DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 11

BAB 11


NAFAS ditarik dalam. Kaki duduk berjuntai di atas pondok kayu depan rumah. Pondok kecil tanpa dinding yang beratapkan daun nipah. Pondok itu memang sengaja Wan Bedah bina sebagai tempat untuk mereka duduk-duduk bersantai pada waktu petang. Sesekali angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa muka. Terasa cukup menyegarkan. Senyuman lebar mula terukir di bibirnya.
Dari tadi lagi dia ralit perhatikan Wan Bedah, yang sibuk menyapu daun kering di halaman rumah. Dua hari berada di desa permai begitu membahagiakan bagi Iman. Tapi bahagia itu sekejap saja. Lusa dia terpaksa kembali ke rumah besar itu semula. Niat dia untuk berhenti kerja dibangkang mati-matian oleh Mak Su Normah. Entah kenapalah mak sunya itu berkeras mahu dia terus bekerja di situ.
“Wan, marilah duduk sini. Iman bosan ni! Orang balik nak berbual-bual dengan dia. Tapi dia, dua puluh empat jam sibuk. Mengalahkan menteri! Wan tak rindu dekat orang gamaknya?” Iman merunggut dari pondok. Susuk tubuh Wan Bedah yang berada tidak jauh darinya itu disorot lama.
“Hish, kamu ni! Tak nampak ke wan tengah sapu daun kering ni? Harapkan kamu tu, tahun depan belum tentu kamu sentuh penyapu lidi ni.” Marah Wan Bedah. Marah-marah manja sebenarnya. Mana boleh dia tidak rindukan Iman. Selama ini, budak Iman itu sajalah racun dan penawar dalam hidupnya.
“Eleh, dah wan tak suruh!” Iman cebir bibir. Macam biasalah, tidak mahu mengaku kalah.
“Amboi, nak tunggu orang suruh baru nak buat? Bagus betul anak dara zaman sekarang ni!” tebak Wan Bedah. Mata dicerlung luas kepada Iman.
Iman ketawa mengekek. Seronok dapat berlawan cakap dengan Wan Bedah. Rindu sangat-sangat nak bertekak dengan Wan Bedah macam dulu-dulu.
Weeii, apa bising-bising ni?” Akma tiba-tiba saja muncul dari belakang. Tergedek-gedek berjalan ke pondok yang sedang dihuni, Iman.
“Ya Allah, budak ni! Aku pukul dengan penyapu lidi ni kang. Bila masanya kamu muncul ni Akma. Tak reti nak bagi salam?” Wan Bedah mengangkat tinggi penyapu lidi yang berada di tangannya. Mata bulat merenung Akma. Marah betul! Macam nak telan aje budak tu dekat situ. Yalah, mana tidak marah. Datang tidak bersalam.
“Wan, relaks wan... Jangan marah-marah. Nanti darah naik tinggi. He... he... Orang datang dari jalan belakang tadi. Lupa nak bagi salam. Assalamualaikum...” Akma tersengih macam kerang busuk. Punggungnya laju saja dilabuhkan ke atas pondok di sebelah Iman.
Iman ketawa mengekek. Padan muka! Selalu sangat buat perangai macam tu. Dah namanya sepupu merangkap kawan baik, memang tidak jauh bezanyalah dengan perangai dia. Campur, darab, tolak, bahagi... lebih kurang itu juga.
“Eleh, gelakkan aku. Kau pun sama aje!” Akma tolok bahu Iman. Sakit hati pula, bila Iman ketawakan dia.
“Eh, aku dah sopanlah sekarang. Sejak duduk dengan golongan kerabat ni, aku dah jadi baik tau.” Iman menyengih.
“Hmm... yalah tu!” Akma mencebik. Mata ditalakan lurus ke depan. Perhatikan objek hitam yang sedang bergerak gagah di jalan raya.
“Oh, my god! Imannnn...” Akma sudah bertempik macam orang sawan. Mengelupur dia di situ.
Wan Bedah yang sedang ralit menyapu daun kering di laman rumah tercengang-cengang. Iman yang dekat sebelah pula terpinga-pinga. Apa kena ni?
