IMAN berdiri
lama di muka pintu. Dalam hati masih berkira-kira sama ada mahu menapak ke dalam
bilik tidur yang besar dan mewah itu ataupun tidak. Dari celah daun pintu yang
terbuka sedikit, dia nampak Tengku Faridah sedang duduk di sofa empuk yang
terletak di sudut sebelah kiri bilik, sambil membelek sesuatu. Iman cuba
mengamati. Nampak macam album gambar!
Tanpa
sedar tangan Iman sudah naik menggaru kepala. ‘Aku nak kena buat apa pula ni?
Dah hampir seminggu dah, satu kerja pun tak buat lagi! Aku ni kerja sebagai apa
sebenarnya? Orang gaji ke PA?’ Hati Iman terus berteka-teki. Rasanya sudah
hampir sepuluh minit dia berdiri tegap di muka pintu bilik itu. Gaya macam jaga
tidak bertauliah dah!
Tok!
Tok! Tok!
Akhirnya,
tangan dia laju saja mengetuk daun pintu.
Tengku
Faridah menoleh. Saat matanya menangkap bayang Iman di situ, dia tersenyum
lebar.
“Iman,
masuklah!”
Pelawa Tengku Faridah. Senyuman masih juga
menguntum di bibirnya. Album gambar yang ditelek sebentar tadi sudah diletakkan
ke atas meja sofa. Pandangan dan tumpuannya kini seratus peratus terarah kepada
Iman.
Iman
telan liur. Kenapalah hati dia rasa semacam saja bila berdepan dengan Tengku
Faridah ni? Bila berdebar, rasa dua macam saja! Kalau bukan sebab dia bekerja
dengan Tengku Faridah, tidak mahu rasanya dia menapak ke dalam. Tapi, hendak tidak
hendak... dia terpaksa menapak juga ke dalam.
Mata Iman mula meliar ke segenap ruang di
dalam bilik tidur kepunyaan Tengku Faridah. Kagum! Bilik tidur itu nampak sungguh
mewah dan eksklusif. Dinding biliknya dicat dengan warna gold dan silver. Begitu
juga dengan pilihan perabot dan hiasannya. Juga dari warna yang sama. Dengan pilihan
gabungan warna gold dan silver itu, menampakkan ruang bilik tidur itu kelihatan
sungguh mewah.
Dalam
hati sempat juga Iman menilai tentang diri Tengku Faridah. Dari segi luarannya,
wanita anggun yang berada di hadapannya kini mempunyai citarasa yang tinggi
dalam kehidupan. Lihat sajalah, penampilannya! Sentiasa nampak kemas dan
bergaya. Naik segan Iman dibuatnya.
“Kenapa
tercegat lagi tu? Marilah duduk sini.”
Tangan
Tengku Faridah sudah menepuk sofa di sebelahnya. Muka Iman dipandang lama.
Redup saja sorotan matanya. Melihat wajah Iman seolah dia melihat kisah silam
yang amat menyakitkan. Tidak semana-mena hatinya dipagut pilu.
Iman
melabuhkan duduknya di sebelah Tengku Faridah. Dadanya mula terasa
berdebar-debar. Kenapalah dengan dia sehari dua ni. Dada asyik berdebar-debar
saja. Lebih-lebih lagi jika berdepan dengan Tengku Faridah. Padahal majikannya
itu melayan dia dengan baik saja.
“Mak
engku, hari ni apa yang perlu saya buat? Nak saya masakkan apa-apa untuk Mak engku,
ke?” tanya Iman sebaik sahaja dia melabuhkan duduknya di sebelah Tengku
Faridah. Amboi, Iman! Bukan main lagi, kau kan? Tawarkan diri untuk memasak konon...
Kalau dekat kampung tu, harapkan wan aje yang masak. Kau pandai makan aje!
“Ish,
berapa kali nenda nak pesan ni. Jangan panggil Mak engku! Panggil nenda aje.
