Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 2

BAB 2


IMAN patah-patahkan ranting kayu yang tergenggam kemas di tangannya sejak tadi. Semenjak dia dan Akma duduk di tepi sungai itu, sepatah kata pun belum terbit dari bibir mulutnya. Seakan hilang terus suaranya. Dari tadi, hanya Akma saja yang berceloteh itu dan ini. Cakap-cakap Akma itupun macam angin lalu saja di telinga Iman. Satupun tidak singgah di otaknya.
Iman masih ralit merenung daun kering yang dibawa arus sungai. Agaknya ke manalah daun itu hanyut?
“Oiit! Kau dengar tak ni?” Akma tolak bahu Iman, kasar. Hampir saja Iman tergelincir dari tebing sungai.
“Kau ni apa hal? Main kasar nampak! Kalau aku jatuh dalam sungai tadi tak ke jadi arwah aku? Tak sempat aku nak kahwin dengan abang Asyraf,” marah Iman. Mukanya sudah mencuka. Sakit hati!
Akma tersengih macam kerang busuk. Pelipis kirinya digaru tanpa sebab. Saja nak cover perasaan bersalah sebenarnya. Muka Iman yang mencuka itu dipandang sekilas. Takut nak pandang lama-lama. Kalau pandang lama nanti, takut terbakar pula bola matanya.
“Kau tu! Aku bercakap sorang-sorang aje dari tadi. Kau dah sampai mana dah? Korea? Thailand?” bentak Akma, geram. Tapi matanya langsung tidak bertemu dengan anak mata Iman. Lurus saja pandang air sungai. Macam tengah bergaduh dengan air sunagi pula.
Gila, nak pandang mata Iman! Mahu tembus biji mata dia nanti. Renungan mata Iman tu, lebih tajam daripada mata belati. Mahunya terus menikam sampai ke jantung.
“He... he... Thailand! Pergi nikah dengan abang Asyraf.” Iman tersengih gatal. Setiap kali bayang Asyraf bermain di fikiran, hatinya terasa sejuk saja.
“Eeii... gatalnya! Aku bagitahu dekat wan nanti.” Ugut Akma. Bibirnya dijuihkan ke depan tanda meluat dengan Iman. Tak habis-habis dengan Asyraf. Mamat tu, sikit pun tak ingat dia!
Jealouslah tu...” Iman tersengih lagi sambil mengangkat kedua belah keningnya kepada Akma. Gatal betul!
“Tak ada maknanya aku nak jealous. Seriuslah... kenapa kau termenung aje dari tadi? Macam laki lari dari rumah! Gaduh dengan Asyraf ke? Ataupun Asyraf tak balas surat kau? Itulah kau, zaman sekarang orang dah tak main surat-surat ini... Ini zaman teknologi tau tak! Orang pakai email, pakai facebook, pakai whatsapp... macam-macam lagilah!” Akma sudah membebel panjang.
Berkerut-kerut dahi Iman mendengar celoteh daripada mulut Akma. Langsung tidak ada titik noktahnya. Kalah machine gun!
“Apa yang kau merepek ni? Kau kalau dapat bercakap, sampai esok pun tak ada titik kan?” Perli Iman. Matanya menjeling Akma sekilas. Sakit hati lagi!
“Heee... janganlah marah! Okey, sekarang kau cerita cepat. Kenapa kau lain macam aje hari ni?” Akma tersengih kecil. Cuba untuk menutup perasaan malunya. Muka Iman dipandang tidak berkelip. Moga-moga sejuklah hati sepupu merangkap kawan baiknya itu.
“Hmmmm...” Satu keluhan panjang terbit dari mulut Iman. Mukanya juga nampak kelat semacam. Kalau boleh rasa, mesti sama kelat dengan buah makhkota dewa agaknya.
“Hai, lain macam aje bunyi mengeluh tu? Kau tau tak! Mak aku cakap tak baik kalau kita asyik mengeluh aje.”
