DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 20

TEPAT jam lapan malam kereta milik Faiz Iqbal sudah ada di hadapan rumah sewa Aina Cempaka. Aina Cempaka masih di bilik tidur. Cuba merapikan rambutnya di hadapan cermin. Sentuhan kali terakhir. Biar nampak kemas dan terurus.
Pintu bilik dikuak perlahan. Wajah Suzy menerpa.
“Bukan main lagi kau sekarang ya?” soal Suzy dengan senyuman nakal.
“Apanya?”
“Aku tengok kau dengan bos kau tu makin rapat. Siap makan malam kat rumah bakal mentua lagi tu. Macam mana kau boleh lekat dengan mamat tu? Ilmu alam ghaib mana yang kau pakai, hah?”
Aina Cempaka tidak menjawab. Senyuman sudah cukup menggambarkan perasaannya.
“Kemaruk betul kawan aku sorang ni. Cuba cerita sikit kat aku. Aku pun nak tahu jugak.”
“Ala... nantilah. Aku pergi dulu ya. Dah lambat ni.” Aina Cempaka bergegas turun ke tingkat bawah.
Suzy yang terpacak macam tiang lampu hanya mampu mencebik bibir. Meluat sungguh!
Dari garaj lagi Aina Cempaka sudah nampak senyuman Faiz Iqbal. Manis gila! Hati kecilnya bagaikan dicuit perasaan aneh. Dia berjalan perlahan menghampiri kereta lelaki itu. Biar hati cuak, muka kena maintain tenang. Itu dalam otaknya. Pintu kereta dibuka.
“Malam ni ada dua perkara yang aku nak beritahu,” ucap Faiz Iqbal sebaik sahaja Aina Cempaka merebahkan punggungnya.
“Apa?” Aina Cempaka mengenakan tali pinggang keledar.
“Berita sedih dan jugak berita gembira.”
“Berita apa tu, Encik Iqbal?” Aina Cempaka tersenyum.
“Okey. Kau nak dengar yang sedih dulu ke... atau yang gembira?”
“Yang gembira.” Aina Cempaka cuba fokus. Ingin tahu.
“Hari ni aku belanja makan.” Faiz Iqbal tersengih.
“Bukan ke kita nak makan kat rumah tok wan?”
“Inilah berita sedihnya. Mak teh tak ada kat rumah. Cuti. So... tak ada sesiapa yang nak masak.”
“Encik Iqbal kan pandai masak. Kenapa tak gunakan skil ala-ala chef Encik Iqbal tu?” sinis Aina Cempaka.
“Itu lain. Itu... Ah! Tak payah fikir lagilah. Aku dah lapar. Sekarang, jom kita pergi makan.” Pantas Faiz Iqbal menekan minyak kereta. Tersenyum dalam diam. Apa boleh buat, dia pun sebenarnya spesies ala-ala chef macam Aina Cempaka.
Lebih kurang 20 minit memandu, akhirnya mereka sampai di sebuah restoran makanan Jepun. Mengambil tempat di kawasan yang agak terbuka, mereka duduk bersila di atas lantai. Hidangan sasyimi dipilih oleh Faiz Iqbal bersama beberapa hidangan lauk yang terasa aneh buat Aina Cempaka.
Doa makan dibaca oleh Faiz Iqbal. Itu yang paling diingatinya. Sejak mengenali Aina Cempaka, Faiz Iqbal tidak pernah lupa untuk melakukan itu. Takut makan semeja dengan syaitan.
“Pernah makan makanan Jepun?” soal Faiz Iqbal.
Aina Cempaka menggeleng.
“Dulu masa aku study kat Osaka, selalu makan makanan macam ni. Sedap. Trylah.”
Faiz Iqbal memegang chopstick. Aina Cempaka mengikut. Perlahan-lahan nasi disuap menggunakan benda alah itu. Rasa kekok dan tidak biasa menggunakan peralatan itu membuatkan Aina Cempaka gagal menyepit makanan dengan betul. Terkial-kial gadis itu dibuatnya. Melihat itu, Faiz Iqbal tersenyum.
“Gunalah sudu.” Faiz Iqbal menjuihkan bibirnya ke atas meja.
Sepasang sudu dan garpu berada betul-betul di sisi meja Aina Cempaka. Aina Cempaka tersengih. Rasa malu pun ada. Menyuap nasi menggunakan sudu. Baru rasa selesa dia hendak mencekik.
“Kenapa tak ajak mak ngah sekali?” soal Aina Cempaka. Baru dia terfikir tentang Datin Mariam.