Lagipun nenda memang ada cucu sebaya Iman ni. Lagi tua daripada Iman agaknya.”
Tengku Faridah tersenyum lagi.
Iman
juga tersenyum. Tapi nampak macam kekok, saja!
“Mmm... Iman tak payah buat semua tu. Tugas
Iman cuma temankan nenda berbual-bual, pergi berjalan-jalan. Itu saja! Yang
lain-lain tu, tugas Mak Su Normah dengan Kak Mona,” ucap Tengku Faridah, lembut.
Wajah Iman disorot dalam-dalam. Setiap kali wajah itu dipandang, pada setiap
kali itu jugalah rasa kasihnya tertumpah.
“Iman
seganlah. Nanti apa pula kata yang lain. Mak engku ni majikan Iman. Sama juga
dengan mereka.”
“Nak
kata apanya? Dalam rumah ni, semua dah jadi macam satu keluarga. Kak Mona, Mak
Su Normah, Pak Dollah... semua tu nenda dah anggap macam keluarga nenda sendiri.
Dia orang itulah peneman nenda. Sekarang tambah Iman sorang lagi.” Senyuman
manis sudah berlari di wajah Tengku Faridah.
“Err,
kalau Iman tanya... nenda jangan marah, ya?” Takut-takut Iman menutur kata.
Bimbang juga kalau-kalau pertanyaan dia sebentar nanti mengores hati Tengku
Faridah.
“Iman
nak tanya apa? Tanyalah.”
“Emm,
nenda memang tinggal sorang ke dekat rumah besar ni?” Mata Iman merenung lama
pada Tengku Faridah. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Yalah! Pelik juga
rasanya. Takkanlah Tengku Faridah ni langsung tidak ada anak. Tidak ada
keluarga.
Tanpa
disangka-sangka, pertanyaan Iman sebentar tadi mengundang riak keruh di wajah
Tengku Faridah. Matanya terarah semula pada album gambar yang berada di atas
meja sofa. Tidak semena-mena juga, mata Tengku Faridah berkaca.
Iman
kaget. Dia diterpa perasaan bersalah. Riak keruh yang terpamer dengan tiba-tiba
pada wajah Tengku Faridah itu mengundang rasa sesal di hatinya. ‘Iman! Apa kau
dah buat ni? Adoii... berapa kali dah mak su pesan jaga mulut kau tu! Matilah
kalau mak su tahu..’ Tidak sudah-sudah dia merunggut dalam hati. Rasa macam
hendak ditampar-tampar saja mulutnya. Sesal dengan kelancangan mulut sendiri.
“Mmm...
Iman minta maaf, nenda.” Perlahan suara Iman. Betul-betul macam orang bersalah.
Kebisuan Tengku Faridah membuatkan dadanya menjadi sesak. Sesak dengan sesalan
yang tidak sudah.
“Tak
ada salahnya pertanyaan Iman tu. Cuma nenda saja yang teremosi,” jawap Tengku
Faridah lirih. Senyuman tawar terukir di bibirnya saat itu. Tangan Iman
dicapai, digenggam lama. Entah kenapa ada perasaan aneh yang menerpa di hatinya
saat tangan mereka bersatu. Lama matanya dan mata Iman bertemu. Masing-masing
seolah berkongsi rasa yang sama. Keliru!
“Err,
kalau nenda tak nak jawap tak apalah. Iman tak kisah.” Iman tersenyum nipis,
cuba sembunyikan perasaan gugup di hatinya. ‘Kenapa ada perasaan macam ni?
Kenapa ni Iman? Perasaan apakah ini?’ hati Iman meronta tidak menentu.
“Nenda
minta maaf, ya? Bila sudah sampai masanya nanti, nenda ceritakan pada Iman,” tutur
Tengku Faridah lemah. Matanya masih merenung dalam kepada Iman.
