Sunday, 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 10

 

HARI ini cuaca tak begitu baik. Sejak pagi tadi hujan turun tak berhenti. Cikgu Dali tiba-tiba muncul di mejanya bersama secawan kopi.

“Minumlah. Dari tadi saya tengok awak kerja tak berhenti.”

“Terima kasih.” Hasnan meneguk sedikit kopi panas itu.

“Dah lama ke awak dan adik saya bercinta?”

Tersembur air kopi di atas meja. Habis kertas kerjanya terkena percikan air kopi tadi. Cikgu Dali ketawa kecil. Bahu lelaki itu ditepuk lembut.

“Janganlah gelabah. Saya cuma tanya.”

Gugup Hasnan.

“Saya dah lama tahu awak dan adik saya tu bercinta. Tapi hati-hati. Mak saya tu bukan mudah nak dilembutkan hatinya. Awak perlu kerja kuat kalau betul-betul sayangkan Ton.”

“Cikgu tak kisah ke saya dan Ton berkawan?”

Cikgu Dali tersenyum.

“Saya tak akan menghalang hubungan awak dan dia. Saya tahu awak lelaki yang baik. Macam yang saya cakap tadi, kalau awak betul-betul sayangkan Ton, jangan mudah putus asa.”

Lega hati Hasnan. Tak perlu disuruh, dia tak akan sesekali meninggalkan Zaton. Selepas lelaki itu beredar, telefon di atas mejanya berbunyi. Pantas dia menjawab panggilan itu.

“Ya, Datuk.”

“Awak masuk ke pejabat BINA sekarang. Ada perkara saya nak awak masukkan ke dalam slot minggu ni.”

“Baik. Saya datang sekarang.”

Bergegas dia membawa pita rakaman dan buku kerja ke bilik DP Rahman. Dalam masa lima minit dia sudah pun berada di dalam bilik kerja DP Rahman. Alat rakaman yang dibawa tadi, diletak di hadapannya. Pita ini digunakan untuk merakam perbualan mereka berdua.

“Selepas beberapa bulan awak berada di sini, apa pendapat awak tentang ekonomi di Sarawak?” tanya DP Rahman.

“Saya rasa perkembangan ekonomi, pelancongan dan pembangunan semakin pesat dijalankan di sini.” Itulah perkara yang dia nampak sepanjang berada di Sarawak.

Pada masa yang sama, Hasnan sangat kagum dengan lelaki yang ada di hadapannya. DP Rahman telah menerajui kepimpinan negeri Sarawak selama 11 tahun bermula pada tahun 1970 hingga sekarang. Beliau terlibat secara langsung dalam membimbing ramai pemimpin serta tokoh politik di Sarawak. Malah berjaya memujuk sekumpulan komunis agar kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi warganegara yang berguna.

“Saya masih ingat satu peristiwa penting yang pernah berlaku di sini.” Tiba-tiba DP Rahman bersuara.

“Awak pernah dengar Operasi Sri Aman? Operasi yang dijalankan berjaya mematahkan serangan komunis. Peristiwa tu berlaku pada tahun 1974,” cerita DP Rahman.

Hasnan mengangguk. Dia tahu segala peristiwa yang berlaku walaupun ketika itu dia belum menjadi wartawan. Dia masih belajar. Tetapi lantaran minatnya yang amat mendalam bidang penulisan dan kewartawanan dia telah mengikuti dan membaca surat khabar setiap hari.

DP Rahman mulai bercerita perihal peribadinya dengan penuh tertib. Episod hidupnya menarik dan penuh warna-warni sejak lahir. Tidak hairan dia menjadi seorang pemimpin politik yang berjiwa kental dan berhati waja. Lelaki hebat ini dilahirkan di Kampung Jepak, Bintulu pada tahun 1928.

Ketika berusia sebelas tahun, ayahnya berhasrat ingin menghantar beliau belajar di Madrasah Arab Al-Juned. Ayahnya menyimpan keinginan mahu melihat beliau menjadi seorang tokoh agama yang disegani. Namun hasrat itu ditentang oleh ibunya yang enggan berjauhan dengan anak kesayangannya itu. Lalu ayahnya menghantar DP Rahman ke Sekolah St. Joseph, Miri. Walau bagaimana pun dia tidak menamatkan pelajarannya di situ lantaran meletusnya Perang Dunia Kedua.

DP Rahman melakukan pelbagai kerja untuk menampung hidup semasa zaman perang. Beliau pernah bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Bumiputera dalam Perkhidmatan Awam Sarawak. Ketika itu usianya sekitar 20-an. Tidak lama kemudian dia melanjutkan pelajaran ke Universiti Southampton, England dalam jurusan undang-undang.

Apabila pulang ke tanah air setelah menamatkan pelajaran, dia dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Undang-undang Sarawak. Panjang lebar dia bercerita. Sesekali air sejuk di hadapannya dituang ke dalam gelas lalu diteguk dengan penuh nikmat.

Beberapa tahun kemudian dia dilantik menjadi majistret dan mulai bergiat dalam politik. Jawatan awalnya dalam politik adalah sebagai Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar kemudian sebagai Menteri Muda Kehakiman.

“Pada tahun 1969, buat pertama kalinya Sarawak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum kebangsaan. Dalam pilihan raya inilah saya dicalonkan melalui Parti Bumiputera yang dibentuk melalui percantuman Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Parti Negara Sarawak (PANAS).”

“Dan DP Rahman telah menang besar.” Hasnan memuji.

“Saya menang kerusi Parlimen Payang dan kerusi majlis negeri Kuala Rajang.”

