“ALONG, dah dapat orang gaji ke belum?” Tengku Harlina menyerbu abangnya yang baru pulang dari pejabat.
“Kita dah ramai orang gaji. Buat apa orang gaji lagi?” Tengku Harraz melabuhkan duduk di sofa. Kot yang tersarung ditanggalkan. Najmi, pembantu rumah mereka menghidangkan minuman untuknya.
Tengku Harlina bersilang lengan dengan muka cemberut. Susah betul bercakap dengan orang yang pentingkan diri sendiri macam ni.
“Dalam rumah ni semua lelaki. Tak ada perempuan. Adik tak ada kawan.” Tengku Harlina duduk di sebelah abangnya. Dia peluk lengan abangnya sambil pandang lelaki itu dengan wajah penuh pengharapan.
Semenjak kematian Mak Ton setahun lalu, dialah satu-satunya penghuni perempuan dalam banglo itu. Ini semua gara-gara abangnya takut untuk mengupah pembantu rumah perempuan. Perempuan yang muncul di hadapan mereka semuanya ada matlamat dan tujuan. Begitu kata abangnya. Macamlah kaum lelaki baik sangat.
“Tak perlu orang gaji perempuan.”
“Okey. Kalau macam tu adik nak kakak ipar.”
Tersedak Tengku Harraz yang sedang meneguk minuman. Permintaan adiknya memang di luar jangkaan. Memang taklah dia akan tunaikan.
“Kakak ipar?”
Laju Tengku Harlina mengangguk.
“No. A big no. Definitely no!”
Tengku Harlina sekali lagi tayang muka cemberut. Ramai yang mengata abangnya songsang kerana tiada teman wanita. Tapi hakikatnya, Tengku Harraz lelaki normal.
“Jangan sebab perempuan gila tu along nak mengunyit pulak. Allah tak mengaku umat nanti.”
Tengku Harraz sengetkan kepala dan pandang adiknya tajam. “Dalam ramai-ramai orang, adik pun salah seorang yang fikir macam tu? Along kecewa dengan adik.”
“Kalau along bukan geng kunyit, buktikan.” Tengku Harlina terpikir untuk memerangkap abangnya. Dia tahu abangnya pasti akan mengalah dengan kemahuan dia. Sudah bosan menjadi satu-satunya perempuan dalam rumah ini.
“Kakak ipar? No.”
“Orang gaji?”
Tengku Harraz menghela nafas. Dia tahu tak guna bermain tarik tali dengan adiknya. Selagi tak dapat apa yang dimahukan, adiknya pasti akan mengganggu dia terus-terusan. Mahu tak mahu, dia mengangguk.
“Yeay! Sayang along. Nak secepat mungkin tau.” Tengku Harlina peluk abangnya sebelum tinggalkan sofa dengan muka gembira.
Tergeleng Tengku Harraz melihat gelagat adiknya. Hanya itu satu-satunya saudara yang dia ada. Ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan semasa dia berusia 5 tahun. Manakala adiknya ketika itu baru dilahirkan. Mereka dibesarkan oleh mama dan juga ayah tirinya.
“Roslan mana?”
“Kat dapur. Dia tengah brief Cef Haziq tentang menu untuk minggu depan.” Najmi menjawab sambil membongkokkan badan sedikit.
“Boleh kemas ni. Suruh Roslan jumpa saya kat bilik bacaan.” Usai berkata-kata Tengku Harraz bangun dan ayun langkah menuju ke bilik bacaannya. Penat dengan urusan pejabat, balik rumah kena hadap masalah adiknya pula. Seboleh-bolehnya dia tak mahu ada perempuan dalam rumah ini. Dia kurang selesa. Lagi pula kebanyakan perempuan yang muncul di hadapannya pasti ada tujuan lain. Bagaikan tak wujud perempuan yang tidak berkiblatkan harta saat ini.
Punggung dihempaskan ke kerusi. Terdengar keluhan keras. Bagaimana boleh muncul tuduhan dia songsang? Hanya kerana dia mengelak dari berhubungan dengan perempuan, dia dituduh songsang. Adiknya pun menuduh dia perkara yang sama.
Terdengar bunyi ketukan di pintu.
“Masuk.”
Muncul Roslan di muka pintu. Berjalan perlahan menuju meja majikannya. “Najmi kata Tengku cari saya.”
“Perlu ke saya cari pembantu rumah perempuan?” Tengku Harraz memberi isyarat agar ketua pembantu rumahnya itu untuk duduk. “Harlina sibuk nak ada orang gaji perempuan. Tapi bagi saya macam tak perlu. Kita dah ramai orang gaji.”
