DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 14

BAB 14


MAK SU NORMAH masih kaku di dalam perut teksi. Mata menyorot tepat pada bangunan yang tersengam gagah di hadapan matanya. Setiap kali dia berkunjung ke situ, perasaannya pasti akan direntap hiba. Hiba yang teramat sangat! Rasa berat kakinya mahu melangkah masuk ke dalam bangunan itu.
“Maaf, puan. Kita dah sampai!”
Pemandu teksi itu menyorot tepat pada muka Mak Su Normah melalui cermin pandang belakang. Mungkin sudah bosan menunggu. Sudah hampir lima minit mereka di situ, tetapi masih belum ada tanda-tanda Mak Su Normah mahu turun dari perut teksinya.
 “Oh, maafkan saya!” Terkocoh-kocoh Mak Su Normah menggagau beg tangannya yang berada di riba. Setelah duit tambang bertukar tangan, cepat-cepat dia meloloskan diri dari perut teksi. Matanya berlari laju pada papan tanda besar yang terpacak kemas di situ. ‘Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.’ Satu helaan nafas yang berat dilepaskan oleh Mak Su Normah. Dalam kepayahan, langkah diatur kemas menuju ke dalam bangunan yang berdiri gagah itu.

SAAT kaki menapak masuk ke dalam wad pesakit wanita bernombor 5A2 di hospital sakit jiwa itu, telinga Mak Su Normah mula menangkap dengar suara hiruk-pikuk pesakit-pesakit wanita yang berada di situ. Ada suara tangisan, ada suara hilaian. Ada juga yang tengah rancak bernyanyi dan dikelilingi oleh beberapa orang pesakit yang lain. Lagaknya seperti sedang mengadakan konsert besar. Mereka nampak begitu leka di dalam dunia ciptaan mereka sendiri.
Mak Su Normah tersenyum kelat. Liur yang terasa pahit di kerongkong itu ditelan laju. Dada terasa ketat yang amat. Setiap kali kakinya menapak ke situ, dadanya memang sentiasa sarat. Sarat dengan berbagai rasa. Yang nyata, segala rasa itu menjerut kemas di jiwanya.
Katil bernombor 8C itu dihampiri. Dari jauh lagi dia melihat seorang jururawat wanita sedang berusaha keras memujuk penghuni di katil itu untuk makan ubat. Saat Mak Su Normah berdiri betul-betul di sebelah katil pesakit itu, laju saja pesakit wanita itu menerpa ke arah Mak Su Normah.
“Doktor! Doktor tengok misi ni nak bunuh saya. Dia nak bagi saya makan racun. Saya tak nak makan racun tu doktor. Tolong saya!” Pesakit tadi sudah bergayut kejap dilengan Mak Su Normah.
Terjeda Mak Su Normah seketika.
“Maaf, paun. Pesakit ni selalu buat hal sejak akhir-akhir ni.” Sapa jururawat tadi dengan muka bersalah.
“Tak apa... Awak boleh tinggalkan saya dengan dia dekat sini. Nanti saya uruskan dia.” Mak Su Normah tersenyum kelat.
“Tapi...” Jururawat tadi nampak keberatan.
“Tak apa. Saya saudara dia. Nanti saya pujuk dia.” Mak Su Normah cuba meyakinkan jururawat tadi.
Jururawat wanita itu terdiam sejenak. Mata disorot lama pada pesakit wanita yang sedang  berlindung di belakang Mak Su Normah. Lengan Mak Su Normah masih dipeluk kuat.
“Baiklah. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat panggil saya.” Jururawat wanita itu akur juga akhirnya. Mak Su Normah ditinggalkan di situ bersama pesakit wanita tadi.
“Safiyya, mari kita duduk.” Lembut suara Mak Su Normah memujuk. Dia memapah pesakit yang dipanggil Safiyya itu untuk duduk di katil.
“Doktor! Dekat sini ramai orang jahat. Doktor kena hati-hati tau!” Safiyya bersungguh cuba meyakinkan Mak Su Normah. Matanya meliar ke segenap ruang di bilik wad 5A2 itu. Seolah-olah sedang mengawasi setiap gerak-geri sesiapa saja yang berada di situ.
Mak Su Normah tersenyum kelat. Runtun rasa jiwanya melihat keadaan Safiyya begitu. Siapa sangka, seorang wanita cantik dan berjaya suatu masa dahulu menjadi penghuni tetap di hospital mental ini. Tangan kurus Safiyya ditarik lembut ke dalam genggamannya. Anak mata Safiyya dicari. Liur yang terasa penuh dikerongkong ditelan berkali-kali.