Hasnan menulis sesuatu dalam buku catatannya. Setiap peristiwa penting bukan hanya dirakam tetapi juga perlu dicatat.

“Percantuman semua parti-parti adalah untuk meningkatkan kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi dan sosial. Perjuangan kami adalah satu perjuangan untuk membela kaum Bumiputera.”

DP Rahman melihat jam di tangannya. Tak sedar sudah terlalu lama mereka berbual.

“Sebelum awak keluar, tolong sediakan kertas ucapan saya nanti. Ni draf saya dah buat. Kalau boleh malam ni juga awak siapkan.”

Hasnan mengangguk faham. Dia keluar dari bilik itu bersama pita rakaman tadi.

 

 

MALAM ITU, Hasnan masih sibuk menyiapkan tugasan yang diberi. Terlalu ralit menaip, tak sedar jam sudah hampir pukul sembilan malam.

Tiba-tiba telefon berbunyi nyaring. Pelik pula ada yang menghubungi pejabat ini pada waktu begini.

“Helo. Siapa?” soal Hasnan. Wajahnya diraup perlahan. Rasa mengantuk sudah mula hadir.

“Abang...”

Tegak tubuh Hasnan. Terkejut mendengar suara gadis itu. Kebiasaannya dia yang menghubungi Zaton.

“Ton tak tidur lagi?” Ceria wajah Hasnan. Hilang terus rasa mengantuknya sebaik saja mendengar suara itu.

“Belum. Ton cuba telefon abang tapi tak dapat. Sebab tu Ton cuba telefon abang di pejabat. Memang betul abang masih bekerja.”

Hasnan ketawa kecil. Bijak gadis itu meneka.

“Hari ni abang ada banyak kerja. Kenapa telefon abang?”

“Ton cuma nak dengar suara abang.”

Tersenyum Hasnan. Dia suka mendengar ucapan dari gadis itu. Sekarang gadis itu sudah tidak malu meluahkan rasa sayang kepadanya.

“Ton rindukan abang ya?”

Ermmm...

“Abang pun sama. Nanti bila abang tak sibuk, kita jumpa.”

“Rehatlah, abang. Jangan kerja kuat sangat.”

“Abang nak cepat-cepat kumpul duit untuk kahwin dengan Ton. Sebab tu abang kerja kuat.”

Serentak mereka ketawa.

“Abang dah makan?”

“Belum. Lapar juga ni. Nanti abang bancuh kopi dan cicah dengan biskut. Sedap juga tu.”

“Kesian abang. Kalau Ton dekat, boleh Ton masakkan untuk abang.”

“Jom kita jumpa sekarang. Kita pergi makan sup kambing. Panaskan badan. Dalam bilik abang ni sejuk sangat. Rasa macam musim sejuk kat luar negara pulak.”

Zaton terdiam.

“Jomlah. Abang tahu mak Ton ke Sibu. Kita keluar sekejap aje.” Hasnan masih memujuk.

“Abang datang jemput Ton, ya?”

Zaton masih membisu. Dia tidak pernah keluar waktu malam begini. Pada masa yang sama dia takut. Bukan kerana dia tidak percaya pada Hasnan. Mungkin dia sudah dididik sejak kecil untuk tidak keluar pada waktu malam.

Kebetulan pula malam ini hanya dia dan Mak Joha di rumah. Cikgu Dali tidak balik disebabkan ada urusan di luar daerah.

“Ton ada lagi tak?”

“Ada, abang.”

“Kita keluar ya.”

“Okey. Ton tunggu abang.”

Ceria wajah Hasnan. Panggilan segera dimatikan. Bergegas Hasnan keluar dari pejabat untuk menjemput kekasih hatinya.

 

 

HUJUNG MINGGU begini, Hasnan dan Cikgu Dali perlu singgah ke daerah lain untuk mendapatkan bahan cerita. Melihat keadaan di kampung ini, mengingatkan dia kepada emak dan adik-adik di kampung. Kali terakhir mereka berhubung, seminggu yang lepas.

“Jauh termenung. Teringatkan buah hati ke?”

Hasnan tergelak kecil. Sejak hubungan dia dan Zaton kantoi, lelaki itu selalu mengusiknya.

“Saya teringatkan kampung saya. Tempat ni sama seperti kampung saya di Bagan Datok.”

“Lama juga awak tak balik ke sana.”

“Ya. Saya rindukan kampung halaman, terutamanya emak,” balas Hasnan dengan suara rendah. Tiba-tiba ada rasa sebak di dada.

Cikgu Dali mengangguk faham. Nak balik ke sana, memerlukan kos yang banyak. Bahu Hasnan ditepuk lembut.

“Lepas pilihan raya nanti, awak ambil cuti panjang. Baliklah ke kampung nanti.”

“Insya-Allah.” Hasnan masih belum merancang untuk balik ke sana. Mungkin tahun hadapan.

“Cikgu tak rindukan isteri dan anak-anak?”

“Dah tentu saya rindukan mereka. Isteri saya seorang yang kuat. Saya tak pernah terfikir untuk duakan dia walaupun dia pernah berikan keizinan kepada saya untuk berkahwin lain.”

Tergamam Hasnan.

“Betul. Saya pun tak akan sesekali duakan Ton.”

“Bagus. Curang tu pilihan.”

Kedua-duanya saling tersenyum. Saat ini, Hasnan teringat emak di kampung. Selepas arwah ayahnya pergi, emak tak pernah terfikir untuk berkahwin. Bagi emak, arwah ayah tetap di hati.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment