Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 4

BAB 4


IMAN berdiri lama di muka pintu. Dalam hati masih berkira-kira sama ada mahu menapak ke dalam bilik tidur yang besar dan mewah itu ataupun tidak. Dari celah daun pintu yang terbuka sedikit, dia nampak Tengku Faridah sedang duduk di sofa empuk yang terletak di sudut sebelah kiri bilik, sambil membelek sesuatu. Iman cuba mengamati. Nampak macam album gambar!
Tanpa sedar tangan Iman sudah naik menggaru kepala. ‘Aku nak kena buat apa pula ni? Dah hampir seminggu dah, satu kerja pun tak buat lagi! Aku ni kerja sebagai apa sebenarnya? Orang gaji ke PA?’ Hati Iman terus berteka-teki. Rasanya sudah hampir sepuluh minit dia berdiri tegap di muka pintu bilik itu. Gaya macam jaga tidak bertauliah dah!
Tok! Tok! Tok!
Akhirnya, tangan dia laju saja mengetuk daun pintu.
Tengku Faridah menoleh. Saat matanya menangkap bayang Iman di situ, dia tersenyum lebar.
“Iman, masuklah!”
 Pelawa Tengku Faridah. Senyuman masih juga menguntum di bibirnya. Album gambar yang ditelek sebentar tadi sudah diletakkan ke atas meja sofa. Pandangan dan tumpuannya kini seratus peratus terarah kepada Iman.
Iman telan liur. Kenapalah hati dia rasa semacam saja bila berdepan dengan Tengku Faridah ni? Bila berdebar, rasa dua macam saja! Kalau bukan sebab dia bekerja dengan Tengku Faridah, tidak mahu rasanya dia menapak ke dalam. Tapi, hendak tidak hendak... dia terpaksa menapak juga ke dalam.
 Mata Iman mula meliar ke segenap ruang di dalam bilik tidur kepunyaan Tengku Faridah. Kagum! Bilik tidur itu nampak sungguh mewah dan eksklusif. Dinding biliknya dicat dengan warna gold dan silver. Begitu juga dengan pilihan perabot dan hiasannya. Juga dari warna yang sama. Dengan pilihan gabungan warna gold dan silver itu, menampakkan ruang bilik tidur itu kelihatan sungguh mewah.
Dalam hati sempat juga Iman menilai tentang diri Tengku Faridah. Dari segi luarannya, wanita anggun yang berada di hadapannya kini mempunyai citarasa yang tinggi dalam kehidupan. Lihat sajalah, penampilannya! Sentiasa nampak kemas dan bergaya. Naik segan Iman dibuatnya.
“Kenapa tercegat lagi tu? Marilah duduk sini.”
Tangan Tengku Faridah sudah menepuk sofa di sebelahnya. Muka Iman dipandang lama. Redup saja sorotan matanya. Melihat wajah Iman seolah dia melihat kisah silam yang amat menyakitkan. Tidak semana-mena hatinya dipagut pilu.
Iman melabuhkan duduknya di sebelah Tengku Faridah. Dadanya mula terasa berdebar-debar. Kenapalah dengan dia sehari dua ni. Dada asyik berdebar-debar saja. Lebih-lebih lagi jika berdepan dengan Tengku Faridah. Padahal majikannya itu melayan dia dengan baik saja.
“Mak engku, hari ni apa yang perlu saya buat? Nak saya masakkan apa-apa untuk Mak engku, ke?” tanya Iman sebaik sahaja dia melabuhkan duduknya di sebelah Tengku Faridah. Amboi, Iman! Bukan main lagi, kau kan? Tawarkan diri untuk memasak konon... Kalau dekat kampung tu, harapkan wan aje yang masak. Kau pandai makan aje!
“Ish, berapa kali nenda nak pesan ni. Jangan panggil Mak engku! Panggil nenda aje. Lagipun nenda memang ada cucu sebaya Iman ni. Lagi tua daripada Iman agaknya.” Tengku Faridah tersenyum lagi.
Iman juga tersenyum. Tapi nampak macam kekok, saja!
 “Mmm... Iman tak payah buat semua tu. Tugas Iman cuma temankan nenda berbual-bual, pergi berjalan-jalan. Itu saja! Yang lain-lain tu, tugas Mak Su Normah dengan Kak Mona,” ucap Tengku Faridah, lembut. Wajah Iman disorot dalam-dalam. Setiap kali wajah itu dipandang, pada setiap kali itu jugalah rasa kasihnya tertumpah.
“Iman seganlah. Nanti apa pula kata yang lain. Mak engku ni majikan Iman. Sama juga dengan mereka.”
“Nak kata apanya? Dalam rumah ni, semua dah jadi macam satu keluarga. Kak Mona, Mak Su Normah, Pak Dollah... semua tu nenda dah anggap macam keluarga nenda sendiri. Dia orang itulah peneman nenda. Sekarang tambah Iman sorang lagi.” Senyuman manis sudah berlari di wajah Tengku Faridah.
“Err, kalau Iman tanya... nenda jangan marah, ya?” Takut-takut Iman menutur kata. Bimbang juga kalau-kalau pertanyaan dia sebentar nanti mengores hati Tengku Faridah.
“Iman nak tanya apa? Tanyalah.”
“Emm, nenda memang tinggal sorang ke dekat rumah besar ni?” Mata Iman merenung lama pada Tengku Faridah. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Yalah! Pelik juga rasanya. Takkanlah Tengku Faridah ni langsung tidak ada anak. Tidak ada keluarga.
Tanpa disangka-sangka, pertanyaan Iman sebentar tadi mengundang riak keruh di wajah Tengku Faridah. Matanya terarah semula pada album gambar yang berada di atas meja sofa. Tidak semena-mena juga, mata Tengku Faridah berkaca.
Iman kaget. Dia diterpa perasaan bersalah. Riak keruh yang terpamer dengan tiba-tiba pada wajah Tengku Faridah itu mengundang rasa sesal di hatinya. ‘Iman! Apa kau dah buat ni? Adoii... berapa kali dah mak su pesan jaga mulut kau tu! Matilah kalau mak su tahu..’ Tidak sudah-sudah dia merunggut dalam hati. Rasa macam hendak ditampar-tampar saja mulutnya. Sesal dengan kelancangan mulut sendiri.
“Mmm... Iman minta maaf, nenda.” Perlahan suara Iman. Betul-betul macam orang bersalah. Kebisuan Tengku Faridah membuatkan dadanya menjadi sesak. Sesak dengan sesalan yang tidak sudah.
“Tak ada salahnya pertanyaan Iman tu. Cuma nenda saja yang teremosi,” jawap Tengku Faridah lirih. Senyuman tawar terukir di bibirnya saat itu. Tangan Iman dicapai, digenggam lama. Entah kenapa ada perasaan aneh yang menerpa di hatinya saat tangan mereka bersatu. Lama matanya dan mata Iman bertemu. Masing-masing seolah berkongsi rasa yang sama. Keliru!
“Err, kalau nenda tak nak jawap tak apalah. Iman tak kisah.” Iman tersenyum nipis, cuba sembunyikan perasaan gugup di hatinya. ‘Kenapa ada perasaan macam ni? Kenapa ni Iman? Perasaan apakah ini?’ hati Iman meronta tidak menentu.
“Nenda minta maaf, ya? Bila sudah sampai masanya nanti, nenda ceritakan pada Iman,” tutur Tengku Faridah lemah. Matanya masih merenung dalam kepada Iman.
 Memang betul! Saat ini dia memang masih belum bersedia untuk bercerita segalanya dengan Iman. Bercerita tentang kisah silam akan mengundang semula luka semalam. Akan mengundang semula perasaan sesal yang menggunung. Akan terbayangkan semula dosa-dosa silam. Dia tidak kuat! Sedangkan selama ini dia telah cuba sedayanya untuk menghapuskan semua kenangan silam itu daripada terus menjerut perasaannya.
Iman terdiam seribu bahasa. Dalam hati perasaan ingin tahunya semakin berkobar-kobar. Tetapi melihat saja riak keruh pada wajah Tengku Faridah itu membuatkan perasaan ingin tahunya terpaksa dipendam jauh ke lubuk hati.
Suasana bungkam selepas itu. Masing-masing terus membisu tanpa kata. Terus tenggelam dalam perasaan sendiri. Tanpa mereka sedar segala tingkah mereka telah diperhatikan oleh Mak Su Normah melalui daun pintu yang sedikit terkuak.
Mak Su Normah menarik nafas panjang. Dalam dadanya juga turut berasa sesak. Sesak dengan segala rasa yang selama ini cuba dipendam jauh ke lubuk hatinya. Semakin lama, perasaan itu samakin sukar untuk dibendung lagi. ‘Sikit masa lagi, Mah! Saat itu pasti akan tiba juga.’ Hati Mak Su Normah terus berdetik. Penuh yakin!

IMAN duduk menopang dagu. Matanya dipandang kosong pada sayur-mayur yang berada di atas meja di ruang dapur. Ada sawi, kacang panjang dan kubis. Semua sayur-mayur itu telah dikeluarkan daripada peti sejuk oleh Kak Mona. Mungkin untuk dimasak.
“Hai, Iman. Kenapa duduk menopang dagu aje ni, bosan ke?” Kak Mona muncul dari belakang, bersama sebilah pisau di tangan. Sebuah bekas kecil juga dibawa bersamanya dan diletakkan ke atas meja di hadapan Iman.
Setelah melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Iman, tangan Kak Mona mula lincah berkerja. Sayur-sayuran yang berada di dalam bekas tadi dipotong kecil. Ralit Iman perhatikan tingkah Kak Mona.
“Kak Mona nak Iman tolong ke?” Rajin pula Iman tawarkan diri. Padahal kalau dekat kampung tu, puas disuruh oleh Wan Bedah, barulah tangan itu rajin hendak menolong.
“Eh, tak apalah. Sikit aje ni...” Laju Kak Mona menolak. Muka Iman direnung sekejap.
“Iman ni kenapa? Bosan ke tinggal dekat sini?” Kak Mona cuba memancing Iman untuk berbual. Nampak sangat muka Iman yang tengah kebosanan itu.
“Hmm, Kak! Dah lama ke Kak Mona kerja dekat sini?” Pertanyaan Kak Mona tadi dibalas dengan pertanyaan juga. Mata Iman nampak segar pada kali ini. Muka Kak Mona direnung bersungguh.
“Kenapa tanya?”
“Kak Mona mesti tahu kisah hidup mak engku, kan?” tanya Iman lagi. Bersungguh benar dia mahu mengorek rahsia. Entah kenapa dia betul-betul berminat ingin tahu.
Muka Kak Mona redup tiba-tiba. Lama juga dia terdiam sebelum menjawap pertanyaan Iman.
“Mmm, Kak Mona dekat rumah ni baru tiga tahun. Mak Su Iman tu, lagi lama dekat sini. Dah berbelas tahun agaknya dia kerja dekat sini. Kenapa tak tanya dia saja?”
“Mmm, Mak su tu memanglah! Tapi dia tak nak bercerita.” Iman nampak kecewa. Tangannya laju saja mencapai kacang panjang yang telah dipotong oleh Kak Mona, lalu dimasukkan ke dalam mulut.
“Ish, budak ni!” Laju juga tangan Kak Mona menepis. Saja dia buat-buat marah.
Iman tergelak.
“Kak Mona, mak engku tu tak ada anak ke? Gambar budak lelaki dalam gambar lama dekat raung tengah rumah tu, siapa?” Iman masih belum puas mencuba.
Tangan Kak Mona terhenti dari memotong sayur. Sekali lagi muka Iman ditatap. Hai, budak Iman ni. Banyak pula soalnya!
“Hmm... Kak Mona tak tahu. Yang Kak Mona tahu, Tengku Faridah ada seorang cucu lelaki dan seorang cucu saudara perempuan. Tapi, sepanjang Kak Mona berkerja dekat sini, Kak Mona tak pernah kenal lagi siapa anak Tengku Faridah. Dia macam tak ada saudara-mara sangat! Sebab syarikat dia pun, cucu saudara dan orang kepercayaan dia saja yang uruskan,” bisik Kak Mona perlahan. Bimbang pula kalau-kalau Mak Engku tiba-tiba saja muncul di situ.
Iman angguk kepala. Makin kusut pula dia rasa bila mendengar cerita Kak Mona. Perasaannya pula semakin meronta-ronta ingin tahu.
“Mmm... Kak Mona! Lagi satu. Bilik siapa dekat hujung tingkat tiga tu?” sekali lagi wajah Kak Mona direnung dalam-dalam oleh Iman. Kata-kata amaran daripada Mak sunya supaya tidak menghampiri bilik itu semakin menjadi tanda tanya. Perasaannya semakin diasak rasa ingin tahu. Segala-galanya tentang Tengku Faridah nampak misteri pada Iman.
“Oo... yang tu! Kenapa?”
“Tak adalah... Mak su beria-ia tak bagi Iman dekat dengan bilik tu. Katanya, cuma dia saja yang boleh masuk dan kemaskan bilik tu.” Jawap Iman jujur.
 Dalam rumah itu memang masing-masing sudah diberikan tugas. Tugas Mak Su Normah, mengemas rumah. Kak Mona, memasak. Manakala tugas Pak Dollah pula, sebagai pemandu dan merangkap tukang kebun di rumah besar itu. Akhir sekali, Iman! Tugasnya hanyanlah melayan Tengku Faridah berbual-bual dan bersiar-siar. Seronok, kan?
Tapi macam kelakar pun ada! Duduk berbual-bual saja boleh dapat gaji. Kalau dah namanya orang kaya, banyak duit... semua boleh buat, kan? Sanggup bayar gaji orang semata-mata hendak berteman.
Hmm... Tapi kesian juga! Ada rumah besar, ada kereta mewah, duit berkepuk-kepuk dalam bank... tapi hati tetap juga sunyi. Nampak tak? Duit bukanlah segala-galanya.