Memang betul! Saat ini dia memang masih belum
bersedia untuk bercerita segalanya dengan Iman. Bercerita tentang kisah silam
akan mengundang semula luka semalam. Akan mengundang semula perasaan sesal yang
menggunung. Akan terbayangkan semula dosa-dosa silam. Dia tidak kuat! Sedangkan
selama ini dia telah cuba sedayanya untuk menghapuskan semua kenangan silam itu
daripada terus menjerut perasaannya.
Iman
terdiam seribu bahasa. Dalam hati perasaan ingin tahunya semakin berkobar-kobar.
Tetapi melihat saja riak keruh pada wajah Tengku Faridah itu membuatkan
perasaan ingin tahunya terpaksa dipendam jauh ke lubuk hati.
Suasana
bungkam selepas itu. Masing-masing terus membisu tanpa kata. Terus tenggelam
dalam perasaan sendiri. Tanpa mereka sedar segala tingkah mereka telah diperhatikan
oleh Mak Su Normah melalui daun pintu yang sedikit terkuak.
Mak
Su Normah menarik nafas panjang. Dalam dadanya juga turut berasa sesak. Sesak
dengan segala rasa yang selama ini cuba dipendam jauh ke lubuk hatinya. Semakin
lama, perasaan itu samakin sukar untuk dibendung lagi. ‘Sikit masa lagi, Mah!
Saat itu pasti akan tiba juga.’ Hati Mak Su Normah terus berdetik. Penuh yakin!
IMAN
duduk menopang dagu. Matanya dipandang kosong pada sayur-mayur yang berada di
atas meja di ruang dapur. Ada sawi, kacang panjang dan kubis. Semua sayur-mayur
itu telah dikeluarkan daripada peti sejuk oleh Kak Mona. Mungkin untuk dimasak.
“Hai,
Iman. Kenapa duduk menopang dagu aje ni, bosan ke?” Kak Mona muncul dari
belakang, bersama sebilah pisau di tangan. Sebuah bekas kecil juga dibawa
bersamanya dan diletakkan ke atas meja di hadapan Iman.
Setelah
melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Iman, tangan Kak Mona mula lincah
berkerja. Sayur-sayuran yang berada di dalam bekas tadi dipotong kecil. Ralit
Iman perhatikan tingkah Kak Mona.
“Kak
Mona nak Iman tolong ke?” Rajin pula Iman tawarkan diri. Padahal kalau dekat
kampung tu, puas disuruh oleh Wan Bedah, barulah tangan itu rajin hendak
menolong.
“Eh,
tak apalah. Sikit aje ni...” Laju Kak Mona menolak. Muka Iman direnung sekejap.
“Iman
ni kenapa? Bosan ke tinggal dekat sini?” Kak Mona cuba memancing Iman untuk
berbual. Nampak sangat muka Iman yang tengah kebosanan itu.
“Hmm,
Kak! Dah lama ke Kak Mona kerja dekat sini?” Pertanyaan Kak Mona tadi dibalas
dengan pertanyaan juga. Mata Iman nampak segar pada kali ini. Muka Kak Mona
direnung bersungguh.
“Kenapa
tanya?”
“Kak
Mona mesti tahu kisah hidup mak engku, kan?” tanya Iman lagi. Bersungguh benar
dia mahu mengorek rahsia. Entah kenapa dia betul-betul berminat ingin tahu.
Muka
Kak Mona redup tiba-tiba. Lama juga dia terdiam sebelum menjawap pertanyaan
Iman.
“Mmm,
Kak Mona dekat rumah ni baru tiga tahun. Mak Su Iman tu, lagi lama dekat sini.
Dah berbelas tahun agaknya dia kerja dekat sini. Kenapa tak tanya dia saja?”
“Mmm,
Mak su tu memanglah! Tapi dia tak nak bercerita.” Iman nampak kecewa. Tangannya
laju saja mencapai kacang panjang yang telah dipotong oleh Kak Mona, lalu
dimasukkan ke dalam mulut.