“Aku bukan mengeluhlah!”
“Habis, tadi tu apa? Menyanyi?” Bidas Akma. Matanya sudah dibulatkan kepada Iman. Sudah terang lagi bersuluh, hendak menafikan lagi?
“Errrkk...” Iman tersenyum kelat. Pipi sebelah kirinya digaru, laju. Gatal sungguh rasanya. Sah, nyamuk jantan yang hinggap di pipinya. Kalau nyamuk betina, takkanlah  gatal sangat.
“Tak nak cerita sudah! Aku pun tak ingin nak tahu.”
Akma sudah menarik muncung sedepa. Mukanya dipalingkan daripada mengadap muka Iman, sambil tangan kanannya menguis rumput di hujung kaki menggunakan ranting kayu.
“Alahai, merajuk pulak! Buruk tau tak?”
“Hmm, okeylah. Mak su ajak aku pergi Kuala Lumpur. Kerja dekat sana. Tapi aku tak tahulah nak pergi ke tidak.”
 Mendatar saja suara Iman. Pandangannya terus dilemparkan ke tengah sungai. Kusut!
“Hah? Kuala Lumpur?” Laju saja Akma pusingkan tubuhnya mengadap Iman. Mata Iman dicari untuk kepastian.
“Ya...” lemah saja suara Iman menjamah telinga Akma. ‘Huh! Terkejut macam nampak harimau!’ Bentak hati Iman.
“Lah! Pergi ajerlah... Best tu dapat pergi Kuala Lumpur. Kau ni, ada peluang tak nak pergi. Kenapa mak su tak ajak aku, errk?” Akma mencebik. Saja buat-buat sedih.
“Aku serba salahlah. Kalau aku ikut mak su, kau tahu aku kerja apa? Aku jadi PA kepada mak engku tu. Alah, aku rasa nama je PA... tapi mesti lebih kurang macam orang gaji aje...”
“Weii, okeylah tu jadi PA merangkap orang gaji. Kau pun bukan sekolah tinggi sangat!” Akma gelak jahat.
“Menyampahlah kau ni.  Macamlah kau tu belajar tinggi sangat! Sekurangnya aku ada juga orang nak. Kau ada?” Iman mencebik. Saja nak sakitkan hati Akma.
“Weh... Kau ni, melampaulah! Hu... hu... Sampai hati kau kecikkan hati aku.” Akma sudah mencabut-cabut rumput di hujung kaki.
“Padan muka!”
 Iman jelirkan lidahnya sambil ketawa mengekek. Sengaja dia siramkan lagi minyak di hati Akma supaya hati kawan baiknya itu rentung, terbakar. Macam inilah gayanya kalau dua sahabat baik itu berjumpa. Ada saja yang hendak digaduhkan.
“Okeylah, back to the point! Ewah... betul ke aku speaking tu?” Akma sudah tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Gatal sangat hendak bercakap bahasa mat salih. Tak apalah! Yang penting keyakinan diri tu kena tinggi.
“Hemtam ajelah!” Iman sudah ketawa mengekek. Dia pun bukan pandai sangat bercakap bahasa mat salih ni. Setakat yes, no, alright... tahulah.
“Kau pergi ajelah dulu. Kalau rasa tak sesuai duduk sana nanti, baliklah. Sampai bila kau nak harapkan wan tu. Kau juga yang cakap haritu, tak nak susahkan wan lagi. Inilah masanya kau nak cuba hidup berdikari.” Kali ini Akma nampak serius ketika berkata-kata. Tak ada lagi nada bergurau macam lazimnya.
Iman mengeluh kecil.
“Entahlah! Kalau aku pergi sana, siapa nak jaga wan, nak tengok-tengokkan wan?” Iman garu kepala yang berbalut kemas di dalam tudung. Mukanya nampak benar-benar kusut. Sepanjang Akma kenal dengan Iman, inilah pertama kalinya dia melihat wajah Iman begitu. Sungguh kronik!
