IMAN masih
setia membuntuti langkah Tengku Faridah. Rasanya sudah hampir sepuluh minit dia
begitu. Tidak ada sepatah kata pun yang terbit dari bibirnya semenjak tadi.
Tengku Faridah juga pada pagi itu, mulutnya seakan terkunci rapat. Tidak
seperti hari-hari biasanya.
Iman
garu pipi yang tiba-tiba saja terasa gatal. Hampir-hampir Iman mati kutu. Dia
benar-benar rimas dengan kebisuan ini. Nafasnya ditarik dan dihembus
berulang-kali. Mata masih lurus kepada Tengku Faridah yang sedang ralit
membelek bunga-bunga Orkid kesayangannya. ‘Aduh! Bosan gila. Apa kena dengan
orang tua ni? Selalunya tak macam ni pun!’ Hati Iman tidak sudah-sudah
merunggut.
Taman
mini orkid kepunyaan Tengku Faridah itu memang cantik. Terdapat bermacam jenis
bunga orkid di dalamnya. Dengan pelbagai jenis warna. Ada yang tergantung, ada
pula yang ditanam di dalam pasu dan disunsun kemas di atas tanah.
Beberapa
ekor rama-rama berterbangan riang di taman itu. Nampak sangat mereka pun suka
dengan taman mini orkid kepunyaan Tengku Faridah. Langkah Iman mati. Bibir mengukir
senyum tatkala matanya tertancap tepat pada seekor rama-rama kecil, berwarna
biru bercampur hitam. Di hujung sayapnya pula, terdapat tompok-tompok bulat
berwarna putih. Cantik!
“Iman,
mari duduk sini?”
Panggilan
Tengku Faridah yang sedikit kuat itu mengejutkan Iman dari lamunan.
Tergesa-gesa dia berlalu menuju ke arah Tengku Faridah yang sedang duduk di
kerusi kayu yang terukir cantik. Letaknya betul-betul di tengah taman mini orkid
miliknya. Tangan wanita anggun itu, ralit membelek Majalah Laman Rias.
Tanpa
tunggu dipelawa, Iman terlebih dahulu melabuhkan duduknya di sebelah Tengku
Faridah. Serta merta wangian yang dipakai oleh Tengku Faridah menusuk lembut ke
rongga hidungnya. Mata Iman terpejam rapat. Mmm... Wangi!
“Betul
ke kamu nak berkahwin dengan Ajad?”
Iman
tersentak. Matanya terus terbuka luas. Mencari anak mata Tengku Faridah.
Debaran tiba-tiba saja membadai di dada. Itu, dia! Tak pernah lagi Iman dengar
nada suara Tengku Faridah setegang itu, sebelum ini. Pandangan matanya juga...
Aduh! Seram.
“Kee...
kenapa tanya soalan macam tu?” jawap Iman takut-takut. Gila, tak takut!
Renungan tajam Tengku Faridah itu, silap kira hari... boleh tembus biji mata
Iman. ‘Alahai, mak engku! Aku tak inginlah nak kahwin dengan cucu mata sepet
kau tu! Aku anggap dia main-main aje pun! Kenapa pula mak engku nak anggap
serius?’ Hati Iman sudah membebel sendiri. Agak-agaknya kalau Iman jawap macam
tu, Tengku Faridah boleh naik angin tak? Entah-entah, terus bertukar jadi
raksaksa ganas tak?
“Hmm,
nenda tak setuju! Ini semua kerja gila. Kamu berdua baru saja kenal. Lagipun...”
kata-kata Tengku Faridah mati di situ. Entah mengapa lidahnya seakan kelu untuk
meneruskan kata. Matanya semakin tajam merenung Iman. Dalam hati ada rasa
sakit, tapi kenapa dia tidak mampu untuk membenci?
Iman
membalas renungan Tengku Faridah. Wanita tua yang sentiasa anggun dengan kebaya
nyonya dan sanggul tingginya itu dipandang tidak berkelip. Otaknya ligat meneka
apa yang hendak disampaikan oleh Tengku Faridah sebenarnya.