“Kau apa hal?” Kening Iman bercantum. Gila gamaknya, Akma ni.
“Tuuuu... Sana, tuuu...” Akma pegang kepala Iman. Muka Iman dipalingkan lurus ke depan. Wan Bedah juga turut menghalakan pandangannya pada tempat yang sama. Kelihatan sebuah kereta Audi S6 berwarna hitam berkilat sedang meluncur gagah memasuki pagar rumah Wan Bedah.
Iman melopong. Tiba-tiba perutnya terasa memulas-mulas. Macam dia kenal saja kereta siapa tu. Liur ditelan berkali-kali. ‘Hish, apa hal pulak mamat mata sepet ni muncul dekat sini? Aku baru nak tarik nafas lega. Tiba-tiba boleh pulak dia terpancul dekat sini!’ Berkerut-kerut dahi Iman.
“Iman, Auu... Auudii S6.” Tegagap-gagap Akma. Bahu Iman digongcang berkali-kali. Teruja yang amat melihat kereta idaman mereka tersadai gah di hadapan mata.
“Ish, apa kau ni? Tergagap-gagap pulak!” Iman tepis tangan Akma. Gigi diketap rapat. ‘Adoii, ingatkan dah selamat dari mamat mata sepet ni. Boleh pulak muncul dekat sini!’ Tak habis-habis lagi, hati Iman merunggut.
“Woowww...!”
Makin bulat mata Akma. Makin luas juga mulutnya ternganga.  Tangan menarik-narik bahu Iman, tapi mata masih tidak berganjak dari memandang lelaki kacak yang baru sahaja keluar daripada perut kereta Audi S6 itu.
“Ish, kau ni dah kenapa?” Iman tepis tangan Akma sekali lagi. Dahlah jiwa tengah kacau tengok mamat mata sepet tu tiba-tiba saja muncul dekat sini. Akma pula buat perangai tidak semengah. Tergedik-gedik macam ulat beluncas. Geram yang amat rasanya.
“Tu... Kacaknya Iman! Siapa lelaki tu?” Mulut Akma sudah memuncung kepada lelaki kacak yang sedang bersalaman dengan Wan Bedah itu. Lelaki itu nampak sangat bergaya dengan jeans biru pepsi, dipadankan pula dengan t-shirt POLO berwarna kuning hitam. Bertambah-tambah nampak kacak dengan rayban yang terletak elok di matanya. Betul-betul memukau pandangan Akma.
Mak Su Normah juga sudah turun dari perut kereta dan bersalaman dengan Wan Bedah. Dia buat-buat tidak nampak saja, Iman dengan Akma dekat situ. Menonong saja langkahnya menuju ke rumah.
Saat pandangan lelaki itu menghala tepat pada mereka yang berada di pondok itu, hati Iman tiba-tiba berdebar. Tambah lagi bila dia tengok senyuman senget yang bermain di bibir lelaki bermata sepet itu. Walaupun mata lelaki itu terlindung di sebalik rayban yang di pakainya, Iman yakin mata galak lelaki itu sedang merenung tepat kepadanya. Sudahnya, Iman tunduk menekur tanah.
Weh, siapa lelaki tu?” Akma senggol bahu Iman dengan bahunya. Tubuh Iman bergerak sedikit ke tepi. Mulut Akma memuncung, menghala terus pada sebatang tubuh milik lelaki yang sudahpun mendaki anak tangga rumah kayu Wan Bedah. Geram pula dia bila Iman buat endah tidak endah saja. Selalunya kalau nampak kereta Audi S6 ataupun lelaki kacak, dia dulu yang menggelupur. Kali ni, muka macam ayam berak kapur saja.
“Hmm... cucu majikan aku. Dahlah! Ni, apa cerita Abang Asyraf? Kau tak dengar apa-apa ke pasal dia? Dah berpucuk surat aku kirim, satu pun dia tak balas. Hmmm...” Iman cuba ubah topik. Berbicara tentang Ajad, selalu saja dadanya terasa sesak. Jantungnya kuat berdetak. Entah apa yang ada pada lelaki itu, Iman sendiri tidak tahu.
