Monday, 19 June 2023

Bibik High Class - Bab 4


“TOLONG aku dekat dengan Tengku Harraz.” Masuk sahaja ke bilik adiknya, dia terus melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan kerusi CEO.

Akil memerhatikan kakaknya dengan muka kosong. Sesuatu yang mengejutkan. Tiba-tiba sahaja kakaknya bercakap tentang lelaki. Bila mama suruh cari calon suami, memanjang kakaknya itu tidak mahu. Alasan berjela. Kalau ditulis alasan kakaknya berikan, tak cukup satu buku.

Dia alihkan laptop. Fokuskan pandangannya ke arah Katrina. Takkan semata-mata itu kakaknya muncul di pejabat? Jarang-jarang Katrina mahu jejakkan kaki ke sini.

“Dekat? Maksud kau apa? Duduk dekat-dekat dengan dia? Duduk kat sebelah dia? Macam tu?” tanya Akil. Kurang faham maksud kakaknya.

“Dekat maksudnya bercinta. Aku nak buat dia cintakan aku.”

“Kau gila ke?” Bulat besar mata Akil. Roh jahat mana yang dah merasuk kakaknya. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba nak buat Tengku Harraz jatuh cinta.

“Aku serius ni. Aku nak buat Tengku Harraz jatuh cinta kat aku.”

Akil sengetkan kepalanya. Lama dia memerhatikan kakaknya. Disentuhkan belakang tapak tangannya ke dahi Katrina. “Tak demam.”

“Akil, aku serius ni.” Katrina tayang muka serius.

“Perempuan macam kau, kau dekat dengan dia pakai niat ajelah. Dia tak akan pandang kau. Dia jatuh cinta kat kau, dalam mimpi mungkin boleh jadi. Itu pun kalau dia sudi masuk dalam mimpi kau.” Bukanlah dia hendak memperkecilkan niat kakaknya tapi dia kenal sangat dengan Tengku Harraz. Pandang perempuan pun tidak, apatah lagi nak berkawan dengan perempuan.

Please... Tolonglah aku. Aku mintak tolong sangat-sangat.” Bersungguh-sungguh Katrina merayu.

Lemah Akil dengan rayuan kakaknya. Dia tiada saudara lain. Katrina satu-satunya saudara dia. Mama dan daddynya pulak jauh di Australia.

“Kenapa aku mesti tolong kau? Apa aku dapat kalau tolong kau?”

“Sebenarnya... aku bertaruh dengan Lily. Kalau aku menang, dia bagi aku bot mewah dia. Kita juallah nanti. Duit kita bahagi dua.”

Terpaksa Katrina berbohong. Kalau dia sebut nama Ramona, memang Akil takkan bantu dia kerana buat kerja gila untuk orang lain. Mujur dia sudah berbincang perkara itu dengan Lily. Memang Lily ada bot mewah hadiah daripada datuknya, jutawan di Indonesia. Jadinya dia gunakan nama Lily.

Ternaik sebelah kening Akil mendengar tawaran kakaknya. Harga bot milik Lily mencecah 500 ribu USD. Kalau jual, memang sangat lumayan. Dapat duit terpijak.

“Okey, aku tolong kau. Nanti aku cari cara.” Satu kerja pula hendak tolong kakaknya. Tengku Harraz bukan sahaja dingin dengan perempuan. Dengan lelaki pun ada kalanya dingin juga. Sebab itu Tengku Harraz tidak ramai kawan.

Thanks Akil. Aku sayang kau.” Katrina bangun lalu mendekati Akil. Depakan tangan mahu memeluk adiknya.

Haip.” Cepat-cepat Akil halang.

Katrina tergelak melihat gelagat adiknya. Dia kembali ke tempat duduknya.

Wait... kau pakai selipar Jepun? Mana kasut kau?” Akil perasan kakaknya hanya berselipar. Dah kenapa pula kakaknya berselipar? Selipar Jepun pula tu.

Tanpa sebarang perasaan Katrina letakkan kasutnyadi atas meja kerja Akil. Sayang pula hendak buang kasut itu walaupun sudah tidak boleh dipakai lagi.

Hendak terkeluar biji mati Akil. “Macam mana boleh patah? Manolo Blahnik ni.”

“Jangan risaulah. Aku tak mintak duit kat kau. Aku menang pertaruhan tadi. Kalau aku berjaya buat Tengku Harraz peluk aku, Cynthia bagi 10k. Lily bagi rantai Chopard dia.” Katrina berkata selamba. Apalah sangat kasut sepasang itu kalau dia boleh menang pertaruhan. Lagipun ada berpuluh-puluh pasang lagi kasut di rumahnya. Penuh satu almari.

“Peluk kau? Kau dah gila ke? Kalau mama tahu...”

Hendak terkeluar biji mata Akil. Tak percaya. Kakaknya itu jarang keluar. Tapi kalau dah keluar memang tak sah kalau tak buat masalah.

“Alah... aku buat-buat jatuh depan dia. Dia tolonglah sambut aku dari jatuh.”

Akil tepuk dahi. Kakaknya memang nakal luar biasa.

“Aku tak rasa kau boleh dekat dengan dia lepas ni. Aku yakin, dia nampak aje muka kau... bukan langkah seribu, dia terus guna ilmu halimunan. Ilmu ghaib seribu untuk mengelak dari kau.”

“Habis tu, macam mana aku nak dekat dengan dia kalau dia lari?”

“Dia rapat dengan adik dia. Bukan setakat rapat, dia sayang gila dekat adik dia. Semua adik dia nak, dia akan tunaikan. Aku rasa kau boleh dekat-dekat dengan adik dia dulu sebelum dekat dengan dia.”

“Dia ada adik?”

“Tengku Harlina. Tapi mungkin susah sikit nak dekat dengan Tengku Harlina ni. Tengku Harraz memang overprotective dengan adik dia. Enam orang pengawal peribadi jaga adik dia. Dia jugak tak bagi adik dia kerja,” terang Akil lagi. Pernah beberapa kali dia melihat Tengku Harlina tapi dari jauh sajalah. Pengawal peribadinya ramai.

Ergh... overprotective sangat tu. Berapa umur dia?”

“Baya kau.”

“30 tahun?” Katrina tunjuk dirinya sendiri. Bukan anak kecil lagi. Patut dah boleh kahwin dah. “Mesti dia tak ada kekasih, kan?”

Akil tersenyum lalu menggeleng. “Dengan bodyguard seramai tu, siapa yang berani nak dekat.”

“Kesiannya dia.”

“Tengku Harlina pernah kena culik masa dekat universiti lima tahun lepas. Sebab tu...”

Katrina mengangguk faham. Patutlah Tengku Harraz sangat-sangat melindungi adiknya. Pernah diculik rupanya. “Kalau aku kena culik, kau risau tak?”

“Taklah. Aku biarkan aje.”

“Kau ni memang tak sayang aku. Aku benci kau.” Katrina tayang muka cemberut. Sampai hati Akil kata begitu.

“Hei! Janganlah merajuk. Mestilah aku risau, kau kan kakak aku.”

Serta-merta wajah cemberut tadi mengukirkan senyum. “Aku tahu kau sayang aku.”

“Dah selesai urusan? Pergi balik.”

“Kau halau aku? Teruknya. Kenapalah adik aku ni teruk sangat.” Tanpa banyak bicara lagi Katrina keluar dari pejabat adiknya. Melenggang sambil menjinjing sepasang kasut di tangannya dan selipar Jepun di kaki.

Akil hanya menggeleng kepala. Kakaknya memang  banyak drama. Dia sambung kerjanya yang terbantut tadi.

 

“KALAU BUKAN sebab Datuk Hisham, memang saya tak nak berurusan dengan Natasya. Saya syak perempuan tu mata-mata Datuk Hisham.” Baru sahaja selesai mesyuarat dengan Natasya dan mereka sedang berjalan ke tempat kereta diparkir.

Ikram menggeleng. Tak habis-habis dengan buruk sangka. Datuk Hisham sudah pergi jauh semata-mata kerana Tengku Harraz. Tetapi majikannya masih tetap tak puas hati. Masih juga menuduh Datuk Hisham yang bukan-bukan.

“Boleh tak kalau saya batalkan kerjasama kami?”

“Kalau nak kena saman 10 juta, buatlah!”

Muka Tengku Harraz terkulat-kulat. Memang agak kurang ajar jawapan pembantunya itu tetapi salahnya juga kerana bertanyakan soalan bukan-bukan.

“Saya harap Tengku bersikap lebih profesional. Walaupun Tengku bencikan Natasya, dia klien kita. Klien penting kita. Tak apa kalau Tengku layan dia ala kadar saja. Tapi jangan campur aduk masalah peribadi dengan kerja. Jangan buat benda bodoh.”

Tiba-tiba Ikram perasan yang Tengku Harraz tidak membalas kata-katanya. Rupanya dia sedang bercakap seorang diri. Majikannya sudah hilang entah ke mana. Melilau dia berpatah balik menyelusuri sepanjang jalan yang dilaluinya tadi mencari majikannya. Tidak berapa jauh di sana, Tengku Harraz sedang berdiri di tepi jalan, terpegun memerhati pemandangan di seberang jalan.

“Perempuan murah tadi. Dia tengah buat apa ya...” Ikram melihat ke arah pandangan majikannya. Gadis berpakaian seksi itu sedang mengagihkan bungkusan makanan kepada gelandangan yang ada di situ.

“Bagus betul dia. Semoga Allah bagi hidayah supaya dia berubah jadi Muslimah sejati. Kalau dia pakai tudung mesti lagi cantik.” Ikram menadah tangan berdoa.

“Habis dah mengarut?”

“Dah.”

“Saya nak balik rumah. Awak balik pejabat.”

“Baik, Tengku.”


No comments:

Post a Comment