DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 22

MALAM gelap menjelma. Aina Cempaka masih berada di dalam bilik tidurnya. Mak Safiah tidak berani mengganggu. Dia menemani Mohsin di muka pintu. Kebiasaannya apabila pulang ke kampung, Mohsin akan bermalam di rumah Pak Malik.
“Kalau ada apa-apa nanti, mak beritahu Sin ya. Risau pulak tengok Aina tu.” Kata Mohsin.
“Insya-Allah.” Mak Safiah mengangguk. Matanya menuntun Mohsin sehingga kereta yang dibawa lelaki itu hilang ditelan kegelapan malam.
Mak Safiah mengunci pintu. Berjalan perlahan ke bilik Aina Cempaka. Pintu bilik dikuaknya sedikit. Aina Cempaka masih berjaga. Duduk di birai katil. Gadis itu memeluk kedua-dua belah lututnya. Matanya berair.
“Mak...” ucap Aina Cempaka. Pantas Mak Safiah mengambil tempat di sisinya.
“Cempaka minta maaf sebab tengking mak petang tadi. Kalau Cempaka tahu... Cempaka takkan buat macam tu.” Lembut nada suaranya.
“Mak rasa... Cempaka kena tahu. Mak dah tak boleh simpan lagi.”
Aina Cempaka menunggu kata-kata Mak Safiah yang seterusnya.
“Lelaki yang datang petang tadi, along kamu. Rasyid.”
“Along?” Agak janggal bagi Aina Cempaka menyebutnya.
Mak Safiah menarik nafas dalam. Air matanya menitis perlahan.
“Lima tahun lepas, dia jual kamu pada orang sebab nak bayar hutang.”
“Jual Cempaka? Maksud mak...” Air mata Aina Cempaka mengalir lebih pantas. Jual? Maksudnya... dia telah dilacurkan oleh abang kandungnya sendiri?
“Jadi, Cempaka bukan perempuan suci?” terketar-ketar suara Aina Cempaka. Bagaikan pasir yang menyekat anak tekaknya. Semua benda dirasakan kesat dan pahit.
Mak Safiah mengangguk perlahan.
“Apa yang mak cakap ni? Kenapa Cempaka tak tahu? Kenapa Cempaka tak ingat semua benda ni.” Semakin kuat tangisan Aina Cempaka. Langit dan bumi terasa mengkhianati dirinya. Imannya terlalu lemah untuk mempercayai semua ini. Kesucian yang dipertahankan selama ini rupanya sudah musnah. Hancur! Tiada apa yang perlu dipertahankan lagi. Terasa pagar yang mengelilingi tubuhnya kini sudah bolos dicerobohi orang. Hatinya benar-benar hancur!
“Masa tu... Cempaka mengandung lima bulan. Cempaka macam orang yang dah tak terurus. Meracau, cuba bunuh diri dalam sungai.”
“Bu... bunuh diri?” Bibir Aina Cempaka terketar-ketar. Takkanlah dia begitu jahil sampai sanggup bertindak gila? Itu perkara yang dibenci oleh Allah. Dia tahu apa hukumnya.
“Nasib baik orang kampung sempat selamatkan Cempaka. Mak tak tahu nak buat macam mana lagi, Cempaka.” Mak Safiah mengelap air matanya.
Aina Cempaka tergamam. Bibirnya terketar-ketar menahan sakit. Sakit yang begitu dalam.
“Jadi... semua orang tahulah yang Cempaka dah...” kata-kata Aina Cempaka terhenti. “Termasuk Mohsin?” soal Aina Cempaka lagi.
Mak Safiah mengangguk.
“Pa... parut kat dahi ni...” Mak Safiah membuka helaian rambut Aina Cempaka. “Terhantuk pada benda keras. Sebab tu Cempaka tak ingat apa-apa. Mak minta maaf sangat... Maafkan mak. Maafkan mak, ya sayang.” Mak Safiah memeluk tubuh Aina Cempaka.
Semua itu tidak berjaya melegakan hati Aina Cempaka. Jiwanya terasa seperti dihiris-hiris. Ngilu. Pedih. Perit. Permata yang dianggap berharga sebenarnya sudah tercalar. Dia benar-benar kecewa. Aina Cempaka meraung sepuas-puasnya di dalam dakapan Mak Safiah.
Tiada apa yang mampu dilakukan Mak Safiah lagi. Hanya mampu berdoa agar anak perempuannya tabah menerima suratan takdir Ilahi. Kenyataannya semua ini tidak mampu diubah dengan tangisan air mata darah sekalipun.



TANGAN dan jari-jemari Faiz Iqbal menggeletar. Minuman haram di dalam botol kaca berwarna hijau itu diteguknya banyak kali. Bibirnya dikesat dengan tangan. Menyapu sisa cecair yang melekat di pipi. Tubuhnya disandarkan ke sofa. Menghitung hari menggunakan jarinya. Kemudian, dia ketawa. Penat ketawa, dia mula menangis. Teresak-esak seperti bayi kehilangan ibunya.
Wajah Aina Cempaka bermain dalam otak. Bagaimana dia mahu berhadapan dengan Aina Cempaka kelak? Rasa bersalah ini, mampukah dinyahkan pergi? Faiz Iqbal menjerit sekuat hati. Botol arak dilemparkannya jauh. Habis pecah berderai bergelimpangan di lantai. Fikirannya kusut. Kalut. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
Jika dia perlu melutut memohon maaf, pasti sudah dilakukannya. Biarlah maruahnya dipijak, asalkan dosanya terhadap Aina Cempaka dapat ditebus kembali. Tapi, itu mustahil! Aina Cempaka bukannya wanita yang mudah.
Tak mungkin! Tak mungkin! Mengapa gadis itu tidak ingat semua perkara itu? Jika dia mengingatinya, pasti gadis yang bernama Aina Cempaka itu sudah datang menuntut haknya. Pasti ada yang tidak kena. Pasti sesuatu telah berlaku. Dia mesti cari jalan keluar.



