IMAN berdiri
lama di laman rumah banglo milik Tengku Faridah. Udara pagi yang terasa segar
dan nyaman itu disedut dalam-dalam. Di tangan kanannya tergenggam erat segulung
getah paip. Konon-kononnya hari ini dia terlebih rajin hendak menolong Pak
Dollah siram pokok bunga. Terkedek-kedek dia berjalan menghampiri pili paip.
Belum pun sempat dia memulas pili paip, tangannya kaku tidak bergerak.
Mata
dia bulat, tertancap penuh pada sebuah kereta Audi S6 yang hitam berkilat,
terparkir elok di hadapan rumah banglo itu. Mulut Iman ternganga luas. Getah
paip di tangannya terlepas tanpa sedar.
“Ya
Allah, kereta idaman aku dengan Akma! Ini kalau Akma nampak.. mahu meroyan
minah tu.”
Iman
tenyeh matanya berulang kali. Manalah tahu kalau-kalau dia tengah bermimpi!
Tapi, dia memang tidak bermimpi. Walaupun berkali-kali matanya ditenyeh, Audi
S6 idaman hatinya itu, tetap terparkir elok di situ. Air liur diteguk sekali.
Masih penuh di kerongkong! Diteguk sekali lagi dan lagi. Dia sudah rasa macam hendak
sawan.
“Mak,
aii! Kereta siapa agaknya, ya?”
Iman
berjalan perlahan menghampiri kereta Audi S6 yang hitam berkilat itu. Matanya
meliar ke kiri dan ke kanan. Selamat! tak ada orang.
“Kereta
siapalah agaknya ni? Selama ni, tak pernah nampaklah pulak!”
Tubuh
Audi S6 yang hitam berkilat itu disentuh oleh Iman dengan teruja. Jelas
tergambar perasaan kagum pada wajahnya. Mula-mula dia sentuh bahagian belakang,
kemudian bahagian tubuhnya pula.
“Kalau
aku ada telefon kan bagus. Boleh aku selfie
dengan Audi hitam berkilat ni. Lepas tu hantar pada Akma dekat kampung. Ha...
ha... Memang sah-sah, minah tu sawan nanti!”
Iman
ketawa besar.
“Wah!
Cermin tingkap pun hitam, pekat, berkilat!”
Iman
sentuh cermin tingkap dengan jemari runcingnya. Kemudian dia menilik mukanya
pada cermin tingkap yang gelap dan berkilat itu. Bukan main lagi dia senyum
sampai ke telinga. Dalam kepala Iman sudah berangan yang bukan-bukan. ‘Kalaulah
Audi S6 ni milik aku... mesti tercengang orang kampung tengok! Yalah, mana
pernah kereta semewah ini masuk kampung!’ Tak habis-habis lagi Iman berangan.
Sengihan dia pun bukan main lebar lagi.
Tiba-tiba
cermin tingkap kereta mewah itu melurut, turun ke bawah.
“Kau
apa hal?” Bentak satu suara garau.
Iman
tersentak. Bulat matanya merenung tuan empunya suara. Mulutnya juga sudah
ternganga luas. Macam hendak jatuh jantung Iman apabila tiba-tiba saja disergah
begitu. Tanpa membuang masa lagi, sepantas kilat Iman berlari dari situ. Dia
terus menyusup masuk ke ruang dapur melalui pintu belakang.
IMAN
masih terkejut. Nafasnya masih lagi terasa kencang. Walaupun dia cuba untuk bertenang
dan berlagak biasa, namun dia masih juga terkaku di meja makan. Air putih di
gelas diteguk berkali-kali sehingga licin. Dahinya yang berpeluh itu nampak
berkerut seribu. Memang dia betul-betul terperanjat. Rasanya kalau Iman ada
penyakit lemah jantung, sudah sah-sah dia selamat berada di tanah perkuburan
sekarang ini.
“Iman!
Kenapa ni?”
Mak
Su Normah tiba-tiba saja muncul di ruang dapur. Terus punggungnya dilabuhkan ke
atas kerusi di sebelah Iman. Muka Iman yang nampak pucat dengan dahi yang
berpeluh-peluh itu disorot dengan penuh tanda tanya.
“Hish,
apa kena pula dengan budak ni? Muka macam baru lepas terserempak dengan
jembalang,” getus Maksu Normah.
Iman
masih sama macam tadi. Masih tetap membisu. Matanya terkebil-kebil. Dahinya
berkerut-kerut. Hati Iman terus berperang dengan perasaan sendiri. Siapa lelaki
tadi? Macam mana dia boleh muncul dekat situ?
“Hey!” Sergah Maksu Normah, kuat. Bahu
Iman ditepuk.
“Arrghhh!” Iman terpekik lantang. Hampir
terloncat dia dari kerusi. Mujurlah gelas di tangannya tidak terlepas. Kalau tidak,
pasti sudah terburai kaca di atas lantai marmar itu.
