Thursday, 30 July 2015

PERMAISURI HATI - BAB 9

PERMAISURI HATI - BAB 9



Hujung minggu itu, aku membawa Haikal berjalan-jalan ke SOGO. Aku kasihan melihat anakku yang kebosanan di rumah.
“Mama..Ekal nak beli barang”. Sudah kuagak.Itu sahaja kerjanya.
Aku memimpin jari kecilnya ke bahagian permainan. “Ekal nak beli apa? Kat rumah tu dah banyak mainan Ekal kan”.
Mukanya cemberut. “Ekal tak nak mainanlah. Ekal nak beli hadiah kat Era”.
Era! Oh..kawan anakkku itu. Aku menggeleng, tidak tahu kenapa Haikal ini begitu berminat dengan budak Era itu. Hai, masakan sudah jatuh cinta.
“Nanti birthday dia. Dia ajak datang rumah. Ekal nak bagi hadiah”.
Kugaru kepala yang tidak gatal. Apa-apa sahajalah. Akhirnya aku membeli sehelai baju gaun untuk hadiah Era itu. Melihat senyuman ceria Haikal, aku tertawa. Ada kalanya persahabatan zaman kanak-kanak lebih suci dan indah lantaran segalanya penuh kejujuran dah keikhlasan.
Selesai mencuci mata, aku membelok ke parking berdekatan KFC.
“Yeah! Yeah! Kita nak  makan ayam KFC. Mama.. Ekal lapar”. Haikal merengek manja.
“Kita nak makan la ni sayang”.
Aku order KFC sebagai santapan kami tengah hari itu.
“Hish…apa comot-comot ni. Tak handsome anak mama”. Aku menyapu mulutnya yang berminyak.
“Ayah!!”. Bergetar hatiku apabila Haikal tiba-tiba melaungkan panggilan itu.
Dalam debar, aku menoleh.
Tatkala terpandang dirinya, kurasa kesakitan itu datang lagi. Hati aku berasa sakit mengenangkan perbuatannya. Luka yang cuba aku rawat sebaik mungkin dalam masa setahun ini berdarah lagi. Sungguh, rupanya aku tidak kuat lagi untuk berhadapan dengannya.
“Lina..”. Suara Nizam kedengaran perlahan namun masih jelas di telingaku.
“Ayah”. Haikal sudah tenggelam dalam dakapan Nizam.
“Ayah pergi mana? Kenapa ayah dah lama tak balik rumah?”.
Nizam kulihat seakan terkedu dengan soalan bertubi-tubi dari Haikal. Dia seakan tidak mampu menuturkan kata.
“Ayah sibuk. Ekal sihat?”.
“Sihat. Mama pun sihat, kan mama? Bila ayah nak balik rumah? Ekal rindu ayah”.
“Ekal.. jangan macam ni ye sayang. Nanti ayah balik. Ekal, pergi basuh mulut dulu. Comotlah”. Haikal kemudiannya berlari meninggalkan kami. Aku tahu Nizam sengaja berkata begitu supaya Haikal meninggalkan kami berdua.
“Lina apa khabar?”. Soalnya masih berdiri di sebelah meja.
“Sihat”. Balasku tanpa menatapnya. Jika boleh, aku tidak mahu menjawab tapi aku mahu dia tahu aku tidak terkesan dengan penceraian kami. Bahawa sesungguhnya aku juga bahagia tanpa dia di sisi.
“Lina tukar number? Abang call tak dapat. Abang nak cakap dengan  Haikal”.
“Suka hati Lina nak buat apa. Kalau abang nak jumpa dia, jumpa saja di sekolah. Alang dah bagi alamatkan”.
Aku perasan, Nizam bagai terperanjat, mungkin kerana panggilanku nada suaraku yang kedengaran datar.
“Lina masih marah pada abang?”.
Kutatap matanya dalam-dalam. Tahukah dia? Aku tidak pernah berhenti membencinya. “Abang tak perlu tanya soalan yang tak relevan lagi dalam hidup Lina. Kalau abang nak bercakap dengan Haikal. Then talk…tapi Lina tak sudi nak dengar suara abang lagi. Tolong buat-buat tak nampak Lina ada dekat sini. Kalau Lina boleh, kenapa abang tak boleh..”. Penuh sinis kata-kataku.
“Abang minta maaf Lina”.
Aku gelak hambar. “Lina dah letih dengan ucapan maaf Abang. Semudah itukah, Nizam?”. Aku mengangkat punggung bila kelibat Haikal muncul dari bilik air.
“Ekal..kita balik..”.
“Ekal nak cakap dengan ayah”. Haikal memprotes. Tanpa mempedulikan pandangan sekeliling, Haikal kutarik kasar. Suara tangisan Haikal kedengaran memanggil ayahnya langsung tidak aku hiraukan.


