IMAN patah-patahkan
ranting kayu yang tergenggam kemas di tangannya sejak tadi. Semenjak dia dan
Akma duduk di tepi sungai itu, sepatah kata pun belum terbit dari bibir mulutnya.
Seakan hilang terus suaranya. Dari tadi, hanya Akma saja yang berceloteh itu
dan ini. Cakap-cakap Akma itupun macam angin lalu saja di telinga Iman. Satupun
tidak singgah di otaknya.
Iman
masih ralit merenung daun kering yang dibawa arus sungai. Agaknya ke manalah
daun itu hanyut?
“Oiit!
Kau dengar tak ni?” Akma tolak bahu Iman, kasar. Hampir saja Iman tergelincir
dari tebing sungai.
“Kau
ni apa hal? Main kasar nampak! Kalau aku jatuh dalam sungai tadi tak ke jadi
arwah aku? Tak sempat aku nak kahwin dengan abang Asyraf,” marah Iman. Mukanya
sudah mencuka. Sakit hati!
Akma
tersengih macam kerang busuk. Pelipis kirinya digaru tanpa sebab. Saja nak cover perasaan bersalah sebenarnya. Muka
Iman yang mencuka itu dipandang sekilas. Takut nak pandang lama-lama. Kalau
pandang lama nanti, takut terbakar pula bola matanya.
“Kau
tu! Aku bercakap sorang-sorang aje dari tadi. Kau dah sampai mana dah? Korea?
Thailand?” bentak Akma, geram. Tapi matanya langsung tidak bertemu dengan anak mata
Iman. Lurus saja pandang air sungai. Macam tengah bergaduh dengan air sunagi
pula.
Gila,
nak pandang mata Iman! Mahu tembus biji mata dia nanti. Renungan mata Iman tu,
lebih tajam daripada mata belati. Mahunya terus menikam sampai ke jantung.
“He...
he... Thailand! Pergi nikah dengan abang Asyraf.” Iman tersengih gatal. Setiap
kali bayang Asyraf bermain di fikiran, hatinya terasa sejuk saja.
“Eeii...
gatalnya! Aku bagitahu dekat wan nanti.” Ugut Akma. Bibirnya dijuihkan ke depan
tanda meluat dengan Iman. Tak habis-habis dengan Asyraf. Mamat tu, sikit pun tak
ingat dia!
“Jealouslah tu...” Iman tersengih lagi
sambil mengangkat kedua belah keningnya kepada Akma. Gatal betul!
“Tak
ada maknanya aku nak jealous. Seriuslah...
kenapa kau termenung aje dari tadi? Macam laki lari dari rumah! Gaduh dengan
Asyraf ke? Ataupun Asyraf tak balas surat kau? Itulah kau, zaman sekarang orang
dah tak main surat-surat ini... Ini zaman teknologi tau tak! Orang pakai email,
pakai facebook, pakai whatsapp... macam-macam lagilah!” Akma sudah membebel
panjang.
Berkerut-kerut
dahi Iman mendengar celoteh daripada mulut Akma. Langsung tidak ada titik
noktahnya. Kalah machine gun!
“Apa
yang kau merepek ni? Kau kalau dapat bercakap, sampai esok pun tak ada titik
kan?” Perli Iman. Matanya menjeling Akma sekilas. Sakit hati lagi!
“Heee...
janganlah marah! Okey, sekarang kau cerita cepat. Kenapa kau lain macam aje hari
ni?” Akma tersengih kecil. Cuba untuk menutup perasaan malunya. Muka Iman
dipandang tidak berkelip. Moga-moga sejuklah hati sepupu merangkap kawan
baiknya itu.
“Hmmmm...”
Satu keluhan panjang terbit dari mulut Iman. Mukanya juga nampak kelat semacam.
Kalau boleh rasa, mesti sama kelat dengan buah makhkota dewa agaknya.
“Hai,
lain macam aje bunyi mengeluh tu? Kau tau tak! Mak aku cakap tak baik kalau
kita asyik mengeluh aje.”
“Aku
bukan mengeluhlah!”