“Kau tak payah fikirlah semua tu. Aku kan ada. Lagipun mak aku kan ada. Kita orang boleh tengok-tengokkan wan tu... Bukan orang lain pun! Kau pergilah, ya? He... he... manalah tahukan, dekat rumah mak engku tu nanti, ada pakwe kacak. Untung- untung sangkut!” Akma sudah ketawa gatal.
“Amboi, itu yang kau ingat, erk! Hati aku ni, datanglah putera raja dari negeri kayangan sekalipun, tetap tak akan berubah. Tetap melekat pada abang Asyraf sorang, tau!” Iman tunding jari telunjuk dengan penuh yakin pada dadanya, sambil tersenyum meleret. Wajah kekasih hatinya mula bermain di ruang mata. Ada rindu yang bertamu tanpa diundang.
“Ish, tak payahlah nak yakin sangat Iman oii... Jodoh, rezeki, maut, itu semua dekat tangan Allah. Tak payah nak takbur sangat bila bercakap tu. Dahlah! Aku nak balik. Kau fikirklah masak-masak.” Laju Akma bingkas bangun. Mengibas punggung seluar trek yang dipakainya.
Iman mencebik bibir. Kenapalah semua orang suka sangat fikirkan benda-benda yang negatif tentang hubungan dia dengan Asyraf? Tak boleh ke kalau dia orang doakan benda yang baik-baik saja? Kalaupun tak mahu doakan benda yang baik-baik, senyap saja pun dah cukup!
Sekali lagi nafas dihela panjang. Fikiran Iman benar-benar serabut. Kenapa semua orang mahukan dia pergi? Semua sudah bencikan dia ke?
“Oii, baliklah! Dah nak senja ni... Malam ni buat solat istikarah.”
 Sayup-sayup suara Akma berteriak kepadanya. Pandangan Iman terus berlari pada bayang Akma yang semakin jauh di hadapan. Iman tersenyum kelat sekali lagi. Perlahan dia bangun, melangkah dengan perasaan yang lemah dan longlai. Kusut!

HAI, awal Iman berkurung malam ni mak?” Mak Su Normah sudah melabuhkan duduknya di sebelah Wan Bedah. Emaknya yang sedang ralit menonton drama melayu slot Ratu di TV9 itu segera menoleh.
“Aah..a Biasanya dia yang tercongak dulu dekat depan TV ni.” Wan Bedah menoleh seketika pada Mak Su Normah. Kemudian matanya kembali dihalakan pada TV. Tidak mahu ketinggalan menonton drama kegemarannya itu.
“Cerita apa yang mak bersungguh sangat tegok ni?” tanya Maksu Normah lagi.
“Ish, bisinglah kau ni! Nanti-nantilah mak jawap. Kacau orang nak tegok TV ajelah...” runggut Wan Bedah. Matanya masih setia merenung kaca TV.
“Amboi, mak!” Ketawa Mak Su Normah terus pecah. Lawak pula rasanya melihat Wan Bedah bersungguh begitu.
Wan Bedah tersengih lebar menampakkan barisan gigi palsunya yang tersusun rapi.
“Hmm, dah habis! Sekejap sangat mainnya.” Keluh Wan Bedah. Televisyen terus dimatikan. Dia berpusing mengadap Mak Su Normah. Lama juga pandangannya jatuh pada wajah anak bongsunya itu.
“Mah, kamu betul ke nak ajak budak Iman tu pergi Kuala Lumpur?”
“Betullah mak! Kenapa, mak tak izinkan ke?”
“Bukan macam tu... Mak tak kisah kalau dia nak pergi. Tapi yang mak risaukan, boleh ke Iman tu bekerja dengan Mak Engku. Bukan kamu tak tahu budak Iman tu. Dia tu, kepala angin sikit!”
“Allah, yang itu tahulah Mah uruskan mak. Yang penting sekarang ni, dia tu nak pergi ke tidak? Lagipun Iman tu dengan kita aje kepala angin. Dengan orang lain pandai pula dia hormat.” Mak Su Normah nampaknya memang bersungguh mahu mengajak Iman ke Kuala Lumpur.