“Bilik tu memang tak ada sesiapa pun dibenarkan masuk. Tuan bilik tak bagi,” jawap Kak Mona bersaja.
“Siapa tuan bilik tu, Kak Mona? Iman tidak pernah nampak pun ada orang lain dalam rumah ni selain daripada kita-kita ni?” Dahi Iman berkerut. Tudung yang terasa jatuh ke depan segera dia betulkan. Rimas!
“Memanglah sekarang tak ada. Nanti-nanti ada baliklah tu! Jadi kapten ni memang jarang ada dekat rumah,” jawap Kak Mona acuh tidak acuh saja. Dia bergegas ke sinki untuk mencuci sayur yang telah siap dipotong tadi.
Dahi Iman semakin berkerut. Kapten? Hish, makin kusut ni!
“Kapten apa Kak Mona? Siapa dia tu? Lelaki ke perempuan?” Iman masih belum berpuas hati.
“Ish, banyak tanyalah kamu ni, Iman. Dah, pergi naik ke atas sana. Jangan kacau Kak Mona nak masak ni.” Kak Mona buat-buat marah. Tapi sebetulnya, dia memang malas mahu bercerita. Biarlah Iman tahu sendiri. Tidak kuasa dia hendak melayan soalan demi soalan daripada Iman.
“Hmm, yalah! Tak sporting langsunglah, Kak Mona ni. Sama aje dengan Mak su.”
“Eh, pembetulan! Lawa Kak Mona sikit, ya!”
“Perasan!” Iman mencebik. Lambat-lambat dia bangun dari kerusi, berjalan meninggalkan ruang dapur mewah itu.
Kak Mona ketawa mengekek. Lucu melihat wajah Iman yang sudah kelat dari buah jambu batu putik itu. Biarlah budak Iman tu, merajuk. Dia memang malas hendak buka mulut. Silap hari bulan nanti, dia pula yang kena.

“WAN, menungkan apa tu?” Akma sudah bertenggek di sebelah Wan Bedah di atas pondok kayu. Matanya terarah pada pokok-pokok pisang yang rata-ratanya sedang berbuah. Bersih saja kebun pisang milik Wan Bedah ni. Tidak ada langsung pokok-pokok renek di tanah. Akma tersenyum senang. Lapang rasa hatinya melihat itu semua. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu, turut sama membawa aura ketenangan.
“Hmm... Wan teringatkan Iman. Apa khabar agaknya dia dekat sana.” Lemah saja suara Wan Bedah menyapa telinga Akma. Wajah tua itu juga nampak sayu.
Akma terdiam sejenak. Faham sangat dengan kesunyian yang dirasakan oleh neneknya itu. Dia sendiri terasa sunyi bila Iman tidak ada. Yalah! Selama ini, kalau Iman ada, mulut dialah yang memang tidak pernah sunyi berkicau. Ada saja yang hendak dicelotehkan.
“Dia tak telefon wan ke?” tanya Akma berbasi-basi. Jawapannya, dia sendiri sudah dapat mengagak.
“Kamu macam tak kenal budak Iman tu! Mana reti nak menelefon orang.” bentak Wan Bedah sikit geram. Sakit hati pun ada mengingatkan perangai Iman yang satu itu.
Akma tergelak kecil. Bayang Iman terus menari di ruang matanya. Memang Iman tidak suka bercakap di telefon. Entahlah, Akma sendiri tidak tahu apakah sebabnya. Iman ni memang pelik sikit! Sebab itulah, hubungan Iman dengan Asyraf pun macam lalang. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir... Ikut angin berhembus.
 Mana tidaknya, Iman suka tulis surat berjela-jela. Asyraf pula jenis malas hendak membalas surat. Sudahnya mereka bertemu bila Asyraf balik bercuti sahaja. Itupun kadang-kadang sahaja.
“Mak su?” tanya Akma lagi. Dia nampak Wan Bedah mengesat peluh di dahi menggunakan tuala kecil yang tersangkut kemas di bahunya sejak tadi.
“Mak  su kamu adalah telefon. Dia cakap semuanya baik-baik saja. Tapi wan tetap risaukan Iman. Entahlah,” jawap Wan Bedah lemah.
Akma terdiam. Sejenak, nafas dihela panjang. Dia nampak wajah Wan Bedah semakin redup. Mungkin neneknya itu betul-betul rindukan Iman. Maklumlah, dia sudah menjaga Iman sejak kecil lgi. Selama ini mereka tidak pernah berjauhan. Mahunya Wan Bedah tidak rindu! Dia sendiri pun rindukan Iman sebenarnya.

No comments:

Post a Comment