“Safiyya, sihat?” Tanya Mak Su Normah lembut. Rambut Safiyya yang mengerbang itu dilurutkan dengan jarinya supaya nampak kemas. Terbayang di matanya 23 tahun yang lalu. Safiyya seorang wanita yang tersangatlah anggun dan cantik. Kerana ego seorang manusia yang mementingkan darjat dan harta, seorang wanita yang tidak berdosa menjadi mangsa.
Dua puluh tiga tahun yang lalu Mak Su Normah telah menyelamatkan Safiyya dari satu kemalangan ngeri. Kereta yang dinaiki oleh Safiyya bersama suaminya telak ditembak di bahagian tayar sehingga menyebabkan kereta yang dinaiki oleh mereka terbabas merempuh sebatang pokok besar di bahu jalan.
Kebetulan, Mak Su Normah melalui jalan itu. Melihat sebuah kereta yang hampir terbakar, Mak Su Normah cepat-cepat memapah Safiyya untuk keluar daripada perut kereta. Tidak sampai lima belas minit selepas itu, kereta yang dinaiki oleh Safiyya meletup. Suami Safiyya tidak sempat diselamatkan.
Mengetahui keadaan Safiyya yang sedang berbadan dua itu, membuatkan perasaan kasihan tumbuh di hati Mak Su Normah. Perasaan itu semakin menebal apabila mengetahui cerita sebenar di sebalik kemalangan ngeri yang menimpa Safiyya. Semenjak hari itulah Mak Su Normah menjaga Safiyya dan menganggap dia macam keluarga sendiri.
Tapi sayang! Selepas Safiyya melahirkan anak, dia telah mengalami penyakit kemurungan yang berpanjangan. Menurut doktor kemurungan yang dialami oleh Safiyya adalah berpunca daripada keadaan emosinya yang tertekan dan tidak stabil. Semakin lama, penyakitnya menjadi semakin parah. Dia mula memencilkan diri. Anaknya langsung tidak dipedulikan.
Safiyya mula mencipta dunia sendiri. Kadang-kadang dia ketawa. Adakalanya dia menangis. Suatu hari, dia cuba membunuh anaknya sendiri. Semenjak daripada itulah Mak Su Normah telah menghantar dia ke hospital ini dengan harapan dia akan sembuh.
Tapi, sampai sekarang keadaan Safiyya masih tetap sama. Menurut doktor yang merawat Safiyya, penyakit Safiyya tidak akan sembuh selagi dia sendiri tidak mahu keluar dari dunia fantasinya. Safiyya sendiri seolah-olah tidak mahu kembali pada kehidupan lamanya. Sampai bila dia akan macam tu, Mak  Su Normah sendiri tidak tahu.
“Doktor, tolong tepuk... Fia nak tidur.” Renggekkan Safiyya itu mencantas terus lamunan Mak Su Normah. Matanya laju saja menyorot pada wajah wanita yang berusia tiga tahun lebih muda daripadanya itu.
“Safiyya makan ubat dulu,” pujuk Mak Su Normah, lembut. Segaris senyuman diukir walaupun dalam kepayahan.
“Ubat? Bukan racun?” Tanya Safiyya kelihatan begitu polos.
“Bukan.. ” Mak Su Normah, senyum lagi. Ubat disua ke mulut  Safiyya. Lambat-lambat Safiyya membuka mulut.
“Hmm... Sekarang dah boleh tidur.” Mak Su Normah kemam bibir. Rasa sebak ditahan sebolehnya. Tidak mahu air matanya gugur di hadapan Safiyya.
Tanpa menunggu lebih lama, Safiyya terus merebahkan tubuhnya di atas katil. Mata terus dipejam rapat.
“Doktor! Tepuk Fia...” Pinta Safiyya dengan mata yang masih terpejam rapat. Tangan Mak Su Normah dibawa ke bahunya.
Mak Su Normah menepuk lembut, bahu Safiyya. Air mata tidak dapat ditahan lagi. ‘Safiyya, sampai bila kau mahu macam ni? Dua puluh tiga tahun, Safiyya! Kenapa masih mahu menghukum diri sendiri kerana kejahilan insan lain. Tahukah kau di luar sana ada seseorang yang terlalu mengharapkan kehadiran kau di sisinya. Ada seorang insan yang  merindui kasih sayang dan belaian sejati daripada kau? Dua puluh tiga tahun dia menunggu, Safiyya!’ Hati Mak Su Normah berbisik dan terus berbisik. Air mata semakin deras mengalir di pipinya.

