Sunday, 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 9

 

ZATON merenung ke arah sungai. Dia masih menunggu lelaki itu datang ke sini. Semalam dia sukar untuk lelapkan mata gara-gara Mak Mon.

Nafas dihela berat. Dia sendiri tidak tahu berapa lama hubungan mereka perlu dirahsiakan. Selama ini, dia hidup atas belas ihsan Mak Mon. Sudah tentu dia sangat terhutang budi dengan orang tua itu.

Mak Mon pernah membawanya bertemu dengan ibu kandungnya, iaitu adik Mak Mon sendiri. Ketika itu dia baru berusia lima tahun. Dunianya terasa gelap ketika mengetahui dirinya hanya anak angkat.

“Ton bukan anak kandung mak. Inilah mak Ton yang sebenar!” kata Mak Mon.

Baru dia tahu emak kandungnya tinggal di Sibu. Adik-beradiknya ramai. Disebabkan mak kandungnya tak mampu menjaganya, dia diserahkan kepada Mak Mon. Sejak hari itu dia sudah tidak berjumpa lagi dengan ibu kandungnya sehinggalah dia mendapat berita wanita itu sudah meninggal dunia.

Tubir matanya terasa hangat. Setiap kali dia teringat tentang latar belakang dirinya, Zaton berasa rendah diri dengan adik-beradik yang lain. Demi membalas budi Mak Mon, dia sanggup mengikut semua permintaan wanita itu.

Tapi sekarang, hatinya sudah mula menderhaka. Dia betul-betul cintakan Hasnan. Pertama kali dia melihat lelaki itu muncul di rumah, dia sudah dapat rasakan ada getaran di dadanya. Malah setiap hari dia teringatkan lelaki itu. Zaton berasa sangat selamat setiap kali mereka keluar bersama.

“Ton.”

Zaton menoleh ke arah suara itu. Manis senyuman Zaton menghiasi bibirnya.

“Ini abang belikan makanan. Kita makan sama-sama.”

Zaton angguk setuju. Mereka duduk di atas kerusi kayu sambil menikmati pemandangan di kawasan sungai ini. Sejak tadi lelaki itu senyap. Pelik juga Zaton dengan tingkah lelaki itu.

“Abang ada masalah ke?”

Tersentak Hasnan. Hanya gelengan yang diberi.

“Abang sebenarnya fikirkan tentang hubungan kita.”

Zaton terdiam.

“Abang sayangkan Ton.”

“Ton tahu. Abang dah cakap banyak kali.” Anak mata Zaton masih menatap Sungai Sarawak. Hatinya senang mendengar ungkapan Hasnan sebentar tadi.

Tiba-tiba terasa tangannya diraih dan digenggam lembut. Berdebar jantung Zaton. Kali pertama lelaki itu menyentuh tangannya.

“Abang tak main-main bila abang cakap nak halalkan Ton. Abang ikhlas nak jadikan Ton isteri abang.”

Bergenang tubir mata Zaton. Sungguh dia terharu mendengar kata-kata itu.

“Ton pun nak sangat jadi isteri abang. Tapi buat masa ni, biarlah hubungan kita dirahsiakan dulu. Ton nak pujuk mak supaya dia dapat terima abang.”

Hasnan tersenyum lega.

“Abang akan tunggu.”

Kedua-duanya menikmati makanan yang dibeli tadi.

“Abang...”

Ermmm...

“Boleh abang janji dengan Ton?”

“Janji apa?”

Zaton tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Biarlah hari ini dia berterus terang tentang isi hatinya kepada Hasnan.

“Ton memang dah lama sukakan abang. Bukan setakat suka tapi hati Ton tak mampu nak serahkan hati ni kepada lelaki lain lagi.” Bergetar nada suara Zaton.

Hasnan kelu untuk bersuara.

“Tolong jangan putus asa dengan hubungan kita. Ton tak nak abang tinggalkan Ton disebabkan halangan mak. Ton nak kita sama-sama cuba dapatkan restu mak. Boleh?”

“Dah tentu. Abang sanggup tunggu. Restu orang tua ni sangat penting. Tapi kalau Ton sendiri dah rasa penat, abang tak akan halang Ton untuk tarik diri. Siapalah abang untuk paksa Ton bertahan di sisi abang.”

Terus berubah wajah Zaton.

“Abang janganlah cakap macam ni. Ton tak mungkin akan tinggalkan abang. Itu janji Ton.”

Kali ini Zaton yang beranikan diri meraih tangan lelaki itu. Hasnan turut membalas genggaman tangan itu. Keduanya saling tersenyum.