“Dia tak nak. Sakit kepala lagi katanya.”
“Ya ke? Harap-harap dia cepat sembuh,” kata Aina Cempaka. Masih naif.
Faiz Iqbal tergelak.
“Kenapa gelak?”
“Kau tak perasan apa-apa ke?” Faiz Iqbal menatap mata Aina Cempaka. Penuh harapan.
“Apa?”
“Mak ngah nak buat alasan sakit kepala sebab nak kita keluar berdua.” Pantas saja Faiz Iqbal berterus terang.
“Mmm… okey…”
“Okey aje?”
“Dah tu? Encik Iqbal nak saya jawab apa?”
‘Lembab betullah minah ni. Tak ada perasaan ke apa?’ Faiz Iqbal mengeluh sendiri. Nafasnya ditarik dalam.
“Mmmm... sebenarnya... aaa... aku suka kat kau. Kau suka kat aku tak?”
Terbeliak biji mata Aina Cempaka. Hampir tersedak anak tekak dibuatnya. Macam tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu.
“Kau ni kenapa? Minum air cepat!” Pantas Faiz Iqbal menyuapkan air ke mulut Aina Cempaka.
Gelas dari tangan Faiz Iqbal diambil oleh Aina Cempaka. Diteguknya beberapa kali. Baru rasa sedikit lega.
“Aaa... apa Encik Iqbal cakap tadi? Nak saya jawab ke?”
“Tak. Tak ada apa. Tak perlu jawab sekarang. Arghh… kau lupakanlah apa yang aku cakap tadi. Lekas habiskan makanan ni, mahal tau. Jangan membazir!”
Terasa menyesal pula Faiz Iqbal ungkapkan kata-kata bodoh itu. Dah naik gila ke apa? Macam manalah dia boleh terlepas cakap. Mungkin dia terbawa-bawa dengan perasaannya sendiri. Ini semua merepek!
Setelah itu, masing-masing saling membisu. Masing-masing saling berteka-teki dalam hati. Faiz Iqbal sentiasa mengelak daripada bertentang mata lama-lama dengan Aina Cempaka. Biarlah hasrat hati terus tersembunyi. Malu jika terbaca apa yang tersurat.
Habis makan, Faiz Iqbal menghantar Aina Cempaka pulang ke rumah. Macam biasalah, dalam perjalanan pulang, apabila sudah terkena sindrom ‘sembunyi’ masing-masing diam tidak terkata. Tiada bicara yang terdengar. Cuma pandangan mata yang beraksi. Sekejap Faiz Iqbal menjeling ke arah Aina Cempaka. Sekejap Aina Cempaka pula yang mencuri pandang. Tiada bunyi. Hanya isyarat mata.
“Ermm... jumpa kau esok,” ucap Faiz Iqbal perlahan. Hanya itu kata-katanya yang terakhir sebelum dia memecut laju keretanya meninggalkan Aina Cempaka yang berdiri di hadapan rumah.
“Comelnya...” Aina Cempaka mula mengedik. Hatinya sudah dipenuhi dengan satu perasaan aneh terhadap Faiz Iqbal. Perasaan apakah ini?
“Huh, apa yang kau merepek ni! Jangan buat gilalah Aina Cempaka!” Aina Cempaka menepuk dahi. Jangan biarkan syaitan merasuk perasaannya. Dia perlu kembali ke alam realiti. Namun, bibirnya tidak boleh menafikan. Apabila teringatkan kata-kata Faiz Iqbal semasa di restoran tadi, Aina Cempaka mengukirkan satu senyuman bahagia. Tersimpul sampai ke telinga. Tidak tidur malamlah jawabnya dia nanti!



“TERSENGIH memanjang nampak?” usik Burn. Dia merapati meja kerja Aina Cempaka. Awal-awal pagi lagi dia melihat Aina Cempaka duduk sambil tersenyum-senyum. Macam ada sesuatu yang sudah berlaku. Dia mesti ambil tahu. Ini mesti berita terhebat, hiburan sensasi!
“Kenapa you senyum sorang-sorang ni? Ni mesti ada apa-apa, kan? Ceritalah sikit,” rayu Burn.
“Tak adalah. Mana ada senyum-senyum,” bidas Aina Cempaka.
“Cik Aina Cempaka... you tahu tak, senyum itu berlaku apabila 16 otot kat muka you digerakkan dan membentuk mimik muka you yang sekarang ni, ada faham?”