“Lagipun,
apa?” suara Iman menjadi tegang. Tiba-tiba hati dia disapa perasaan kurang enak
dengan ayat tergantung Tengku Faridah tadi. Apa yang cuba disampaikan oleh
Tengku Faridah sebenarnya? Dahi Iman mula berkerut.
“Kita
tak setaraf! Nenda memang sukakan kamu. Tapi tak bermakna nenda mahu kamu menjadi
cucu menantu nenda. Nanti, apa orang kata!”
Perlahan
suara Tengku Faridah terlantun. Tetapi nadanya agak keras, sehinggakan Iman tergamam
tanpa kata. Sesaat, dua saat... Iman masih lagi terkebil-kebil. Masih cuba
menangkap maksud di sebalik kata-kata Tengku Faridah tadi.
Okey!
Jadi inilah rupa sebenar Tengku Faridah? Patutlah Mak Su Normah takut sangat.
“Tengku
jangan risau! Sekalipun, tidak pernah terdetik di hati saya untuk berkahwin
dengan cucu Tengku. Beza kita memang bagai langit dengan bumi! Saya tahu itu.
Saya memang tak pernah lupa tentang asal-usul saya.” Nah! Tiada lagi panggilan
nenda seperti sebelum ini. Hati Iman rasa tersayat. Terguris dan terhina dengan
kata-kata Tengku Faridah tadi. Mereka berpandangan buat seketika. Tegang!
Baru
saja Tengku Faridah mahu membuka mulut,
“Nenda...”
Suara
manja, lemak merdu yang dibuat-buat terlebih dahulu menyapa halwa telinga
mereka. Serentak, Iman dan Tengku Faridah menoleh.
Kali
ini mata Iman terbuka luas. ‘Mak, aii! Siapa perempuan ni? Seksanya...’ Mulut juga
terlopong luas. Saat itu, kalau ada lalat yang masuk ke dalam mulut Iman,
sah-sah lalat itu kena telan hidup-hidup.
Mana,
tidaknya! Mulut Iman langsung tidak berkatup. Matanya juga seakan dipaku kejap.
Tersorot tepat pada figura perempuan seksi lagi seksa, yang sedang melangkah
dengan gayanya ke arah mereka.
Perempuan
cantik yang tinggi lampai itu mengenakan dress pendek tanpa lengan, bercorak
polka dot berwarna hitam di tubuhnya. Rambut yang diwarnakan dengan warna perang
itu, tergulung cantik dan nampak beralun-alun bila dia menapak.
Lenggok
gemalainya perempuan seksi itu semakin menghampiri mereka.
“Nenda...
Rindunya.” Suara lemak merdu itu lagi. Makin mengada-ngada.
Iman
dongak kepala. Mata menyorot tepat pada figura yang sekarang ini sedang berdiri
betul-betul di hadapan mereka. ‘Ya Allah, tingginya minah ni!’ Mata Iman jatuh
pada kaki perempuan seksi itu. ‘Patutlah! Pakai kasut tinggi empat inci rupanya.’
Hati Iman terus bergumam sendiri.
“Anis...
Bila sampai?” Lembut sekali suara Tengku Faridah. Siap dengan pakej senyuman
manis terlebih gula.
“Baru
sampai nenda. Eh, tepi sikit!” Perempuan seksi itu menjeling Iman sekilas,
sebelum matanya berlari semula kepada tengku Faridah.
“Hah,
awak bercakap dengan saya ke?” tanya Iman, keliru. Terkebil-kebil mata Iman menanti jawapan Tengku Anis.
“Dengan
, engkaulah! Takkan dengan pasu bunga tu kut! Kau bangun sekarang, aku nak
duduk!” Bukan main sombong lagi muka Tengku Anis. Iman ditilik daripada atas
sampai ke bawah dengan pandangan kurang senang.
Lambat-lambat
Iman bangun juga. ‘Huh, berlagak betul perempuan ni! Dia ingat, dia cantik
sangat ke dengan baju bulat-bulat tu? Dahlah rambut berkarat! Nasib baik,
putih! Kalau hitam, memang nampak macam
badut tau tak?’ Iman rasa macam hendak sembur aje perempuan seksi itu dengan
kata-kata macam tu. Tapi! Kalau betul dia buat, memang cari balalah jawapnya.