HEMBUSAN lembut bayu di tanah sawah berhampiran belakang rumah mendamaikan hati Aina Cempaka. Dia duduk bersila di atas kerusi papan sambil memerhatikan beberapa orang kanak-kanak lelaki bermain lumpur di dalam petak sawah.
Cuaca yang baik begini membuatkan Aina Cempaka tertanya-tanya. Beginikah zaman kanak-kanaknya? Bermain dan meredah tanah bendang serta mencari anak ikan di tali air?
Pentingkah semua itu? Apabila maruah diri sudah tergadai, tidak ada perkara lain yang mampu menggembirakan hati perempuannya. Itu semua memori. Memori yang tidak mampu diingatinya semula. Apabila difikirkan balik, isi yang ada dalam otaknya sebenarnya kosong. Semuanya kosong! Apabila cuba diingat, semuanya tiada. Tiada apa untuk diingat. Dia tidak mampu untuk mengingatinya.
“Aina,” sapa satu suara.
“Mohsin.” Pantas Aina Cempaka menyeka air mata yang mengalir di pipi.
Mohsin duduk di sisi Aina Cempaka. Turut sama menikmati kehijauan tanah sawah yang luas terbentang.
“Macam mana dengan majlis perasmian tu?” soal Aina Cempaka. Agak kecewa rasanya dia tidak dapat bersama meraikan majlis perasmian maahad tahfiz yang diberi nama Maahad Tahfiz An-Nur.
“Okey. Berjalan lancar. Jangan risau, aku dah beritahu kat Helmi yang hari ni kau tak berapa sihat.”
“Kau, Helmi… semua orang kampung memang dah tahu semuanya, kan?” soal Aina Cempaka perlahan.
Mohsin diam.
“Aku rasa malu. Malu... bila terpaksa berdepan dengan kau dalam keadaan macam ni. Aku bukan perempuan yang baik. Aku rasa kotor... kotor sangat.” Suara Aina Cempaka tersekat-sekat.
“Aku tak pernah pandang pun semua tu.”
“Kenapa kau tak terus terang semua benda ni kat aku?” soal Aina Cempaka.
“Aku takut. Aku takut kau buat benda bodoh tu lagi. Lagipun, semua orang dah bersetuju nak rahsiakan benda ni,” jelas Mohsin.
“Kau tahu tak perasaan aku sekarang ni? Aku rasa tertipu. Tertipu dengan diri aku sendiri. Aku rasa tak berguna.”
“Aina... aku tak pernah anggap kau macam tu. Sejak dulu lagi sampai sekarang, aku tak pernah kisah pun. Aina, kau kahwin dengan aku.” Wajah Mohsin nampak serius.
“Apa kau merepek ni, Sin?”
“Aku aje satu-satunya lelaki yang cintakan kau Aina Cempaka. Aku! Tak ada orang lain lagi dah.” Mohsin menatap dalam mata Aina Cempaka.
Aina Cempaka terkedu.
“Kau tak pernah nampak semua tu. Apa yang kau nampak... aku ni tak ubah macam abang kandung kau sendiri, kan? Aku tak pernah paksa kau Aina. Aku cuma nak kau faham... apa yang aku maksudkan ni.”
“Aku tak boleh tipu hati aku sendiri Sin,” balas Aina Cempaka.
“Aina... dengar sini.” Mohsin memegang bahu Aina Cempaka. Menatap lembut mata itu.
“Bila semua orang dah tahu semua sejarah silam kau, siapa yang sanggup terima perempuan macam kau ni, kalau bukan aku? Aku aje yang setia dengan kau. Susah sangat ke kau nak faham?” tengking Mohsin.
Air mata Aina Cempaka mengalir. Terasa dirinya begitu hina sekali. Hati perempuannya benar-benar tergores.
“Aku dah penatlah. Bosan!” jerit Mohsin. Hilang sudah kesabarannya. Segera dia mengangkat punggung. Meninggalkan Aina Cempaka terpanar seorang diri. Biarkan perempuan itu dengan pendiriannya sendiri. Dia tidak mahu ambil peduli lagi.
Air mata Aina Cempaka menitis lagi. Kali ini dia meraung sekuat-kuatnya. Tersedu-sedan dia menahan seksa. Jujurnya, tiada cinta dalam hatinya buat Mohsin. Mohsin itu sudah seperti keluarganya sendiri.
Mengenangkan Faiz Iqbal, dia sedar, pantaskah perempuan kotor sepertinya untuk bersama lelaki itu? Mana hendak dia campakkan maruahnya ini? Tidak akan wujud lagi lelaki yang mahu mendampingi perempuan yang sudah ditebuk tupai. Ada benarnya juga kata-kata Mohsin. Sekarang, dia perlu membuka mindanya.

No comments:

Post a Comment