Wednesday, 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 8


HARI ini Qaireen sengaja pulang lewat walaupun waktu bekerja telah tamat. Dia masih menunggu lelaki itu muncul di sini.

“Mana dia ni? Aku tahu dia tak balik lagi.”

Dah setengah jam dia menunggu. Bayang lelaki itu masih belum muncul. Sesekali dia membetulkan solekan pada wajahnya.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Kelam-kabut Qaireen mencari tempat berteduh.

“Hesy... habis basah kain aku. Ni yang malas nak pakai baju kurung.”

Semuanya disebabkan Elman. Boleh dikatakan setiap hari dia ke tempat kerja dengan memakai baju kurung. Kononnya untuk meraih perhatian lelaki itu. Tapi jangankan nak pandang, nak terserempak pun payah.

“Ehem!”

“Oh mak kau!” Terperanjat Qaireen. Dia menoleh ke sebelah. Wajah masam tadi berubah ceria. “Eh, tuan tak balik lagi?”

“Memang ini masa saya balik bekerja. Yang awak tu, kenapa tak balik lagi?” soal Elman sambil melihat penampilan gadis itu. Manis, tapi solekan pada wajah gadis itu yang membuatkan dia kurang gemar.

“Hujan. Itu yang saya tunggu dekat sini,” bohong Qaireen.

“Dah sejam waktu kerja awak habis, kan? Kalau nak salahkan hujan, rasanya tak sampai lima minit hujan baru turun.”

Terkulat-kulat Qaireen.

Err... saya ada banyak kerja. Saya ni tak suka tangguhkan kerja.”

Ternaik kening Elman. Dia bukannya bodoh. Dah setengah jam dia perasan gadis itu berdiri di sini. Tak mustahil gadis itu ada agenda sendiri. Elman segera bergerak ke tempat letak kereta.

“Eh, tuan dah nak balik ke?”

Ermmm...”

“Hujan ni. Tuan... tuan tak nak tumpangkan saya?” Lantaklah Elman nak kutuk dia. Zaman sekarang ni, perempuan kena berani bertindak.

“Tumpangkan ke mana?”

Lebar senyuman Qaireen.

“Ke rumah sewa saya.”

Tiba-tiba Elman ketawa kecil sambil mengusap rahangnya. Sekarang dia dah faham agenda gadis di hadapannya ini.

“Ini ke cara awak dapatkan lelaki kaya?”

Mati senyuman Qaireen.

“Rasanya cara awak ni tak sesuai untuk saya. Saya tak berminat untuk rapat dengan mana-mana pekerja saya, terutamanya...”

Elman dekatkan sedikit bibirnya ke telinga Qaireen.

“Pekerja bawahan saya.”

Merah muka Qaireen. Dia bukannya malu disebabkan jawatan kecilnya di syarikat Elman. Tapi kata-kata lelaki itu umpama memijak maruah dirinya.

“Ooo... maksud tuan, kita tak sekufu?”

Elman tak menjawab.

“Saya minta maaf sebab buat tuan tak selesa. Tak sangka tuan ni sama aje dengan lelaki yang saya kenal sebelum ni. Terlalu mementingkan kesempurnaan.”

“Tak salah untuk kita memilih yang terbaik dalam hidup kita,” celah Elman. Tak tahulah kenapa, dengan gadis ini, dia terlalu banyak bercakap pula.

Qaireen ketawa kecil. Kepalanya mengangguk setuju dengan kata-kata Elman.

“Betul. Itulah yang saya buat sekarang. Saya rasa, tuan yang terbaik dalam hidup saya. Tak salah saya mencuba dapatkan tuan.”

Elman tergamam.

“Hujan pun dah berhenti. Saya balik sendirilah hari ni. Saya yakin, tak lama lagi tuan sendiri yang akan tawarkan diri untuk hantar saya balik.” Qaireen kenyitkan mata. Sempat jari halusnya mengusap lembut dagu lelaki itu.