“Siapa
ni nenda, orang gaji baru ke? Dari indonesia atau kemboja?” selamba Tengku Anis
bertanya. Iman dikerling dengan hujung mata.
Makin
sakit hati Iman. ‘Amboi! Sedap mulut kau aje, kan? Muka aku ni ada nampak macam
muka minah indon ke?’ Iman ketap
bibir. Kuat. Nafasnya turun naik. Sedaya mungkin dia cuba menyabarkan diri.
“Bukanlah,
sayang. Ini, PA nenda. Anak saudara Mak Su Normah yang baru datang dari kampung.”
Tangan cucu saudaranya itu, Tengku Faridah genggam erat. Muka Tengku Anis yang
bersolek cantik itu ditatap dengan penuh minat. Sayangnya pada Tengku Anis sama
saja dengan sayangnya kepada Ajad. Kalau boleh dia hendak satukan Tengku Anis
dengan Ajad. Memang itulah niatnya dari dulu.
Semenjak
dari kecil lagi Tengku Anis dan Ajad membesar bersama-sama. Ajad cuma dua tahun
lebih tua daripada Tengku Anis. Tengku Anis adalah cucu kepada Tengku Fauziah
iaitu adik kepada Tengku Faridah. Cucu tunggal adiknya itu memang terlalu
manja. Terlebih-lebih manja sebenarnya!
“Oh,
I see... patutlah nampak macam minah indon. Orang kampung rupanya.” Tengku
Anis tergelak sinis.
Okey!
Sabar Iman. Tenangkan hati! Orang kaya memang macam tu. Sikap sombong dan
berlagak memang tak boleh nak lari. Dah sebati!
Saat
mata Tengku Anis melirik tajam kepadanya, Iman hadiahkan senyuman yang paling
menawan kepada Tengku Anis. Cepat-cepat Tengku Anis alihkan matanya dari memandang
Iman.
“Nenda...
Baby, Anis mana? Rindunya...” renggek
Tengku Anis mengada-ngada. Kepalanya dilentokkan ke bahu Tengku Faridah. Manja.
‘Huh, macam kucing parsi!’ Getus hati Iman.
Ada juga rasa lucu melihat Tengku Anis tergedik-gedik begitu.
“Tak
bangun tidur lagi agaknya,” jawap Tengku Faridah.
Kening
Iman sedikit bertangkup. ‘Ada baby ke
dalam rumah ni? Tak pernah aku nampak pula!’ Iman menggaru kepalanya yang
berbungkus kemas di dalam tudung. Tiba-tiba saja terasa gatal yang amat.
Sesaat
kemudian,
“Selamat
pagi, semua...”
Sapa suara garau yang tidak asing lagi pada
Iman. Laju saja jantungnya berdetak. Kenapa ni Iman?
“Baby... Miss u so, much.”
Tengku
Anis bangun mendapatkan Ajad. Tubuh sasa Ajad sudah selamat berada di dalam
pelukannya. Dua minggu tidak jumpa. Memang dia gila bayang.
Kalau
tadinya, mulut Iman ternganga luas sewaktu pertama kali dia melihat Tengku
Anis. Kali ini pula, mulut Iman dua kali ganda lebih luas ternganga, melihat
tubuh sasa Ajad sudah selamat dipeluk oleh Tengku Anis. ‘Ya ampun! Ini ke babynya?’ Liur diteguk berkali-kali.
Ajad
juga tanpa segan silu memeluk pinggang Tengku Anis dengan erat.
“Miss you too, baby!” Mata Ajad melirik
sekilas kepada Iman. Saat mata mereka bertemu, satu senyuman senget Ajad berikan
kepada Iman.
Tiba-tiba
saja muka Iman menjadi panas. Bukan saja muka, hatipun terasa panas semacam
saja. ‘Adehh! Apa kena dengan aku ni?’ Iman resah sendiri.
“Ehemm,
jangan nak melekat lama-lama, sangat!” Tengku Faridah menegur.
“Opss,
sorry nenda.” Pelukan terus terlerai.
Iman
rasa macam cacing kepanasan.
“Tengku,
kalau tak ada apa-apa, saya masuk dulu, ya?” Iman meminta diri.
“Tolong
bawakan sarapan pagi dekat sini. Lepas tu kamu boleh pergi!” Arah Tengku
Faridah.