“Ya
Allah, Mak su. Kenapa dengan mak su ni? Nak bunuh Iman ke?” Muka Iman sudah
mencuka. Mata Mak Su Normah disorot tajam.
“Mak
su yang patut tanya kamu. Kamu ni kenapa, kena sampuk dengan jin ke? Dari tadi
mak su duduk tercongak dekat sini... boleh kamu tidak sedar!” Selar Mak Su
Normah dengan muka serius.
Iman
tarik sengih.
“Ya,
ke mak su? Maaflah... Iman tak sedar pula mak su ada dekat sini.” Tangannya
sudah naik menggaru kepala.
“Mana
nak sedar, kalau berangan sampai ke langit!” Sindir Mak Su Normah dengan mulut
terherot-herot.
“Mana
ada Iman berangan, mak su. Iman tengah fikirkan masalah negara ni,” balas Iman
dengan muka serius.
Mak
Su Normah mencebik. Masalah negara, konon!
“Mak
su, mak su! Kereta dekat luar tu, kereta siapa erk?” tanya Iman dengan mata yang bersinar galak. Sunguh-sungguh
dia ingin tahu.
“Kereta
mana?” Dahi Mak Su Normah naik berkerut. Rasanya dekat luar rumah tu ada banyak
kereta.
“Allah!
Kereta yang warna hitam berkilat tu?”
“Oo...
yang tu.”
“Haa,
siapa punya tu?” Iman teruja. Memang dia tidak boleh lupakan mamat tadi. Kacak!
Ya Allah, perut dia rasa bergelora lain macam saja. Terasa macam berbelit-belit
usus besarnya.
“Entah!”
jawap Mak Su Normah sepatah. Macam tidak berminat langsung untuk bercerita.
“Hah?”
Mulut Imam sudah ternganga luas. Mak Su Normah direnung bagaikan mahu
ditelannya hidup-hidup.
“Eii,
sakitnya hati ni! Tadi dia punya ‘Ooo..’ sikit punya panjang, ingatkan tahu!”
bentak Iman, geram.
Mak
Su Normah sudah ketawa besar. Muka Iman yang cemberut itu dipandang tidak
lepas-lepas.
“Padan
muka! Selalu tu, asyik mak su saja yang terkena.” makin galak Mak Su Normah
ketawa.
“Argh!
Malaslah nak layan maksu.”
Iman
sudah bangun dari kerusi, terus membuka langkah. Emak saudaranya itu, jika
makin dilayan makin menjadi. Bosannya... Iman rindukan kampung halaman. Iman
rindukan Wan Bedah dan Akma.
“Iman!”
panggilan Mak Su Normah sekaligus mematikan langkah Iman. Laju dia menoleh.
“Apa?”
tanya Iman lemah. Wajah bosan dipamerkan kepada mak sunya.
“Nanti
telefon wan. Dia dah bising berrtanyakan kamu,” pesan Mak Su Normah. Memang Wan
Bedah sudah bising. Semenjak Iman datang ke Kuala Lumpur ni, sekalipun belum
pernah dia menelefon Wan Bedah.
“Tengoklah
nanti,” jawap Iman acuh tidak acuh. Bukan dia tak ingat pada Wan Bedah. Hampir
setiap malam dia menangis, rindukan Wan Bedah. Tapi, dia memang cukup tidak
gemar bercakap di telefon. Rasa geli cuping telinga, katanya. Huh! Ada juga
manusia macam Iman ni. Pelik!
Mak
Su Normah geleng kepala.
Iman
terus berlalu dari situ. Dalam hati masih ada perasaan tidak puas kerana tidak
dapat mencari tahu siapakah gerangan lelaki yang bermata sepet, yang merenung
tajam kepadanya tadi. Entah mamat korea manalah yang tersesat dekat situ. Duduk
dalam kereta idaman dia pula tu! Sungguh, Iman rasa macam nak gila.
KAKI
diayun lemah, mendaki anak tangga satu persatu menuju ke tingkat tiga. Perasaan
malas, tebal membalut jiwanya. Semakin lama dia berada di rumah banglo besar
itu, semakin bosan pula jadinya. Dulu bukan main teruja lagi dia bila tengok
rumah besar, kereta besar... segala-galanya besar. Tetapi sekarang, barulah dia
tahu. Menjadi oarang kaya bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan sebenarnya.
Iman
mula terbayangkan Wan Bedah dan kampung halaman. Sungguh hatinya dipagut rindu
yang amat. Wajah Akma juga datang menari-nari diruang mata. Melepak di tepi
sungai. Bersantai di atas pondok, di kebun pisang Wan Bedah sambil makan jajan.
Huh! Iman betul-betul rindu.
Sampai
di tingkat atas, Iman berhenti sejenak. Kepalanya digaru laju.
“Adeh! Aku nak buat apa dekat sini tadi?”