Tersentak Elman. Semuanya berlaku secara spontan. Sentuhan gadis itu berjaya membuatkan dia kaku di situ.

 

 

ELMAN MEMEJAMKAN mata. Kata-kata gadis tadi sedikit mengganggu fikirannya.

“Saya rasa, tuan yang terbaik dalam hidup saya.”

Gadis itu terlalu berani. Ini kali pertama dia didekati oleh seseorang. Peliknya, dia sedikit teruja setiap kali Qaireen cuba mendekatinya. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman nipis.

“Senyum dekat siapa tu?”

Terperanjat Elman. Tak sedar sejak bila walid memerhati gerak-gerinya di sini.

“Walid tak tidur lagi?”

Ermmm... belum. Panas pula. Itu yang walid turun nak minum air. Tadi walid nampak El tersenyum sorang-sorang. Tak nak kongsi dengan walid?”

Elman tersenyum janggal. Belakang lehernya diusap lembut.

“Tak ada apalah. Teringat hal kerja aje tadi.”

Mengecil anak mata Haji Emad. Dia bukannya sehari dua mengenali si anak.

“Betul ni? Bukan sebab dah jatuh cinta?”

Tercengang Elman. Dia berdeham menghilangkan rasa gugup.

“Walid merepek apa ni?”

Berdekah-dekah orang tua itu ketawa. Baru diusik, muka dah merah. Sah ada yang tak kena dengan si anak.

“Kerja macam mana?” Haji Emad menukar topik perbualan. Kesian pula melihat wajah anaknya merah menahan malu.

“Alhamdulillah. Kerja okey aje. Walid nak masuk pejabat minggu ni ke?”

“Insya-Allah. Walid akan datang minggu ni.”

Elman menarik nafas lemah. Jujur dia risau jika walid terserempak dengan Qaireen. Gadis itu terlalu licik.

“Petang tadi, ayah Amy call walid.”

Terus berubah riak wajah Elman. Bercakap tentang Amylea, hampir sebulan mereka tak berjumpa. Mungkin gadis itu berjauh hati dengannya apabila dia menolak untuk disatukan.

“Mereka tanya tentang keputusan El.”

“Keputusan apa?” soal Elman pura-pura tidak tahu.

“El... mereka nak sangat El jadi menantu mereka. Tak boleh ke El pertimbangkan?”

Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Perkara inilah yang dia tak suka. Tak kira apa jawapan yang diberi, pasti ada hati yang terluka.

“El tak nak, walid.”

“Tapi kenapa?”

Elman terdiam seketika. Berkahwin satu perkara yang serius.

“El nak berkahwin hanya sekali seumur sehidup.”

Berkerut orang tua itu. Haji Emad masih belum faham perkara yang cuba disampaikan oleh si anak.

“El tak rasa hubungan El dan Amy boleh pergi jauh.  El takut nak bagi harapan. Andai kata perkahwinan kami tak menjadi, kelak hubungan keluarga kita bertambah buruk.”

Haji Emad menggeleng.

“Jauh sangat El ni berfikir. Tak kahwin lagi, dah fikir soal cerai.”

“El cakap perkara yang betul. Hati El tak ada rasa apa-apa terhadap Amy.”

Haji Emad mengangguk faham. Dia bangkit dari kerusi dan berdiri di sebelah anaknya. Bahu Elman ditepuk perlahan.

“Buatlah istikharah. Kalau betul Amy bukan jodoh El, walid takkan paksa,” pesan Haji Emad sebelum berlalu ke dapur.

Elman sedikit terkesan dengan kata-kata si ayah. Dia lupa untuk meminta petunjuk daripada-Nya. Mungkin betul kata Haji Emad. Dia perlu lakukan istikharah untuk mendapat jawapan yang tepat. Lebih-lebih lagi hatinya sudah terusik oleh seseorang.

 

No comments:

Post a Comment