“Ish,
budak ni!” Laju juga tangan Kak Mona menepis. Saja dia buat-buat marah.
Iman
tergelak.
“Kak
Mona, mak engku tu tak ada anak ke? Gambar budak lelaki dalam gambar lama dekat
raung tengah rumah tu, siapa?” Iman masih belum puas mencuba.
Tangan
Kak Mona terhenti dari memotong sayur. Sekali lagi muka Iman ditatap. Hai,
budak Iman ni. Banyak pula soalnya!
“Hmm...
Kak Mona tak tahu. Yang Kak Mona tahu, Tengku Faridah ada seorang cucu lelaki
dan seorang cucu saudara perempuan. Tapi, sepanjang Kak Mona berkerja dekat
sini, Kak Mona tak pernah kenal lagi siapa anak Tengku Faridah. Dia macam tak
ada saudara-mara sangat! Sebab syarikat dia pun, cucu saudara dan orang
kepercayaan dia saja yang uruskan,” bisik Kak Mona perlahan. Bimbang pula kalau-kalau
Mak Engku tiba-tiba saja muncul di situ.
Iman
angguk kepala. Makin kusut pula dia rasa bila mendengar cerita Kak Mona.
Perasaannya pula semakin meronta-ronta ingin tahu.
“Mmm...
Kak Mona! Lagi satu. Bilik siapa dekat hujung tingkat tiga tu?” sekali lagi
wajah Kak Mona direnung dalam-dalam oleh Iman. Kata-kata amaran daripada Mak sunya
supaya tidak menghampiri bilik itu semakin menjadi tanda tanya. Perasaannya
semakin diasak rasa ingin tahu. Segala-galanya tentang Tengku Faridah nampak
misteri pada Iman.
“Oo...
yang tu! Kenapa?”
“Tak
adalah... Mak su beria-ia tak bagi Iman dekat dengan bilik tu. Katanya, cuma
dia saja yang boleh masuk dan kemaskan bilik tu.” Jawap Iman jujur.
Dalam rumah itu memang masing-masing sudah diberikan
tugas. Tugas Mak Su Normah, mengemas rumah. Kak Mona, memasak. Manakala tugas Pak
Dollah pula, sebagai pemandu dan merangkap tukang kebun di rumah besar itu.
Akhir sekali, Iman! Tugasnya hanyanlah melayan Tengku Faridah berbual-bual dan
bersiar-siar. Seronok, kan?
Tapi
macam kelakar pun ada! Duduk berbual-bual saja boleh dapat gaji. Kalau dah
namanya orang kaya, banyak duit... semua boleh buat, kan? Sanggup bayar gaji
orang semata-mata hendak berteman.
Hmm...
Tapi kesian juga! Ada rumah besar, ada kereta mewah, duit berkepuk-kepuk dalam bank...
tapi hati tetap juga sunyi. Nampak tak? Duit bukanlah segala-galanya.
“Bilik
tu memang tak ada sesiapa pun dibenarkan masuk. Tuan bilik tak bagi,” jawap Kak
Mona bersaja.
“Siapa
tuan bilik tu, Kak Mona? Iman tidak pernah nampak pun ada orang lain dalam rumah
ni selain daripada kita-kita ni?” Dahi Iman berkerut. Tudung yang terasa jatuh
ke depan segera dia betulkan. Rimas!
“Memanglah
sekarang tak ada. Nanti-nanti ada baliklah tu! Jadi kapten ni memang jarang ada
dekat rumah,” jawap Kak Mona acuh tidak acuh saja. Dia bergegas ke sinki untuk
mencuci sayur yang telah siap dipotong tadi.
Dahi
Iman semakin berkerut. Kapten? Hish, makin kusut ni!