“Okey, okey... saya sedang senyum. Puas hati Encik Burn sekarang?” Aina Cempaka akhirnya ketawa. Dia tidak boleh sorok perasaannya lagi. Dalam otaknya tidak pernah lupa perihal semalam. Malam tadi dia tidak boleh tidur. Ini semua Faiz Iqbal punya angkara. Sindrom mabuk cinta!
“Mengaku pun. Mmmm... apa yang buat you bahagia sangat ni?” Burn merapatkan telinganya.
“Tak ada apalah. Saya cuma teringatkan sesuatu yang kelakar.”
“Kelakar? Apa tu?”
“Busybody betullah. Mmmm... teringat mak saya la,” alih Aina Cempaka.
“Ingatkan apa tadi. You… sebenarnya I ada berita nak beritahu ni. Dengarlah...” Burn melembutkan jari-jemarinya. Mahu buka topik baru.
“Berita apanya?”
“Nanti kejap ya...” Burn bergegas ke meja kerjanya dan kembali kepada Aina Cempaka dengan senaskhah surat khabar.
“You tak pernah tengok Datuk Mazlan, kan? Nah, inilah rupa orang tua tu!” Burn menunjukkan gambar Datuk Mazlan di dada akhbar.
“Ini Datuk Mazlan?” Terlopong mata Aina Cempaka. Lelaki tua inilah yang cuba merogolnya tempoh hari.
‘Tak guna betul!’ jerit hati Aina Cempaka. Helaian surat khabar itu direnyukkannya perlahan. Terasa bodoh pula kerana selama ini dia gagal mengenal pasti suara lelaki itu.
“You ni dah kenapa?” Burn terasa aneh melihat reaksi Aina Cempaka.
“Aaa... apa Burn cakap tadi?” Nyaris air mata Aina Cempaka menitis. Geram.
“Cuba you baca news ni. Datuk Mazlan disyaki seleweng hampir 1 bilion ringgit! Gila betul... tak pasal-pasal masuk court. Kalau betul dia bersalah, makan bertahun tidur dalam lokap ni. Nasib baiklah Ibunda Corporation dah stabil buat masa sekarang ni. Lega sikit I. You rasa betul ke berita ni? Macam susah nak percaya aje.”
“Biar padan muka dia! Itulah balasan untuk orang jahat. Dasar orang tua kertu tak sedar diri!” hamun Aina Cempaka. Puas hati. Lepas terus dendamnya.
“Errr... bila difikir-fikirkan balik, memang patut pun dia masuk jel.” Nada Burn mula mengendur. Agak pelik dengan reaksi Aina Cempaka. Nampaknya Aina Cempaka sangat marah. Tidak pernah pula dia lihat watak Aina Cempaka seperti ini. Sebab apa? Dia pun tidak tahu.
“Selamat pagi. Boleh saya jumpa dengan Encik Faiz Iqbal.” Kejut satu suara garau. Lelaki berjaket hitam dan berkepala botak itu tersenyum melihat Aina Cempaka dan Burn.
“Ermm... boleh saya tahu encik ni siapa?” soal Aina Cempaka.
“Jangan tanya siapa aku. Cakap aje kat Encik Iqbal yang Black nak jumpa dia.”
“Tunggu sekejap ya encik.”
Pantas Aina Cempaka menekan butang interkom. Faiz Iqbal di talian. Setelah menyampaikan pesanan, Aina Cempaka meletakkan gagang.
“Encik boleh masuk sekarang,” kata Aina Cempaka.
Black hanya mengangguk. Berjalan perlahan masuk ke dalam bilik Faiz Iqbal.
“Eeee... takutnya. Siapa tu?” soal Burn. Wajahnya dikerutkan seribu.
“Kawan Encik Iqbal kut.” Teka Aina Cempaka. Sepertinya itu lelaki yang ditemui oleh Faiz Iqbal semalam.
“Muka macam orang pecah rumah aje. Seram I tengok.” Burn menggoyangkan bahunya. Ngeri.
Sebaik sahaja Black melangkah masuk ke dalam bilik, Faiz Iqbal bertepuk tangan. Penuh dengan senyuman. Bangga dengan hasil kerja Black.
“Bagus kerja kau! Inilah yang aku nak.” Faiz Iqbal bangun. Mempelawa Black duduk di atas sofa. Surat khabar yang dibacanya dibiarkan di atas meja. Kemenangan ini perlu diraikan.
“Macam biasalah bos...” Black menggosokkan kedua-dua belah tapak tangannya.