“Hmm... kalau kamu dah kata macam tu, mak ikutkan aje. Biarlah dia buat keputusan sendiri. Mak tak nak paksa dia. Tu, duduk bertapa dalam bilik, tengah fikirkan hal inilah agaknya. Selalunya tak pernah-pernah pula dia berkurung awal,” balas Wan Bedah.
Suasana menjadi sepi seketika.
“Mak, sampai bila kita nak berahsia dengan Iman tu? Rasanya dia dah cukup besar untuk tahu kebenarannya,” tanya Mak Su Normah tiba-tiba, memecahkan kebisuan.
Wan Bedah terjeda. Lama dia terdiam, sebelum nafasnya dihela panjang.
“Biarlah dulu! Kamu pun, jangan nak memandai buka cerita. Sampai masanya nanti dia akan tahu juga.” Keras bunyi suara Wan Bedah, membuatkan mulut Mak Su Normah terkunci rapat. Kalau Wan Bedah sudah berkeras macam tu, memang dia tak boleh nak cakap apa-apa lagi dah.
 Bukan dia tidak kenal dengan perangai emaknya itu. Jika hitam katanya, maka tak akan sesekalinya bertukar menjadi putih. Ini, nasib baik Wan Bedah tidak tahu dengan siapa dia bekerja sekarang.  Kalaulah Wan Bedah tahu siapa Tengku Faridah itu, mahunya dia tidak dibenarkan bekerja di sana lagi.
Sebenarnya, Maksu Normah ada agenda tersendiri kenapa dia beria-ria sangat mahu membawa Iman ke Kuala Lumpur. Kepada Wan Bedah pun dia tidak bercerita. Dia takut nanti niat murninya dihalang sekerasnya oleh Wan Bedah. Buat masa sekarang, biarlah segalanya berjalan seperti yang dirancang.

IMAN masih berpisat-pisat di tempat tidur. Sekejap dia meniarap, sekejap pula dia terlentang. Macam-macam gaya sudah dia buat, tapi otaknya masih lagi terasa penuh. Perasaannya masih lagi tertekan. Separuh dari hatinya kata pergi. Separuh lagi kata tak nak pergi. Sudahnya dia buntu untuk membuat keputusan.
Arrgghhh!!! Serabutnya.” Kedua belah tangannya sudah naik menggaru kepala.
“Rasa macam nak pecah dah kepala ni fikir! Apa aku nak buat ni? Pergi ke tak?” Iman mengomel sendiri.
Tiba-tiba suara Akma pada petang tadi bagaikan terngiang-ngiang di cuping telinga. Kadang-kala boleh pakai juga otak budak Akma ni.
“Haa... Solat Istikarah. Tapi nak ke Allah tolong kau, Iman? Masa susah macam ni baru kau ingat nak solat sunat! Baru beria nak minta tolong dengan DIA...” Iman masih bercakap sendiri. Kepalanya digaru lagi.
Argh, cubalah! Kena yakin. Allah tu, Maha Pemurah... Tak pernah DIA menghampakan hamba-Nya, Iman!”
Sepantas kilat Iman terjun dari katil bujangnya. Dia bergegas keluar dari bilik, menuju ke bilik air untuk berwuduk. Semasa dia melintasi bilik Wan Bedah dan bilik Mak Su Normah, kakinya berhenti melangkah buat seketika. Lama dia termenung di hadapan  pintu bilik Wan Bedah dan Mak Su Normah yang sudah kelihatan gelap itu. Mungkin mereka berdua sudah lama diulit mimpi.
Iman menarik nafas panjang. Langkah terus diatur dengan yakin menuju ke bilik air. Dalam keadaan sekarang, hanya Allah saja yang dapat membantu dan memberi petunjuk kepadanya.

No comments:

Post a Comment