“Habis,
tadi tu apa? Menyanyi?” Bidas Akma. Matanya sudah dibulatkan kepada Iman. Sudah
terang lagi bersuluh, hendak menafikan lagi?
“Errrkk...”
Iman tersenyum kelat. Pipi sebelah kirinya digaru, laju. Gatal sungguh rasanya.
Sah, nyamuk jantan yang hinggap di pipinya. Kalau nyamuk betina, takkanlah gatal sangat.
“Tak
nak cerita sudah! Aku pun tak ingin nak tahu.”
Akma
sudah menarik muncung sedepa. Mukanya dipalingkan daripada mengadap muka Iman, sambil
tangan kanannya menguis rumput di hujung kaki menggunakan ranting kayu.
“Alahai,
merajuk pulak! Buruk tau tak?”
“Hmm,
okeylah. Mak su ajak aku pergi Kuala Lumpur. Kerja dekat sana. Tapi aku tak
tahulah nak pergi ke tidak.”
Mendatar saja suara Iman. Pandangannya terus
dilemparkan ke tengah sungai. Kusut!
“Hah?
Kuala Lumpur?” Laju saja Akma pusingkan tubuhnya mengadap Iman. Mata Iman
dicari untuk kepastian.
“Ya...”
lemah saja suara Iman menjamah telinga Akma. ‘Huh! Terkejut macam nampak
harimau!’ Bentak hati Iman.
“Lah!
Pergi ajerlah... Best tu dapat pergi
Kuala Lumpur. Kau ni, ada peluang tak nak pergi. Kenapa mak su tak ajak aku, errk?” Akma mencebik. Saja buat-buat
sedih.
“Aku
serba salahlah. Kalau aku ikut mak su, kau tahu aku kerja apa? Aku jadi PA kepada
mak engku tu. Alah, aku rasa nama je
PA... tapi mesti lebih kurang macam orang gaji aje...”
“Weii,
okeylah tu jadi PA merangkap orang gaji. Kau pun bukan sekolah tinggi sangat!”
Akma gelak jahat.
“Menyampahlah
kau ni. Macamlah kau tu belajar tinggi
sangat! Sekurangnya aku ada juga orang nak. Kau ada?” Iman mencebik. Saja nak
sakitkan hati Akma.
“Weh...
Kau ni, melampaulah! Hu... hu... Sampai hati kau kecikkan hati aku.” Akma sudah
mencabut-cabut rumput di hujung kaki.
“Padan
muka!”
Iman jelirkan lidahnya sambil ketawa mengekek.
Sengaja dia siramkan lagi minyak di hati Akma supaya hati kawan baiknya itu
rentung, terbakar. Macam inilah gayanya kalau dua sahabat baik itu berjumpa. Ada
saja yang hendak digaduhkan.
“Okeylah,
back to the point! Ewah... betul ke aku
speaking tu?” Akma sudah tersengih
menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Gatal sangat hendak bercakap bahasa
mat salih. Tak apalah! Yang penting keyakinan diri tu kena tinggi.
“Hemtam
ajelah!” Iman sudah ketawa mengekek. Dia pun bukan pandai sangat bercakap bahasa
mat salih ni. Setakat yes, no, alright...
tahulah.
“Kau
pergi ajelah dulu. Kalau rasa tak sesuai duduk sana nanti, baliklah. Sampai
bila kau nak harapkan wan tu. Kau juga yang cakap haritu, tak nak susahkan wan
lagi. Inilah masanya kau nak cuba hidup berdikari.” Kali ini Akma nampak serius
ketika berkata-kata. Tak ada lagi nada bergurau macam lazimnya.
Iman
mengeluh kecil.
“Entahlah!
Kalau aku pergi sana, siapa nak jaga wan, nak tengok-tengokkan wan?” Iman garu
kepala yang berbalut kemas di dalam tudung. Mukanya nampak benar-benar kusut.
Sepanjang Akma kenal dengan Iman, inilah pertama kalinya dia melihat wajah Iman
begitu. Sungguh kronik!