SUDAH seminggu kejadian itu berlaku. Bohonglah jika aku katakan aku tidak terkesan dengan pertemuan yang tak terduga itu. Entahlah..aku sukar menafsir hati sendiri. Rasanya aku tidak kuat lagi berhadapan dengan Nizam. Rasa perit dikhianati itu tetap kukuh di hatiku sekalipun aku sudah reda dengan suratan takdirku.
“Puan Amalina dah nak balik?”. Salah seorang pekerja di situ menegurku.
Aku hanya mengangguk.
Dahiku berkerut seribu. Cemas di dadaku membuatkan aku tidak senang duduk. Aku mengeluh hampa. Kereta Wajaku ini buat hal lagi. Sudahlah aku jenis yang tidak tahu apa-apa mengenai kerosakan kereta. Nampaknya aku tiada pilihan lain. Terpaksa meminta pertolongan Abang Hasif. Aku berharap dia dalam perjalanan pulang ke apartment. Mesej kuhantar mengkhabarkan tentang keadaanku.
Aku merebahkan seat pemandu setelah pasti aku telah mengunci kereta. Lebih baik aku berehat dulu sementara menunggu kehadiran Abang Hasif.
Aku tidak  pasti berapa lama aku tertidur, tetapi aku tersentak bila tiba-tiba cermin keretaku diketuk.
Err..terpinga-pinga aku melihat gerangan lelaki yang berdiri di sisi keretaku. Kenapa dia ada di sini. Mana Abang Hasif?
Dia mengangkat kening. “Kereta rosak?”.
“Mana Abang saya, Datuk?”.
“Hasif balik lambat sikit malam ni. So, dia mesej I beritahu keadaan you. I dah call mekanik. Nanti diorang tarik kereta you”.
Aku keluar dari kereta. Hati sebal dengan Abang Hasif. Kalau tidak boleh bantu tu, tidak perlulah minta pertolongan orang lain. Sudah la dari dulu aku tidak selesa dengan Datuk Rafael ini sejak kejadian yang memalukan pada kali pertama di pejabatnya dahulu.
“Jom.. I hantar you balik?”.
Aku menggeleng. “Tak apa.. saya boleh naik teksi”. Ujarku beralasan.
“Bashira, Abang you dah amanahkan I untuk hantar you balik, please jangan buat I rasa bersalah pada Hasif”.
It’s okay..I will explain to him”.
“Tak.. I dah setuju nak tolong you”.
Kasihan melihat dirinya yang keletihan, aku turutkan sahaja. Kami beriringan ke Porsche mewah miliknya. Sempat aku menilik plat keretanya dan aku menelan liur tanpa sedar. Nombor pendaftaran kereta, CATI itu pasti mahal sekali, sepadan dengan kereta mewah berwarna putih terang ini. Aduhai..kalau sudah kaya, kereta mewah tentulah nombor plat pun mahu yang gah-gah juga.
“I tahu you tak selesa dengan kehadiran I, Bashira”. Tuturnya memecah keheningan, kereta  sudah meluncur laju di jalan raya.
Aku tidak keruan. Bagaimana dia menilai perasaanku. “Jangan salah faham, Datuk. Jangan menilai dengan sekali pandangan mata”.
“Mungkin… tapi I dapat rasakan, you macam sangat gelisah berdua dengan I”.
Aku tergelak kecil, menyembunyikan rasa. “Sudah lumrah, ada segelintir manusia, kita senang dengannya tapi ada juga yang kurang selesakan. Itu normal bagi saya”.
‘’Jadi you mengaku tak selesa dengan I”.
“Ya!!”.
Dia menoleh sesaat padaku. “Why?”.
Aku angkat bahu. “Saya tidak pasti..mungkin kerana pertemuan pertama kita tak seperti yang saya sangkakan”.