Ligat otaknya Iman berfikir. Itulah padahnya kalau kuat berangan!
“Hah!
Baru aku ingat. Mak engku suruh ambilkan cermin mata dia di bilik bacaan.
Adoii! Beranganlah lagi, Iman!” Tangannya sudah menepuk dahi sendiri. Langkah diatur
semula, menuju ke bilik bacaan.
Sampai
di muka pintu bilik bacaan milik Tengku Faridah, langkah Iman sekali lagi mati.
Tangannya tidak jadi untuk memulas tombol pintu. Mata Iman kini tertancap tepat
pada pintu bilik di hujung sana. Hatinya tiba-tiba saja meronta ingin tahu.
“Agaknya
bilik siapa tu, erk? Kenapa Mak su
marah sangat masuk bilik tu?”
Iman
pandang kiri dan kanan. Tak ada oarang! Tanpa sedar, kakinya terus melangkah
dengan berhati-hati menghampiri bilik itu. Saat dia sudah berdiri betul-betul
di muka pintu bilik misteri itu, dadanya tiba-tiba saja rasa berdebar.
“Ish,
janganlah berdebar! Kalau aku masuk, apa jadi erk? Tapi... Bukan ada orang nampak pun, kan? Arghh! Masuklah.”
Tombol
pintu bilik itu, dipulas dengan berhati-hati. ‘Mmm, tak berkunci!’ Hati Iman
menjerit suka. Cepat-cepat dia meloloskan diri ke dalam bilik itu sebelum orang
lain nampak. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup semula, matanya mula meliar galak
ke segenap ruang bilik.
“Ya
Allah, bilik apa ni?”
Laju
Iman menekup mulut. Tersedar yang dia hampir menjerit. Bulat mata Iman menyorot
ke arah dinding bilik yang dipenuhi dengan poster minah salih berpakaian seksi
itu. Tidak semena-menanya, muka dia terasa panas dan berbahang.
“Bilik
siapa ni? Boleh buta mata aku tengok gambar-gambar ni!”
Iman
tidak habis-habis mengomel. Matanya masih tajam merenung poster-poster yang
tertampal elok di dinding bilik itu. Dia tidak kenal siapa perempuan yang
berada di dalam poster itu, tetapi dia yakin perempuan itu adalah salah seorang
pelakon perempuan hollywood.
Iman
menapak perlahan menghampiri poster itu.
“Jessica
Alba? Siapa ni?” spontan Iman membaca tulisan yang tercatat di poster perempuan
seksi itu. Naik berkerut dahinya. Yalah! Dia manalah kenal artis hollywood ni.
Lebih-lebih lagi artis perempuan. Dia memang tak minat! Kalau pelakon korea tu,
dia sukalah.
“Kau,
siapa?”
Hampir
gugur jantung Iman mendengar suara garau yang menegurnya dari belakang. Ada
nada kurang senang dalam suara itu. Iman sudah terkaku di situ. Takut hendak
berpaling ke belakang.
“Siapa
suruh kau masuk bilik ni?”
Sekali
lagi suara garau itu bertanya dengan nada keras. Kali ini, suara garau itu
betul-betul berada di belakang Iman. Begitu dekat dengan cuping telinganya.
Iman
sudah mengigil. Dengan perasaan takut-takut, dia gagahkan juga dirinya untuk berpaling
ke belakang.
“Makkkk!”
Iman
terjerit kuat. Kali ini dia rasa jantungnya betul-betul sudah berhenti
berdenyut. Mamat mata sepet yang dia nampak dekat dalam kereta Audi S6 pagi
tadi berdiri betul-betul di hadapannya. Begitu dekat dengannya. Sehingga dia
boleh rasa bahang daripada tubuh lelaki itu.
Bertambah
bulat mata Iman apabila melihat lelaki itu hanya memakai seluar pendek paras
lutut tanpa baju. Tuala biru lembut tersangkut kemas di lehernya. Rambut lelaki
itu basah. Iman boleh nampak dengan jelas six pack lelaki bermata sepet itu.
Seksi dan menggoda! Serta-merta pipi Iman menjadi merah. Malu yang amat.
Iman
rasa dadanya macam hendak pecah. Hati kata lari, tapi kaki terus kaku berdiri
di situ. Mata Iman bertemu lama dengan mata sepet yang merenungnya dengan tajam,
bagaikan mahu menelan dia hidup-hidup di situ.
Sesaat
kemudian, Iman tersengih macam kerang busuk. Cuba untuk menutup perasaan
bersalahnya. Tetapi lelaki bermata sepet tadi masih sama. Masih merenung dia
dengan tajam tanpa secalit senyuman pun. Muka lelaki itu nampak bersahaja.
Namun, renungan matanya saat ini, betul-betul mampu membunuh Iman.
“Matilah,
aku!” Iman telan liur.
No comments:
Post a Comment