“Kau
tak payah fikirlah semua tu. Aku kan ada. Lagipun mak aku kan ada. Kita orang
boleh tengok-tengokkan wan tu... Bukan orang lain pun! Kau pergilah, ya? He... he...
manalah tahukan, dekat rumah mak engku tu nanti, ada pakwe kacak. Untung- untung
sangkut!” Akma sudah ketawa gatal.
“Amboi,
itu yang kau ingat, erk! Hati aku ni,
datanglah putera raja dari negeri kayangan sekalipun, tetap tak akan berubah.
Tetap melekat pada abang Asyraf sorang, tau!” Iman tunding jari telunjuk dengan
penuh yakin pada dadanya, sambil tersenyum meleret. Wajah kekasih hatinya mula
bermain di ruang mata. Ada rindu yang bertamu tanpa diundang.
“Ish,
tak payahlah nak yakin sangat Iman oii... Jodoh, rezeki, maut, itu semua dekat
tangan Allah. Tak payah nak takbur sangat bila bercakap tu. Dahlah! Aku nak
balik. Kau fikirklah masak-masak.” Laju Akma bingkas bangun. Mengibas punggung
seluar trek yang dipakainya.
Iman
mencebik bibir. Kenapalah semua orang suka sangat fikirkan benda-benda yang
negatif tentang hubungan dia dengan Asyraf? Tak boleh ke kalau dia orang doakan
benda yang baik-baik saja? Kalaupun tak mahu doakan benda yang baik-baik,
senyap saja pun dah cukup!
Sekali
lagi nafas dihela panjang. Fikiran Iman benar-benar serabut. Kenapa semua orang
mahukan dia pergi? Semua sudah bencikan dia ke?
“Oii,
baliklah! Dah nak senja ni... Malam ni buat solat istikarah.”
Sayup-sayup suara Akma berteriak kepadanya.
Pandangan Iman terus berlari pada bayang Akma yang semakin jauh di hadapan.
Iman tersenyum kelat sekali lagi. Perlahan dia bangun, melangkah dengan
perasaan yang lemah dan longlai. Kusut!
“HAI, awal Iman berkurung malam ni mak?”
Mak Su Normah sudah melabuhkan duduknya di sebelah Wan Bedah. Emaknya yang sedang
ralit menonton drama melayu slot Ratu di TV9 itu segera menoleh.
“Aah..a
Biasanya dia yang tercongak dulu dekat depan TV ni.” Wan Bedah menoleh seketika
pada Mak Su Normah. Kemudian matanya kembali dihalakan pada TV. Tidak mahu
ketinggalan menonton drama kegemarannya itu.
“Cerita
apa yang mak bersungguh sangat tegok ni?” tanya Maksu Normah lagi.
“Ish,
bisinglah kau ni! Nanti-nantilah mak jawap. Kacau orang nak tegok TV ajelah...”
runggut Wan Bedah. Matanya masih setia merenung kaca TV.
“Amboi,
mak!” Ketawa Mak Su Normah terus pecah. Lawak pula rasanya melihat Wan Bedah
bersungguh begitu.
Wan
Bedah tersengih lebar menampakkan barisan gigi palsunya yang tersusun rapi.
“Hmm,
dah habis! Sekejap sangat mainnya.” Keluh Wan Bedah. Televisyen terus
dimatikan. Dia berpusing mengadap Mak Su Normah. Lama juga pandangannya jatuh
pada wajah anak bongsunya itu.
“Mah,
kamu betul ke nak ajak budak Iman tu pergi Kuala Lumpur?”
“Betullah
mak! Kenapa, mak tak izinkan ke?”
“Bukan
macam tu... Mak tak kisah kalau dia nak pergi. Tapi yang mak risaukan, boleh ke
Iman tu bekerja dengan Mak Engku. Bukan kamu tak tahu budak Iman tu. Dia tu,
kepala angin sikit!”