Kulihat senyuman di pinggir bibirnya.
“Datuk terlalu muda untuk menjadi Datuk. Mungkin saya tidak selesa lagi berbual dengan Datuk kerana faktor usia”..
Datuk Rafael ketawa mendengar penjelasanku. Mungkin dia merasakan itu adalah alasan paling bodoh yang pernah diterimanya. Ah! Peduli apa aku. Sememangnya itulah yang aku rasakan bila bersamanya. Kekok dan janggal sekali.
“I terlalu muda untuk jadi Datuk? Hmm..what an answer you have? Tapi..it’s okay I reda dengan jawapan you. Even Hasif gelakkan I bila dia tahu I dapat gelaran tu. I masih ingat lagi mimik muka you bila tahu the one who sit on the chair is the real Datuk Rafael..not his son”.
Aku turut mengukir senyum nipis. Aku tidak mungkin melupakan hari bersejarah yang memalukan itu. Senang-senang sahaja aku bercakap seolah-olah dia adalah anak Datuk Rafael.
“You are so sweet, Bashira..”. Sambungannya sambil menjeling mesra ke arahku buat aku hilang kawalan. Jantungku mula berdetak laju. Aku cuak. Perasaan apa yang wujud ini? Aku menarik nafas mengawal perasaan.
“Saya minta maaf tentang tu Datuk. Saya memang tak sangka yang..”.
“No need Bashira. Tak ada apa yang perlu dipersalahkan.But then,  I really hope..mulai hari you cuba buang rasa janggal you bila bersama I. I tak mahu perasaan tu menjarakkan hubungan kita sebagai majikan dan pekerja”.
“Lagipun you adik Hasif. Kalau you nak tahu I juga baik dengan Rehan dan Aidil”.
“Oh..ye ke?”. Nyata aku terkejut. Kusangka dia hanya rapat dengan Abang Hasif.
Yes..Rehan and Aidil are my senior. Ketiga-tiga abang you kan graduate from US. Di sana kami kenal. Tapi I mengaku I lagi rapat dengan Hasif. Mungkin sebab usia sama”.
Aku tekun mendengar ceritanya. Ya! Ketiga-tiga abangku memang lulusan sarjana dari US. Abang Rehan dan Abang Aidil mengambil jurusan TESL di sana dan kini sudah bergelar pensyarah Bahasa Inggeris.  Abang Hasif sahaja yang berminat dengan dunia perniagaan. Aku mencongak dalam diam. Jika dia seusia Abang Hasif, maknanya dia sudah menjangkau usia 30 tahun. Empat tahun lebih tua dariku
“You pun pernah dapat tawaran ke sana jugakan”. Soalnya lagi. Aku angguk. Aku pernah menerima biasiswa ke US, tetapi demi cintaku pada Nizam, keinginanku untuk menjelajah ke Negara orang kutolak.
“Ya..tapi terpaksa tolak sebab gedik nak kahwin awal”.
Terus rancak ketawanya. Mungkin tidak menduga perkataan gedik keluar dari bibirku.
“You gedik-gedik pun still jadi pegawai  di syarikat I. Gedik berwawasan dan berinovasi tak ada masalah, Bashira”.
“Kalau you gedik sebab kahwin awal, I ni kira gedik juga la kan. I pun kahwin muda tahu”.
“Datuk bukan gedik..tu gatal namanya”.
Sekali lagi, telingaku dipanah lambakan tawanya. Sungguh-sungguh dia ketawa.
Aku turut tersengih. Tanpa sedar, kami mula menjalin persefahaman. Pada petang itu, baru aku sedar Datuk Rafael yang kusangka serius itu rupa-rupanya senang diajak berbual. Dia mesra orangnya!