Fahamlah Faiz Iqbal. Pantas dia mengeluarkan briefcase dari dalam almari dan diletakkannya di atas meja.
“Ini half. Separuh lagi aku akan bagi nanti,” ucap Faiz Iqbal.
Black membuka briefcase. Tersenyum lebar dia sampai ke telinga.
“Sebelum aku pergi, aku nak pastikan sesuatu,” kata Black.
“Apa? Duit yang aku bagi ni tak cukup ke?”
“Bukan. Ini pasal benda lain.”
“Pasal apa lagi ni?”
“Bos memang tak cam perempuan kat luar tu ke?” duga Black. Tersenyum sinis.
“Secretary aku? Maksud kau?” nada suara Faiz Iqbal mula berubah. Rasa macam ada yang tidak kena.
“Tak. Tak apalah, mungkin aku salah orang kut.” Black buat muka selamba. Cuba melemparkan umpan.
“Cuba kau cakap betul-betul dengan aku. Apa masalah kau ni?” tanya Faiz Iqbal, tidak puas hati. Entah apa pula agenda yang disorokkan oleh Black kali ini. Dia mesti tahu.
Black tersengih sambil membetulkan urat tengkuknya. Nampaknya Faiz Iqbal beria-ia hendak tahu. Inilah masanya yang sesuai.
“Bos ingat tak lima tahu lepas? Kita ada ‘ayamkan’ sorang budak perempuan ni?”
“Apa kau cakap ni? Aku tak fahamlah!”
“Bos jangan buat-buat lupa. Rasyid! Bos tak ingat ke?”
“Rasyid?” Tiba-tiba wajah Rasyid menerpa dalam otak Faiz Iqbal. Mana boleh dia lupa wajah si pengecut itu. Gara-gara dia, Faiz Iqbal terpaksa menanggung ‘penyakit’ ini. Rasa sakit yang paling dalam dan berbekas sampai sekarang.
“Ya, Rasyid. Aku dah jumpa adik dia.”
“Bukan ke adik dia dah mati? Korang yang beritahu aku macam tu, kan? Kau jangan mengarut benda bukan-bukan boleh tak?” Serius wajah Faiz Iqbal. Dalam otaknya ligat berfikir.
“Aku cakap betullah. Aku dah jumpa. Budak tu hidup lagilah bos.” Black tergelak.
“Kat mana? Beritahu aku cepat!” Kolar baju Black direntap kasar oleh Faiz Iqbal.
“Keep calm boss... relakslah.” Black menolak tangan Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal kembali duduk di sofa. Nafasnya turun naik.
“Biar aku berterus terang. Budak perempuan tu ada kat luar.”
“Errr... secretary aku? Aaa... maksud kau Aina Cempaka?” Bulat mata Faiz Iqbal.
Black hanya mengangguk.
Faiz Iqbal menyentuh dahinya. Melepaskan nafas yang paling dalam. Dadanya berombak kencang, macam tidak percaya. Tapi, itulah realitinya.
“Biar betul apa yang kau cakap ni. Jangan buat gila boleh tak?”
“Bos, ingatan aku belum luput lagilah. Aku ingat, dialah perempuan yang kita ‘gulai’ malam tu. Kenapa? Bos dah lupa ke? Takkanlah benda macam tu pun bos tak ingat,” tambah Black.
Faiz Iqbal terdiam. Pelbagai persoalan bermain dalam minda. Fikirannya bercelaru. Jika benar, bagaimana dia hendak berhadapan dengan Aina Cempaka kelak? Ini benar-benar kerja gila!
“Kalau tak ada apa-apa lagi, aku blahlah. Bos... kau buatlah apa-apa yang patut. Kalau kau rasa bersalah, lebih baik kau pecat aje budak perempuan tu.” Black menepuk-nepuk bahu Faiz Iqbal sebelum melangkah keluar. Baru puas hatinya. Apa yang terpendam kini bukan lagi rahsia. Terserah kepada Faiz Iqbal hendak buat apa selepas ini. Black tidak mahu ikut campur.
Faiz Iqbal masih tergamam. Bibirnya terkunci rapat. Apa yang perlu dikatakannya kepada Aina Cempaka? Ternyata budak perempuan lima tahun lepas masih hidup. Jika benar, mengapa Aina Cempaka gagal mengenali dirinya? Hah! Ini semua memang tidak masuk akal! Apa yang dia harus lakukan sekarang? Faiz Iqbal benar-benar mati akal.

No comments:

Post a Comment