Selepas hampir sejam meluangkan masa, barulah lelaki itu menghantar Zaton balik ke rumah. Dan seperti biasa, lelaki itu tidak boleh menghantar Zaton betul-betul di hadapan rumah. Takut Mak Mon tahu tentang hubungan mereka.

“Biarlah abang hantar depan lagi.”

“Tak apa. Tak jauh sangat Ton nak berjalan. Ton tak nak mak nampak kereta abang.”

Hasnan hela nafas lemah.

“Ada sesiapa ke yang tahu tentang hubungan kita?” soal Hasnan.

“Buat masa ni, hanya Kak Cah.” Zaton masih duduk di dalam kereta. Rasa berat hati pula hendak berpisah. Masa terlalu cemburukan mereka. Walaupun mereka sudah berjumpa hampir sejam, Zaton masih belum puas untuk menatap wajah Hasnan.

“Ton rasa, Cikgu Dali tahu ke hubungan kita?”

Tegak tubuh Zaton.

“Kenapa abang tanya macam tu?”

“Ada masanya dia selalu bergurau dengan abang tentang kekasih hati. Manalah tahu dia sengaja nak duga abang.”

“Mungkin ada baiknya kita kurangkan berjumpa lepas ni. Ton tak nak abang bermasalah. Mak Ton pun dah syak sesuatu sekarang. Ini pun Ton tipu mak cakap ada kerja lebih masa.” Rasa bersalah juga terpaksa berbohong. Dengan cara itu saja dia dapat bertemu Hasnan.

“Sampai masanya, abang akan tetap beritahu mak Ton.”

Zaton senyum dan mengangguk kecil. Mereka sekarang hanya mampu berdoa semoga hati mak menjadi lembut.

 

 

BERKERUT DAHI Zaton melihat kereta abangnya ada di hadapan rumah. Awal pula abangnya balik.

“Dari mana?”

Terperanjat Zaton. Dadanya diurut lembut.

“Abang Dali ni. Suka kejutkan Ton.” Masam mencuka wajahnya.

“Abang Dali tanya tadi. Dari mana?” soal lelaki itu.

“Dari tempat kerjalah. Hari ni Ton kena kerja lebih masa.” Zaton tundukkan wajahnya. Tak berani menatap wajah Cikgu Dali dalam keadaan berbohong.

Cepat-cepat dia berlari ke tingkat atas. Ketika di tangga, dia bertembung dengan Mak Mon.

“Kenapa balik lambat?” Keras wanita itu menyoal.

“Pagi tadi Ton dah cakap hari ni kerja lebih masa.” Gugup Zaton menjawab.

“Mak tak suka Ton balik lambat. Kalau selalu buat kerja lebih masa, berhenti kerja.”

Tercengang Zaton. Dia terkilan dengan sikap emak yang suka mengongkong kebebasannya walaupun dia sudah berusia 18 tahun.

“Ingat. Kalau mak tahu Ton tipu mak, tahulah apa nasib Ton. Bukan setakat berhenti kerja. Mak tak akan izinkan Ton keluar rumah.”

“Kenapa mak ni? Ton tak buat apa-apa pun. Ada masanya Ton nak keluar dengan kawan-kawan juga.”

Mencerlung anak mata Mak Mon.

“Dah pandai menjawab ya. Inilah padahnya berkawan dengan orang yang salah.”

Zaton pandang ke bawah tangga. Cikgu Dali sedang memandang mereka berdua. Malu apabila Zaton terus diasak oleh Mak Mon.

“Mak tak patut bersangka buruk dengan Ton. Selama ni, pernah ke Ton malukan mak?”

“Memang tak pernah. Sebab tu mak tak nak Ton terjerumus ke arah yang tak baik.”

Zaton dah tak mampu nak membalas. Kelak dia juga yang dipersalahkan.

“Mak nak ingatkan lagi. Ton jangan percaya sangat dengan jantan. Jantan ni banyak kerenah, banyak tipu muslihat. Mak tak nak Ton ditipu oleh jantan yang bermulut manis. Tapi masa depan tak ada.”

Tergamam Zaton. Jantungnya berdegup laju. Apakah maksud emak? Siapakah jantan yang dikatakan oleh emak?

Bagi Zaton, Hasnan seorang lelaki yang baik. Tak pernah mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Sebelum air matanya gugur di situ, dia pantas berlari masuk ke bilik. Pintu ditutup rapat. Air mata yang mengalir di pipi diseka lembut.

Laci meja ditarik perlahan. Dia keluarkan diari miliknya dan dibawa ke katil. Dia menulis sesuatu di situ. Hanya dengan cara ini dia dapat meluahkan rasa kecewanya terhadap emak.

No comments:

Post a Comment