“SAYA ingatkan Datuk  nak hantar saya ke rumah”.
Datuk Rafael menggaru kepala. “Tapi Hasif suruh I hantar you ke apartment ni”.
“Jom masuk”. Aku terpacak di luar apartment.
“Bashira, you tak nak masuk ke?”. Datuk Rafael sudah membuka kasutnya.
“Saya tak nak berdua-duaan dengan Datuk dalam apartment ni. Tak manis dipandang orang”.
Datuk Rafael terdiam. “I nak solat sekejap je..Don’t worry Bashira. Tak ada apa-apa yang akan berlaku, okay”.
“Tapi Datuk..”.
“I takkan masuk selagi you tak masuk”. Ugutan Datuk Rafael akhirnya membuatkan aku mengalah.
Aku ke dapur tatkala dia sudah menghilang ke bilik. Mahu meneguk air masak untuk menghilangkan dahaga.
Sesudah itu,aku ke bilik tidurku, mataku meliar mencari kelibatnya.Tapi tidak kutemui… agaknya dia sudah masuk ke bilik Angah. Hatiku berbisik sendiri.
Aku membuka tudung ariani di kepala dan kain di pinggang. Tubuhku hanya bersalut baju kurung. Letih badan rasanya. Kupandang sekeliling. Dahiku berkerut lagi. Baju kemeja dan seluar Abang Hasif yang tidak berbasuh di pinggir katil menyakitkan mataku biarpun kurasa bilik ini lebih kemas berbanding dulu.
Rambut yang diikat kuuraikan. Aku mahu berwuduk dan bersolat dulu. Sambil menyinsing lengan baju kurung, aku berjalan ke bilik air.
Saat pintu bilik air kutarik, mataku terbeliak.. Aku terlopong tidak percaya. Serentak itu aku menjerit kuat…
“Arghhhhh……!!!!”. Tubuhku menggeletar ketakutan. Aku menutup muka dengan telapak tangan.
“Errr…Ba..Bashira”. Datuk Rafael cepat-cepat menutup tubuhnya dengan tuala.
Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang kulihat. Tubuh lelaki itu bukan lagi rahsia bagiku. Mukaku bertukar warna. Kami bertentang mata sesaat sebelum aku berlari keluar.
“Bashira!!”. Panggilannya tidak aku hiraukan. Pintu bilik kuhempas kuat.
Aku duduk di katil Abang Hasif. Aku meraup muka. Betapa malunya aku melihat kejadian yang tidak disangka tadi. Seakan kalau boleh mahu sahaja aku ghaib dari sini. Bagaimana aku mahu berhadapan dengan Datuk Rafael selepas ini? Tentu dia lebih malu dari aku.
Ah!! Bodoh…kenapa lelaki itu boleh masuk ke bilikku? Kenapa tidak di bilik Abang Hasif sahaja? Kenapa pada waktu aku hendak berwuduk juga dia mandi sambil berbogel seperti itu. Sudahla pintu bilik air tidak dikunci. Memalukan sahaja.!!
Kulit mukaku masih membera malu. Datuk Rafael sudah melihat rambutku . Ah!! Malunya..
“Lina!”. Abang Hasif yang baru pulang memanggilku.
“Alang!!”.
“Lina okay..?”.
I’m not okay.. Alang..Lina malu! malu! Malu!..tolong Lina..apa nak buat ni?”. Soalku seperti orang gila. Lengan Abang Hasif aku paut.
“Alang..kenapa Datuk tu ambil bilik Lina? Alang tu pun lain kali beritahu la dia. Tengok apa dah jadi sekarang. Macam mana Lina nak kerja dengan dia lepas ni..?”.
“Tu bilik Rafa”.
Demi terdengarkan kata-kata itu, aku mendongak menatap raut Abang Hasif, memohon penjelasan. “Apa?”.
“Tu memang bilik dia…Setiap kali dia lepak kat apartment ni..memang dia tidur dalam bilik tu”.
Aku yang masih terperanjat seakan kebingunan. “Tapi Lina guna bilik tu sebelum ni”.
“Ya…but since Lina jarang datang dan tidur, bilik tu jadi bilik dia. Inikan kondo dia”.
“Alang..!!”.Aku tidak senang duduk. Kiranya bukan dia yang menceroboh bilikku tapi akulah yang bertindak demikian.
“Kenapa tak bagitahu?”. Soalku garang.
Abang Hasif termangu-mangu. “Alang tak ingat…Lina jangan risau..just be cool”.
Huh! Senangnya abangku yang seorang ini bercakap. Yang menanggung malu itu aku. Yang bekerja sebumbung dengan Datuk Rafael itu aku. Yang akan menghadap mukanya itu aku. Semuanya aku, okey..jadi aku tidak rasa aku boleh bertenang sekarang ini.
“Jadi pakaian dalam bilik tu semua pakaian Datuk?”.
Abang Hasif mengangguk. Meremang bulu romaku terus saat teringat aku pernah mengemas bilik itu, aku pernah mengutip pakaian kotor di bilik dan err..seluar kecil yang kusangka bilik Abang Hasif. Lagi satu, wangian yang menyerbu hidungku saat aku tidur dahulu tentu miliknya juga.
“Alang.. Lina malu!!”.
“Dah- dah.. Kalau Lina malu, Rafael tu berganda malu dari Lina, Lina tengok harta karun diakan??”.
“Pap!!”. Aku tampar lengan Abang Hasif berkali-kali mendengar usikan nakalnya itu.
“Lina belum solat?”.
“Macam mana nak solat.. Telekung Lina ada dalam tu..kain lagi..”. Ah! Seganku bercambah lagi bila teringatkan kainku yang kubuka tadi.










No comments:

Post a Comment