Roslan garu kepala. Nampak gaya tak mahu upah orang gaji tapi sibuk pula tanya dia perlu upah atau tidak.
“Saya rasa perlu untuk Cik Harlina. Sebenarnya kami segan nak masuk bilik Cik Harlina ambil baju kotor dia. Saya pun tahu dia mesti segan kalau kami yang cuci baju dia.” Roslan berharap agar majikannya faham. Kasihan juga dengan Tengku Harlina. Sudahlah terpaksa memakai tudung sepanjang masa di rumah sendiri. Kawan pun tiada.
“Kalau macam tu, carikan pembantu rumah perempuan untuk Harlina.”
Roslan mengeluarkan buku catatan dari poketnya. Dia menuliskan sesuatu di atas buku itu. “Orang gaji macammana yang Tengku nak cari saya cari? Ciri-ciri dia.”
“Paling penting warganegara Malaysia. Kalau boleh orang kampung. Dressing pun ala-ala kampung. Tutup aurat. Umur 30 tahun ke atas. Pandai buat kerja-kerja orang gaji. Yang penting dia bukan jenis menggatal. Dan kalau boleh cari perempuan yang tak kenal siapa Tengku Harraz. Aku tak nak bibik yang berangan-angan jadi bini bos pulak.”
Roslan tergelak kecil mendengar ciri-ciri terakhir yang majikannya sebutkan. Siapa yang tak kenal Tengku Harraz? Harta sahaja hampir mencecah 500 juta. Mungkin dia harus cari orang gaji dari pedalaman Sabah atau Sarawak. Barulah gadis itu tidak kenal siapa Tengku Harraz.
“Tak payah gelak. Itu paling penting.”
“Maaf Tengku. Saya akan cuba cari bibik yang memenuhi kriteria yang Tengku nak. Tengku nak apa-apa lagi ke?”
“Tak ada apa-apa. Awak boleh keluar sekarang.”
Tengku Harraz sandarkan tubuhnya ke kerusi. Mahu lelapkan mata sekejap. Penat. Tiba-tiba terasa telefon bimbitnya bergegar. Dia ambil telefon bimbitnya dan lihat siapa yang menelefonnya. Serta-merta lebar senyumannya. Terus dia jawab panggilan tadi.
“Assalamualaikum. Kau dah balik KL ke?” Ceria sahaja suara Tengku Harraz. Ikhmal Hakimi, sahabat baiknya semasa kecil. Tinggal berjiran sehingga dia dan keluarganya berpindah ke rumahnya sekarang.
“Waalaikumussalam. Jom mamak.” Kedengaran suara dari sebelah sana.
“Apa bestnya mamak? Setakat nak minum teh tarik sedap, cef aku pun boleh buatkan. Tak payah pergi mamak. Makan malam kat rumah aku,” ajak Tengku Harraz. Sudah lama dia tidak bertemu sahabatnya. Ikhmal sibuk menguruskan perniagaan keluarga. Sama seperti dia. Cumanya keluarga Ikhmal memiliki pusat kecantikan dan kesihatan di seluruh Malaysia serta Singapura dan Indonesia. Sebab itu sahabatnya terlebih sibuk.
“Boleh jugak. Mama dengan papa aku ada dinner malam ni.”
“Good. Aku beritahu Cef Haziq untuk masak extra.”
“Extra sorang boleh tak? Aku nak bawa awek aku. Awek aku import khas dari Medan.”
Tengku Harraz serta-merta menjadi senyap. Dia sangat tidak selesa kalau melibatkan kehadiran perempuan. Tapi takkan dia hendak tolak permintaan sahabatnya? Ikhmal bukan seperti dia yang tak sukakan perempuan. Hendak izinkan, dia risau pula.
“Kau ni. Aku gurau ajelah. Takkan aku nak bawa perempuan datang rumah kau. Kau kan takut perempuan.”
Tengku Harraz tergelak kekok. Namun berasa lega. Tak perlulah dia rasa serba salah terhadap Ikhmal.
“Kau ni...”
“Jangan risau. Aku tak akan buat benda yang kau tak suka. Lagipun, kalau aku bawa awek aku, aku takut cinta dia beralih arah kat kau pulak. Kau kan lebih kacak, lebih kaya dari aku.”
“Mana ada aku kacak. Aku biasa-biasa aje.” Cepat-cepat Tengku Harraz menafikan. Memang dari dulu Ikhmal suka mengusiknya. “Confirmkan kau datang?”
“Confirm.”
No comments:
Post a Comment