Iman
angguk perlahan.
“Baby, jom kita duduk...” tangan Ajad
ditarik mesra oleh Tengku Anis.
Sepuluh
minit kemudian, Iman datang semula bersama seteko koko panas bersama sepiring
kuih donut coklat yang dibuat oleh Kak Mona. Dengan berhati-hati dia menuang
air ke dalam cawan dan menghidangkannya kepada mereka.
Saat
cawan berisi koko panas disuakan pada Tengku Anis,
“Hey,
aku tak minum air koko panas. Pagi-pagi macam ni aku biasa minum jus oren! Aku
nak kau pergi buat sekarang! Huh, bodoh,” dengus Tengku Anis kasar. Entah
kenapa hatinya cukup tidak berkenan dengan Iman.
Kenyataannya,
Iman comel! Walaupun hanya berbaju kurung dan bertudung litup, dengan wajah
yang bersih tanpa secalit alat solek... Iman nampak tersangatlah comel! Itu
yang membuatkan hati Tengku Anis disapa cemburu. Lagi satu, bukan dia tidak perasan.
Dari tadi Ajad asyik melirik pada Iman saja. Mana dia tak cemburu!
Nafas
Iman turun naik. ‘kau apahal minah? Suka hati kau aje nak panggil aku bodoh,
kan? Kau tunggu! Tahulah aku cara nak ajar orang yang berlagak macam kau ni!’
Kemarahan Iman semakin meluap-luap.
“Kau
tunggu apa lagi ni?” jerkah Tengku Anis kuat. Terangkat bahu Iman kerana
terkejut.
Ajad
dan Tengku Faridah berpandangan sesama sendiri. Rasa pelik juga kenapa Tengku Anis
naik angin dengan tiba-tiba.
Sekali
lagi Iman berlalu ke dapur rumah. Matany mula berkaca. Rasa macam hendak
menangis. ‘Tenang Iman! Menangis tidak akan dapat selesaikan apa-apa.’ Iman
pujuk hati sendiri. Jus Oren yang berada di dalam peti dikeluarkan, lalu
dituangkan ke dalam gelas kaca berwarna putih.
Lima
minit kemudian dia datang semula ke taman mini itu bersama segelas Jus Oren di
tangan. Senyuman manis terukir di bibirnya. Seolah-olah, sebentar tadi tidak
ada apa-apa yang berlaku.
“Nah,
airnya... cik!”
Sebelum
Tengku Anis sempat menyambut gelas dari tangan Iman, dia terlebih dahulu
melepaskan gelas berisi jus oren itu.
Brrruuppppp...
Apa
lagi! Segelas jus oren yang pekat likat itu sudah selamat mendarat di baju
Tengku Anis. Bulat mata Tengku Faridah dan Ajad. Masing-masing diam tidak
berkutik. Habislah kali ni!
“Hey,
apa kau buat ni, bodoh?”
Tengku
Anis sudah menjerit macam halilintar. Dress
pendeknya sudah lencun dengan jus oren. Sekali dengan seluar keciknya turut
lencun sama. Muka Tengku Anis sudah bertukar menjadi singa betina. Tangannyaa
laju saja mahu menampar muka Iman. Tetapi laju juga ditangkap oleh Ajad.
“Cool, baby. Dia tak sengaja tu...” pujuk
Ajad. Tangan Tengku Anis diusap lembut, cuba meredakan kemarahan Tengku Anis.
“Huh!”
Tengku
Anis mendengus kasar.
“Nasib
baik pengarang jantung aku ada! Kalau tidak, memang lunyai aku kerjakan kau!” Tengku
Anis geram. Muka Iman direnung tajam dengan dada yang berombak kencang.
“Maaf,
cik! Saya tak sengaja,” pinta Iman perlahan. Hampir tidak keluar suaranya dari
kerongkong. Mukanya ditunduk menekur tanah. Nampak macam betul-betul menyesal.
Dalam hati, Iman sudah ketawa berdekah-dekah. ‘Huh, padan muka kau! Ini Nurul
Iman, tau! Bukan mudah untuk dibuli...’
Hati Iman lega, seleganya.
No comments:
Post a Comment