LEWAT senja itu sebuah teksi berwarna merah putih memasuki pagar halaman rumah Wan Bedah. Iman yang berada di ruang dapur pada ketika itu terus berlari ke muka pintu tatkala telinganya menangkap dengar bunyi enjin kereta. Tercengaang-cengang Wan Bedah dan Ajad melihat aksi lipas kudung Iman saat dia melintasi mereka di ruang tengah rumah.
“Mak su, pergi mana?” Belum pun sempat Mak Su Normah menjejakkan kakinya ke anak tangga rumah, Iman sudahpun menyoal. Muka Mak Su Normah yang nampak kepenatan itu direnung tidak berkelip. Seharian dia tidak nampak kelibat mak sunya di rumah. Bila ditanya pada Wan Bedah, hanya kebisuan Wan Bedah yang dia dapat.
“Hmm... kalau ya pun, bagilah mak su naik dulu! Penat tak hilang lagi.” Dalih Mak Su Normah. Saja malas mahu melayan pertanyaan Iman sebentar tadi. Kaki terus menapak ke dalam rumah. Terus punggungnya mendarat kemas di atas kusyen kayu yang berada di ruang tengah rumah. Wan Bedah dan Ajad yang sedang bersantai di situ sedari tadi, hanya diam memerhati.
Iman atur langkah menghampiri mak sunya. Muka memang nampak macam tidak berpuas hati. Dia yakin pasti ada sesuatu yang disorokkan oleh mak sunya. Wan Bedah juga! Lain macam benar, cara mereka.
“Mak su... pergi mana tadi?”
Iman tarik tangan Mak Su Normah. Selagi dia belum mendapat jawapan daripada mak sunya, selagi itulah hati tidak tenang. Perasaannya rasa semacam saja. Pandangan Ajad dan Wan Bedah yang menyorot tepat pada dia dan Mak Su Normah itu, Iman buat tidak nampak saja. ‘Sibuk aje mata tu nak tengok orang!’ Desis hati Iman. Kata-kata itu ditujukan khas kepada Ajad sebenarnya.
Mak Su Normah mengeluh kecil. Laju saja dia bingkas bangun dari duduknya. Tangan Iman yang masih bergayut di lengannya itu dileraikan. Fikirannya tengah kusut benar sekarang ini. Muka dipalingkan tepat kepada Ajad.
“Encik Ajad, lepas maghrib nanti kita bertolak balik ke K.L, ya? Tengku Faridah sudah bising! Banyak kali dia telefon mak su tadi. Katanya dia telefon encik, tapi tak dapat.” tegang suara Mak Su Normah.
“Baik, maks u.” Jawap Ajad laju. Otak dia pun tengah pening sekarang ni. Ribut apa yang sedang melanda Mak Su Normah sekarang dia pun tidak tahu.
“Hmm... kamu pun, Iman! Pergi kemas barang kamu.” Arah Mak Su Normah.
“Iman tak nak ikut!” Laju Iman membantah.
“Ikut!” Laju juga Ajad menyampuk.
“Aku kata tak nak! Kau tak faham ke?” Iman menjeling tajam kepada Ajad.
“Iman! Pergi kemas barang.” Akhirnya Wan bedah menggunakan kuasa vetonya. Terus Iman terdiam. Kaki dihentak kuat ke lantai. Menonong saja dia berjalan menuju ke biliknya.
“Benci! Kenapa dengan semua orang ni? Lama-lama boleh gila aku!” Pintu blik dihempas kuat.

