Aku
menggeleng-geleng melihat gelagat Haikal yang sudah boleh berjalan itu. Penat
betul aku melihat tingkahnya. Aku yang tukang tengok inipun seakan lelah, aku
tidak tahu la apa yang dirasai anak kecilku ini. Pipinya aku cubit geram.
Haikal
membalas dengan gelak perlahan. Dia menepis manja tanganku.
Nizam
yang berbaring di sofa aku pandang penuh cinta. Setiap kali kupandang dirinya, ada
cinta yang mengalir. Tiga tahun hidup bersamanya, aku tahu pilihanku tidak
salah. Aku mengalih pula pada buku-buku yang berselerakan di meja belajarku. Letih
rupanya menjadi pelajar dan ibu dalam masa yang sama. Mungkin sebab itu ramai
yang menolak berkahwin muda. Tapi aneh, aku boleh mengatasi semua itu, mungkin
kerana aku bahagia dengan kehidupanku. Tentulah kadang-kadang perasaan serabut
itu ada bila Haikal meragam sedangkan assignmentku
masih banyak lagi yang tertunggak.
Aku
mengahwini Nizam seawal umur 19. Dialah cinta pertamaku. Sudah sekian lama aku
menyulam cinta dengannya dari Tingkatan 1, akhirnya kami tekad untuk hidup
bersama. Biarpun pada mulanya keputusan kami mendapat tentangan dari keluarga
terutamanya abah dan abang-abangku, akhirnya mereka mula menerima takdir
hidupku.
Aku
kini menjadi penuntut di UITM Kuala Lumpur manakala Nizam pula berada di UPM.
Kami bahagia begini sekalipun mungkin ada yang tidak percaya bagaimana aku
mampu menerima beban ini tatkala remaja seusiaku masih galak menikmati zaman
muda mereka.
“Kenapa
Lina termenung ni? Tak baik untuk kandungan tu”. Aku dikejutkan dengan suara Nizam
yang sedang tersenyum melihatku. Aku tergelak. Dah bangun nampaknya suamiku
ini.
Aku
menyentuh perut yang masih tidak kelihatan itu. Dua bulan yang lalu aku
dikejutkan dengan berita kehamilanku buat kali kedua. Aku menerima rezeki ini
dengan penuh syukur. Aku tahu Nizam juga menginginkan zuriat cinta ini.
“Abang
pergi mandi dulu. Busuklah. Nanti Haikal tak nak dekat dengan ayah dia lagi”.
Balasku.
“Kejap
lagi abang mandi. Sayang… abang lupa..abang dah janji nak chat dengan kawan abang dari oversea.
Alamak, kesian dia”. Nizam menepuk dahi tiba-tiba lantas cepat-cepat bangun
dari pembaringan dan membuka laptopnya.
Aku
tergeleng melihatnya. Kata Nizam, dia berkenalan dengan seorang lelaki di
Facebook yang juga mengambil jurusan yang sama dengannya di luar Negara itu. Mereka
saling bertukar pendapat mengenai course masing-masing.
Pertama kali, aku mendengarnya, macam pelik sahaja hatiku.. tetapi bila dia
tidak kisah aku menyendeng di sebelah bila di berchatting dengan ‘pakwenya’ itu, aku tahu dia jujur dalam meluahkan
kata.
AKU
hanya mampu terkebil-kebil tidak percaya mendengar perkhabaran yang singgah di
telinga dua hari yang lalu. Perit hatiku menerima semua itu. Bagaikan ada
tusukan di dada dan kemudian aku ditikam pula bertubi-tubi. Aku hanyut dalam
pelukan emak. Aku menangis dan terus menangis. Sungguh, aku tidak dapat
menerimanya.
Bagaikan
masih terbayang rempuhan motosikal yang mengena tubuhku tatkala aku berjalan di
sekitar kampus dua hari yang lalu. Aku tidak tahu dari mana datangnya motosikal
berkuasa tinggi yang bergerak laju. Aku yang sedang berjalan mengusung perut
bagaikan terpaku. Kakiku bagaikan dipaku. Tidak sempat aku mengelak, aku jatuh
bergolek di atas jalan tar. Serentak itu juga, darah pekat mengalir di celah
kelangkangku dengan banyak sekali. Aku pula hanya mampu meraung sebelum pandanganku
bertukar gelap.
”Sabarlah..
tak ada rezeki Lina agaknya”. Pujuk Abah yang sedari tadi hanya melihat aku menangis
dalam pelukan emak. Terkejut aku melihat ketiga-tiga abangku turut memandangku
sayu. Bila mereka pulang? Ibu bapa mertuaku juga sama. Kata emak, aku koma
selama seminggu. Nizam hilang entah ke
mana bersama bersama Haikal. Aku tahu dia kecewa dengan berita keguguranku
sedangkan tinggal 3 bulan lagi kami bakal menambah ahli baru. Tapi apakah dia
juga tahu, aku lebih terluka daripada dirinya. Aku yang mengandungkan anak
kami. Aku merasai tendangannya, pergerakannya. Akulah ibunya. Bukankah seharusnya
dia berada di sini, menemaniku, memujukku. Apakah Nizam marah di atas
kecuaianku?
Namun
dalam diam aku mengerti sendiri, bukan itu yang membuatkan Nizam kusut. Aku
terdiam, meleraikan pelukan emak.
“Berlaku
kecederaan yang agak teruk pada rahim Puan Amalina. Berdasarkan pemeriksaan,
puan disahkan tidak dapat mengandung lagi”. Masih terngiang-ngiang ucapan doktor
di telinga. Aku bagaikan mati kata. Dapat aku lihat raut wajah Nizam yang berubah
keruh. Dia kecewa.
“Mana
Nizam pergi agaknya ni?”. Kedengaran bapa mertuaku bertanya, mungkin geram
dengan tindakan Nizam yang masih tidak menjengukku di sini sejak semalam. Ya, sejak
dia dengar berita itu, Nizam hilang entah ke mana.
“Lina
tak boleh mengandung lagi, mak”. Ucapku tiba-tiba. Seisi bilik bagaikan terkedu.
“Apa
Lina cakap ni?”. Abang sulungku bertanya. Jariku diusap lembut.
“Doktor
dah sahkan semalam”. Sambungku bersama air mata
No comments:
Post a Comment