TENGKU ANIS meraung-raung
di biliknya. Habis semua barang yang berada di dalam bilik itu dibaling ke
lantai dan ke dinding. Biliknya sudah macam dilanda ribut taufan. Dah tak macam
rupa bilik dah!
“Arrghhhh!!!
Aku benci kau, perempuan!!”
Tengku
Anis meraung lagi. Kali ini bantal yang berada di atas katil pula melayang ke
lantai. Jatuh tepat di muka di pintu biliknya yang sudah dikuak dari luar.
“Kenapa
ni sayang?” Tengku Fauziah terkejut apabila tiba-tiba saja sebiji bantal sudah
melayang di hujung kakinya. Laju saja tubuhnya menunduk, memungut semula bantal
itu. Seketika dia tergamam melihat keadaan bilik Tengku Anis.
Lambat-lambat
langkah diatur ke arah Tengku Anis yang sudah duduk di katil, sambil memeluk
kedua belah lututnya. Rambut perangnya yang panjang mencecah pinggang itu
nampak kusut dan berserabai.
Bantal
tadi, Tengku Fauziah letak semula ke atas tilam. Perlahan punggungnya
dilabuhkan di tepi Tengku Anis. Bimbang juga cucunya itu akan mengamuk lagi.
Bukan dia tidak tahu perangai Tengku Anis yang baran itu. Memang pantang kalau
kemahuannya tidak diturutkan.
“Anis
benci, nenda! Anis benciiii! Tok mi, kenapa nenda sanggup buat Anis macam ni?
Nenda tahukan Anis sayang sangat-sangat dekat Ajad! Anis memang tak boleh
terima semua ni.” Tengku Anis mengamuk lagi. Habis semua bantal yang berada di
atas katil dilempar ke lantai. Termasuklah bantal yang dipungut oleh Tengku
Fauziah tadi.
“Sayang...
Jangan buat macam ni. Sayang tahukan tok mi sayang sangat-sangat dekat cucu tok
mi ni. Takkan sebab perempuan kampung tu, Anis nak jadi macam ni. Janganlah
cepat sangat mengalah.” Pujuk Tengku Fauziah. Tangannya lembut membelai rambut
Tengku Anis.
“Tok
mi, Ajad dah kahwin tok mi! Macam mana Anis nak tenang. Nak berjuang apa lagi?”
Tinggi suara Tengku Anis menengking. Tengku Fauziah tak faham ke dia tengah
sedih sekarang ni?
“Tok
mi tahu. Tapi, masih ada lagi peluang untuk Anis. Lelaki ni senang saja nak
tawan, sayang. Lemah sangat kalau kena goda. Tambah lagi kena goda dengan
perempuan cantik dan seksi macam cucu tok mi ni.” Senyuman mula mekar di bibir
Tengku Fauziah.
“Maksud,
tok mi?” Tengku Anis kerut dahi. Wajah Tengku Fauziah disorot bersungguh. ‘Apa
yang Tok Mi nak sampaikan ni?’ Hati mula meneka sendiri. ‘Tak kanlah...’ Hati
Tengku Anis semakin meronta ingin tahu.
Tengku
Fauziah tersenyum simpul.
“Anis
pikat Ajad. Goda Ajad sampai dia lemas. Gunakan kelebihan yang Anis ada.” Makin
lebar senyuman di bibir wanita lewat usia itu.
Kata-kata
Tengku Fauziah cuba dihadam selumatnya oleh Tengku Anis. Lambat-lambat dia ukir
senyum. Betul juga kata neneknya itu. Jangan mudah mengalah. Goda sehabis
boleh!
MAK SU NORMAH
berdiri tegap di tepi jendela biliknya yang terbuka luas. Mata terus menyorot
malam yang gelap. Sungguh kelam! Sebutir bintang pun tidak kelihatan di atas
sana. Angin malam mula menyapa tubuhnya, dingin. Suasana sudahpun sunyi sepi.
Hanya bunyi burung tukang saja yang bersahutan, menenggelamkan suara nyanyian
cengkerik malam.
Mak
Su Normah kerut dahi. Semenjak siang tadi lagi perasaannya terganggu hebat.
Kini, Iman sudahpun sah bergelar isteri kepada Tengku Amjad Kamil. Dalam diam
dia memanjat syukur.
Namun, perasaan gusar tetap bermukim teguh di
hatinya. Terasa begitu berat perasaan Mak Su Normah. Sudah penat rasanya dia
mahu menyimpan rahsia. Apakah ini saatnya?
Selama
hampir dua puluh tiga tahun dia mengunci rapat mulutnya. Selama dua puluh tiga
tahun dia terpaksa berperang ganas dengan perasaan sendiri. Memang dia penat
yang amat.
“Safiyya,
anak kau dah kahwin Safiyya. Menantu kau baik sangat...” Suara Mak Su Normah
bergetar. Kolam matanya mula bergenang. Beberapa kali juga dia meneguk liur
yang terasa penuh di kerongkongnya. Wajah Safiyya menari-nari di ruang mata,
menerbitkan rasa sakit di jiwa. Walau berjuta kali dia cuba menepis, namun
bayang itu tetap ada.
“Safiyya,
maafkan aku. Rasa sudah tiba saatnya. Aku sudah penat Safiyya. Penat yang amat.”
Mak Su Normah teresak sendiri. Kali ini dia sudah nekad. Biarlah segalanya
terlerai.
No comments:
Post a Comment