“Kapten
apa Kak Mona? Siapa dia tu? Lelaki ke perempuan?” Iman masih belum berpuas
hati.
“Ish,
banyak tanyalah kamu ni, Iman. Dah, pergi naik ke atas sana. Jangan kacau Kak
Mona nak masak ni.” Kak Mona buat-buat marah. Tapi sebetulnya, dia memang malas
mahu bercerita. Biarlah Iman tahu sendiri. Tidak kuasa dia hendak melayan
soalan demi soalan daripada Iman.
“Hmm,
yalah! Tak sporting langsunglah, Kak
Mona ni. Sama aje dengan Mak su.”
“Eh,
pembetulan! Lawa Kak Mona sikit, ya!”
“Perasan!”
Iman mencebik. Lambat-lambat dia bangun dari kerusi, berjalan meninggalkan
ruang dapur mewah itu.
Kak
Mona ketawa mengekek. Lucu melihat wajah Iman yang sudah kelat dari buah jambu
batu putik itu. Biarlah budak Iman tu, merajuk. Dia memang malas hendak buka
mulut. Silap hari bulan nanti, dia pula yang kena.
“WAN,
menungkan apa tu?” Akma sudah bertenggek di sebelah Wan Bedah di atas pondok
kayu. Matanya terarah pada pokok-pokok pisang yang rata-ratanya sedang berbuah.
Bersih saja kebun pisang milik Wan Bedah ni. Tidak ada langsung pokok-pokok
renek di tanah. Akma tersenyum senang. Lapang rasa hatinya melihat itu semua.
Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu, turut sama membawa aura
ketenangan.
“Hmm...
Wan teringatkan Iman. Apa khabar agaknya dia dekat sana.” Lemah saja suara Wan
Bedah menyapa telinga Akma. Wajah tua itu juga nampak sayu.
Akma
terdiam sejenak. Faham sangat dengan kesunyian yang dirasakan oleh neneknya
itu. Dia sendiri terasa sunyi bila Iman tidak ada. Yalah! Selama ini, kalau
Iman ada, mulut dialah yang memang tidak pernah sunyi berkicau. Ada saja yang
hendak dicelotehkan.
“Dia
tak telefon wan ke?” tanya Akma berbasi-basi. Jawapannya, dia sendiri sudah
dapat mengagak.
“Kamu
macam tak kenal budak Iman tu! Mana reti nak menelefon orang.” bentak Wan Bedah
sikit geram. Sakit hati pun ada mengingatkan perangai Iman yang satu itu.
Akma
tergelak kecil. Bayang Iman terus menari di ruang matanya. Memang Iman tidak
suka bercakap di telefon. Entahlah, Akma sendiri tidak tahu apakah sebabnya.
Iman ni memang pelik sikit! Sebab itulah, hubungan Iman dengan Asyraf pun macam
lalang. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir... Ikut angin berhembus.
Mana tidaknya, Iman suka tulis surat berjela-jela.
Asyraf pula jenis malas hendak membalas surat. Sudahnya mereka bertemu bila
Asyraf balik bercuti sahaja. Itupun kadang-kadang sahaja.
“Mak
su?” tanya Akma lagi. Dia nampak Wan Bedah mengesat peluh di dahi menggunakan
tuala kecil yang tersangkut kemas di bahunya sejak tadi.
“Mak su kamu adalah telefon. Dia cakap semuanya
baik-baik saja. Tapi wan tetap risaukan Iman. Entahlah,” jawap Wan Bedah lemah.
Akma
terdiam. Sejenak, nafas dihela panjang. Dia nampak wajah Wan Bedah semakin
redup. Mungkin neneknya itu betul-betul rindukan Iman. Maklumlah, dia sudah
menjaga Iman sejak kecil lgi. Selama ini mereka tidak pernah berjauhan. Mahunya
Wan Bedah tidak rindu! Dia sendiri pun rindukan Iman sebenarnya.
No comments:
Post a Comment