“Ini lagi satu. Macam mana aku nak cakap, erk?” Akma garu kepala. Macam mana dia nak bagitahu pada Iman. Kalau Iman tahu, apa reaksi dia agaknya? Tapi, takkan Wan Bedah tak cakap apa-apa pada dia, kut!
“Kenapa ni?” Iman kerut dahi. Mata Akma dicari. Lain macam pula dia  tengok budak Akma ni.
“Mmm, kau lupakan ajelah dia tu. Korang bercinta pun, macam tak bercinta aje!” Akma kuis tanah dengan hujung selipar.
“Apa yang kau merepek ni? Aku sayangkan dia, tau tak? Aku setia!” Suara Iman sudah berubah nada. Sesedap oren saja si Akma ni, suruh dia lupakan Asyraf. Padahal bukan Akma tidak tahu, selama ini hanya lelaki itu sajalah yang berjaya mencuri hati batunya.
Walaupun dia orang bercinta tak macam pasangan kekasih lain bercinta, Iman betul-betul sayangkan Asyraf. Dia setia dengan Asyraf. Memanglah dia orang jarang berhubung. Berjumpa pun, jarang sekali. Tapi, cinta di hati Iman memang untuk Asyraf. Bukan sehari dua mereka bercinta. Bertahun lamanya.
“Hmm, wan tak bagitahu kau ke?”
Pertanyaan Akma mengundang debaran di dada Iman.
“Bagitahu apa?” Iman kerut  dahi.
“Asyraf dah bertunanglah. Minggu, lepas! Satu kampung tok penghulu jemput.”
“Hah?” Kuat suara Iman melengking. Matanya sudah bulat merenung Akma. Rasa macam nak tecabut limpanya mendengar perkhabaran yang dibawa oleh Akma itu.
“Eh, Akma! Kau jangan main-main.” Tangan Akma ditarik laju. Mata Iman laju saja mencari anak mata Akma. Mukanya sudah terasa panas semacam saja. Angin yang sedang bertiup sepoi-sepoi bahasa itupun sudah tidak mampu mendamaikan hatinya kala itu. Tidak mampu lagi menyegarkan tubuhnya. Kenapa dia rasa macam nak meletup aje ni?
“Betullah! Dia tak bagitahu kau ke yang dia dah habis belajar? Dengar cerita dari mak aku, tunang dia tu sama tempat belajar dengan dia. Hmm... orang berpelajaran Iman, mestilah nak cari yang sama taraf dengan dia jugak.”
Lama Iman terdiam. Hatinya terasa pedih yang amat. Rasa macam hendak menangis, tapi air mata memang mahal. Liurnya diteguk berkali-kali, bagi mengurangkan rasa pedih di hati.
“Dia dah habis belajar ke? Bukan setahun lagi ke? Hmm... Tak patut dia buat aku macam ni. Kalaupun dia dah tak sukakan aku, sekurangnya bagitahulah aku. Tapi, dia boleh diam macam ni aje. Sedar-sedar dah bertunang!” Bergetar suara Iman. Rasa pedih di hati makin parah.
“Mmm... Macam ni, lah! Kalau kau rasa tak puas hati dia buat macam tu, kau pergi aje berjumpa dengan dia terus.”
Iman tersentak. Lama matanya menikam ke muka Akma.
“Dia ada ke?”
“Ada. Aku dengar, minggu depan dia dah nak ke Penang. Dia dapat kerja dekat sana. Lagipun, tunang dia memang orang sana.”
“Kalau macam tu, kau kena temankan aku. Malam ni, temankan aku pergi rumah tok penghulu.” Iman nekad.
“Kau gila?” bulat mata Akma.
“Aku tak kira. Kalau kau kawan aku, kau kena temankan aku. Lepas maghrib kita pergi!”
Akma senyap. Lama juga dia membisu. Tiba-tiba Akma tarik lengan Iman. Tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Iman, kau pikat ajelah mamat tadi tu. Handsome! Ada Audi pulak tu...” Akma jongket kening sebelah. Senyuman sudah berbunga di bibirnya. Kepalanya pula, tertinjau-tinjau ke dalam rumah Wan Bedah. Manalah tahu mamat tadi muncul tiba-tiba depan pintu.