“Allah,
yang itu tahulah Mah uruskan mak. Yang penting sekarang ni, dia tu nak pergi ke
tidak? Lagipun Iman tu dengan kita aje kepala angin. Dengan orang lain pandai
pula dia hormat.” Mak Su Normah nampaknya memang bersungguh mahu mengajak Iman
ke Kuala Lumpur.
“Hmm...
kalau kamu dah kata macam tu, mak ikutkan aje. Biarlah dia buat keputusan
sendiri. Mak tak nak paksa dia. Tu, duduk bertapa dalam bilik, tengah fikirkan
hal inilah agaknya. Selalunya tak pernah-pernah pula dia berkurung awal,” balas
Wan Bedah.
Suasana
menjadi sepi seketika.
“Mak,
sampai bila kita nak berahsia dengan Iman tu? Rasanya dia dah cukup besar untuk
tahu kebenarannya,” tanya Mak Su Normah tiba-tiba, memecahkan kebisuan.
Wan
Bedah terjeda. Lama dia terdiam, sebelum nafasnya dihela panjang.
“Biarlah
dulu! Kamu pun, jangan nak memandai buka cerita. Sampai masanya nanti dia akan
tahu juga.” Keras bunyi suara Wan Bedah, membuatkan mulut Mak Su Normah
terkunci rapat. Kalau Wan Bedah sudah berkeras macam tu, memang dia tak boleh
nak cakap apa-apa lagi dah.
Bukan dia tidak kenal dengan perangai emaknya
itu. Jika hitam katanya, maka tak akan sesekalinya bertukar menjadi putih. Ini,
nasib baik Wan Bedah tidak tahu dengan siapa dia bekerja sekarang. Kalaulah Wan Bedah tahu siapa Tengku Faridah
itu, mahunya dia tidak dibenarkan bekerja di sana lagi.
Sebenarnya,
Maksu Normah ada agenda tersendiri kenapa dia beria-ria sangat mahu membawa
Iman ke Kuala Lumpur. Kepada Wan Bedah pun dia tidak bercerita. Dia takut nanti
niat murninya dihalang sekerasnya oleh Wan Bedah. Buat masa sekarang, biarlah
segalanya berjalan seperti yang dirancang.
IMAN masih
berpisat-pisat di tempat tidur. Sekejap dia meniarap, sekejap pula dia
terlentang. Macam-macam gaya sudah dia buat, tapi otaknya masih lagi terasa
penuh. Perasaannya masih lagi tertekan. Separuh dari hatinya kata pergi.
Separuh lagi kata tak nak pergi. Sudahnya dia buntu untuk membuat keputusan.
“Arrgghhh!!! Serabutnya.” Kedua belah
tangannya sudah naik menggaru kepala.
“Rasa
macam nak pecah dah kepala ni fikir! Apa aku nak buat ni? Pergi ke tak?” Iman
mengomel sendiri.
Tiba-tiba
suara Akma pada petang tadi bagaikan terngiang-ngiang di cuping telinga.
Kadang-kala boleh pakai juga otak budak Akma ni.
“Haa...
Solat Istikarah. Tapi nak ke Allah tolong kau, Iman? Masa susah macam ni baru kau
ingat nak solat sunat! Baru beria nak minta tolong dengan DIA...” Iman masih bercakap
sendiri. Kepalanya digaru lagi.
“Argh, cubalah! Kena yakin. Allah tu,
Maha Pemurah... Tak pernah DIA menghampakan hamba-Nya, Iman!”
Sepantas
kilat Iman terjun dari katil bujangnya. Dia bergegas keluar dari bilik, menuju
ke bilik air untuk berwuduk. Semasa dia melintasi bilik Wan Bedah dan bilik Mak
Su Normah, kakinya berhenti melangkah buat seketika. Lama dia termenung di
hadapan pintu bilik Wan Bedah dan Mak Su
Normah yang sudah kelihatan gelap itu. Mungkin mereka berdua sudah lama diulit
mimpi.
Iman
menarik nafas panjang. Langkah terus diatur dengan yakin menuju ke bilik air.
Dalam keadaan sekarang, hanya Allah saja yang dapat membantu dan memberi
petunjuk kepadanya.
No comments:
Post a Comment