WAN BEDAH menghampiri Mak Su Normah yang nampak termenung jauh di katil bujangnya. Tangan Mak Su Normah masih berada di atas beg pakaian yang sederhana besar di hadapannya, manakala matanya menghala tepat pada dinding bilik. Wajah Mak Su Normah  nampak keruh saja.
“Mah...”
Panggil Wan Bedah, lembut. Punggung dilabuhkan di sebelah anak perempuannya itu. Semenjak Mak Su Normah bekerja dengan Tengku Faridah, hubungan mereka sedikit renggang. Ini kerana jarak yang telah memisahkan mereka, membuatkan kemesraan itu sukar untuk dibenih.
Mak Su Normah menoleh. Wajah tua Wan Bedah mula menyapa pandangan matanya. Segaris senyuman cuba diukir, namun tidak berjaya.
“Mah dah penat mak,” keluh Mak Su Normah. Keningnya bertangkup dua. Matanya mula berair.
Wan Bedah tarik tangan Mak Su Normah. Digenggam tangan itu lembut dan mesra. Hati tuanya dapat membaca dengan jelas apa yang sedang bermukim di jiwa anak perempuannya kini. Mak Su Normah sudah ceritakan perkara sebenarnya kepada dia. Siapa sebenarnya Tengku Faridah. Apa tujuan dia bekerja di rumah orang kaya itu. Semuanya telah diceritakan oleh Mak Su Normah kepadanya malam tadi.
Pada mulanya, Wan Bedah memang marah. Sakit hatinya pada Tengku Faridah memang tidak padam. Masih jelas terbayang wajah polos Safiyya di mata tuanya. Sanggup seorang ibu perlakukan anak kandungnya sebegitu rupa. Hanya kerana harta dan darjat! Manusia jenis apakah Tengku Faridah itu?
Tapi, bila memikirkan Iman... tidak adil pula rasanya, kalau mereka pisahkan Iman daripada darah dagingnya sendiri. Buruk, baiknya pun... mereka tetap satu keluarga. Dari darah dan keturunan yang sama. Mungkin Tengku Faridah sudah menyesal dan bertaubat dengan kesalahan silamnya. Siapa tahu!
“Mah, kalau kamu yakin ini jalan yang terbaik... buatlah! Mak sentiasa menyokong.” Pujuk Wan Bedah lembut. Mata Mak Su Normah yang nampak berair itu ditentang lembut. Terserlah pancaran kasih seorang ibu.
“Betul ke apa yang Mah dah buat ni, mak? Tak kejam ke kita pada Iman?”
“Insya-Allah, dia akan faham. Inilah masanya, Mah. Takut nanti kalau kita terlambat, Iman akan lebih salahkan kita waktu nanti.” Wan Bedah cuba yakinkan Mak Su Normah.
Mak Su Normah terdiam sejenak. Ada betulnya juga kata, Wan Bedah itu. Ajal manusia tidak boleh diduga. Semua itu rahsia Allah. Kalau itu terjadi, pasti Iman tidak akan dapat memaafkan mereka.
“Sikit masa lagi mak. Insya-Allah, bila semua dah selesai, Mah balik duduk dengan mak. Mah akan jaga mak. Maafkan Mah, mak. Sebab tak dapat nak jaga mak sekarang.” Mak Su Normag diterpa perasaan bersalah.
“Ish, mak tak kisah, Mah. Kak Long kamu tu, hari-hari datang jenguk mak. Akma tu pun selalu juga datang. Jangan risaukan, mak! Selesaikan dulu apa yang kamu nak selesaikan tu.” Wan Bedah ukir senyuman lembut.
“Terima kasih, mak.” Tangan Wan Bedah digenggam erat oleh Mak Su Normah. Terasa lapang sedikit dadanya melihat senyuman yang terukir di wajah tua emaknya. ‘Inilah masanya Mah!’ Desis hatinya penuh yakin.



No comments:

Post a Comment