada. Ini dia.”

Fail itu sudah berpindah tangan. Dia membaca dengan teliti maklumat gadis yang ditemui tadi di dalam lif.

“Dah seminggu dia bekerja, takkan tak ada sesiapa tegur cara dia berpakaian di sini?”

Kelu lidah Azizan.

“Kenapa tak jawab?” Keras nada suara Elman.

“Maaf, tuan. Kami... kami tak berani nak tegur.”

Pap!!!

Fail dihempas kasar di atas meja. Mujurlah walid tidak datang ke sini dalam minggu ini. Tak pasal-pasal, orang tuanya boleh sakit jantung pula melihat keadaan gadis tadi.

“Esok suruh dia datang jumpa saya. Tolong pesan kepada dia, pakai pakaian sopan,” tegas Elman memberikan arahan.

“Ba... baik, tuan.”

“Fail tu biarkan di atas meja.”

Tak jadi Azizan untuk mengambil kembali fail yang dibawanya. Cepat-cepat dia keluar dari bilik itu.

Sebaik saja pintu ditutup rapat, Elman membaca sekali lagi maklumat yang berada di dalam fail itu.

“Qaireen Irsa...”

Mata Elman mengecil. Wajah gadis itu mengingatkannya pada peristiwa beberapa tahun yang lepas.

Nafas dihembus kasar. Jika betul itu orang yang sama, apa yang pernah dikatakan oleh uminya itu tepat. Gadis itu bukanlah daripada keturunan yang baik-baik.

 

 

SETIAP GERAK-GERI lelaki itu berjaya menarik perhatian Qaireen. Dahlah kacak, kaya pula tu. Memang cukup pakej untuk dijadikan suami pilihan. Bertuah betul dia dapat bekerja di sini.

“Dah habis scan saya?” soal lelaki itu tanpa memandang ke arahnya.

“Hah?”

“Sejak awak masuk ke bilik saya, mata awak tak lepas dari pandang muka saya. Ada apa-apa yang tak kena ke?” Kali ini barulah lelaki itu memandang ke hadapan.

Tertelan air liur Qaireen. Lain macam betul aura lelaki ini. Selalunya, dia bijak bersoal jawab. Hari ini, tiba-tiba lidahnya terasa berat untuk membalas. Hanya gelengan yang diberi sebagai jawapan.

“Qaireen Irsa. Itu nama awak?”

“Ya, tuan.”

“Kita pernah jumpa ke sebelum ni?” Mengecil anak mata Elman.

Qaireen berdeham sedikit.

“Pernah.”

Elman tegakkan badan.

“Bila?”

“Semalam, saya ada betulkan tali leher tuan. Tuan mesti ingat.”

Merah muka Elman. Tiba-tiba dia teringat bau wangian gadis itu dan usapan jari halus Qaireen di dadanya. Kepalanya digeleng berkali-kali untuk menghilangkan bayangan kotor itu.

“Saya dengar awak dah seminggu bekerja di sini.” Fail di tangannya ditutup terlebih dahulu sebelum dia bersandar di sofa. Kaki disilangkan agar lebih selesa.

Qaireen terpaku melihat lelaki itu. ‘Kacaknya...’

“Cik Qaireen Irsa.”

Suara garau lelaki itu menyedarkan Qaireen. Dia berdeham sedikit untuk menghilangkan rasa gugup.

“Maaf, tuan cakap apa?”

“Tolong fokus. Saya tak suka pekerja yang kuat berangan.”

Malu Qaireen ditegur begitu.

“Daripada resume awak, awak bekas model. Tak rasa rugi ke bekerja di sini?”

“Tak. Saya nak cari pengalaman baharu. Paling penting, saya nak cari pekerjaan yang stabil.” Yakin Qaireen membalas. Dia turut duduk bersilang kaki. Perbuatannya itu hanya mengundang bahaya apabila skirt pendeknya ternaik ke atas.

Lelaki itu berdeham sedikit kasar. Dia bangun dan berdiri membelakangi gadis itu.

“Esok tukar cara awak berpakaian. Nak bekerja di sini, jangan terlalu murah.”

Terhenyak Qaireen. Lain yang dirancang, lain pula yang berlaku. Dia fikir, lelaki itu sudah masuk ke dalam perangkapnya.

“Apa yang tak kena dengan pakaian saya?” Sengaja Qaireen menyoal walaupun dia tahu memang dia yang bersalah.

“Umur awak berapa?” Lelaki itu berpaling sedikit ke belakang.

“Nak masuk 24 tahun.”

“Jadi awak dah cukup matang untuk bezakan tempat bekerja dan kelab malam. Am I right?”

Kalau tadi muka Qaireen bertukar merah, kali ini dia rasa mukanya ditampar berkali-kali. Pertama kali cara pakaiannya ditegur oleh orang asing selain Afia.

“Keluar. Awak boleh tanya dengan pihak HR tentang etika berpakaian di sini.”

Perlahan-lahan Qaireen bangkit dan keluar dari bilik itu. Sungguh dia rasa tercabar dengan kata-kata lelaki itu.

 

 

PSSTT... SINI.”

Afia tiba-tiba muncul di sebelah. Tangan Qaireen ditarik.

“Kenapa kau kena panggil?” soal Afia.

“Manalah aku tahu. Mungkin sebab aku pekerja baharu. Itu yang dia panggil.” Sakit hati Qaireen. Dia fikir lelaki itu memanggilnya disebabkan kejadian semalam. Manalah tahu lelaki itu dah jatuh hati dengannya. Tapi sebaliknya yang berlaku.

Afia garu kepala yang tidak gatal. Pelik. Tidak pernah Tuan Elman memanggil pekerja baharu untuk menghadapnya selama ini. Itu yang dia cuak apabila mendapat maklumat Qaireen dipanggil oleh Tuan Elman.

“Ni aku nak tanya kau sikit.”

“Apa dia?”

“Bos kita tu gay ke?”

“Nauzubillah! Kau kalau nak bercakap, pandanglah kiri kanan dulu,” marah Afia. Tak sampai sebulan bekerja, dah menuduh anak teruna orang sebagai gay.

“Aku peliklah. Aku yang cantik ni dia langsung tak pandang. Siap tegur cara pakaian aku lagi.”

Afia menghela nafas panjang. Patutlah wajah Qaireen seperti cuka getah selepas keluar dari bilik Tuan Elman.

“Kau jangan nak samakan Tuan Elman dengan lelaki yang kau kenal sebelum ni. Lelaki sebelum ni, semuanya nak ambil kesempatan. Bos kita ni limited edition.”

Ternaik kening Qaireen. Limited edition? Senyuman di bibir Qaireen semakin lebar.

Ermmm... aku rasa, aku dah jumpa bakal imam aku.”

“Siapa?”

“Lelaki limited edition tu.”

Terbeliak biji mata Afia. Memang tak betul dah kepala otak Qaireen ni.

“Kau jangan cari pasal. Tuan Elman tu takkan pandang kau. Percayalah.” Dia bukan nak menjatuhkan semangat Qaireen, tapi itulah kenyataan sebenar. Qaireen dan Elman, macam langit dengan bumi kut.

“Aku peduli apa! Kalau cara baik aku tak dapat, aku akan guna cara halus untuk dapatkan dia.”

Ini Qaireen Irsa. Dia tak pernah gagal untuk dapatkan apa yang dia nak. Dan kali ini, dia akan pastikan Elman Firdaus berada dalam genggamannya!

 

No comments:

Post a Comment