“Huh! Tak kuasa aku. Kau tengoklah dia. Lagilah beza tarafnya dengan aku. Macam garuda dengan pipit!” Iman cebir bibir. Apa Akma ingat wang ringgit boleh menjamin kebahagiaan ke?
“Tak nak? Kau bagi aku ajelah kalau gitu.” Akma sudah tersengih gatal.
Iman cebir bibir.
“Amboi! Kau ingat dia tu barang! Main bagi-bagi aje? Dahlah! Hati aku tengah hancur ni. Boleh pulak kau bercakap pasal nak goda lelaki lain,” kendur suara Iman.
“Mmm... Dari dulu lagi aku dah pesan. Jangan ralit sangat mengait angan. Kalau angan kau tu carik, kau juga yang sakit! Sekarang, memang betul apa yang aku kata.”
Iman diam lagi. Argh! Semua orang tak faham.
“Sampai, hati dia!” Ayat itu sekali lagi meniti di bibir Iman. Masing-masing kemudiaannya membisu.
“Iman! Akma! Dah nak maghrib ni.” Laung Wan Bedah dari pintu rumah. Laju saja Iman dan Akma menoleh.
“Ya, wan. Kejap lagi Iman naik.” Laung Iman semula.
“Kamu jangan nak mengada! Naik sekarang. Anak dara tak elok duduk bertenggek dekat luar rumah, senja-senja macam ni. Akma! Kamu pergi balik. Nanti mak kamu bising,” laung Wan Bedah lagi. Muka sengaja dibengiskan. Budak berdua ni, bukan makan saman. Kalau tak tunjuk muka garang, haram dia orang nak takut.
“Wannn... Orang nak tidur sini boleh?” Akma sudah tersengih kecil.
Dahi Iman naik berkerut. Kening, bercantum rapat. Mata menyorot Akma atas, bawah. Apa mimpi Akma ni? Sebelum ni, tak pernah pula nak tidur sini.
“Jangan nak mengarut! Mak kamu sensorang dekat rumah tu. Pergi balik!” Arah Wan Bedah tegas, sebelum dia menghilangkan diri semula ke dalam rumah.
“Eleh, kecohlah wan tu! Nak tidur sini pun tak boleh. Aku ni pun cucu dia juga!” Akma tarik muncung. Kalau diukur, lagi panjang dari muncung itik Wan Bedah.
“Kau ni apahal? Tak pernah-pernah pun nak tidur sini.”
“Hee... Kut-kutlah boleh kenal-kenal dengan mamat dekat atas tu.” Akma sudah ketawa gatal. Mata menjeling-jeling ke dalam rumah Wan Bedah.
“Eee... gatalnya kau ni. Pergi baliklah! Lepas maghrib nanti, aku pergi rumah kau. Aku tak kira! Kau kena temankan aku juga. Pandai-pandailah kau kelentong mak long.” Iman tolak tubuh Akma. Sakit pula hatinya bila Akma menggatal macam tu.
“Yalah! Jangan lupa esok, kenalkan aku dengan mamat handsome tadi tu.” Akma sudah mengatur langkah.
Iman cebir bibir. Meluat dengan perangai gedik Akma. Entah kenapa dia betul-betul tidak senang hati bila Akma bergurau begitu tentang Ajad. Padahal dia tahu Akam cuma bergurau sahaja. Selama ini, dia  sendiripun tergedik-gedik bila bertemu dengan lelaki kacak. Tapi, entah kenapa hatinya rasa sakit kalau ada orang lain menunjukkan minatnya kepada Ajad. Cemburukah dia?
“Imannnnn...!” Laungan Wan Bedah semakin nyaring. Macam mak tiri cinderella, garangnya.
“Ya, wan. Nak naik dah ni.” Cepat-cepat dia turun dari pondok dan mula menapak ke rumah. Dada mula berdebar-debar. Kencang bagaikan dipalu dengan pemukul drum. Hmm, bencilah!



No comments:

Post a Comment